Malang tak berbau! Seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, hari ini.
Difahamkan, mangsa, Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz meninggal dunia akibat lemas di dalam lubang kumbahan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.16 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan.
“Anggota kemudiannya menggunakan pam untuk mengeluarkan air kumbahan berkenaan bagi memudahkan mayat mangsa dikeluarkan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan jam 9.36 pagi,” katanya.
Tangisan tiga beradik selepas lihat jenazah adik
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebaik tiga beradik dibawa melihat jenazah adik bongsu mereka yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, hari ini.
Ads
Ketiga-tiga beradik itu, Mohamad Syafiq Ahmad Hafiz, 10; Muhamad Syakir Zufairi,7; dan Muhamad Asyraf,6, dilihat meraung dan menangis selepas melihat jenazah adik mereka Muhamad Anas Hadif, 3.
Suasana menjadi semakin sebak sebaik Mohamad Syafiq dilihat merapatkan dirinya ke dinding dan menangis sebelum ia ditenangkan ahli keluarga, manakala dua lagi adiknya dilihat menutup muka mereka.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mayat Muhamad Anas Hadif ditemui di dalam lubang kumbahan selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang itu ketika bermain dengan dua lagi abangnya di kawasan kuarters berkenaan.
Bapa mangsa, Lans Koperal Ahmad Hafiz Mustafa,32, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri berada di dalam rumah mereka di kuarters berkenaan, manakala tiga anaknya itu bermain di kawasan hadapan kuarters.
Ads
Dikejutkan dengan jeritan anak
Katanya, dia dikejutkan dengan jeritan anak ketiganya iaitu Muhamad Asyraf menyebabkannya terus keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati anak bongsunya tiada bersama-sama dua abangnya itu.
“Pada mulanya saya menyangkakan anak saya dilanggar kenderaan kerana mendengar abangnya menjerit, namun saya terkejut apabila melihat anak bongsu saya sudah tiada dan mencarinya di sekitar kawasan.
“Saya kemudiannya melihat ke dalam lubang kumbahan yang mana lubang penutupnya sudah terbuka dan melihat selipar anak saya terapung di dalam air kumbahan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, di Ipoh, hari ini.
Ahmad Hafiz berkata, keempat-empat anaknya ada bermain di kawasan lubang kumbahan itu yang terletak di belakang balai petang semalam sebelum tiga beradik dipercayai sekali lagi bermain di kawasan itu hari ini.
Ads
Arwah anak manja dan rapat dengan ibu
Menurutnya, anak bongsunya seorang yang manja serta tidak boleh berenggang dengannya serta isteri, Sofiah Mohd Teridi,32, dan kehilangannya amat dirasai mereka sekeluarga.
Katanya, dia baru sahaja sebulan tinggal di kuarters berkenaan selepas ditukarkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Manjung ke Bahagian Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
“Walaupun perit dan sedih dengan kemalangan yang berlaku terhadap anak saya ini, namun saya reda kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Baru sahaja selesai berpantang, ibu ini diuji hebat. Suami yang menjadi tempat bergantung kini sudah kembali ke negeri abadi.
Tiada siapa menyangka perbualan pada malam sebelumnya ialah yang terakhir. Lebih meyedihkan anak yang masih kecil belum mengerti makna kehilangan. Namin itulah yang perlu dilalui ibu muda ini.
“Cahaya mata kedua baru saja 47 hari dilahirkan, tapi suami pula pergi tinggalkan kami,” luah Subaini Noraini Mohd Taimimi, isteri kepada mangsa kemalangan maut, awal pagi semalam.
Suaminya, Allahyarham Mohamad Nurul Rizuan Mohamed, 25, maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok serta tiang elektrik di Kampung Bechah, Jalan Tendong-Bunut Susu, Pasir Mas, pada 3 pagi.
Kata Subaini, kali terakhir dia berbual dengan suaminya itu pada sebelah malam sebelum mangsa memberitahu hendak keluar ke kedai berdekatan.
SEMPAT BERGURAU DENGAN ANAK SULUNG
Pemergiaan Allahyarham berlaku sekelip mata tanpa dijangka. Tiada tanda-tanda atau kelakuan yang ditunjukkan selain daripada kebiasaan bergurau senda dengan anak-anak, lebih-lebih lagi cahaya mata sulung mereka.
