Kehamilan

Ramai Yang Impikan Bayi Kembar, Tapi Bersediakah Si Ibu Dengan Risiko Kehamilan Ini?

Share

Sesungguhnya semua kehamilan kembar adalah berisiko tinggi dan perlu dipantau oleh doktor pakar O&G. Dr. Muhammad Izzat Bin Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan menerangkan tentang risiko-risiko yang boleh berlaku dalam kehamilan kembar.

Komplikasi yang mempengaruhi kesihatan ibu dan bayi;

  1. Masalah-masalah ringan yang berkaitan dengan awal mengandung seperti morning sickness, pedih ulu hati, kaki bengkak, urat timbul, sakit belakang akan menjadi sesuatu yang biasa dan berlebihan dalam kehamilan kembar. Namun, gejala-gejala ini akan berkurangan secara semula jadi selepas si kembar dilahirkan.
  2. Anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi kesan daripada tumbesaran bayi-bayi kembar yang menggunakan banyak zat besi.
  3. Praeklampsiadi mana keadaan tekanan darah anda meningkat dan terdapat protein dalam air kencing
  4. Risiko mengalami pendarahan lebih daripada biasa (tumpah darah) lepas bersalin akibat rahim tidak mengecut
  5. Kemungkinan besar kelahiran adalah secara caesarean atau dibantu menggunakan forsep atau vakum.
  6. Kehamilan kembar mempunyai risiko uri tidak berfungsi dengan baik dan memberikan kesan kepada tumbesarannya.
  7. Bayi berkemungkinan lahir pramatang. 60 dalam 100 kehamilan kembar dua, lahir sebelum 37 minggu. 75 dalam 100 kembar tiga, lahir sebelum 35 minggu. Dalam perbandingan dengan wanita yang hanya ada satu bayi, 10 dalam 100 lahir pramatang sebelum 37 minggu.

Bayi yang lahir pramatang terdedah kepada risiko berkaitan dengan masalah pernafasan, pencernaan dan jangkitan kuman. Lebih awal bayi dilahirkan, lebih kerap masalah ini berlaku. Bayi mungkin perlu dimasukkan ke wad ICU bayi. Walau bagaimanapun, anda digalakkan untuk menyusu susu ibu walaupun bayi berada di wad ICU.

Sindrom twin-to-twin transfusion

Kembar yang berkongsi uri (monochorionic pregnancies) turut berkongsi peredaran darah yang sama. 15 dalam 100 kembar yang berkongsi uri ini, peredaran darahnya mungkin menjadi tidak seimbang. Keadaan ini dinamakan twin-to-twin transfusion syndrome (TTTS).

Salah satu bayi menjadi penderma yakni menerima bekalan darah yang terlalu sedikit dan mempunyai tekanan darah yang rendah. Manakala seorang bayi lagi menjadi penerima yang menerima banyak darah dan mempunyai tekanan darah yang tinggi.

Anda yang mempunyai kehamilan kembar seperti ini akan dipantau dengan teliti dengan pemeriksaan scan yang kerap bagi mengenalpasti tanda-tanda TTTS.

Kadang kala TTTS adalah jenis ringan dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Ia juga boleh menjadi sangat serius, di mana anda boleh dirujuk ke hospital yang mempunyai kepakaran fetomaternal untuk rawatan selanjutnya.

Kehamilan kembar memerlukan pemerhatian dan rawatan susulan yang lebih daripada biasa. Oleh yang demikian, dalam rawatan berkala yang kerap ini, segala permasalahan atau komplikasi yang timbil dapat dikesan segera dan dirawat.

IKLAN