Semua ibu di dunia ini mahukan anak mereka mendapatkan sumber nutrisi yang mencukupi untuk perkembangannya. Susu badan merupakan sumber nutrisi yang terbaik berbanding sumber yang lain. Disebabkan itu, para ibu sering berasa risau terhadap kondisi susu badan mereka terutamanya dari segi tahap kelikatannya.
Ada pendapat yang mengatakan susu badan yang cair akan menyebabkan anak anda tidak mendapat nutrisi yang secukupnya. Adakah ini benar? Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui sejauh mana kesahihan pendapat ini.
Mengapa susu badan boleh menjadi cair?
Ramai yang tidak tahu bahawa susu badan sememangnya akan wujud dalam keadaan cair dan pekat. Kelikatan susu ini sebenarnya bergantung kepada 2 jenis susu, iaitu:
1. Foremilk (susu awal)
Ia merupakan susu yang berada di hadapan “kilang” susu pada payudara. Susu ini lebih cair, tinggi kandungan air, tinggi kandungan gula, berwarna kebiruan atau kehijauan (bergantung kepada ibu) serta mengandungi vitamin, protein dan karbohidrat.
2. Hindmilk (susu akhir)
Ia merupakan susu yang berada di belakang “kilang” susu pada payudara. Susu ini lebih pekat serta mengandungi lemak dan kalori yang tinggi. Susu ini sangat penting untuk membuat bayi kenyang dan tumbesaran mereka.
Namun demikian, ada juga beberapa faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi kelikatan susu badan. Berikut merupakan faktor-faktornya:
Cuaca
Ibu yang kerap mengosongkan payudara
Pemakanan ibu
Saiz perut bayi
Perlu risau atau tidak?
Sebenarnya, anda tidak perlu risau sekiranya susu badan anda cair. Ini kerana susu badan anda sememangnya mempunyai keadaan sedemikian dan tetap mengandungi nutrisi yang sangat diperlukan oleh anak anda. Selain itu, anda perlu tahu bahawa terdapat 2 keadaan susu iaitu “foremilk” (susu awal) dan “hindmilk” (susu akhir) yang masing-masing kelebihan nutrisinya yang tersendiri. Susu awal mungkin rendah lemak namun tinggi kandungan gula. Susu akhir yang tinggi lemak pula sangat penting untuk tumbesaran anak anda.
Ketika sedang menyusukan anak, anda mungkin boleh perhatikan bahawa pada permulaan waktu anda menyusukan anak, susu badan yang keluar adalah cair. Lama-kelamaan, susu badan anda akan menjadi pekat dan seterusnya menjadi sedikit pejal pada akhir penyusuan. Inilah yang dikenali sebagai “foremilk” (susu awal) dan “hindmilk” (susu akhir). Oleh itu, anda tidak perlu risau akan kelikatan susu badan anda kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang mudarat kepada anda dan juga anak anda.
Tuntasnya, kelikatan susu badan bukanlah pengukur kepada jumlah nutrisi yang terdapat di dalamnya. Sebagai seorang ibu yang menyusukan anak dengan susu badan, anda perlu sentiasa kekal aktif dan positif terhadap penyusuan anak. Ini bertujuan memastikan proses penghasilan susu badan berjalan lancar dan anak anda akan memperolehi 100 peratus manfaat daripadanya.
Seperti orang dewasa, bayi juga berisiko mengalami penyakit kencing kotor. Ibu dan ayah perlu lebih peka dengan sebarang perubahan pada anak seperti tiada selera makan dan kurang minum susu. Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah seperti bau air kencing yang busuk, terdapat kesan darah pada air kencing, mengalami muntah-muntah dan banyak lagi.
Sudah beberapa hari sebenarnya bayi perempuan umur 6 bulan demam (salah seorang pesakit).
Semasa mula demam, ibu ayahnya sudah bawa ke klinik lalu dibekalkan ubat antibiotik. Kata doktor, boleh jadi sebab jangkitan kuman dekat telinga. Namun tetap tak sembuh.
Demam berterusan, menyusu sudah semakin kurang akhirnya bayi itu jadi lembik dan tak aktif. Bila dibawa ke hospital, pemeriksaan jantungnya berdegup sangat laju manakala tekanan darahnya rendah.
Patutlah tak bermaya, rupanya bayi malang itu sudah mengalami dehydrated yang teruk!
Beberapa ujian segera dilakukan untuk mencari punca jangkitan itu.
Salah satunya doktor terpaksa masukkan tiub plastic halus melalui salur kencing bayi perempuan tadi untuk keluarkan sample urine.
Sebaik saja tiub itu dimasukkan, mengalir keluar air kencing warna keruh susu dan bila ujian makmal dilakukan, rupa-rupanya anak itu sudah terkena penyakit kencing kotor! Anak kecil mudah sangat sebenarnya dapat jangkitan ini.
