Keibubapaan

Rayuan Kemasukan TABIKA/TASKA KEMAS Sesi 2027 Kini Dibuka, Ini Tarikh Penting Ibu Bapa Perlu Tahu!

Share

Buat ibu bapa atau penjaga yang menerima keputusan tidak berjaya bagi permohonan kemasukan TABIKA atau TASKA KEMAS sesi 2027, masih ada peluang untuk mencuba sekali lagi menerusi rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027.

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kini membuka permohonan rayuan kemasukan TABIKA/TASKA KEMAS bagi sesi 2027 menerusi Sistem KEMAS EduCeria.

Permohonan rayuan dibuka bermula 11 September hingga 18 September 2026 dan perlu dibuat secara dalam talian menerusi portal ceria.kemas.gov.my.

Jadi, ibu bapa yang masih berharap mendapatkan tempat untuk anak di TABIKA atau TASKA KEMAS disarankan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mengemukakan rayuan.

Siapa Yang Layak Membuat Rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027?

Menurut makluman KEMAS, rayuan ini hanya dibuka kepada pemohon yang mempunyai status “Tidak Berjaya” dalam permohonan terdahulu.

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga yang telah menerima tawaran sebelum ini tetapi memilih untuk menolak tawaran berkenaan tidak layak membuat rayuan

.

Ini bermakna rayuan tersebut khusus untuk pemohon yang tidak mendapat tempat ketika keputusan permohonan awal diumumkan.

Permohonan rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027 perlu dibuat secara dalam talian menerusi Sistem KEMAS EduCeria sebelum tempoh rayuan berakhir pada 18 September 2026.

Keputusan Rayuan Diumumkan 25 September

Selepas tempoh permohonan rayuan ditutup, keputusan dijadualkan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga menerusi e-mel pada 25 September 2026.

Bagi pemohon yang berjaya, pengesahan penerimaan tawaran pula perlu dibuat melalui sistem bermula 25 hingga 30 September 2026.

Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak mahu menerima tawaran yang diberikan, tiada tindakan lanjut diperlukan.

Justeru, pastikan alamat e-mel yang digunakan sentiasa aktif dan semak e-mel dalam tempoh berkenaan supaya tidak terlepas sebarang makluman penting berkaitan keputusan rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027.

 

Apakah TABIKA Dan TASKA KEMAS?

Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS menyediakan kemudahan asuhan dan pendidikan awal kepada kanak-kanak sebelum mereka memasuki alam persekolahan formal.

Program ini dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu:

  • Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) – untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun.
  • Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) – untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.

Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS menyelaras program pendidikan berdasarkan keperluan perkembangan kanak-kanak, termasuk pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi pendidikan prasekolah.

Bagi TASKA pula, pengurusan program turut mengambil kira Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 serta Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan dan pendekatan Kurikulum PERMATA Negara.

TABIKA KEMAS Untuk Kanak-Kanak Berusia 4 Hingga 6 Tahun

Untuk sesi 2027, TABIKA KEMAS menawarkan pendidikan awal kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Dengan ribuan TABIKA KEMAS beroperasi di seluruh negara, program ini menjadi antara pilihan ibu bapa bagi memberikan pendedahan awal kepada anak sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

Antara fokus pendidikan awal termasuk perkembangan bahasa dan komunikasi, kemahiran sosial, emosi, fizikal, kreativiti serta asas pembelajaran mengikut peringkat umur kanak-kanak.

Pendidikan awal bukan hanya mengenai anak belajar membaca, menulis atau mengira. Ia turut membantu mereka belajar mengikuti rutin, berkomunikasi dengan rakan, mengurus emosi dan membina keyakinan untuk berada dalam persekitaran pembelajaran.

Jangan Terlepas Tarikh Penting Rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027

Bagi memudahkan ibu bapa dan penjaga, berikut tarikh penting yang perlu diberi perhatian:

11–18 September 2026 – Tempoh permohonan rayuan secara dalam talian

25 September 2026 – Keputusan rayuan dimaklumkan menerusi e-mel

25–30 September 2026 – Pengesahan penerimaan tawaran bagi pemohon yang berjaya

Permohonan rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027 boleh dibuat menerusi Sistem KEMAS EduCeria di ceria.kemas.gov.my.

Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan proses rayuan, ibu bapa dan penjaga juga boleh menghubungi pihak KEMAS melalui e-mel ceria_support@kemas.gov.my.

Buat ibu bapa yang tidak berjaya dalam permohonan pertama, jangan terus berputus asa. Manfaatkan tempoh rayuan TABIKA/TASKA KEMAS 2027 yang diberikan dan pastikan permohonan dibuat sebelum 18 September 2026 supaya peluang anak mendapatkan tempat bagi sesi 2027 tidak terlepas.

Bagaimana cara membuat permohonan TABIKA/TASKA KEMAS?

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman rasmi KEMAS: https://ceria.kemas.gov.my/

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: KEMAS Jabatan Kemajuan Masyarakat

Published by
SRM