Jika anda mengalami sakit ketika kencing, anda mungkin menghidap kencing kotor. Masalah kencing kotor sering dikaitkan dengan ibu hamil. Namun, sebenarnya wanita juga lebih mudah diserang kencing kotor atau urinary tract infection (UTI) selepas melahirkan bayi, terutamanya jika anda dikateter dalam pundi kencing ataupun mendapat epidural semasa proses bersalin.

Sakit Ketika Kencing? Masalah Selepas Bersalin Yang Tidak Boleh Anda Abaikan

Malah, wanita juga lebih mudah mendapat kencing kotor disebabkan saluran air kencing mereka lebih pendek berbanding lelaki. Apabila jaraknya pendek, kuman dari luar lebih mudah untuk masuk ke dalam pundi kencing sekali gus menyebabkan jangkitan. Kencing kotor terjadi kerana jangkitan kuman pada sistem saluran kencing merebak pada buah pinggang, jangkitan dari luar dan masalah tahan kencing.

Selain itu, antara faktor ibu selepas bersalin mudah mendapat kencing kotor adalah kerana:

IKLAN
  1. Ibu mungkin trauma dan menahan kencing kerana takut luka bersalin mereka pedih atau sakit.
  2. Ibu yang mengambil epidural semasa bersalin juga mungkin akan mengalami gangguan saraf pada pundi kencing sehingga menyebabkannya terdedah kepada masalah kencing kotor.

Simptom kencing kotor selepas bersalin

  • Sakit semasa terkencing
  • Kerap rasa hendak terkencing tetapi keluar kencing sedikit atau tidak keluar air kencing
  • Air kencing keruh atau berdarah

Apa yang saya perlu lakukan jika mengalami kencing kotor?

IKLAN

Masalah kencing kotor tidak boleh dibiarkan kerana akan menyebabkan masalah lain pada badan anda. Jika masalah ini tidak dirawat dengan sempurna akan menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dalam jangka panjang. Selain itu, ibu baru juga akan mengalami demam jika masalah kencing kotor berterusan.

IKLAN

Bagi mengatasi dan mengurangkan risiko masalah ini, ibu disaran untuk melakukan seperti di bawah:

  1. Minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air masak setiap hari bagi mengelakkan dehidrasi dan jangkitan saluran kencing.
  2. Kurangkan minuman kopi, sitrus, tomato, minuman ringan dan minuman bergula serta alkohol bagi mengelakkan iritasi dan membuatkan anda sukar untuk mengawal pundi kencing.
  3. Latih pundi kencing anda untuk kencing setiap 30 minit. Hal ini adalah bagi mengelakkan anda untuk tidak kencing langsung. Kemudian, bolehlah dijarakkan lagi waktu kencing dalam satu jam sekali atau dua jam sekali dan seterusnya.
  4. Kencing sebelum dan selepas melakukan hubungan intim.
  5. Elak melakukan hubungan seks semasa anda dalam rawatan UTI.
  6. Penjagaan kebersihan bahagian intim adalah penting. Selepas membuang air kecil, pastikan anda mengelap kemaluan anda dari depan ke belakang bagi mencegah bakteria di bahagian belakang merebak ke faraj anda.
  7. Ambil vitamin C (250 hingga 500 mg), beta-karotene (25,000 hingga 50,000 IU setiap hari) dan zink (30-50 mg setiap hari) bagi membantu melawan jangkitan.
  8. Elakkan meneran semasa membuang air kecil ataupun besar kerana usus anda tidak boleh memberi tekanan tambahan kepada pundi kencing.
  9. Jangan menggunakan tampon, sebaliknya gunakan pad bagi membantu menyerap kebocoran air kencing anda.
  10. Lakukan senaman kegel bagi memastikan otot sekitar pelvis dan pundi kencing kembali normal. Senaman kegel juga boleh dilakukan semasa anda hendak batuk, tergelak atau bersin.
  11. Elak menggunakan sabun, krim antiseptik, penyembur dan bedak untuk bahagian intim.
  12. Tukar seluar dalam dan sarung kaki setiap hari.
  13. Elakkan memakai seluar yang ketat.
  14. Pakai  seluar dalam atau sarung kaki yang diperbuat daripada kain kapas.

Kencing kotor selepas bersalin mungkin akan berlarutan antara tiga hingga enam bulan atau mungkin lebih lama jika tidak dirawat. Jika masih berlanjutan, berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI