Bersalin adalah pengalaman buat wanita yang sangat menakjubkan. Dalam masa yang sama juga, ia boleh jadi mengerikan. Sudah pasti anda pernah terbaca atau terdengar mengenai wanita meroyan selepas bersalin, kan? Ya, ia adalah perkara yang mungkin biasa terjadi. Namun, lain pula ceritanya kalau lelaki yang meroyan! Nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini.
Lelaki pun boleh meroyan?
Buat anda yang belum tahu, lelaki juga boleh mengalaminya. Kemurungan selepas bersalin dalam kalangan lelaki ini dikenali sebagai paternal postpartum depression (PPPD).
Menurut Dr Yen Teck Hoe yang merupakan pengarang laman sesawang Positive Parenting, kira-kira 1 daripada 10 lelaki berisiko mengalami masalah ini.
Siti Fatimah Abdul Ghani, Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menegaskan bahawa kebarangkalian lelaki mengalami masalah ini adalah 2.5 kali ganda berbanding wanita. Meskipun ia tidak begitu diketahui umum, fenomena ini kian teruk berlaku. Jadi, lelaki di luar sana perlu lebih berhati-hati.
Apa punca ia berlaku?
Ads
Menurut kajian yang dilakukan oleh laman sesawang Parents.com, punca ia berlaku adalah sama seperti wanita juga iaitu perubahan paras turun naik hormon yang akan menyebabkan gangguan emosi. Untuk lebih mendalam, lelaki akan mengalami masalah ini jika hormon testosteron menurun manakala hormon estrogen, prolaktin dan kortisol meningkat.
Bukan itu sahaja, ramai pakar psikologi turut berpendapat bahawa lelaki mungkin mengalaminya ekoran daripada tekanan hidup yang makin meningkat. Mana tidaknya, mereka kini perlu menanggung tanggungjawab untuk menjaga anak yang baru lahir. Jadi, kos sara hidup sudah pasti akan melambung lebih tinggi.
Apa tanda ia berlaku?
Ia tidak banyak berbeza dengan wanita. Lelaki yang meroyan akan menunjukkan tanda seperti berikut:
Ads
Mudah marah, gelisah, tidak boleh duduk diam. Lesu, tidak bermaya, tidak bertenaga
Selalu bersedih dan menangis. Menjauhkan diri dari bayi dan isteri. Lebih kerap berada di luar rumah. Lebih gemar bekerja lebih masa. Selalu bercakap mengenai kematian
Jadi, apa yang perlu dilakukan?
Ia adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, jangan sesekali menyalahkan dirinya atau diri anda sendiri. Jika dia cuba mengelak dari tanggungjawab sebagai bapa atau suami, jangan memarahinya, ia hanya akan membuat keadaan lebih teruk. Sebaliknya, beri sokongan, dorongan dan galakan kepada mereka.
Selain itu, mungkin ada beberapa rawatan klinikal & tradisional buat lelaki meroyan:
Terapi perlakuan kognitif – mengajar strategi harian mengatasi masalah ini Terapi seni ekspresif – menyokong proses pertumbuhan mental, emosi dan pemikiran individu. Perawatan tradisional – urutan selepas bersalin serta ‘pantang’ juga tidak boleh diabaikan.
Jadi, jangan terkejut jika anda terdengar, terbaca atau anda sendiri sebagai lelaki mengalami masalah meroyan selepas isteri bersalin. Ia adalah perkara yang mungkin tidak biasa, namun boleh dialami oleh beberapa lelaki. Jika berlaku, segera dapatkan bantuan pakar, ya?
Kagum dengan semangat ibu kepada 4 orang anak ini yang 3 daripadanya disahkan disleksia dan anak keempatnya masih belum dapat disahkan lagi sama ada ada ciri disleksia atau pun tak kerana masih kecil.
Menurut Puan Mastura Rashid, keistimewaan yang dimiliki oleh anak-anaknya itu anugerah Allah yang semestinya ada yang terbaik untuk mereka. Mungkin orang lihat betapa kuatnya saya untuk pastikan masa depan anak cemerlang tapi disebaliknya hanya Allah yang tahu.
Sentiasa fikirkan yang positif dan tak malu bertanya antara rahsia Puan Mastura mencari jalan penyelesaian untuk anaknya agar dapat membuktikan anak disleksia ini mampu berjaya setanding kanak-kanak normal lain.
