Ibarat hilang kekuatan saat dapat tahu suami dijemput ilahi dalam keadaan anak-anak yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Namun siapa kita untuk menidakkan qada dan qadar Allah SWT.
Walaupun hati ini cukup sedih apabila diberitahusuami kemalangan semasa bekerja dan meninggal dunia di tempat kejadian, tiada kata-kata dapat diungkapkan. Hanya linangan air mata saja saat melihat dua wajah anak yang telah menjadi anak yatim. Lagi perit apabila waktu itu masih dalam pantang selepas melahirkan anak kedua. Allahuakbar!
Menerusi perkongsian Suhaili Mohamad, genap setahun (13 Februari 2020) suami pergi meninggalkan mereka tiga beranak. Walaupun dah reda dan dapat menerima kenyataan ini, sesekali bila teringat arwah gugur juga air mata.
Pergi tanpa pesan
Genap setahun saya dan anak-anak hidup tanpa suami yang saya cintai. Arwah suami dijemput ilahi ketika saya berpantang anak kedua. Arwah kemalangan semasa bekerja dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana remuknya hati dan perasaan saya. Hidup terasa gelap, lemah, sakit dan tak terdaya. Lebih-lebih lagi di saat itu saya dan anak-anak perlukan kasih seorang suami dan ayah.
Ads
Belajar untuk reda demi anak-anak
Ye, dulu saya tidak dapat menerima kenyataan ini. Selalu cakap ini hanya mimpi buruk buat saya. Selalu cakap kat mak, suami kerja jauh nanti dia balik. Selalu nangis, cakap sampai hati suami tinggalkan saya dan anak-anak. Sebab saya tahu dia terlalu sayangkan saya dan anak-anak.
Arwah pergi ketika anak keduanya baru berusia 52 hari
Rupanya saya silap ketika itu, saya tidak reda dengan pemergiannya. Saya mula sedar, saya sebenarnya perlu reda dengan ujian yang Allah takdirkan pada saya. Ingat, jodoh, ajal dan rezeki semuanya ketentuan yang Allah tentukan dan terbaik untuk kita. Hanya lalui jalan tersebut dengan hati yang tenang.
Saya mula belajar untuk reda. Dengar ceramah agama, baca al-Quran dan solat malam. Perlahan-lahan hati mula reda. Hati dan perasaan mula ikhlas merelakan dia pergi dengan tenang.
Ads
Rindu orang yang tiada, paling sakit
Barulah saya sedar betapa manisnya dan indahnya sebuah keredaan dalam setiap ujian yang kita terima. Sentiasa ingat Allah uji kita sebab dia sayangkan kita. Allah sentiasa ada disaat susah dan senang kita. Terima kasih Ya Allah.
Alhamdulillah, sampai ke saat ini saya masih mengutip sisa-sisa semangat saya demi Allah dan anak-anak yang tersayang.
Saya sentiasa pesan pada diri saya dengan kata-kata ini “Percayalah orang yang bersabar atas kepahitan hidupnya, pada waktunya pasti Allah limpahkan manisnya kebahagiaan, ”
Dan “Mudah-mudahan Allah akhiri kesusahanku, kesedihanku, dan esok mendatangkan khabar gembira yang tak disangka-sangka buat diriku. Amin
Ads
Walaupun perit untuk dilalui tanpa seorang insan yang selama ini banyak susah senang sama, kita kena akur. Jika masih ada yang tersayang, sayangilah dia dan hargailah dia. Kerana bila tiada, sakit merindui pada tiada itulah yang paling sakit.
Hadapilah dengan hati tenang dan ikhlas. Kita wanita kuat, kita boleh. Sedekahkan Al Fatihah buat suamiku tersayang, Mohamad Izzul Aman bin Mohamad. Doakan saya terus kuat untuk anak-anak saya yang tersayang.. inshaAllah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang… Kenangan 21 & 22 Januari 2018 Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ****** Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu! Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar… “Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang 21 Januari 2018 “Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat. “Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas. Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi. “Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega. Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas. “Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil. “Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat. Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah…. Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku. “Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung. Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mubilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam 22 Januari 2018 Sanah helwah buat aku! Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah! Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari 24 Januari 2018 Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi 25 Januari 2018 Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku. Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi 30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya. BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi 15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas. “Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku. Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,” Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat. “Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi 16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat. Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya. Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku. “Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang. Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam. Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Lain anak, lain ragamnya. Dapat tengok anak-anak makin hari makin bertambah akal dan ragam boleh buatkan ibu bapa tersenyum sendiri. Mana taknya dengan keletah yang melucukan nak marah pun tak jadi.
Lagi satu, jika ibu bapa ada anak yang mempunyai tabiat suka bantal atau kain sebagai peneman, mesti akan tahu penangannya kalau ia terpisah sekejap dengan anak. Ibaratnya seperti kehilangan barang berharga dan boleh buat anak tak lena tidur.
Menyentuh mengenai penangan barang kesayangan anak ini, satu kisah yang dikongsikan oleh seorang ibu yang tinggal di Sabah melalui akaun TikTok @mia_miyuii menunjukkan tabiat anaknya yang suka sangat dengan buah labu.
Ibaratnya labu adalah peneman setia anak sama ada waktu tidur, masa bermain atau ketika makan dan menonton televisyen. Macam pelik tapi hakikatnya betul.
Apa yang mencuit hati dan menarik perhatian ramai, sebiji labu itu seolah-olah seperti bola yang di bawa ke mana saja. Yang paling lucu masa tidur pun peluk labu seperti memeluk bantal.
Dalam satu video yang dikongsikan, ketika si ibu cuba mengambil labu dari pegangan anak, menangisnya macam kena marah. Bila dihulurkan semula, automatik terus berhenti menangis.
Di ruangan komen, ternyata telatah anak kecil ini membuatkan ramai netizen terhibur. Dalam pada itu, ramai juga yang berasa hairan melihat sebiji labu yang boleh jadi kawan karib kanak-kanak berkenaan.
Rata-rata netizen memberi tanggapan mungkin labu itu bentuknya bulat seperti sebiji bola dan selesa dipeluk atau pun masa ibunya mengandung dulu memang suka makan labu. Macam-macam tanggapan yang diberikan. Apa-apa pun aksi si comel ni sungguh mencuit hati.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Belum sempat buat pembedahan, jantung William Daud Mckienzie, anak pelakon Lana Nodin terhenti selama 10 minit. PEMBEDAHAN jantung akibat masalah injap (Aortic Stenosis) William Daud Mckienzie, dua bulan terpaksa ditangguhkan.
Tiba-tiba jantung anak berhenti
Anak dibawa ke bilik pembedahan jam 2.30 petang, isnin. Ketika persediaan pembedahan dibuat, secara tiba-tiba jantung anak berhenti.
Kemudian doktor memberikan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR). Selepas beberapa minit, jantung anak kembali berfungsi.
Dibawa ke ICU
Mohon Doakan anaknnya
Saya memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak saya.
Hanya Allah saja tahu perasaan saya apabila mendapat berita yang disampaikan suami. Ketika itu saya sedang solat.
Saya berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan. Saya juga mengharap bantuan orang ramai untuk sama-sama mendoakan anak
Anak kedua Lana dan suaminya, Mohd Daud McKienzie dimasukkan ke wad Institut Jantung Negara (IJN), di sini, Isnin lepas sebelum menjalani pembedahan yang dijadual petang semalam.