Ada satu kajian yang dibuat oleh research committee dari American Academy of Paediatrics beritahu, 9 per 100 bayi bawah usia 60 hari yang demam panas puncanya kerana penyakit kencing kotor.
Bayi boleh jadi akan ada simptom seperti ini jika mengalami masalah kencing kotor:
*Kencing berbau busuk.
*Warna air kencing itu keruh.
*Ada jugak yang kencingnya ada kesan darah.
*Kadang itu dia akan menangis sahaja sebab sakit semasa kencing.
*Bayi muntah-muntah.
*Bayi kurang menyusu dan makan.
*Demam tinggi.
Jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal bimbang bayi akan jadi terlampau lemah hingga boleh mengancam nyawa.
Berikut dikongsikan cara untuk mengelakkan jangkitan pada salur kencing bayi:
✅ Cepat-cepat tukar lampin anak kalau sudah berak.
Jangan biar lama sebab dalam najis bayi itu ada banyak kuman. Kalau terbiar lama, nanti kuman itu berpindah ke kawasan salur kencing bayi lalu mengakibatkan jangkitan kencing kotor.
✅ Pastikan kalau pakai tisu basah, guna sehelai untuk sekali lap sahaja. Jangan ulang-ulang lap 2-3 kali guna tisu basah yang sama.
✅ Semasa menggunakan tisu basah pada bayi iaitu ketika mengelap, lap dari bahagian depan ke belakang. Jangan amalkan lepas lap najis pada bahagian punggung, pergi pula lap di bahagian kemaluan bayi menggunakan tisu yang sama. Perbuatan ini merisikokan bayi terkena bakteria E. Coli dalam najis itu, berjangkit pula ke salur kencing bayi.
Tip ini semuanya mudah sahaja tapi kalau tak buat betul-betul boleh merisikokan kesihatan dan nyawa bayi kita.
Allahuakbar! Hanya doa untuk adik Ainul Mardhiah semoga terus kuat dan diharapkan Allah mempermudahkan urusannya. Tak sanggup rasanya lihat kesakitan yang ditanggung oleh bayi sekecil ini yang masih belum tahu apa-apa.
Menitik air mata baca kisah yang dikongsikan oleh ayah adik Ainul, Ahmad Safiuddin yang sangat cekal dan begitu kuat menerima takdir Allah. Berikut antara luahan hati seorang ayah mengenai perjalanan kisah Ainul seawal lahir hingga sekarang.
Lahir Ketika Usia 31 Minggu
Assalamualaikum & Salam sejahtera. Pada ketika dan saat ini saya menulis untuk menjelaskan keadaan yang sebenar sebab dari pagi tidak henti orang hubungi saya termasuk beratus whatapp masuk.
Pertama sekali, saya mahu perkenalkan diri. Saya Ahmad Safiuddin, Bapa kepada Ainul Mardhiah yang kuat.
Sebelum saya teruskan, saya mahu mohon maaf jika ada panggilan yang tidak dapat saya jawab dan whatsapp yang saya tidak respon. Kuasa viral hari ini betul-betul membuatkan telephone saya tidak berhenti berbunyi.
Saya akan ceritakan kisah Ainul dan apa yang Ainul telah lalui selama 8 bulan. Sebelum itu, sedekahkan Al fatihah buat jiwanya supaya dia terus bersemangat untuk melawan segala penyakitnya.
Baik. Ini kisah Ainul.
Ainul Mardhiah nama diberi, secantik orangnya, sekuat-kuat manusia. Ainul lahir pada 13 Ogos 2018, Hari isnin, 3:15ptg di GH Melaka. Ainul lahir tidak cukup bulan, Dia pramatang. Lahir melihat dunia ketika usia kandungan isteri 31 minggu.
Ada Ketumbuhan Dalam Mulut
Pada saat disedang dikeluarkan, Doktor dan kami baru tahu bahawa ada ketumbuhan yang terkeluar dari mulutnya. Ainul terus dimasukkan kedalam wad kecemasan. Doktor memberitahu keadaan Ainul terlalu kritikal. Dia ada dua masalah iaitu; Pramatang & Ketumbuhan.
Beberapa minit selepas ainul keluar dari perut, doktor mengatakan nadi dia berhenti. Tapi alhamdulillah, dengan ilmu dan kesungguhan doktor, Ainul berjaya diselamatkan dengan cara bypass pernafasan. Doktor beritahu, dia tidak dapat bernafas kerana ketumbuhan itu telah menutupi mulut dan hidungnya.
Selesai bab itu.