Perkongsiannya ini cukup lengkap untuk ibu bapa jadikan panduan dan mengenali ciri yang ada pada anak supaya tak terlambat dan tidaklah menyalahkan anak jika tak pandai dalam akademik.
Disleksia dan diskalkulia? Apa tu?
Post ini sangat panjang. Semoga dapat jadi panduan untuk ibu bapa yang anaknya mengalami #disleksia.
Selepas dapat keputusan penilaian anak-anak tahun lepas, barulah fiona tahu yang bukan Shariff seorang saja yang ada masalah disleksia, tapi Raina dan Kak Yang juga.
Oh, fiona ada dengar terma baru iaitu Diskalkulia. Shariff mengalaminya.
1. Apa itu diskalkulia? Sebelum fiona terangkan apa itu diskalkulia, fiona akan terangkan dulu apa maksud disleksia.
DISLEKSIA adalah kesukaran membaca, menulis dan mengeja. Biasanya ada huruf-huruf yang ditulis terbalik. Kanak-kanak disleksia juga sukar menyalin apa yang ditulis oleh cikgu.
DISKALKULIA adalah kesukaran membuat pengiraan yang berkaitan operasi asas (tambah, tolak, bahagi, darab), simbol, fungsi, titik dan juga anggaran. Gagal dalam menghubungkan logik nombor.
Kalau disleksia kesukaran membaca, diskalkulia adalah kesukaran di dalam matematik.
2. Kanak-kanak disleksik tidak bodoh. Cuma mereka perlukan teknik pembelajaran yang khusus untuk membantu mereka faham apa yang cuba diajar kepada mereka.
Sebenarnya, IQ mereka sangat tinggi. Ramai orang-orang hebat yang asalnya adalah kanak-kanak disleksik. Mereka disisih, diberhentikan sekolah, digelar bodoh oleh guru dan rakan-rakan, dipulau dan dibuli dengan teruk.
Ya, shariff pernah dibuli dengan sangat teruk, sejak umur 6 tahun. Ibu manalah yang tahan bila anak kena buli berterusan. Tapi akhirnya, ada satu benda yang fiona buat berjaya jadikan pembuli-pembuli ini rakan baik shariff hingga sekarang. Nanti cerita pasal tu ok.
3. ADAKAH DISLEKSIA SATU GENETIC BRAIN DISORDER (KETURUNAN)?
Ya, abah kata waktu kecil dia adalah seorang disleksik. Walaupun seorang disleksik, abah sangat cemerlang di dalam matematik. Pernah ditawarkan kursus Nuclear Physics di luar negara tapi tak mampu pergi kerana miskin, dan terpaksa menanggung adik-adik yang yatim.
Tanyalah abah apa saja jenis pengiraan dulu, pantas saja dia mengira tanpa kalkulator.
4. BAGAIMANA NAK TAHU SAMADA ANAK SAYA SEORANG DISLEKSIK ATAU TIDAK?
Sebenarnya dari kecil kita boleh tahu melalui tanda-tanda ini: – Pakai kasut/selipar/baju terbalik – Suka menconteng – Suka termenung dan mengelamun – Pelupa – Sukar membaca – Tak mampu faham konsep bunyi huruf atau gabungan hurufLain-lain tanda boleh dikenalpasti oleh guru di sekolah. Maka rajin-rajinlah berhubungan dengan guru anak-anak.
Apa ciri-ciri Shariff? Sukar kenal huruf, tak faham konsep asas matematik, tulisan buruk, selalu mengelamun, pasif di sekolah, pelupa dan perlahan.
Apa ciri-ciri Kak Yang? Tak kenal huruf, pakai kasut dan baju terbalik, keliru kiri kanan, hyper dan tak faham konsep asas membaca.
Apa ciri-ciri Raina? Sukar membaca dan tak faham konsep asas membaca dan mengira.
Fiona beruntung kerana Cikgu Siti iaitu pengetua Tadika Emas Cahayaku di Taman Melawati adalah seorang guru pendidikan khas. Pernah berkhidmat di sekolah kerajaan sebelum berhenti mengusahakan tadikanya sendiri.
