Keibubapaan

Kerajaan Selangor Santuni Lagi 120,000 Pelajar! Terima Sarapan Percuma Di Sekolah

Share

Siapa yang tak gembira bila dapat makanan percuma?” Apatah lagi bila ia adalah sarapan pagi yang cukup berkhasiat untuk anak-anak sebelum memulakan sesi persekolahan.

Hakikatnya, tidak semua keluarga mempunyai pagi yang tenang dan sempurna. Ada ibu yang keluar bekerja seawal subuh, ada ayah yang pulang lewat malam selepas bekerja syif. Dalam kesibukan mencari rezeki, kadangkala anak-anak terpaksa ke sekolah dengan perut yang belum terisi sepenuhnya.

Ada yang hanya sempat minum air kosong. Ada yang sekadar makan biskut. Malah, ada juga yang memilih untuk menahan lapar kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa.

Sebab itulah inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan sarapan percuma kepada 120,000 pelajar mulai Ogos ini dilihat mampu memberi kelegaan kepada ramai keluarga.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban pelajar yang terkesan akibat kos sara hidup khususnya mereka yang tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah.

Apa yang lebih menyentuh hati, program ini bukan sekadar menyediakan makanan percuma. Ia memberi perhatian kepada realiti kehidupan sebahagian keluarga hari ini anak-anak yang tidak sempat bersarapan kerana ibu bapa bekerja mengikut syif, keluarga yang sedang berjimat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, dan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.

Bagi sesetengah orang, sarapan mungkin perkara biasa.

Tetapi bagi seorang anak yang memulakan hari dengan perut yang kosong, sepinggan nasi lemak, bihun goreng atau sandwich yang disediakan dengan selamat dan berkhasiat mampu memberi semangat untuk belajar dengan lebih fokus.

Kadangkala, bantuan yang kecil pada pandangan orang lain sebenarnya membawa makna yang sangat besar buat sebuah keluarga.

BUKAN GANTI PROGRAN RMT

Katanya lagi, pelaksanaan program ini tidak akan menggantikan Program RMT (Rancangan Makanan Tambahan) sedia ada, sebaliknya dilaksanakan sebagai tambahan kepada kumpulan pelajar lain yang layak.

“Program RMT melibatkan kira-kira 55,000 pelajar, jadi kita tidak ganggu sistem sedia ada, sebaliknya kita tambah lagi melalui program sarapan percuma ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran PPDTS Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Isnin lalu.

Amirudin berkata, pelaksanaan program itu akan dibuat dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada kesesuaian dengan keutamaan diberikan kepada kualiti dan aspek pemakanan seimbang.

Menurutnya, pelaksanaan program turut diselaraskan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berdasarkan data pelajar yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

“Kita ambil kira data daripada sekolah dan jabatan berkaitan bagi memastikan bantuan ini sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menekankan aspek keselamatan makanan serta pematuhan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam penyediaan hidangan kepada pelajar.

Program yang dilaksanakan di 965 sekolah seluruh negeri itu merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 dan menyasarkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama di bawah JAIS serta institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Di saat ramai ibu bapa sedang berusaha keras memastikan anak-anak tidak terputus peluang untuk belajar dan membesar dengan baik, bantuan seperti ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban mereka.

Kerana setiap anak berhak memulakan hari dengan senyuman dan setiap ibu bapa pasti lega apabila tahu anak mereka ke sekolah tanpa perlu menahan lapar.

Sumber: Sinar Harian 

Published by
Nor Yusoff