Pada usianya 9 hari, Ainul telah di transfer ke Pediatrik HKL, Hari Khamis, 23.8.2018 menaiki ambulan. Sesampai sahaka Ainul di sana, Doktor Pakar Bedah menemui saya dan memaklumkan yg Ainul perlu segera dibedah dan pembedahan itu akan dilakukan esok pagi ( Hari jumaat ).
Seusia 10 hari, dengan berat badan 1.3kg, Ainul telah masuk dewan bedah. Kuatnya Ainul!
Alhamdulillah, syukur saya ucapkan dan saya sangat menghargai usaha Dr Pakar Bedah tersebut dengan izinNya ketumbuhan itu telah berjaya dibuang.
Saya fikirkan ianya terhenti disitu, tetapi apabila ainul selesai dari pembedahan, Doktor Pakar Bedah memaklumkan bahawa ada dua berita iaitu berita baik dan berita yang kurang baik.
Ainul Tiada Lelangit
Berita baiknya, Ketumbuhan itu telah berjaya dikeluarkan tanpa tinggal sesisa pun. Berita tidak baiknya, Ainul didapati tidak memiliki lelangit ( Cleft Palate ). Doktor beritahu, operation untuk lelangit kena tunggu Ainul besar sikit, atau erti kata lain kena tunggu berat badan dia naik sebab tidak mungkin Ainul sekecil itu akan bertahan jika buat dalam masa terdekat.
Saya pendekkan cerita, selesai sahaja urusan rawatan Ainul di HKL, Ainul di pindahkan semula ke melaka.
Ketumbuhan Kali Kedua Selepas Sebulan Buat Pembedahan
Ujian Allah buat saya sekeluarga apabila ketumbuhan keluar lagi kali kedua sebulan selepas dia operation.
Allah sahaja tahu apa perasaan kami ketika itu. Kami yang sedang bergembira mahu menyambut ainul pulang ke rumah selama 3 bulan dia di hospital, akhirnya dapat berita seperti itu. Hanya Air mata sahaja menjadi perbualan saya dan isteri ketika mulut sudah tidak mampu berkata apa-apa.
Saya rasa ketika itu saya jatuh ke dalam gaung dan dihempap lagi dengam batu!
Selepas terima berita itu, Ainul perlu jalani rawatan chemotherapy sebab Doktor kata ianya adalah Kanser.
Mula Rawatan Kemoterapi
Dengan usia Ainul 4 bulan, berat badannya 2.2kg, Ainul akan terima rawatan chemotherapy. Doktor maklumkan bahawa ainul adalah baby pertama yg chemo dengan berat badan sebegitu.
Saya akur walaupun saya takut! Tapi pada mulanya saya tidak bersetuju kerana saya tidak yakin Ainul boleh bertahan dengan organ organnya yang masih kecil! Tapi apakan daya, saya tiada pilihan. Saya beri Ainul peluang untuk terima rawatan chemo tu.
Doktor sudah menetapkan ainul akan jalani 6 sesi chemotherapy. Tapi saya hanya buat dua kali. Kerana, saya tidak sanggup tengok anak kecil saya itu menderita akibat kesan chemotherapy.
Tapi Ainul sangat kuat, dia berjaya jalani dua kali sesi dengan jayanya.
Dan, Allah swt masih tidak mengizinkan Ainul sembuh apabila ubat chemo pun tidak berkesan buatnya. Doktor sarankan untuk tukar ubat lain, dan ubat itu adalah ubat terakhir yang boleh doktor cuba, jika tidak berhasil, maka TIADA LAGI RAWATAN DI HOSPITAL BUAT ANAK SYURGA SAYA.
Saya minta maaf kepada Ainul sebab saya dan isteri tidak sanggup ambil risiko itu dan kami membuat keputusan itu tidak teruskan chemoteraphy yang ketiga merangkap ubat yang last doktor boleh usahakan.
Tidak Boleh Lakukan Pembedahan
Ainul tidak boleh dioperate kerana lokasi ketumbuhan itu adalah tempat yang banyak salur darah dan saraf. Dalam CT scan, report mengatakan ketumbuhannya telah berada di belakang tengkorak hidung dan mata.
Kuatkan ainul?
Jadi, tujuan saya menulis ini untuk anda tahu bahawa Ainul insan terpilih yang Allah kirimkan kepada saya dan isteri, Dia Ainul Mardhiah kami yang kuat dan cekal!
Di dalam post ini, saya ingin menjelaskan bahawa pihak hospital telah melakukan banyak usaha untuk pastikan Ainul sihat dan terima kasih saya ucapkan tanda penghargaan kepada Doktor yang merawat Ainul.
Mohon Doakan Ainul Kuat
Doakan Ainul diberikan kekuatan dan kecekalan.
