“Guys, aku tahu ramai yang cakap Freehold lagi untung dari Leasehold. Betul, tapi tak 100%.”
Itu perkongsian daripada Muhazrol Muhamad di laman Facebook yang mengupas dilema anak muda hari ini dalam memilih rumah pertama.
Bagi pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga atau menimang cahaya mata, soal membeli rumah bukan sekadar tentang pelaburan kewangan. Ia adalah langkah besar dalam membina kehidupan keluarga yang stabil dan selesa.
Leasehold (Hak Milik Pajakan)
• Tanah dimiliki kerajaan, pembeli hanya “sewa” untuk tempoh tertentu (biasanya 99 tahun).
• Apabila tempoh tamat, pemilik perlu memohon sambungan pajakan dengan bayaran premium yang tinggi.
• Namun, harga rumah Leasehold lebih rendah, malah kebanyakannya terletak di kawasan strategik berdekatan kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan pengangkutan awam.
Ads
Freehold (Hak Milik Kekal)
• Hak milik kekal, boleh diwariskan kepada anak-anak.
• Proses jual beli lebih mudah dan cepat.
• Walaupun harga lebih tinggi, ia memberi ketenangan kerana tidak perlu risau soal pajakan di masa depan.
Muhazrol mengingatkan, setiap orang perlu jelas dengan tujuan mereka membeli rumah.
“Persoalannya sekarang: Kau beli rumah untuk tinggal ke, atau untuk buat duit?” katanya.
Ads
Jika membeli untuk pelaburan, rumah Leasehold di kawasan strategik boleh memberi pulangan lebih pantas. Tetapi jika membeli untuk tinggal bersama keluarga, rumah Freehold lebih sesuai kerana mampu memberi rasa stabil dan “sense of belonging”.
Ads
Beliau menambah: “Nampak kan? Jangan blindy follow nasihat orang. Buat research dulu, baru untung.”
Akhirnya, rumah pertama bukan sekadar soal Freehold atau Leasehold. Ia adalah simbol langkah awal ibu bapa menyediakan tempat yang selamat untuk anak membesar, belajar berdikari dan mencipta kenangan.
Rumah boleh jadi pelaburan, tetapi yang paling berharga ialah kasih sayang dan kebahagiaan keluarga yang kita sematkan di dalamnya.
Sumber: Muhazrol Muhamad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Patung kecil berbulu, bermata besar dan berwajah pelik ini mungkin nampak seperti mainan biasa untuk si kecil, tapi siapa sangka, Labubu kini jadi fenomena seluruh dunia!
Bukan sekadar mainan, Labubu kini digilai kanak-kanak, remaja malah orang dewasa termasuk selebriti terkenal seperti Lisa BLACKPINK, Rihanna, Dua Lipa dan Kim Kardashian yang turut mempunyai koleksi peribadi Labubu mereka.
Lebih menarik, di sebalik kegilaan ini, tersembunyi kisah kejayaan seorang anak muda China, Wang Ning, yang berjaya bergelar jutawan termuda di negaranya hasil daripada perniagaan patung koleksi seperti Labubu.
Baru berusia 38 tahun, Wang Ning kini tersenarai sebagai individu ke-10 terkaya di China dengan kekayaan mencecah AS$22.7 bilion atau lebih RM107 bilion, menurut laporan Forbes.
Labubu bukan calang-calang watak. Ia mula diperkenalkan oleh Kasing Lung, seorang artis berdarah campuran Hong Kong-Belgium, melalui siri ilustrasi The Monsters pada tahun 2015.
Pada tahun 2019, Pop Mart, syarikat milik Wang Ning, memperoleh lesen memasarkan watak Labubu, dan sejak itu, dunia mula mengenali patung comel berwajah pelik ini. Pop Mart memperkenalkan konsep blind box, iaitu kotak misteri yang tidak diketahui isinya sehingga dibuka.
Konsep ini membuatkan ramai ibu bapa dan anak-anak seronok setiap kali membuka kotak, selain ada yang menjadikannya koleksi istimewa atau pelaburan jangka panjang.
Labubu dikategorikan sebagai ugly-cute, atau dalam bahasa mudah, ‘pelik tapi comel’. Ciri-ciri seperti berbulu, bermata besar dan ekspresi unik ini memang menjadi tarikan kanak-kanak. Golongan dewasa pula tertarik kerana keunikan dan nilai sentimental yang ada pada patung ini.
Tidak hairanlah, patung edisi khas Labubu pernah dilelong sehingga 1.08 juta Yuan (lebih RM700,000) di Beijing!
