
Kelahiran seorang anak pastinya menjadi detik paling bermakna buat ibu ayah. Selain membawa rezeki dan kebahagiaan dalam keluarga, kelahiran si kecil juga membuka ruang untuk ibu ayah mula merancang masa depan mereka sejak awal lagi.
Bagi anak-anak kelahiran Kelantan, inisiatif seperti Skim Cakna Aulad sangat penting kerana ia bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi juga satu galakan kepada ibu ayah untuk mula menyediakan tabungan buat anak sejak bayi lagi.
Tabungan awal ini boleh menjadi permulaan yang baik untuk masa depan anak-anak, sama ada bagi tujuan pendidikan, keperluan membesar atau simpanan jangka panjang. Walaupun nilainya mungkin nampak kecil, kesedaran untuk mula menyimpan sejak awal kelahiran adalah perkara yang sangat berharga.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan membuka permohonan Skim Cakna Aulad 2026 bagi bayi yang baru dilahirkan. Permohonan boleh dibuat menerusi Pusat Khidmat DUN masing-masing di dalam Negeri Kelantan.
Berikut adalah maklumat dan info lanjut mengenai skim ini.
Mengenai Skim Cakna Aulad
Skim Cakna Aulad adalah inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan yang diwujudkan untuk meraikan bayi yang baru dilahirkan.
Bermula tahun 2024, sumbangan kewangan ini ditukar konsep kepada Tabungan Manjaku untuk anak kelahiran Kelantan. Tabungan ini merupakan simpanan dalam akaun dinar dan dirham di bawah Kelantan Gold Trade.
Tujuannya adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada ibu bapa supaya menyediakan tabungan emas daripada awal kelahiran untuk kegunaan anak-anak pada masa hadapan.
Untuk tahun-tahun sebelumnya, jumlah penerima skim ini adalah seperti berikut:
2019: 2,700 orang
2020: 1,350 orang
2022: 2,655 orang
2024: 2,250 orang
2025: 1,500 orang
Tarikh Permohonan
Ibu bapa yang ingin membuat permohonan boleh memohon di Pusat Khidmat DUN sebelum 20 Julai 2026.
Manfaat Skim
Penerima yang layak akan menerima Tabungan Dirham atau Dinar bernilai RM100 seorang.
Syarat Permohonan
Syarat permohonan untuk memohon skim ini adalah seperti berikut:
Bayi mestilah dilahirkan pada 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026 di Negeri Kelantan sahaja.
Pemohon juga wajib melampirkan dokumen berikut:
Salinan kad pengenalan ibu dan bapa
Salinan MyKid atau surat beranak bayi
Cara Memohon
Untuk membuat permohonan, ibu bapa perlu mendapatkan borang permohonan di Pusat Khidmat DUN yang berhampiran.
Bagi senarai Pusat Khidmat DUN dan pegawai yang boleh dihubungi, ibu ayah boleh merujuk kepada poster yang disediakan.
Skim seperti ini wajar dimanfaatkan oleh ibu ayah yang layak, terutama bagi anak kelahiran Kelantan. Selain meraikan kelahiran si kecil, ia juga menjadi langkah awal untuk membina budaya menabung demi masa depan anak-anak.