Waktu sepupu shariff kecil (14 tahun lalu), tadika ini terdiri dari murid-murid down syndrome dan OKU, termasuk sepupu sharif yang disleksik teruk.
Jadi cikgu sitilah yang beritahu fiona dulu shariff seperti ada ciri-ciri disleksia.
Cuma sebagai ibu muda waktu itu, kurang pengetahuan pula, fiona terpengaruh dengan mindset “Alah dah masuk sekolah nanti oklah tu.”
Tak, ok..tak.
Ibu-ibu, bapa-bapa, jangan buat silap besar begini. Anak-anak disleksia anda perlu dibantu supaya mereka tidak tersisih dan rendah diri selamanya duduk di kelas hujung. Mereka sebenarnya sangat bijak. Serius cakap.
Anda akan kagum dengan perkembangan mereka selepas mereka jalani terapi.
Fiona sedih bila terbaca satu poster di pusat disleksia Titiwangsa yang menyatakan,
“Pesalah juvana adalah kanak-kanak keciciran sekolah. Dan kebanyakan mereka adalah kanak-kanak disleksia.”
Kasihan kanak-kanak ini, sedangkan menurut salah seorang guru di sana, ada pesalah juvana ini bila diberi peluang dan terapi, mereka sangat cemerlang di dalam bidang yang mereka ceburi.
5. BAGAIMANA NAK BUAT PENILAIAN UNTUK ANAK?
Di Kuala Lumpur, anda boleh pergi ke Persatuan Dyslexia Ampang. Tak silap, betul-betul di tepi Starbucks Jalan Ampang.
Yuran penilaian untuk seorang ketika itu (January 2018) adalah RM200.
Berbaloi? Ya, anda akan dapat detail assessment report tentang ujian yang dilakukan. Boleh rujuk dalam gambar contoh laporan.
Guru penilai akan beri nasihat apa yang boleh anda lakukan untuk membantu anak-anak.
Percayalah cakap fiona, tak rugi pun anda bawa anak untuk assessment di sini. Kenalilah anak, gali potensi mereka dan berbincanglah dengan guru sebaiknya.
6. APA SETERUSNYA?
Selepas dah selesai buat penilaian untuk 3 orang, fiona pun daftarlah anak-anak ke Dyslexia Genius Titiwangsa.
Kata guru, walaupun tempoh pembelajaran adalah 1 semester (3 bulan), tapi biasanya tidak cukup untuk anak. Minimum 6 bulan biasanya. Ada yang dah lebih setahun masih di situ.
Perlukah anak mendapat kad OKU?
Kata guru, tidak perlu, kecuali anda mahu pindahkan anak ke sekolah kerajaan yang ada kelas khas untuk anak-anak disleksia.
Dalam Kuala Lumpur, yang ada kelas khas disleksia cuma di SK Jalan Air Panas, SK Taman Tun Dr. Ismail dan SK Taman Maluri saja.
Jika mahu, anda wajib bawa anak jalani pemeriksaan dengan doktor pakar kanak-kanak di hospital kerajaan. Jangan lupa sertakan sekali laporan penilaian dari pusat disleksia. Doktor akan beri laporan penilaian mereka sendiri nanti.
Laporan itu tak silap harus dibawa ke JPN untuk pendaftaran kad OKU. Anak-anak yang memegang kad ini akan dapat elaun RM150 sebulan dari kerajaan.
Dah siap ada kad, barulah boleh tukarkan anak ke sekolah yang ada kelas khas disleksia. Itupun jika ada kekosongan.
Ya, mula-mula fiona mahu pindahkan semua anak ke sekolah rendah Air Panas. Tapi disebabkan mereka belajar sepenuh masa di Dyslexia Genius Titiwangsa, dan atas beberapa sebab, fiona tak jadi pindahkan anak-anak ke sana.
7. BERAPA YURAN TERAPI DI PUSAT DISLEKSIA?
Sebulan RM550 untuk seorang (tahun 2018). Tapi tahun ini fiona tak tahu jika ada perubahan harga. Selepas mereka tamat terapi 6 bulan, mereka masuk kelas hari Sabtu selama 2 bulan pula sebelum berhenti sepenuhnya pada bulan Oktober 2018.Anak-anak memang rindukan sekolah disleksia mereka. Shariff rindukan rakan baiknya yang bernama Jacob yang sepenuh masa belajar di situ.