Kini, Labubu bukan sahaja menjadi koleksi kanak-kanak, malah sudah diangkat sebagai simbol budaya pop antarabangsa, malah mendapat kerjasama jenama mewah seperti Coach dan Louis Vuitton.
Wang Ning memulakan Pop Mart pada tahun 2010 sebagai sebuah kedai gaya hidup kecil di Beijing. Selepas memberi tumpuan penuh kepada perniagaan patung koleksi, terutamanya art toys, Pop Mart berkembang pesat.
Nilai saham Pop Mart melonjak lebih tiga kali ganda dalam masa setahun, menjadikan syarikat itu antara pemain utama dalam pasaran mainan koleksi dunia.
Kini, Pop Mart memiliki kedai di bandar utama dunia seperti New York, Tokyo, London, dan taman tema khas di Beijing, yang menjadi destinasi wajib untuk peminat Labubu dan koleksi Pop Mart.
Fenomena Labubu membuktikan bahawa minat anak-anak terhadap patung dan permainan bukan sekadar suka-suka. Hari ini, koleksi mainan boleh jadi simbol status, pelaburan, malah sumber inspirasi kejayaan besar.
Kisah Wang Ning adalah contoh bahawa dengan kreativiti dan usaha, minat terhadap dunia kanak-kanak boleh membina empayar perniagaan bertaraf global.
Nota Pa&Ma: Ibu ayah, jangan pandang rendah minat anak-anak, walaupun sekecil mengumpul patung comel seperti Labubu. Mana tahu, inilah permulaan kepada kejayaan besar mereka suatu hari nanti!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Dr. Amalina Che Bakri bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejak zaman remajanya, beliau sudah dikenali sebagai pelajar cemerlang yang mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan tertinggi SPM ketika itu.
Kini, figura inspirasi ini kembali menjadi tumpuan selepas berkongsi detik manis menerima sijil PhD (Doctor of Philosophy) di laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, Dr. Amalina menulis penuh kesyukuran:
“Received my PhD certificate today, Alhamdulillah. ..”
Namun di sebalik kejayaan akademik itu, ada kisah kehidupan yang sangat menyentuh hati perjalanan seorang wanita, seorang isteri, dan seorang ibu yang tetap teguh mengejar impian walau berdepan cabaran besar.
Ketika menuntut PhD, Dr. Amalina bukan sahaja sibuk dengan penyelidikan klinikal dan penulisan tesis, malah dalam tempoh itu jugalah beliau menemui cinta, berkahwin dengan jejaka British, Alexander Charles, pada 31 Mac 2021, dan kini bergelar ibu kepada dua orang anak comel.
Katanya, perjalanan menyiapkan PhD bukan sekadar tentang data dan ujian makmal, tapi juga tentang pengalaman menjadi ibu berjaga malam menyusukan anak, mengurus rumah tangga, dan tetap hadir bekerja walaupun kurang tidur.
“Ada malam saya perlu tenangkan bayi yang demam sambil risau tentang tarikh akhir penulisan tesis. Ada pagi saya ke hospital dengan hanya dua jam tidur. Tapi semua itu membuatkan perjalanan ini lebih bermakna.”
Lebih menyentuh hati apabila beliau mendedahkan bahawa sewaktu menyiapkan viva dan tesis terakhir, beliau sedang mengandungkan anak kedua.
“Setiap bab dalam tesis PhD saya ditulis seiring dengan bab baru dalam kehidupan saya sebagai seorang ibu.”
Dalam perkongsian itu juga, Dr. Amalina mengingatkan semua wanita terutama ibu-ibu bekerja dan yang sedang menuntut ilmu bahawa kita tidak perlu memilih antara keluarga dan impian.
“To all the women (especially mothers), juggling work, studies, and family, it is possible. You don’t have to be perfect. Just keep going, one step at a time.”
“You don’t have to choose between your dreams and your family. You can grow both, with love, courage, and perseverance.”
Penelitiannya pula memberi manfaat kepada ramai wanita lain apabila beliau menumpukan kajian kepada wearable technology untuk membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara.
Benarlah kata orang, wanita mampu melakukan segalanya apabila disulami kasih sayang, semangat dan sokongan keluarga. Kisah Dr. Amalina ini menjadi bukti bahawa seorang ibu tidak perlu sempurna, cukup sekadar terus berjuang — sedikit demi sedikit, langkah demi langkah.
Tip supaya anak membesar dengan emosi sihat dan seimbang, mak ayah kena tahu pantang larang ini. Anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Mereka bukan sahaja amanah yang perlu dijaga, malah asas pembentukan masa depan mereka bergantung pada cara kita sebagai ibu bapa membimbing dan mendidik mereka.
