“Risaunya anak aku boleh terencat perkembangan sebab dia pernah kena demam tarik!” ngadu Mila pada temannya.

Betul ke anak yang demam sampai kena ‘tarik’ atau istilah perubatannya Febrile Seizure, boleh mengalami perkembangan yang terencat? Siapa tak risau bila anak demam sampai boleh dapat sawan tarik. Lepas tu dimomokkan pula dengan info yang anak mungkin akan terencat perkembangan.

Sebelum anda dihantui rasa bimbang yang melampau, lebih baik dapatkan maklumat yang betul berdasarkan fakta dan kajian yang sahih tentang perkara tersebut. Bukan tak perlu risau anak demam dan dibiarkan kena demam tarik tapi sebagai ibu bapa, anda perlu tahu apa patut dibuat serta apakah penyebab berlakunya demam tarik supaya mudah rawatan atau tindakan segera diambil bila anak mendapat serangan penyakit ini.

Penjelasan maklumat mengenai demam tarik yang dipetik daripada Root Of Science ini dapat membantu anda lebih memahami tentang penyakit ini.

Sawan pada kanak-kanak sering berlaku ketika mana mereka demam. Orang melayu kata ‘demam tarik’ ataupun istilah perubatannya dipanggil sebagai FEBRILE SEIZURE. Febrile bermaksud demam dan Seizure bermaksud sawan.

Orang kita panggil sebagai demam tarik kerana sawan itu berlaku ketika kanak-kanak itu sedang demam dan pergerakkannya seolah menarik sesuatu benda.

Kanak-kanak lelaki mempunyai risiko yang lebih berbanding kanak-kanak perempuan.

Penyebab ‘demam tarik’

Seperti yang mana kita tahu, kebanyakkan demam pada kanak-kanak adalah disebabkan jangkitan virus. Tetapi belum dapat dipastikan lagi virus-virus ini menjadi penyebab utama kepada sawan tersebut. Buat masa sekarang para pengkaji tidak dapat memastikan lagi bagaimana sawan ini bermula dan bagaimana suhu yang tinggi menyebabkan sawan.

Ada juga yang memberi hipotesis bahawa otak kanak-kanak masih belum matang menyebabkan penghantaran maklumat di dalam otak menjadi bercelaru ketika suhu meningkat

Risaunya Anak Boleh Terencat Perkembangan Sebab Kena Demam Tarik. Fakta Ini Melegakan Ibu Ayah!

IKLAN

Peringkat umur yang selalu kena ‘demam tarik’

Peringkat umur kanak-kanak yang selalu kena demam tarik adalah daripada umur 3 bulan sampai 6 tahun.

Jika seorang kanak-kanak itu kena demam tarik tetapi umurnya kurang daripada 3 bulan ataupun lebih daripada 6 tahun, maka penyebab lain yang lebih serius seperti jangkitan kuman pada selaput otak iaitu ‘meningitis’ perlu diambil kira.

Jenis-jenis ‘demam tarik’

Demam tarik ataupun Febrile seizure boleh dibahagikan kepada dua. Iaitu
1) Simple Febrile Seizure( Demam tarik yang tidak kompleks)

  • Ia berlaku kurang daripada 15 minit
  • Sawan hanya berlaku sekali sahaja ketika demam tersebut
  • Sawan yang berlaku adalah ‘Generalized tonic-clonic seizure’ iaitu sawan yang melibatkan tangan dan kaki. Kanak- kanak ini selalunya tidak boleh memberi respon ketika sawan sedang berlaku

2) Complex Febrile Seizure(Demam tarik yang kompleks)

  • Sawan berlaku lebih daripada 15 minit
  • Sawan berlaku lebih daripada sekali ketika demam tersebut
  • Selepas sawan, ia boleh meninggalkan kesan seperti ‘Todd’s paralysis’ iaitu kanak-kanak akan mengalami kelumpuhan ataupun lemah buat beberapa jam.
  • Sawan yang berlaku mungkin jenis ‘Focal seizure’ iaitu sawan yang melibat satu-satu bahagian otak sahaja. Sebagai contoh kanak-kanak tidak dapat mengawal kedipan mata, tangan sebelah kanan sahaja yang tiba-tiba tertarik-tarik dan beberapa ciri lain. Pada ketika ini, kanak-kanak masih boleh memberi respon kepada ibubapa

Perlukah pesakit seperti ini dimasukkan dalam hospital?

Risaunya Anak Boleh Terencat Perkembangan Sebab Kena Demam Tarik. Fakta Ini Melegakan Ibu Ayah!

