Rupanya Bayi Pandai Nilai Wajah Sejak Kecil Lagi, Mama Papa Kena Tahu!

Share

Pernah tak mama dan papa perasan, bila seseorang mendekati si manja, ada yang terus ditenung lama… senyum lebar, bahkan ada juga yang buat si kecil menangis tanpa sebab? Eh, kenapa ya?

Sebenarnya, ini bukan kebetulan. Kajian demi kajian mendapati bahawa bayi sememangnya cenderung tertarik kepada wajah yang dianggap menarik sejak dari awal kelahiran lagi!

Wajah Menarik, Lebih Lama Ditenung

Satu kajian terkenal oleh Langlois menunjukkan bahawa bayi lebih lama memandang gambar wajah yang dianggap cantik berbanding yang kurang menarik.

Menariknya, bila dipaparkan dua gambar — satu wajah simetri yang dianggap menarik, dan satu lagi wajah yang kurang simetri — bayi lebih cenderung menatap wajah yang simetri lebih lama!

Menurut pakar psikologi perkembangan, bayi tidak menilai berdasarkan solekan, warna kulit atau gaya rambut. Mereka ‘memilih’ wajah yang mempunyai ciri simetri yang seimbang, susunan mata, hidung dan mulut yang harmoni, serta ekspresi yang lembut dan mesra.

Kenapa Bayi Suka Tenung? Ini Antara Puncanya

Selain tertarik pada wajah yang cantik, bayi juga gemar memerhati ciri-ciri visual lain. Berikut antara sebab mengapa mereka boleh tenung lama:

  • Ciri Unik Pada Wajah Atau Aksesori
    Bayi mungkin tertarik kepada kaca mata besar, subang berkilat, rambut kerinting atau berwarna terang, dan ciri-ciri lain yang menonjol.
  • Pergerakan Yang Menarik Perhatian
    Mereka suka memerhati objek bergerak seperti tangan yang melambai, kipas siling, atau haiwan peliharaan. Ini merangsang koordinasi mata dan fokus.
  • Warna Terang & Corak Kontras
    Bayi mudah tertarik pada warna-warna cerah dan gabungan kontras seperti hitam-putih, merah-biru, serta corak geometrik.
  • Otak Sedang Belajar
    Kadang-kadang, renungan mereka bukan sebab objek itu menarik, tapi kerana otak sedang cuba mengenal dan menyimpan maklumat baru.

Apa Kesan Kepada Perkembangan Anak?

Kecenderungan kepada wajah menarik ini sebenarnya membantu bayi mempelajari dunia sosial di sekeliling mereka. Bayi lebih mudah membina hubungan dengan individu yang mereka rasa selesa dan menarik — inilah asas kepada pembentukan bonding dan perkembangan emosi.

Namun begitu, ini tidak bermakna si kecil hanya menyayangi orang yang cantik sahaja, ya! Hubungan kasih sayang tetap terbina melalui sentuhan, suara lembut, dan belaian penuh kasih daripada mama dan papa, tak kira rupa paras.

#NotaPa&Ma:

Kajian menunjukkan 90% daripada perkembangan otak berlaku sebelum usia 6 tahun. Setiap pemerhatian kecil membantu mereka mengenal bentuk, wajah, ekspresi dan corak.

Jadi, lain kali kalau anda diperhatikan oleh seorang bayi, anggaplah itu sebagai satu pujian kecil. Bukan saja kerana mereka suka wajah anda, tetapi juga kerana mereka sedang belajar daripada anda.😊

Published by
Nana