“Sebelum kejadian, suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya berkelakuan biasa selain sering bergurau bersama dua anak kami terutama dengan yang sulung berusia lima tahun.
“Namun selepas tidak lama dia keluar, saya tiba-tiba dihubungi orang awam memaklumkan suami kemalangan dan tidak menyangka dia meninggalkan kami tiga beranak sekelip mata sahaja.
PERLU KUAT DEMI ANAK-ANAK
Ibu ini reda dengan apa yang terjadi dan menerima takdir Allah ini dengan hati yang tabah. Namun kerinduan terpapar jelas apabila mengenangkan suaminya yang sangat baik dan disenangi.
“Saya reda dan perlu kuat demi dua anak yang masih kecil. Arwah seorang suami dan bapa sangat baik dan disenangi rakan serta ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi.
Subaini berkata, arwah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bunut Susu, Pasir Mas.
KERETA DIPANDU TERBABAS MELANGGAR POKOK & TIANG ELEKTRIK
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh, mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang memandu dari arah Tendong menghala ke Bunut Susu untuk pulang ke rumah terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar pokok dan tiang elektrik yang menyebabkannya parah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sejak kebelakangan ini banyak kes kemalangan jalan raya yang berlaku. Lebih menyedikan apabila anak kecil turut menjadi mangsa korban nahas jalan raya. Ada yang maut akibat tercampak keluar dari kereta dan ada yang maut akibat terkena hentaman airbag.
Seorang doktor tampil berkongsi cerita apabila dia berada dalam situasi cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak dua tahun yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ikuti perkongsian ini.
Tujuan Untuk Memberi Kesedaran
Saya muatnaik gambar ini bukanlah bertujuan untuk nak membangga diri mahupun nak memberitahu seluruh dunia bahawa saya seorang yang baik dan suka membantu orang lain, tetapi, niat dan tujuan utama saya memuatnaik gambar dan penulisan ini adalah untuk memberi satu dua pengajaran khususnya kepada mana-mana pembaca yang mempunyai anak kecil.
Jika anda lihat, gambar yang saya muatnaik ini menunjukkan saya memegang sehelai kain yang berlumuran darah. Kain tersebut merupakan baju Melayu yang saya pakai dalam perjalanan untuk singgah ke kedai roti yang terletak di jalan utama sebelum ke masjid. Perjalanan saya terhenti apabila saya terlihat akan satu kemalangan yang baru sahaja berlaku yang melibatkan dua buah kenderaan.
Kemalangan itu tidaklah berlaku di depan mata saya, namun, saya rasa, kemalangan tersebut baru sahaja berlaku memandangkan tidak ada orang ramai lagi yang berkerumun di situ. Alah, seperti biasalah, orang kita ni kan semua mempunyai sifat ingin tahu yang amat tinggi. Pantang ada kemalangan, pasti akan ada ramai orang berkumpul ibarat pesta muda-mudi pula gamaknya.
Dua Buah Kereta Remuk
Saya terus berhentikan kereta di bahu jalan. Saya lihat, terdapat dua buah kereta yang remuk di dihadapannya. Melihatkan kedua-dua kereta tersebut bertentangan diantara satu sama lain, sudah tentu pelanggaran yang berlaku ini adalah secara head-on. Mungkin sebuah kereta terbabas, dan memasuki jalan bertentangan sehingga melanggar kereta yang satu lagi. Tanpa membuang masa, saya terus berlari merapati mangsa.
Dalam kereta pertama, ada seorang lelaki, lingkungan umur dalam 40-an. Dia boleh keluar sendiri daripada keretanya tanpa bantuan dan dapat lihat luka-luka kecil di bahagian mukanya. Kemungkinan besar adalah daripada serpihan kaca daripada cermin hadapan keretanya ketika pelanggaran terjadi. Kereta yang kedua pula, lebih teruk. Terdapat satu retakan pada cermin hadapan kereta tersebut belah tempat duduk penumpang. Kedua-dua lelaki dan wanita tu masih lagi duduk di dalam kereta tersebut, dan kelihatan kedua-duanya memakai tali pinggang keledar. Disebabkan kereta tersebut model yang lama, maka, saya tidak dapat lihat mana-mana deployed airbag.
