Keibubapaan

Meruntun Jiwa! Bapa Ini Kongsi Pengalaman Kehilangan Anak, Akui Pernah Berada Di Tempat Ryzal & Maryam

Share

Ketika ramai mengikuti dengan penuh debaran kisah Ryzal dan Maryam yang cemas apabila anak mereka, Rian, terjatuh dan tidak sedarkan diri seketika, perkongsian seorang bapa bernama Lutfi Halim menyentuh hati ramai.

Menurut Lutfi, apa yang dilihat orang ramai dalam video tersebut mengimbau kembali satu detik hitam yang tidak pernah padam daripada ingatannya.

Pengalaman Yang Mengubah Hidup Seorang Bapa

Pada tahun 2018, beliau dan isterinya diuji dengan pengalaman yang jauh lebih menyakitkan. Ketika itu, mereka baru sahaja meninggalkan hospital untuk membawa pulang anak kedua mereka yang baru dilahirkan.

Namun siapa sangka, perjalanan yang sepatutnya menjadi antara momen paling membahagiakan dalam hidup bertukar menjadi mimpi ngeri yang menghantui mereka sehingga hari ini.

“Semasa dalam perjalanan dari hospital ke rumah membawa anak kami yang kedua yang baru lahir pulang, kami berdepan satu situasi yang sangat menakutkan.

It was so terrifying moment for us.

Macam mana Maryam menjerit dan menepuk anaknya dalam keadaan panik, begitulah juga kami ketika itu.”

Dalam keadaan cemas dan tidak tentu arah, mereka hanya memikirkan satu perkara iaitu menyelamatkan nyawa anak mereka.

Lutfi berkata dia menekan pedal minyak sekuat hati menuju ke hospital, berharap masih ada peluang untuk menyelamatkan si kecil yang sangat disayangi itu.

Takdir Yang Tidak Mampu Ditolak

Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya.

“Kami pijak pedal minyak sampai habis untuk ke hospital.

Tetapi kami tidak berjaya menyelamatkan anak kami.

Apabila sampai di hospital, dia sudah tidak bernyawa.”

Kata-kata itu cukup ringkas, namun membawa kesedihan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Lebih memilukan, bayi yang baru sahaja ingin dibawa pulang untuk memulakan kehidupan bersama keluarga akhirnya pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Menurut Lutfi, anaknya meninggal dunia akibat IEM (Inborn Errors of Metabolism) yang menyebabkan sudden death due to multiple organ failures.

Walaupun kehilangan itu meninggalkan luka yang tidak mungkin sembuh sepenuhnya, beliau dan isteri belajar menerima takdir dengan hati yang reda.

“Dia anak syurga.

Kami reda. Itu ketentuan Yang Maha Esa.”

Perkongsian Yang Mengingatkan Kisah Ryzal dan Maryam

Perkongsian tersebut turut membawa satu mesej penting kepada masyarakat yang pantas menghukum ibu bapa ketika berdepan situasi kecemasan.

Menurutnya, dalam saat-saat genting seperti itu, perkara terakhir yang bermain di fikiran seorang ibu atau bapa ialah soal perhatian di media sosial atau jumlah tontonan.

Sebaliknya, seluruh fokus hanya tertumpu kepada usaha menyelamatkan nyawa insan yang paling mereka sayangi.

“Moral of the story, rakam atau tidak, keutamaan kami sebagai ibu bapa adalah mengendalikan situasi kecemasan secepat mungkin.

Kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan orang yang kami sayang dan mengembalikan harapan kami, sama seperti apa yang dilakukan oleh Ryzal dan Maryam apabila anak mereka tidak sedarkan diri.”

Tambahnya lagi, mereka yang tidak pernah berada dalam situasi sedemikian mungkin sukar memahami perasaan sebenar seorang ibu atau bapa ketika berdepan detik yang boleh menentukan hidup atau mati anak sendiri.

“Dalam situasi macam ini, memang tak sempat nak fikir pasal seeking attention atau driving traffic ke media sosial.”

Pesanan Buat Orang Ramai

Pada penghujung perkongsiannya, Lutfi turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak terburu-buru membuat andaian terhadap tindakan ibu bapa yang sedang berdepan kecemasan.

“Tapi nak pesan juga, kalau korang memang tak boleh merakam sambil memandu dalam situasi kecemasan macam ini, jangan memandai ye.”

Di sebalik kegembiraan apabila Rian kini dilaporkan sihat dan kembali ceria selepas tempoh pemantauan selama 48 jam, perkongsian Lutfi menjadi peringatan bahawa tidak semua ibu bapa menerima pengakhiran yang sama.

Ada yang diberi peluang untuk memeluk kembali anak mereka.

Dan ada juga yang hanya mampu menyimpan kenangan, doa serta rindu yang tidak akan pernah berakhir.

Salam sayang buat anak syurga papa dan mama, Nuha Widad Mohd Lutfi. Semoga ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan menjadi penunggu kedua ibu bapanya di syurga kelak.

Sumber: lutfi_halim

Published by
Nor Yusoff