Saya, Bapa Ainul Mardhiah ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang tak henti henti mendoakan dan yang memberi sumbangan kepada Ainul.
Saya doakan anda semua diberkati, dilindungi, dipermudahkan segala urusan olehNya. Semoga anda semua sentiasa dalam rahmatNya.
Ketika saya menulis ini, saya sedang berada di wad kecemasan, Tiub pemakanan Ainul longgar dan keluar air.
Beginilah saya dan isteri, tidak kira siang dan malam, kami selalu berulang-alik ke hospital.
Akhir kalam, bukan wang dan ringgit yang kami harapkan, tetapi doa kalian. Siapa tahu ada di antara kita yang doanya diangkat Tuhan. Doakan Ainul Mardhiah ye.
Dan saya minta maaf jika saya sudah buat keputusan untuk tidak lagi menerima sumbangan kerana sudah cukup sumbangan orang ramai beri hari ini.
Sungguh, bukan saya mahu menolak rezeki Ainul. Tapi saya sebagai bapa masih ada kudrat dan tenaga untuk kerja lebih keras untuk biayai Ainul dan saya tak mahu menyusahkan kamu semua. Yanh sudah hulurkan sumbangan, tiada kata lain saya boleh ungkapkan selain jutaan terima kasih.
Doa sahaja sudah memadai kerana pada saat dan ketika ini, hanya Allah SWT sahaja yang mampu apa yang manusia tidak mampu!
Kenapa tidak boleh memandikan bayi dengan air sejuk? Ramai ibu bapa lakukan 6 kesilapan ini semasa memandikan bayi.
Ramai yang bagi alasan kekok nak mandikan bayi yang baru lahir. Terlalu kecil, takut nak pegang, bimbang terlepas, terjatuh dan macam-macam lagi. Mari kita ikuti cara-cara mudah memandikan bayi.
Paling penting mama dan papa perlu yakin dan melakukannya dengan betul dan selamat. Dengan izin Allah, urusan memandikan bayi menjadi mudah dan lancar.
Sebelum memandikan bayi, mama dan papa perlu memastikan suhu air tidak terlalu panas atau terlalu sejuk. Cuba celupkan siku untuk tujuan ini. Buka pakaian bayi dan pastikan bahagian sulit bayi dicuci terlebih dahulu menggunakan tisu lembap sebelum dimandikan.
Langkah 1
Setelah dipastikan air mandian suam, cuci terlebih dahulu bahagian intim & punggung bayi hingga bersih.
Telangkupkan badan bayi dengan tangan kanan memegang bahagian tengah punggung. Manakala tangan kiri pula memegang erat bahagian dada dan bawah lengan bayi.
Posisi ini bagus diaplikasikan ketika memandikan bayi baru lahir kerana dapat mengelakkannya daripada terkejut.
Bagi memandikan bayi, pastikan anda memasukkan bahagian kakinya terlebih dahulu. Kemudian, cuci bahagian berkenaan dengan sempurna.
Langkah 3
Tangan bahagian kiri masih lagi berada dada dan bawah lengan bayi. Perlahan-lahan turunkan kedudukan bayi untuk menyiram bahagian belakang badannya dan bersihkannya dengan sempurna.
Penggunaan sabun di semua bahagian tubuh dibolehkan untuk bayi baru lahir kecuali muka. Dalam pada itu, pastikan anda hanya menggunakan sabun yang bersesuaian dengan bayi.
Langkah 4
Selepas itu, pusingkan kedudukan bayi. Tangan kiri berada di bawah tengkuk bayi. Cuci bersih badan, bawah lengannya, leher, punggung, dan pelipat betisnya.
Langkah 5
Selanjutnya, cuci kepala dan mukanya menggunakan air mandian yang disediakan dalam bekas berasingan. Kalau boleh, kepit telinga bayi untuk mengelakkan air memasuki telinga. Biasanya air itu disediakan di dalam gayung. Pengakhirannya cuci sekali lagi bahagian belakang bayi.
Selesai mandi, terus balut bayi dengan tuala atau kain lampin untuk mengelakkan kesejukan. Lap kering terutama sekali pada bahagian pelipatan untuk mengelakkan terjadinya ruam.
Teruskan langkah seterusnya untuk mencuci bahagian pusat, menuam, memakaikan lampin, barut dan pakaian bayi. Lakukan dengan pantas kerana bimbang bayi kesejukan. Pastikan suasana bilik tidak terlalu sejuk semasa langkah-langkah ini dilakukan. Kemudian susukan bayi selepas dimandikan.
Bentan selepas bersalin bukan sekadar demam atau sakit badan. Kenali tanda bahaya seperti pendarahan, demam, sesak nafas dan preeklampsia yang boleh mengancam nyawa ibu selepas bersalin.