Ada Budak Kecil Atas Ribaan Ibunya, Ada Satu Luka Bergaris Panjang
Wanita tersebut menjerit-jerit meminta pertolongan. Saya buka pintu belah penumpang dan barulah saya sedar, terdapat seorang budak kecil di dalam kereta itu. Kakinya berada di atas riba ibunya dan kepalanya pula di atas dashboard kereta tersebut. Budak tersebut memang menangis dan berteriak dengan kuat. Saya perhatikan, terdapat satu luka bergaris panjang di atas kepalanya, daripada dahi sehingga ke belakang telinga kanannya. Lukanya mirip luka yang terpotong dengan pisau, atau terma perubatannya kita panggil sebagai laceration wound. Dengan segera saya buka baju melayu saya yang bewarna kelabu itu, dan saya tekan pada luka tersebut.
Hentikan Pendarahan Dengan Segera
Darahnya mengalir dengan sangat pantas. Untuk pengetahuan anda, bahagian kulit kepala kita ini mempunyai banyak salur darah. Mana-mana luka yang terjadi di situ akan mengakibatkan darah yang keluar ini sangat pantas. Daripada konsep dan pespektif perubatan kecemasan, tidak kira luka di mana sekalipun, perkara yang perlu dilakukan dengan segera adalah menghentikan pendarahan tersebut. Caranya adalah dengan menggunakan kain (kain kapas yang menyerap air lebih baik) dan menekup pada luka tersebut.
Kehilangan Darah Yang Banyak Boleh Menyebabkan Pelbagai Komplikasi
Untuk budak berumur lebih kurang 2 tahun itu, isipadu darah yang berada dalam badan mereka jauh lebih sedikit daripada darah orang dewasa. Kehilangan darah berterusan boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ utamanya seperti jantung, buah pinggang dan otak. Terminologi perubatan untuk keadaan ini dipanggil haemorrhagic shock dan kondisi ini amat berbahaya kerana boleh merosakkan organ-organ utama seperti kerosakan kekal pada otak dan mempunyai risiko kematian yang sangat tinggi.
Ibu kepada budak tersebut, yang cedera ringan terus menelefon 999 sementara saya cuba sedaya upaya untuk memastikan darah tidak terus-menerus keluar daripada luka tersebut. Saya rasa amat takut kerana budak lelaki tersebut sekejap sedar dan sekejap tidak sedar. Apabila dia sedar, dia membuka mata dan menangis, dan beberapa saat kemudian, dia badan dia menjadi lemah-longlai pula. Hal ini memang disebabkan oleh pendarahan tersebut dan memang saya buat sehabis baik untuk menekan bahagian luka tersebut.
15 minit kemudian, kedengaran ambulans sampai di tepi jalan. Seorang Medical Assistant (MA) menghampiri saya, dan saya terus bercakap dengannya
“Estimated 2 years old boy, deep laceration wound extending from the forehead to behind the right earlobe. I didn’t manage to do full primary yet because of the bleeding. Help me grab as many gauze as you can so that we can stop the bleeding together”
Apa yang saya maksudkan adalah mengenai luka dan kecederaan yang dialami. Primary survey bermaksud pemeriksaan daripada kepala ke kaki untuk mengesan mana-mana kecederaan yang lain. Memang tidak dinafikan, apa yang saya buat itu melangkau sahaja primary survey kerana tumpuan saya adalah pada bahagian yang mengalami pendarahan yang teruk. Saya tidak sempat nak periksa bahagian dada, abdomen, kaki, tangan dan lain-lain kerana saya terlalu risaukan pendarahan di kepala budak itu.
Saya bercakap dengan MA tersebut yang saya perlu alihkan kain yang saya gunakan kerana anda faham-faham sahajalah, kain baju melayu yang licin ni bukanlah kain yang terbaik untuk menyerap darah, namun, saya tiada pilihan lain semasa kejadian tersebut berlaku. Singlet yang saya pakai juga, kainnya jenis polyester, juga amat tidak berkesan kalau nak hentikan pendarahan. Jadi, mahu tak mahu, saya terpaksa alihkan kain baju melayu tersebut dan MA tersebut dengan pantas menekup bahagian luka tersebut.