Tidak semua kanak-kanak yang mengalami demam tarik perlu masuk ke dalam hospital. Selalunya mereka dimasukkan atas sebab-sebab tertentu seperti:

IKLAN
  1. Kemasukan dalam wad untuk menyiasat sama ada demam itu demam tarik yang biasa ataupun disebabkan jangkitan kuman pada selaput otak
  2. Ibubapa yang risau sawan yang mungkin akan berlaku lagi
  3. Pesakit yang tinggal jauh daripada hospital

Ia juga bergantung kepada pihak hospital itu sendiri. Jika di hospital pedalaman, pesakit yang kena demam tarik akan terus dimasukkan ke dalam hospital kerana tempat tinggal yang jauh.

Hospital di kawasan bandar pula, ada yang memasukkan pesakit ini ke dalam wad jika baru pertama kali mengalami ‘demam tarik’. Ia bertujuan untuk mengurangkan kerisauan ibubapa.

Tetapi ada kes dimana katil di hospital penuh, maka doktor yang bertugas terpaksa berbincang dengan ibubapa berkenaan penyakit tersebut secara keseluruhan dan bagaimana untuk menguruskan jika sawan itu berlaku balik. Jika ibubapa yakin untuk menjaga anak mereka dirumah, maka mereka akan dibenarkan balik dengan syarat rumah mereka dekat dengan hospital.

Rawatan

Risaunya Anak Boleh Terencat Perkembangan Sebab Kena Demam Tarik. Fakta Ini Melegakan Ibu Ayah!

Selalunya perawat kesihatan hanya akan memberi ubat demam untuk mengurangkan demam pada kanak-kanak sahaja. Ini disebabkan demam tarik selalunya disebabkan jangkitan virus dan jangkitan virus tidak memerlukan antibiotik.
Jika anak mempunyai mempunyai simptom jangkitan bakteria seperti tekak yang sangat merah, tonsil yang bernanah dan beberapa tanda lagi, barulah antibiotik akan diberi kepada pesakit.

Ibubapa perlu tahu bahawa pemberian ubat demam tidak akan mengelakkan anak anda daripada terkena ‘demam tarik’. Ini kerana ada kajian menunjukkan bahawa walaupun demam kanak-kanak dikawal dengan baik, kadar kanak-kanak tersebut untuk terkena sawan adalah sama dengan kumpulan yang tidak diberikan ubat demam.

IKLAN

Tetapi ubat demam masih perlu diberikan sebab ia boleh menurunkan suhu dan memberi keselesan kepada kanak-kanak tersebut

Lumbar puncture ataupun pengambilan air tulang belakang.

Risaunya Anak Boleh Terencat Perkembangan Sebab Kena Demam Tarik. Fakta Ini Melegakan Ibu Ayah!
Gambar menunjukkan prosedur pengambilan air tulang belakang

Pengambilan air tulang belakang adalah penting untuk mengetahui penyebab kanak-kanak mengalami demam tarik. Daripada pengambilan air tulang belakang, kita boleh mengetahui sama ada ia disebabkan jangkitan bakteria ataupun virus dan ini akan membantu doktor bagi memberi rawatan yang tepat kepada pesakit

Akan tetapi, pengambilan air tulang belakang hanya akan diambil apabila kanak-kanak mempunyai tanda seperti berikut:

  1. Simptom-simptom jangkitan kuman pada selaput otak ataupun jangkitan otak seperti tidak aktif, muntah-muntah, leher yang keras dan beberapa simptom yang lain.
  2. Pesakit tidak aktif seperti biasa 6 jam selepas daripada terkena sawan
  3. Antibiotik yang diberikan tidak berkesan

Pesakit sangat disyorkan untuk diambil air tulang belakang jika:

  1. Umur kurang daripada 12 bulan
  2. Di hospital yang tidak mempunyai pakar kanak-kanak
  3. Demam tarik jenis ‘complex febrile seizure’

Faktor risiko untuk ‘demam tarik’ yang berulangan

Pesakit juga mempunyai risiko untuk mengalami demam tarik yang berulangan jika:
1) Sejarah keluarga yang mengalami demam tarik
2) Umur kurang daripada 18 bulan ketika mana mengalami demam tarik pertama kali
3) Demam kurang daripada 40 darjah celcius ketika mana mengalami sawan
4) Sawan berlaku ketika mana demam baru sahaja bermula iaitu kurang daripada satu jam

Pesakit juga berkemungkinan untuk mengalami sawan yang kerap iaitu ‘Epilepsy’ jika:
1) Perkembangan kanak-kanak yang terencat
2) Mengalami demam tarik jenis ‘Complex Febrile Seizure’
3) Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit ‘Epilepsy’

Akhir sekali, Kajian menunjukkan majoriti kanak-kanak yang mengalami Febrile seizure mempunyai perkembangan mental dan motor yang baik. Oleh itu, ibubapa boleh menarik nafas lega kerana sawan jenis ini tidak menjadikan anak anda terencat perkembangan.

Sumber: Root Of Science

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI