Anak-anak lebih berisiko tinggi kena masalah kecacingan. Ibu bapa harus tahu tanda-tanda anak ada cacing. Biasa lah budak-budak, kalu tak jilat jari, tak masuk mainan dalam mulut tak sah. Belum lagi part main pasir, pegang benda-benda kotor dan macam-macam lagi tanpa basuh tangan bila nak makan.
Lagi satu apabila anak kerap mengadu sakit perut, tak selesa di bahagian dubur, tidur atau duduk menonggeng jangan anggap biasa. Ni mungkin salah satu ciri anak alami masalah kecacingan.
Perkongsian dari Puan Yatie Eimra mengenai cara semulajadi dia merawat masalah kecacingan anaknya selain makan ubat boleh dicuba oleh ibu bapa lain yang mempunyai gejala sama.
Baru-baru ni Fydh kecacingan.. Beberapa hari sebelum tu pun Fydh memang dah tak sihat dan demam on-off. Walaupun dia masih aktif, tapi memang mudah penat. Lepas main, melompat, mesti nak duduk/rehat & cakap “Fydh penat..tak laratnya..” Malamnya memang meragam ajela.. Dia ada cakap sakit perut, tapi saya ingatkan sakit perut biasa. Saya sapukan minyak bawang putih dan urut sampai dia tertidur.
Bangun pagi esoknya, Fydh menangis sambil cakap sakit dan asyik menggaru dubur. Memang tak senang duduk dan menggeletik dah badannya tahan gatal/sakit. Mulanya ingatkan gatal eczema.. Fydh ni ada mild eczema, kalau salah makan mesti naik gatal kat badan atau celah kelangkang sampai kawasan dubur. Bila check, cuma kawasan kat anus (lubang dubur) tu merah dan luka sebab asyik menggaru. Saya titiskan minyak bawang putih untuk kurangkan pedih (bahagian tu sentiasa lembap akibat peluh bagai, jadi bila dah luka jadi pedih dan bertambah gatal). Fydh asyik menangis da menggaru tanpa henti lagi. Dia hanya kurang sikit meragam bila duduk menonggeng. Baru terfikir yang Fydh ni kecacingan. Saya gunakan cotton bud yang bersih, sapukan vicks sikit untuk kurangkan gatal. Bolehlah bertahan sekejap..
Ads
Mujurlah hari minggu dan suami ada kat rumah. So, mintak tolong suami belikan ubat cacing kat farmasi. Macam biasa lah saya ni, kalau takde petua mak-mak memang tak sah. Dalam masa suami pergi farmasi tu, saya rebuskan daun sirih & daun bidara untuk buat air rendaman/mandian Fydh. Stok daun sirih & bidara sentiasa ada kat rumah, sebab saya memang simpan sebagai first aid herbs untuk kegunaan waktu-waktu terdesak macam ni.
Sebelum ni saya pernah terbaca artikel tentang buah delima elok untuk atasi masalah kecacingan. Kebetulan memang beli buah delima sebelum ni, saya berikan Fydh makan sementara tunggu ubat.
Ads
Bila suami balik, saya terus berikan Fydh ubat cacing. Since air rebusan daun pun masih direnih atas dapur, saya pujuk Fydh habiskan sarapan. Dia hanya makan beberapa suap sebab asyik merengek, menggaru dan nak duduk menonggeng jer..
Air rebusan daun tadi saya rebus sampai tinggal separuh jer dari sukatan asal. Ambil airnya sahaja, kemudian asingkan sikit untuk buat air bilasan terakhir. Selebihnya masukkan ke dalam besen besar – saiz yang anak muat duduk dalamnya (saya gunakan storage box segiempat yang jual kat pasaraya tu je). Tambah air sampai paras melepasi kemaluan (depan & belakang) bila anak duduk. Boleh juga gunakan tub mandian bayi kalau ada. Tak galakkan guna tub mandian biasa tu sebab kena tambah air banyak sangat.
Ads
Lepas mandikan anak macam biasa, biarkan anak duduk berendam dalam besen. Jangan lupa cuci dan sabun kaki anak sebelum masuk besen tu ye.. (supaya air rendaman tak kotor & tercemar). Biarkan anak berendam sekurang²nya 5-10 minit. Lagi lama lagi bagus sebenarnya.. Bagilah mainan supaya anak leka kejap. Bila dah selesai, jirus dengan air rebusan daun tadi sebagai bilasan terakhir. Boleh juga nak terus jirus tanpa berendam. Tapi cara berendam ni lebih cepat berkesan berbanding jirus jer. Daun sirih/daun bidara ni bukan je boleh kurangkan masalah kecacingan, tapi sangat elok untuk gatal-gatal. Nak-nak kawasan anus tu dah luka..
Lepas mandi, saya titiskan minyak bawang putih sekali lagi. Lepas mandi tu Fydh dah tak meragam & boleh bermain balik macam biasa balik. Cuma sesekali jer dia mengadu sakit & gatal. Petang saya mandikan Fydh sekali lagi dengan air rebusan daun tadi. Alhamdulillah, sampai malam tu dia pun dah tak mengadu gatal mahupun tergaru-garu lagi walaupun malam tu masih ada tompok-tompok warna putih sekitar dubur Fydh. Saya buat air rendaman 2 hari berturut-turut & berikan air kelapa juga.
Kebanyakan ibu bapa selalu merungut anak susah nak tidur awal waktu malam. Ada tu pukul 1 atau 2 pagi pun anak masih lagi segar dan ajak nak bermain.
Bagi ibu bapa yang bekerja ini yang menambahkan lagi tekanan kerana esok kena bangun awal sehingga boleh menyebabkan badan letih dan tak cukup rehat.
Jika diikutkan kita boleh je nak disiplinkan anak. Syaratnya kena mulakan sejak bayi lagi. Apa yang dikongsikan oleh papa ini, Muhammad Syahrul Fitri Zawawi (Dr Syahr Musafir) boleh dijadikan panduan bersama.
—————————————————————————–
Sepanjang 6 tahun 6 bulan (ikut usia Along) saya dan isteri bergelar bapa dan ibu, kami tak pernah berjaga malam kerana anak-anak bermain, tak mahu tidur, merengek tak tentu pasal. Jam 9 malam secara konsisten anak-anak masuk tidur dan bangun sekitar Subuh setiap pagi.
Pengalaman dengan 3 orang anak ini, sepanjang malam anak-anak akan tidur, kecuali masa nak menyusu (logiklah, anak kecil), tetapi menyusu ini tidak dikategorikan sebagai berjaga. Kalau waktu demam pun selalunya tidur tetapi mahu diriba atau dipeluk, kerana tidak sihat atau perlukan perhatian. Saya dan isteri memilih untuk berjaga sebab nak pantau suhu dan keadaan anak-anak, bukan sebab anak-anak tak nak tidur.
Saya kongsi apa yang saya dan isteri saya buat. Mana yang baik, ambillah. Mana yang tak baik, abaikanlah. Ini bukan tulisan arahan, ini bukan tulisan menyuruh memaksa. Ini adalah perkongsian pengalaman 6 tahun sebagai ibu bapa dan punya 3 anak kecil. Bukan membangga diri, tetapi berkongsi untuk diambil manfaat oleh ibu bapa yang mahu.
Papa adalah saya, Mama adalah isteri saya, supaya lebih mudah faham.
1) Disiplin Tidur Ibu Mengandung
Kandungan berusia 6 minggu, baru kami tahu Mama mengandungkan Along. Ketika itu tahun 2010, kami berada di Australia nak menghabiskan tahun akhir pengajian ijazah (Bachelor degree). Seperti yang kita faham, apa sahaja ‘perangai’ ibu mengandung akan diikuti oleh si anak. Maka bermulalah Disiplin Tidur Ibu Mengandung yang Mama amalkan.
Jam 10 malam, Mama kena berhenti daripada melakukan semua aktiviti fizikal dan masuk bilik untuk mula rehat. Ada masanya Mama buat sudoku, baca buku, tilawah al-Qur’an, menonton video atau mendengar ceramah. Sekitar 11 malam, Mama akan tidur.
Untuk disiplin ini, Papa ambil alih tugas-tugas rumah. Kemas rumah atau cuci pinggan mangkuk segala bagai, Papa kena buat. Sudah jam 11 malam, Mama mengandung kena rehat.
2) Disiplin Masa Tidur Sejak Dari Bayi; Siang Cerah, Malam Gelap
Hari pertama Along dilahirkan, Mama amalkan disiplin yang sama tetapi ubah masa. Masuk waktu Maghrib, bilik tidur akan digelapkan (tutup lampu). Bukan nak tidur terus selepas waktu Maghrib, tetapi untuk ‘mengajar’ bayi bahawa siang sudah berganti malam. Mama menyusu dalam keadaan gelap, hanya diterangi lampu tidur.
Along tidur sepanjang malam, hanya bangun nak menyusu sahaja.Tiba waktu Subuh, Papa akan hidupkan lampu untuk cerahkan bilik. Bayi bangun menyusu dalam keadaan bilik cerah. Nak mengajar bayi bahawa malam sudah berganti siang pula.
Sepanjang siang, jangan gelapkan bilik atau ruang yang Mama guna. Alhamdulillah sepanjang pantang, bayi tidur di ruang cerah sepanjang siang dan tidur di ruang gelap sepanjang malam. Jadual tidur bayi konsisten tidur sepanjang malam sekitar Isyak dan bangun sekitar Subuh, hanya bangun menyusu sahaja.
Ada ibu bapa muda yang risau anak-anak kecil tidur dalam bilik gelap – this is OK. Tak salah apabila kita risau. Tapi apabila terlalu risau, boleh jadi salah. Kalau tak nak betul-betul gelap, boleh guna night light yang kecil macam kami.
Yang penting, siang itu cerah, malam itu gelap. Siang untuk aktiviti, malam untuk tidur.
3) Teruskan Sepanjang Membesar Dan Sehingga Membesar
Alhamdulillah dari hari pertama Along melihat dunia, disiplin masa tidur yang kami amalkan ini diikut oleh Along.
Cabaran bermula apabila Along sudah mula pandai berjalan, usianya 1 tahun, Along sudah mula kurang tidur siang. Kami mula risau adakah disiplin masa tidurnya akan berubah. Sangkaan kami meleset kerana ikut pengalaman kami, semakin banyak aktiviti anak semasa siang, anak akan kepenatan dan tidur awal pada malamnya. Ketika ini Along merengek nak tidur sekitar jam 5 petang, kami mandikan, sekitar jam 5.15 sudah masuk waktu Maghrib di Australia (musim sejuk), Along akan menyusu dan tidur sepanjang malam sehingga ke sekitar waktu Subuh. Lebih kurang 11 jam cukup untuk tidur malam, selebihnya 2 hingga 3 jam jam tidur siang. Anak seusia 1 hingga 3 tahun perlukan waktu tidur sekitar 12 hingga 14 jam sehari.
4) Anak Kedua Ikut Pattern Tidur Anak Pertama
Along mengikut disiplin tidur ini secara konsisten sehingga berusia 2 tahun 3 bulan ketika menerima kelahiran adiknya, cahaya mata kedua kami iaitu Angah IY.
Mama mula tumpukan perhatian lebih kepada bayi, mengikut disiplin tidur yang sama kami amalkan ketika Along masih bayi dulu. Sekitar waktu Maghrib-Isyak, Mama menguruskan bayi yang nak tidur.
Oleh sebab Mama perlu jaga bayi baru, Papa perlu menguruskan Along. Papa akan pastikan Along melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang, tidur yang produktif (maksudnya tidur dalam 1 hingga 2 jam pada siang) dan bermain, belajar, pada waktu tidak tidur. Bak kata orang, “Biar anak penat waktu siang, jadi anak akan tidur pada waktu malam…” Lebih kurang beginilah. Alhamdulillah, berjaya.
Angah, dari usia bayinya sehingga membesar dan merangkak, mengikut disiplin tidur malam yang sama seperti Along.
Sepanjang membesar, kami menjangkakan cabaran yang pelbagai. Tetapi semuanya jadi mudah kerana Angah ‘mengikut’ disiplin Along. Along nak tidur, Angah pun jadi nak tidur. Jadi disiplin ini berterusan…
5) Luang Masa Bersama Anak Ketika Nak Tidur
Sudah semestinya anak-anak kecil takkan tidur sewenang-wenangnya sebegitu. Ada beberapa perkara yang kami lakukan untuk ‘tidurkan’ anak-anak. Lebih kurang nak pujuk supaya tidurlah, katakan.
– Bercerita
Anak-anak, sejak kecil, sudah boleh faham apa sahaja kita cakap. Bercerita apa sahaja, anak-anak akan seronok. Apabila Papa tak ada idea nak bercerita, Papa akan bacakan buku cerita. Apabila tak ada idea lain, Papa akan menyanyi lagu-lagu yang menenangkan.
– Bacaan al-Quran dan selawat
Ini paling mujarab. Papa selalu bacakan Surah As-Saff, anak-anak akan mengikut bibir dan akhirnya tidur.
Bahkan Mama lebih konsisten dan istiqamah kerana Mama menyusu badan buat Along dan Angah. Masa yang banyak antara Mama dan anak-anak menjadikan bonding yang cukup kuat. Alhamdulillah… Anak-anak jadi menurut kata, dengar dan taat, alhamdulillah, dari segi disiplin dalam rumah, tidur dan bermain (kemas barang selepas main).
– Tempat Tidur Yang Selesa
Sediakan katil yang selesa, ruang yang menenangkan untuk anak-anak tidur. Kalau bilik bersepah, kita pun tak nak tidur.
– Temankan Anak
Jangan kita arahkan atau suruh anak-anak pergi tidur tapi kita dok depan TV layan drama. Papa akan temankan anak-anak dalam bilik, bercerita dan semuanya, sehingga anak-anak tidur.
– Pamerkan Kasih Sayang
Peluk cium anak-anak kita. Kena buat mereka rasa dilindungi, disayangi dan dihargai. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah seharian di luar, semasa nak tidur inilah masa untuk kita tunjukkan kepada anak-anak tentang we care, we love and we want the kids to know we love them.
6) Bersedia Dengan Cabaran Baru
Oleh kerana Mama menguruskan bayi, Papa bertanggungjawab menguruskan Along dan Angah. Disiplin tidur perlu diikut. Siang untuk aktiviti, tidur siang sekadar 1 hingga 2 jam, dan waktu Maghrib untuk khidmat diri, sekitar selepas Isyak Along dan Angah diajak masuk ke bilik untuk bacaan dan seterusnya tidur.
Alhamdulillah Aboy ikut disiplin yang sama. Kami mandikan sekitar waktu Maghrib dan akan menyusu seterusnya tidur sekitar waktu Isyak.
7) Mama Sedang Hamil Perlukan Disiplin Tidur, Papa Berperanan Urus Anak-anak Yang Besar
Point nombor 1 iaitu “Disiplin Tidur Ibu Mengandung” diamalkan Mama bagi anak kedua dan ketiga. Oleh kerana Mama mengandung, Papa kena main peranan uruskan anak-anak ketika tiba waktu tidur.
8) Pengorbanan Paling Mencabar; Tak Boleh Keluar Malam
Point nombor 8 ini paling simple, tetapi boleh jadi paling mencabar. Apabila senja saja, anak-anak sudah terbiasa untuk khidmat diri (mandi dan pakai baju tidur), tak kisah di mana sahaja. Ikutilah disiplin selagi mana di rumah dan tempat-tempat bersesuaian.
Ketika berada di restoran, seboleh mungkin kami akan pergi sebelum waktu Maghrib. Siap order makanan, Papa Mama bergilir pergi solat – kami wajib pilih restoran yang ada sediakan surau. Makan-makan selepas itu dan seterusnya pulang ke rumah. Bersedialah anak-anak tidur dalam kereta sepanjang perjalanan pulang.
No such things as pergi shopping waktu malam bersama keluarga dan sebagainya. Kalau tetamu datang rumah pada waktu malam pun Papa dan Mama akan mention datang sebelum Maghrib atau selepas waktu Isyak sebab waktu Maghrib-Isyak adalah waktu kritikal kami nak uruskan anak-anak nak tidur.
9) DOA
Doa banyak-banyak moga Allah SWT kurniakan anak-anak yang mudah dijaga, sihat, soleh/ah dan menyenangkan jiwa-jiwa kita sebagai ibu bapa.
Bila anak dah mula berhenti menyusu, ibu bapa akan menjadikan minuman bermalt sebagai pengganti susu dengan harapan untuk anak dapat khasiat yang cukup. Tapi ibu bapa terlepas pandang mengenai kesan disebaliknya.
Begitu juga bila ke kedai makan, pilihan utama anak-anak juga adalah minuman bermalt. Tak boleh nak salahkan anak semata-mata sebab mereka tak tahu kesannya melainkan ibu bapa yang kena kawal.
Menurut Dietitian, Ruqayyah Muhd sepanjang 12 tahun di bidang pediatrik ini, bukan sekali dua saya jumpa anak-anak kecil diberikan minuman coklat atau malt sebagai pengganti susu. Kerap. Malah ada yang di bawah usia setahun juga diberikan milo O atau milo dan gula atau milo yang ditambahkan krimer pekat manis.
Andaian mereka, minuman bermalt ini adalah pengganti susu yang bagus sedangkan jika dilihat pada kandungannya ia lebih mempunyai gula berbanding susu yang hadir dalam jumlah yang sedikit cuma. Senang kata, ia lebih menyerupai gula.
Jika dilihat pada infografik yang saya berikan, tiga sudu makan minuman bermalt, sudah menyamai 15g karbohidrat atau gula dan ia memberikan lebih kurang 60kcal. Bersamaan satu sudu makan gula pasir. Biar namanya bermula dengan huruf O atau M atau apapun, kebiasaannya kandungan gulanya lebih tinggi. Apatah lagi selepas ditambah gula atau krimer pekat manis.
Lambakan produk muslim juga banyak yang menggunakan nama koko atau coklat sebagai kononnya minuman sihat kerana ditambahkan dengan pelbagai bahan tambahan ‘makanan sunnah’ sebenarnya mengandungi gula yang agak tinggi. Namun begitu, jika kita sebagai pengguna cakna dengan apa yang kita makan, kita akan mengurangkan risiko mengambil gula yang banyak daripada diet harian.
Kalian boleh periksa kembali label nutrisi pada pakej makanan bagi menentukan kandungan gulanya.
Baca label sebelum beli. Usah pandang pada jenama tetapi perhatikan jumlah nutrisi dan bahan terkandung di dalamnya.
Jadi. Masihkah kita masih mahu terus memberikan minuman begini pada anak kecil kalian.
Gantikan saja minuman bermalt dengan susu rendah lemak. Itu lebih sihat dan lebih berkualiti lagi.
Pernah alami anak bila di sekolah lain, di rumah lain. Dengan atuk dan nenek lain perangai dengan ibu lain perangai atau dengan ayah lain perangainya.
Tingkah laku yang ditunjukkan anak ini adalah satu bentuk komunikasi tidak kisah jika anak anda itu verbal atau non verbal. Yang pasti setiap tindak tanduk mereka ada makna tersembunyi.
Jadi sebagai ibu bapa atau pendidik penting untuk kita mengenal pasti punca tingkah laku ini.
Antara tingkah laku mencabar – Menjerit di tempat awam – Mencubit dan memukul kawan – Menghantuk kepala – Menangis tanpa berhenti – Sengaja mencederakan diri
Antara teknik mengenal pasti Fungsi Tingkah laku ini adalah menggunakan CARTA ABC
CARTA ABC ini amat mudah dan berguna untuk merekod tingkah laku anak. Mudah sahaja.
Singkatan A bermaksud Antecedent – Kejadian sebelum di mana perlu kenal pasti apa yang berlaku sebelum kejadian tantrum atau meltdown. Kadang kadang kejadian ini mungkin berlaku minggu yang lalu
Singkatan B bermaksud Behavior iaitu kita merekod tingkah laku yang ditunjukkan.
Singkatan C bermaksud Consequences iaitu akibat dari tingkah laku apa yang anak akan dapat atau alami
Contohnya A : Ayah menghantar anak ke sekolah B : Anak menangis apabila sampai di sekolah C : Ayah memujuk anak dan mendukung anak. Anak tidak perlu ke sekolah
atau
A : Ayah tidak mahu belikan mainan B : Anak mengamuk dan membaling barang di tempat awam C : Anak dapat mainan yang dikehendaki setelah Ayah mengalah.
CARTA ABC ini akan memudahkan ibu bapa membuat analisa kenapa sering terjadi tingkah laku mencabar ini dan apa yang anak akan dapat setelah ibu bapa memberi respon.
Antara strategi yang membantu anak mengawal tingkah laku adalah
– Tidak memberi perhatian terhadap tingkah laku negatif. Pastikan keadaan persekitaran adalah selamat.
– Menggunakan kaedah bercerita di mana ibubapa bercerita berulang kali tentang peraturan yang dikehendaki.
– Mengalihkan perhatian anak kepada sesuatu yang menarik tetapi masih di dalam kawalan ibubapa
– Meneruskan rutin seperti yang telah diberitahu. Ibubapa perlu FIRM DAN KONSISTEN dengan arahan.
– Kerjasama antara semua pihak. Semua yang terlibat dalam aktiviti anak perlu faham dengan strategi yang digunakan.
– Positive Support dari Ibubapa dengan memberi galakan dan kata kata positif setiap hari
– Menggunakan Teknik Ganjaran yang bersesuaian.
– Jika disebabkan sensori , intervensi sensori adalah amat perlu seperti memberi peluang kepada anak mendapatkan stimulasi sensori yang dikehendaki dengan cara yang bersesuaian.
Tapi yang paling penting adalah KERJASAMA dari semua pihak. lebih lebih lagi bagi anak anak bekeperluan khas mereka memerlukan Intervensi.
Ibu bapa perlu KONSISTEN – TEGAS – SABAR – USAHA – ILMU
Dan ya lagi satu FUNGSI adalah kerana anak mempunyai masalah kesihatan dan tidak berasa selesa. Jadi marilah kita menjadi lebih memahami dan bekerjasama bagi membantu anak anak kita.