Tak apalah abang…ibu harap masing-masing boleh berjumpa semula apabila besar dan berjaya nanti.
8. APA YANG ANAK-ANAK BELAJAR DI PUSAT DISLEKSIA?
Membaca, menulis, mengeja, mengira, melukis, muzik, berlakon, naik kuda, aktiviti robotik, memanah dan macam-macam lagi aktiviti yang merangsang kreativiti dan ‘hidden intelligence’ anak-anak.
Fiona memang gembira dengan perkembangan anak-anak. Serius gembira. Raina dari tak boleh membaca langsung, dalam masa 2 minggu saja, Teacher Fitri beritahu raina dah boleh membaca beberapa jenis sukukata.
Syukur sangat. Kesemua guru di sini baik dan sangat bekerjasama dengan ibu bapa.
Kak Yang dari tak tahu apa-apa, tak kenal huruf, tak pandai mengira, dah pun pandai membaca sampai ibu pun terkejut tau.
9. OH, ADAKAH ANAK PERLU DICUTIKAN DARI SEKOLAH BIASA MEREKA?
Ya, itu sebaiknya supaya mereka tak pening, keliru dan penat. Anak-anak istimewa ini perlukan tumpuan khusus dalam pembelajaran.
Tolonglah jangan penatkan lagi mental mereka dengan nak masukkan mereka ke tuisyenlah, itulah, inilah. Berilah mereka peluang untuk menyerlah sepenuhnya.
Beri peluang untuk mereka fokus dan gembira dalam dunia mereka sendiri.
Surat cuti akan dikeluarkan oleh pusat disleksia di mana surat ini SAH dibawa ke mana-mana sekolah. Kerana Kementerian Pendidikan dah pun memberi kuasa kepada Persatuan Dyslexia Malaysia untuk mencutikan anak-anak sepanjang terapi berjalan.
10. BAGAIMANA CARA NAK HUBUNGI MEREKA?
Persatuan Disleksia Malaysia 349 Jalan Ampang 03-42651632
Kelas anak-anak pula di:
Pusat Disleksia Genius Titiwangsa No 6 Persiaran Kuantan off Jalan Kuantan Titiwangsa, Kuala Lumpur 03-4031 6833
Semoga post ini dapat membantu ibu bapa di luar sana. Kenali anak sendiri, gali potensi anak.
Janganlah rasa rendah diri atau malu dengan keadaan anak-anak disleksia anda. Mereka sangat istimewa. Percayalah kata fiona, suatu hari nanti, akan tiba saat anda sangat bangga dengan pencapaian mereka.
Shariff disleksia dan diskalkulia.
Raina dan Kak Yang disleksia. Hingga saat ini pun kedua mereka masih menulis terbalik. Kak Yang masih memakai baju dan kasut sekolah terbalik. Masih mudah keliru kiri atau kanan.
Adakah mereka menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran?
Ya, sangat!
Cuma satu corak sama yang fiona perhati ada pada mereka adalah kecenderungan dalam motor skill iaitu kesukaan melukis, mewarna, membuat kuih dan berlakon.
Lukisan penuh fantasi yang tak terjangkau dek akal kanak-kanak biasa. Bilal juga pandai melukis. Cuma fiona belum tahu samada dia juga seorang disleksik atau tidak.
Bantulah anak anda. Jangan malu untuk mulakan langkah pertama. Jangan biarkan anak dibuli lagi oleh sesiapa. Jangan bersikap denial seperti fiona suatu masa dulu.
Mereka adalah amanah dan UJIAN untuk anda, ibu bapa yang hebat.
Sindrom Kematian mendadak bayi atau SIDS biasanya berlaku kepada bayi berusia 1 tahun ke bawah. dan ia biasanya terjadi ketika si kecil mama sedang tidur. Punca sebenar kejadian ini berlaku masih lagi belum diketahui, namun mama dan papa boleh lakukan beberapa perkara untuk mengurangkan risiko SIDS ini daripada berlaku.
seperti yang dikongsikan oleh Dr Luqman Bukhari ada 5 perkara yang wajib dielakkan supaya kes SIDS tidak berlaku keapda bayi anda.
Benda ini buatkan tempat tidur bayi tak selamat
Lepas baca tolong beritahu jugak info mahal ni dekat pasangan atau pengasuh anak kita tu.
bahaya sangat kalau tak hati-hati. di US je dilaporkan ada lebih kurang 3,500 kes kematian bayi terjadi setiap tahun disebabkan tempat tidur dan cara tidur yang tak selamat ni.
Kredit: Dr Luqman Bukhari
Dengar cerita ada yang tak nak balik sebab seronok sangat main air. Faiz Dickie sempat tunjuk bakat terjun sampai perut mengandung pun hilang. Nak tahu siapa juara challenge kali ini, kenalah tengok sampai habis.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaik sahaja bayi mencecah usia enam bulan, dia sudah mula diperkenalkan dengan makanan. Selain susu ibu atau susu formula, ibu sudah boleh memperkenalkan puri buah atau sayur mahupun bubur kosong untuk melatih deria rasanya.
Ketika bayi sudah melepasi usia setahun, biasanya dia sudah banyak makan tetapi masih bergantung kepada susu. Ada sesetengah anak, badannya kecil dan tidak terlalu berat.
Kadang-kadang jika ini berlaku, mungkin akan ada yang mencadangkan agar anak tersebut diberikan susu formula (jika selama ini hanya minum susu ibu) supaya beratnya dapat ditambah. Sebenarnya itu bukan penyelesaian yang sebenar.
Ibu seharusnya tidak perlu terlalu risau jika bayi bertubuh kecil kerana setiap perkembangan dan tumbesaran bayi adalah berbeza. Pada kebiasaan, bayi akan mengalami penurunan berat badan pada minggu pertama kelahiran.
Bayi akan mula mendapat semula berat ketika lahir pada kira-kira hari ke-10 selepas kelahiran. Pada 3 bulan pertama, berat baik sepatutnya naik secara normal iaitu kira-kira 140-210 gram seminggu. Jika berat bayi tidak naik secara normal, teknik pelekapan bayi harus diperiksa semula.
Kemungkinan bayi tidak melekap dengan betul dan susu tidak dapat dikeluarkan secara efisien. Bayi 6-12 bulan sepatutnya mengalami pertambahan berat badan sebanyak 70-91 gram seminggu.
Kesimpulannya, bayi akan mengalami pertambahan berat badan 2 kali ganda dari berat ketika kelahiran pada usia 5 bulan dan 3 kali ganda setelah mencecah 1 tahun. Tidak perlu terlalu risau dengan berat anak, pastikan teknik pelekapan adalah betul dan bayi menyusu dengan kerap.
Ini adalah kerana bayi menyusu mengikut keperluan. Jika bayi aktif dan sihat, berat badan bukanlah satu masalah yang perlu dirisaukan.
Adalah penting untuk ibu mengenal pasti jika bayi melekap di payudara dengan betul atau hanya menghisap di bahagian puting ketika menyusu. Pelekapan yang betul boleh membantu bayi mendapatkan susu yang secukupnya. Ketika bayi menyusu, ibu juga boleh melakukan urutan di bahagian payudara untuk merangsang pengeluran susu yang lebih lancar.
Bagi bayi yang kurang berat badan, ibu boleh pam payudara selama 5-10minit sebelum bayi menyusu bagi mengeluarkan ‘fore-milk’ yang lebih cair dan kaya dengan laktosa. Apabila bayi menyusu selepas pump, bayi akan mendapat lebih ‘hind-milk’ yang lebih pekat dan kaya dengan lemak untuk membantu dalam penambahan berat badan.
Untuk bayi yang telah memulakan makanan pelengkap, ibu boleh tingkatkan pengambilan kalori seharian bayi dengan menyediakan makanan yang mengandungi kandungan kalori yang tinggi seperti keju, yogurt, kentang, telur, roti dan sebagainya.
Pengambilan makanan utama iaitu sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam harus diambil setiap hari di samping penyusuan susu ibu. Penyusuan akan berkurangan dari masa ke semasa mengikut usia bayi.
TIDAK PERLU perkenalkan bayi dengan susu formula. Lebihkan makanan yang berkalori tinggi. Setelah bayi mencapai usia 2 tahun serta tidak menyusu dengan susu ibu lagi pada ketika itu, susu segar boleh diberikan sebagai pengganti susu ibu.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.