Namun, tanpa kita sedari, ada beberapa perkara yang mungkin kelihatan remeh tetapi sebenarnya memberikan kesan besar terhadap perkembangan emosi anak.
1. Jangan Libatkan Anak Dalam Konflik Rumah Tangga
Anak-anak tidak sepatutnya menjadi saksi kepada pertengkaran atau konflik antara ibu bapa. Situasi ini boleh menyebabkan mereka berasa tidak selamat, takut, dan keliru. Sebaiknya, selesaikan masalah rumahtangga secara matang tanpa melibatkan anak-anak.
2. Jangan Jadikan Kemiskinan Atau Kekurangan Sebagai Beban Kepada Anak
Walaupun kehidupan tidak selalu mewah, jangan jadikan kekurangan sebagai alasan untuk memarahi atau membebankan anak-anak. Mereka tidak bertanggungjawab atas keadaan kewangan keluarga. Berikan mereka kasih sayang dan sokongan emosi, walau dalam serba kekurangan.
3. Jangan Melepaskan Tekanan Kepada Anak Tanpa Hikmah
Setiap manusia pasti akan melalui tekanan, tetapi itu bukan alasan untuk kita melampiaskannya kepada anak-anak. Jika anda dalam keadaan tertekan, ambil masa untuk bertenang sebelum berinteraksi dengan anak. Hindari memarahi mereka atas perkara kecil atau tanpa sebab yang munasabah.
4. Jangan Bangga Dengan Sikap Kasar Terhadap Anak
Ugutan, tengkingan, atau layanan kasar bukanlah cara mendidik yang berkesan. Malah, ia hanya akan membuatkan anak takut, bukannya menghormati. Gunakan pendekatan yang lebih berhemah untuk mendidik mereka.
5. Jangan Mengabaikan Sokongan Emosi Yang Anak Perlukan
Kadang-kala, anak hanya memerlukan pelukan dan perhatian untuk berasa dihargai. Luangkan masa untuk mendengar cerita mereka, walaupun nampak remeh. Sokongan emosi ini amat penting dalam membentuk keyakinan diri mereka.
6. Jangan Terlalu Mengawal Atau Menakut-nakutkan Anak
Memberikan panduan kepada anak adalah penting, tetapi jangan sampai terlalu mengongkong atau menakut-nakutkan mereka. Berikan mereka ruang untuk belajar membuat keputusan sendiri dan belajar daripada kesilapan.
7. Jangan Mendidik Dengan Kuasa Dan Arahan Semata-mata
Mendidik anak hanya dengan menggunakan kuasa dan arahan menjadikan anda seorang ibu bapa yang diktator. Ia juga akan menyebabkan anak berasa tertekan dan tidak dihargai. Amalkan pendekatan yang lebih mesra dan libatkan anak dalam perbincangan.
8. Jangan Menghukum Secara Berlebihan
Menggunakan hukuman fizikal seperti rotan, tali pinggang, atau batang paip secara berlebihan adalah tidak wajar. Hukuman yang keterlaluan hanya akan menimbulkan trauma kepada anak. Sebaliknya, ajar mereka dengan tegas tetapi penuh kasih sayang.
9. Jangan Layan Anak Seperti Objek Tidak Bernyawa
Anak-anak adalah manusia yang mempunyai emosi dan perasaan. Berempati dengan mereka sebelum memberikan simpati. Fahami keperluan emosi mereka, dan pupuk kasih sayang dengan cara yang positif.
10. Jangan Melarang Anak Mengekspresikan Emosi
Menangis, merajuk, marah, atau melawan adalah reaksi emosi yang normal. Jangan melarang mereka mengekspresikan perasaan ini kerana ia membantu mereka mengenali dan memahami emosi mereka sendiri. Sebaliknya, bimbing mereka untuk mengawal emosi dengan cara yang betul.
Kesimpulan
Sebagai ibu bapa, peranan kita bukan hanya memberi makan dan pakaian, tetapi juga membentuk emosi dan akhlak anak. Berikan mereka peluang untuk meneroka emosi mereka dalam suasana yang positif dan menyokong. Dengan cara ini, mereka akan membesar menjadi individu yang matang, berkeyakinan, dan stabil dari segi emosi.
Ingatlah, apa yang kita lakukan hari ini akan mencorak masa depan anak-anak kita.
Senyuman bayi bukan sekadar reaksi comel, tetapi petanda penting perkembangan emosi, pembentukan ikatan dengan ibu bapa dan asas keyakinan diri anak sejak awal kehidupan.