Untuk pengetahuan pembaca, anda seharusnya tidak mengalihkan kain yang anda pakai untuk menutup luka. Andai kata kain tersebut basah lencun dengan darah sekalipun, anda perlu meletakan selapis lagi kain diatasnya. Jika masih basah dengan darah, anda harus menambah lapisan demi lapisan sehinggalah darah tidak lagi kelihatan di atas kain tersebut. Cuma macam dalam kes saya, saya terpaksa alihkan kerana jenis kain yang saya gunakan amat tidak sesuai.
Akhirnya, selepas banyak lapis kain diletakkan, jarum pun sudah berjaya ditusuk di tangan budak tersebut dan diberikan air untuk menggantikan darah yang hilang buat sementara waktu sebelum dihantar ke hospital. Ibu kepada budak tersebut juga masuk ke dalam ambulans dan ikut sama. Kedua-dua lelaki yang berada di dalam kedua-dua buah kereta saya paksa ke hospital walapun mereka kata tak nak kerana mereka rasakan mereka okay. Kita tidak akan tahu sepenuhnya tahap kecederaan seseorang itu selagi pemeriksaan lengkap dan skan tidak dilakukan. Mujur ada hamba Allah yang baik hati dan menawarkan diri untuk menghantar mereka berdua ke hospital.
Kanak-Kanak Tersebut Tidak Duduk Di Dalam Car Seat
Apa sebenarnya yang berlaku ni? Apa yang menyebabkan budak tersebut cedera teruk tetapi ibu bapanya tidak? Jawapannya adalah pengabaian soal keselamatan. Saya tidak ingin memarahi atau mengutuk mangsa yang terlibat kerana saya pasti, saya sendiri pun kadangkala memandang remeh isu keselamatan ketika memandu. Kadangkala rasa malas nak pakai tali pinggang keledar kerana destinasi yang nak ditujui tu dekat sahaja. Kadangkala malas nak pakai helmet bila masuk ke jalan kampung dan lain-lain.
Kejadian seumpama ini adalah kerana sikap terlepas pandang ibu bapa mangsa berkenaan. Saya dapati, kedua-dua ibu dan ayah kepada mangsa memang memakai tali pinggang keledar. Malangnya, budak tersebut berada di atas pangkuan ibunya semasa pelanggaran terjadi. Memang ibunya meletakkan budak tersebut di atas ribanya ketika pelanggaran terjadi.
Budak Tercampak Ke Depan
Sudah tentu daya momentum yang terjadi apabila pelanggaran head-on ini akan menyebabkan budak tersebut tercampak ke hadapan, dan kepalanya terhentak pada cermin hadapan dengan begitu kuat sehingga berlakunya luka yang agak besar. Izinkan saya memohon kemaafan terlebih dahulu di sini andai kata penulisan saya ini terlalu kasar dan berterus terang.
Banyak Kejadian Bayi Tercampak
Apa yang berlaku pada mangsa dalam kejadian tersebut sebenarnya dikira bernasib baik kerana mengikut pengalaman saya, saya pernah lihat bayi berusia tak sampai setahun tercampak keluar daripada kereta apabila kereta tersebut mula bergolek-golek selepas pelanggaran berlaku. Anda bayangkan sahajalah bayi yang tercampak dan melambung keluar daripada kereta pada ketinggian beberapa meter dari atas jalanraya. Daya graviti memang sudgh cukup kuat mengakibatkan kematian apaila mangsa terhempas di atas jalanraya daripada ketinggian tersebut.
Saya akui, saya tidak ada anak dan tidak berapa pasti ragam anak-anak kecil ini. Akan tetapi, saya mempunyai adik-beradik yang mempunyai anak. Saya sendiri kadangkala berasa amat kasihan apabila anak saudara saya diletakkan di dalam carseat di belakang menangis. Mereka menangis, melalak dan kadangkala menjerit-jerit apabila dipasang dengan strap dan diletakkan di belakang kereta di dalam carseat. Ibu mana yang tak kesiankan anak mereka. Ayah mana yang sanggup nak mendengar tangisan anak-anak mereka di dalam kereta.
