
Sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir, tangan kanan Yusrina Syafira Yusmadi, 14, yang lumpuh sejak beberapa bulan lalu tiba-tiba boleh diangkat. Gerakan kecil itu seakan menjadi tanda terakhir buat keluarga tercinta.
Detik mengejutkan itu membuatkan ibu bapanya bertambah sebak. Mereka sudah pun reda dengan keadaan anak kedua daripada lima beradik itu yang semakin tenat selepas berjuang melawan penyakit autoimun berbahaya, Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).
Sebelum diuji dengan penyakit, Yusrina dikenali sebagai pelajar aktif yang terlibat dengan sukan bola jaring dan rajin belajar. Namun segalanya berubah apabila dia terlantar hampir dua bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Sepanjang rawatan, arwah melalui pelbagai prosedur kritikal, termasuk pembedahan kepala selepas berlaku pendarahan secara tiba-tiba.
“Doktor pun pelik sebab dia tak jatuh, tapi bila buat imbasan ada pendarahan dalam kepala. Malam tu juga terus dibedah sehingga jam 1 pagi,” kata bapanya, Yusmadi Yusof, 42.
Katanya lagi, sebelum itu anaknya sihat seperti biasa kecuali batuk berpanjangan yang disangka sekadar jangkitan ringan. Namun serangan SLE akhirnya merosakkan paru-paru dan menyebabkan komplikasi jantung berair.
Kos perubatan mencecah kira-kira RM50,000 sebulan termasuk ubat khas – jumlah yang jauh melebihi kemampuan keluarga kerana Yusmadi hanya bekerja kampung.
Selepas keluar hospital pada 21 Julai lalu, Yusrina hanya bergantung pada susu khas yang cukup untuk empat hingga lima hari sahaja.
“Itulah saja yang dia boleh ambil, susu saja. Mujur ramai yang prihatin, sumbangkan katil, lampin pakai buang dan juga tangki oksigen,” ujarnya.
Namun, keadaan anaknya semakin merosot. Dua minggu sebelum pemergian, arwah sudah tidak mampu menjamah makanan, malah susu pun tidak dapat diminum.
Penderitaan Yusrina pernah mendapat liputan Harian Metro pada 21 Jun dan 24 Julai 2025, yang turut membuka ruang sumbangan orang ramai.
Namun pada jam 1.40 pagi, 31 Ogos lalu, Yusrina menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarganya di Kampung Kuala Mai. Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Mai.
Suasana pilu semakin terasa apabila talkin dibacakan sendiri oleh abangnya, Yusraa Shafwan, 15, pelajar sekolah pondok. Walaupun suaranya tersekat-sekat menahan sebak, dia tabah menyempurnakan bacaan itu di hadapan keluarga serta kenalan yang hadir.
Sumber: Harian Metro