Resipi Puding Cendol, Lembut & Rasa Lemak Manis, Makan Sejuk-sejuk Memang Sedap

Share

Resipi Puding Cendol, Lembut & Rasa Lemak Manis, Makan Sejuk-sejuk Memang Sedap

Puding cendol merupakan antara puding yang mudah dan cepat disediakan. Sering menjadi pilihan apabila setiap kali ada jamuan atau makan-makan selepas mesyuarat, puding cendol juga menjadi pilihan sajian pencuci mulut yang cukup popular.

Sedap dimakan ketika sejuk jadi sebaiknya biarkan ia sejuk di dalam peti sejuk dahulu barulah boleh dihidang. Rasanya lemak-lemak manis. Anak-anak mesti suka apatahlagi dapat kunyah-kunyah cendol yang dicampurkan bersama.

Berikut dikongsikan resipi untuk membuat puding cendol. Mama bolehlah cuba buat untuk dihidangkan pada anak-anak ya!

RESIPI PUDING CENDOL

BAHAN LAPISAN SANTAN

120 gram gula pasir
1 sudu kecil serbuk vanila
1 sudu kecil garam
10 gram serbuk agar-agar
780 ml santan
2 helai daun pandan
350 gram cendol

BAHAN LAPISAN GULA MERAH

300 gram gula merah
25 gram gula pasir
1/4 sudu kecil garam
10 gram serbuk agar-agar
780 ml air
2 helai daun pandan

CARA MEMBUAT:

1. Dalam periuk masukkan gula pasir, serbuk vanila, gram, agar-agar serbuk, santan pekat. Gaul sebatikan tanpa buka api. Masukkan daun pandan. Barulah buka api. Kacau sentiasa.

2. Apabila santan telah mendidih dan agak pekat teksturnya, keluarkan daun pandan. Matikan api.

3. Biarkan adunan santan suam-suam, barulah masukkan cendol. Kacau seketika. Ketepikan.

4. Sediakan loyang. Basahkan loyang dengan air. Masukkan cendol tadi ke dalam loyang. Gunakan sudu, buang buih-buih yang ada di permukaan.

5. Sejukkan dahulu adunan ini di dalam chiller selama 15 minit.

6. Sementara itu buat lapisan gula merah. Dalam periuk, masukkan gula merah, gula pasir, garam, agar-agar serbuk, air dan daun pandan. Hidupkan api. Kacau sehingga gula larut dalam air.

7. Masak sehingga bancuhan menjadi sedikit pekat dan gelap warnanya. Tutup api apabila air telah mendidih.

8. Tapis air gula merah tadi. Ketepikan.

9. Keluarkan adunan cendol daripada chiller. Cucuk-cucuk sedikit permukaannya dengan garpu. Perlahan-lahan, tuangkan air gula merah di atas permukaan adunan cendol. Biarkan seketika pada suhu bilik supaya sejuk sedikit air gula merah tadi.

10. Setelah sejuk, barulah masukkan ke dalam peti sejuk selama 1 hingga 2 jam.

11. Keluarkan puding dari peti sejuk. Sediakan pinggan leper. Letakkan loyang berisi puding dan terlungkupkan supaya adunan keluar daripada loyang. Siap.

12. Bolehlah potong untuk dihidangkan.

Sumber: Nurul Jannah melalui Rasa Share Resipi

IKLAN