Keibubapaan

Ingat Anak Malas Belajar & Slow Learner, Rupanya Rabun Cecah 500 Kedua-Dua Belah Mata

Share

Perkongsian menyentuh hati di Threads oleh seorang bapa, Azmeer Zakaria, benar-benar membuka mata ramai ibu bapa tentang pentingnya memahami perubahan perkembangan anak. Siapa sangka, anak yang disangka mengalami masalah pembelajaran rupanya berdepan masalah penglihatan yang serius sejak kecil lagi.

Menurutnya, dia tidak pernah menafikan setiap teguran guru mengenai anaknya, Indah, yang dikatakan kurang responsive di sekolah, lambat dalam pembelajaran dan mungkin memerlukan Speech Therapy malah disarankan masuk ke kelas PPKI.

“Aku cuba segala cara untuk jadikan dia sama special dengan orang lain. Daripada therapy / pakar, semuanya aku dah buat. Anak aku dah umur 8 tahun. Isu terbesar sekarang dia tak responsive di sekolah dan susah nak dengar arahan. Btw nama anak aku Indah,” kongsinya.

Sebagai seorang ayah, dia melakukan pelbagai usaha demi memastikan anaknya dapat membesar seperti kanak-kanak lain. Namun jauh di sudut hatinya, dia tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana Indah kelihatan seperti anak biasa.

“Tak juga. Sebagai seorang ayah, aku tengok cara Indah fikir dan bermain dengan kawan-kawan dan adik dia sama macam anak-anak biasa. Cumanya, dia kurang lancar nak bersembang biasa sebabkan Indah speech delay.

“Tapi sebagai seorang ayah anak speech delay + slow development, pernah kena GBS pula lagi, diagnose ADHD pun takde, autisme pun tidak. Ayah tertanya juga, Indah sakit apa ni? Ayah sanggup buat apa je untuk Indah  janji baik,” luahnya.

Rabun Mata Anak Jadi Punca Anak Slow Learner

Tambah menyedihkan apabila hampir setiap hari Indah dimarahi di sekolah kerana tidak memberi respon, tidak mahu menulis, sering tidur di dalam kelas dan lebih banyak melakukan hal sendiri.

“Sampaikan hampir setiap hari cikgu marah dia disebabkan dia tak dengar arahan, tak nak menulis, banyak tidur dalam kelas, asik buat hal sendiri je macam tak kisah.

“Dua tiga menjak ni, aku rasa berdosa sangat sebab Indah hari-hari kata taknak pergi sekolah sebab cikgu marah dia. Ada part balik sekolah, transporter dia kata muka dia monyok sangat sebab dia kata kena marah dengan cikgu,” ceritanya lagi.

Malah pihak sekolah juga pernah mencadangkan agar Indah dimasukkan ke kelas PPKI kerana dikatakan sukar memahami arahan dan tidak mampu membezakan pilihan ketika sesi pembelajaran.

“PKHEM kata dia pernah ganti kelas, Indah tak mampu dengar arahan, dan bila saya bagi dia buku untuk pilih, dia tak mampu pilih dan bezakan. I was like — Whaaaatttttt? Adakah sebab dia langsung tak minat belajar, ataupun ada sebab lain?”

Walau bagaimanapun, dia memahami situasi guru yang perlu mengendalikan ramai murid dalam satu masa.

“Dan saya faham, bila keadaan Indah less responsive, bukan semua guru faham, nak jaga anak murid 30 orang lagi, mana boleh nak buat secara one to one memanjang untuk Indah.”

Rupanya Masalah Rabun Mata Teruk Sejak Kecil

Siapa sangka, satu perbualan ringkas dengan rakannya akhirnya membuka jalan kepada jawapan sebenar. Rakannya pernah berkongsi bahawa anaknya mula cemerlang dalam peperiksaan selepas memakai cermin mata.

“Ter detik kawan aku pernah kata: Anak dia masa exam, result tak bagus tapi lepas pakai spec, anak dia terus score! Tapi sejauh mana benda tu betul?”

Disebabkan rasa ingin tahu itu, dia terus membawa Indah ke kedai cermin mata pada malam yang sama untuk pemeriksaan awal.

“Aku pun start motor malam tu juga, bawa Indah ke kedai spec untuk check mata dia. Last la ni sebelum nak ke PPKI.”

Alangkah terkejutnya apabila bacaan mata Indah mencecah 500 bagi kedua-dua belah mata. Keesokan harinya, dia terus membawa Indah berjumpa pakar mata dan keputusan akhir menunjukkan rabun mata anak itu berada pada tahap 450 bagi kedua-dua mata.

“Optometrist tu kata benda ni bukan baru, dan rabun dia ni memang daripada kecik 3-4 tahun lepas.

“Ya Allah nak, maafkan ayah. Rupanya selama ni tak responsive sebab pandangan mata dia terhad,” katanya penuh sebak.

Perubahan Besar Selepas Pakai Cermin Mata

Tengok beza tulisan

Menurutnya lagi, selepas memakai cermin mata, perubahan Indah sangat ketara. Anak kecil itu mula memberi respon di dalam kelas, lebih fokus dan mampu menyiapkan tugasan sekolah.

“Best part, ada kawan dia inform  Indah dalam kelas dia mula responsive, tengok kiri kanan belakang which is sebelum ni tak macam tu. Dan dia mula buat tugasan yang cikgu bagi.

“Siap balik rumah dia kata: ‘Saya boleh tulis laju’,” kongsinya.

Lebih menggembirakan apabila Indah kini semakin yakin untuk ke sekolah selepas rakan-rakan memuji cermin mata ungu miliknya yang comel.

“Ayah sekali lagi minta maaf kat Indah, sebab ayah tak tahu Indah sakit apa. Sebab Indah tak pernah pun nampak kecikkan mata, tak pernah cakap yang Indah tak nampak, dan hari ini ayah bantu Indah untuk tengok dunia lebih jelas.”

Pengajaran Besar Buat Ibu Bapa

Perkongsian ini menjadi satu pengajaran besar buat ibu bapa agar tidak cepat membuat andaian terhadap perubahan tingkah laku atau perkembangan anak-anak. Kadang-kadang masalah yang kelihatan seperti isu pembelajaran atau tingkah laku sebenarnya berpunca daripada kesihatan yang tidak disedari.

Azmeer turut menitipkan pesanan buat semua ibu bapa supaya terus menyokong anak-anak dan tidak mudah berputus asa.

“Apa pun to parents di luar sana, jangan mengalah. Anda lebih kenal anak anda, kita perlu sentiasa support anak kita. Saya bersyukur, walaupun lambat tahu keadaan mata Indah, tapi ayah dapat pembelajaran paling besar dalam parenting.

“Never give up dear parents. Saya share sini untuk kita sama-sama belajar. Sayangi anak kita semua, dan jangan stop untuk improve 1% setiap hari dalam parenting.”

Semoga perkongsian ini menjadi kesedaran buat semua ibu bapa untuk lebih peka terhadap perubahan anak-anak, termasuk aspek penglihatan mereka. Kadang-kadang, satu pemeriksaan kecil mampu mengubah seluruh kehidupan seorang anak.

Sumber: azmeerzakaria

Published by
Nor Yusoff