Akhirnya, mereka mengalah. Mereka mengambil anak mereka itu, dan diletakkan di atas riba. Diusap-usap, dicium-cium dan ditimang-timang supaya anak mereka tidak lagi menangis. Namun, saya tertarik dengan komen beberapa orang semasa saya meletakkan entri ini di Facebook saya. Katanya, lebih baik menahan telinga mendengar anak menangis daripada ibu bapa yang menangis tanpa henti apabila tragedi berlaku. Saya tidak mendoakan atau menyatakan tragedi akan berlaku kepada anda, tidak.
Saya tidak mengatakan pembelian carseat akan boleh melewatkan atau mencegah ajal. Tidak!. Cuma apa yang saya ingin katakan di sini adalah andai kata tragedi tersebut berlaku (nauzubillah), adakah anda sudahpun buat yang terbaik untuk anak anda? Saya teringat kata-kata seorang pesakit semasa saya bekerja di hospital dulu, iaitu pesakit psikiatri yang kehilangan anaknya yang baru berumur 3 tahun akibat kemalangan, dan jawapan yang dia berikan kepada doktor pakar psikiatri saya rasa amat baik untuk saya kongsikan kepada anda semua. Apabila ditanya oleh doktor pakar mengenai bagaimanakah dia boleh cope dengan keadaan yang terjadi beberapa minggu sebelum itu, dia menjawab
“Perkara yang boleh buatkan saya reda dengan pemergian anak saya adalah saya tahu, saya dah buat yang terbaik daripada segi pencegahan terhadap kemalangan tersebut. Ajalnya sudah tiba dan memang amat sakit (emosi) pada awalnya, namun, saya terima dan boleh bertahan hanya kerana seperti yang saya katakan, saya sudah buat yang terbaik untuk keselamatan dia dan saya tahu, saya tiada kuasa untuk melawan takdir”
Sebelum saya akhiri artikel ini, saya ingin menyatakan di sini satu lagi informasi yang telah dikongsikan oleh pembaca-pembaca semua iaitu mengenai soalan, adakah selamat jika kita letakkan budak di atas riba kita, kemudian kita pakaikan tali pinggang keledar sekali bersama dengan kita? Jawapannya tidak selamat. Gabungan momentum ke hadapan, bersama letusan airbag yang memberikan daya tolakan ke belakang apabila kemalangan berlaku sudah cukup kuat untuk memberi kecederaan dalaman kepada kanak-kanak akibat dihimpit di tengah-tengah.
Itu sahaja perkongsian saya kali ini. Andai kata artikel ini terlalu panjang, saya mohon kemaafan. Saya berharap agar anda dapat mengambil pengajaran dan isi yang baik daripada kejadian yang saya lalui ini. Saya tidak tahu kesudahan kepada kes ini, namun, marilah kita berdoa yang baik-baik untuk kesejahteraan mereka. Terima kasih kerana sudi membaca.
**Penerbitan Artikel Ini Telah Mendapat Kebenaran Daripada Dr. Onn Azli Bin Puade**
Seramai 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa antara usia empat hingga 30-an melecur apabila belon helium yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya pada Sabtu meletup.
Mereka yang terjejas dalam insiden 11.30 pagi itu adalah peserta dan pengunjung ke program kecergasan Kementerian Pendidikan.
Lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua dan yang lain telah dibenarkan pulang.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang dewasa yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.
“Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu selesai kira-kira 11 pagi iaitu sewaktu sedang berkemas.
Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar. Pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.
Rosly berkata sehingga kini, masih belum ada pihak tampil untuk membuat laporan berhubung insiden itu.
Beliau berkata wakil penganjur atau mangsa boleh membuat laporan untuk membolehkan polis memulakan siasatan.
“Setakat ini belum ada sesiapa yang ditahan untuk siasatan,”katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan berkata tiada mangsa yang kritikal.
“Mangsa mengalami luka terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang dikening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan,”katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat mangsa di Hospital Putrajaya.
Dr Wan Azizah ketika ditemui berkata ada mangsa kanak-kanak yang ditemuinya trauma dengan kejadian itu sehingga tidak mampu untuk bercakap.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu dari segi kaunseling kepada mangsa.
“Sedih tragedi sudah berlaku di tempat yang sepatutnya ada temasya,” katanya.-BERNAMA
Kredit Foto: BH Online
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!