Apabila berbicara mengenai kebaikan penyusuan susu ibu, pastinya ia lebih tertumpu kepada bayi, betul tak? Namun sebenarnya penyusuan susu ibu secara eksklusif ini turut memberikan manfaat buat diri ibu itu sendiri.

Selain Boleh Kurus, Menyusu Anak Pun Boleh Elak Beberapa Penyakit Untuk Si Ibu

Penyusuan susu ibu secara eksklusif

Dengan mengetahui kebaikan yang diperolehi ini mungkin dapat membantu anda yang sedang dilema untuk melakukan penyusuan badan atau memilih susu formula.

Tidak dinafikan lagi, susu ibu memberikan pemakanan optimum untuk bayi. Ia mempunyai jumlah nutrien yang tepat, mudah dicerna dan sedia ada.

American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan agar penyusuan susu ibu secara eksklusif dilakukan selama 6 bulan.

Bahkan, proses penyusuan itu disaran diteruskan walaupun selepas pemberian makanan pejal sehinggalah bayi sekurang-kurangnya berusia setahun atau bersedia untuk bercerai susu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mengesyorkan agar penyusuan ini dilakukan sehingga bayi mencapai usia 2 tahun atau lebih lama kerana kebaikan penyusuan susu ibu buat si kecil.

Tempoh terbaik untuk memulakan penyusuan adalah seawal sejam selepas kelahiran bayi untuk manfaat yang terbesar.

Jom kita bongkar 11 lagi kebaikan penyusuan berasaskan sains yang sangat mengagumkan untuk anda dan juga si manja!

Berikut 5 kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi:

1. Bekal khasiat untuk bayi
Susu ibu umumnya mengandungi semua keperluan bayi selama 6 bulan pertama kehidupan. Paling penting ia dalam jumlah yang tepat.

Pada hari-hari pertama selepas bersalin, payudara akan menghasilkan cecair pekat dan kekuningan yang dikenali sebagai kolostrum.

Ia tinggi protein, rendah gula dan mengandungi sebatian yang bermanfaat. Dalam bahasa ringkas, kolostrum adalah makanan luar biasa yang tidak dapat diganti dengan susu formula.

IKLAN

2. Mengandungi antibodi penting
Susu ibu kaya dengan antibodi yang membantu bayi melawan virus dan bakteria – ia amat penting untuk bulan-bulan pertama selepas dilahirkan.

Ini khususnya pada kolostrum, ia memberikan imunoglobulin A (lgA) dalam jumlah yang tinggi bersama beberapa antibodi lain.

Apabila ibu terdedah kepada virus atau bakteria, tubuh akan mula menghasilkan antibodi yang kemudiannya akan masuk ke dalam susu. Dari situlah terhasilnya sistem pertahanan untuk si manja!

3. Mengurangkan risiko penyakit
Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermakna bayi hanya diberikan susu badan sahaja. Ia dapat mengurangkan risiko bayi untuk jangkitan dan penyakit, termasuklah:

  • Jangkitan telinga tengah
  • Jangkitan saluran pernafasan
  • Selesema
  • Jangkitan usus
  • Kerosakan tisu usus
  • Sindrom kematian bayi mendadak (SIDS)
  • Penyakit alahan
  • Penyakit usus
  • Diabetes
  • Leukemia kanak-kanak

4. Berat badan bayi yang sihat
Bayi yang diberi susu badan dikatakan lebih cenderung mempunyai berat seimbang, sekali gus mencegah masalah obesiti kanak-kanak.

Bayi yang menyusu biasanya akan mengatur kadar pengambilan susu sendiri.

Ini bermakna mereka hanya akan menyusu dan berhenti apabila kenyang. Keadaan ini sekali gus dapat mengembangkan pola pemakanan yang sihat.

5. Menjadikan anak lebih bijak
Dalam beberapa kajian menunjukkan perbezaan perkembangan otak antara bayi menyusu badan dan yang diberikan susu formula.

Bayi diberikan susu ibu mempunyai skor kecerdasan lebih tinggi dan kurang berkecenderungan untuk mengalami masalah tingkah laku atau pembelajaran pada masa hadapan.

IKLAN

Keadaan ini lebih ketara pada bayi pramatang yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk berdepan masalah perkembangan.

Manfaat untuk ibu

Ini pula 6 manfaat penyusuan susu badan untuk si ibu, barulah win-win situation, kan?

1. Menurunkan berat badan
Walaupun sebilangan wanita nampaknya mungkin lebih bertambah berat badan, namun ada juga wanita yang melakukan penyusuan susu ibu secara eksklusif mengalami penurunan berat dengan mudah.

Antara kebaikan penyusuan susu ibu adalah ia membakar lebih banyak kalori.

2. Bantu rahim mengecut
Selepas bersalin, rahim akan melalui proses yang dikenali sebagai involution – membantunya kembali ke ukuran asal.

Oksitosin – hormon yang membantu mendorong proses ini, akan meningkat semasa penyusuan.

Ia akan mendorong pengecutan rahim dan mengurangkan pendarahan, sekali gus membantu rahim kembali ke ukuran asal.

Kebaikan penyusuan susu ibu #3. Menurunkan risiko kemurungan
Kemurungan selepas bersalin (PPD) atau meroyan berisiko untuk terjadi sejurus selepas melahirkan anak.

IKLAN

Walau bagaimanapun, wanita menyusu badan dikatakan kurang terdedah untuk mengalaminya berbanding mereka yang tidak menyusukan anak atau bercerai susu terlalu awal. Pun begitu, masih belum terdapat bukti kukuh untuk mengesahkannya.

4. Mengurangkan risiko penyakit
Menyusukan anak memberikan penurunan risiko barah payudara dan ovari.

Selain itu, penyusuan susu ibu secara eksklusif juga dapat mengurangkan risiko untuk:

  • Tekanan darah tinggi
  • Artritis
  • Lemak dalam darah tinggi
  • Penyakit jantung
  • Diabetes jenis 2

walau bagaimanapun masih tiada kajian dapat membuktikan manfaat ini.

5. Menyekat haid kesan penyusuan susu ibu secara eksklusif

Penyusuan berterusan dapat menghentikan ovulasi dan haid. Penangguhan kitaran haid adalah cara semula jadi untuk memastikan jarak antara kehamilan. Ia berperanan seperti alat pencegahan kehamilan.

6. Jimat masa dan duit

Sudah tentu kebaikan penyusuan susu ibu yang teratas sekali adalah ia percuma. Tidak memerlukan sebarang perbelanjaan.

Dengan memilih untuk menyusukan anak, anda tidak perlu:

  • Membelanjakan wang untuk susu formula
  • Menghitung berapa banyak si manja perlu menyusu setiap hari
  • Menghabiskan masa untuk membersih dan mensterilkan botol susu
  • Mencampurkan air panas dalam botol (pada waktu malam atau siang)
  • Mencari jalan untuk memanaskan air ketika dalam perjalanan
  • Sesungguhnya susu ibu mempunyai suhu yang bersesuaian dan boleh diminum pada bila-bila masa.

Jalinan semasa penyusuan susu ibu secara eksklusif

Ikatan fizikal dan emosi yang terjalin antara ibu dan anak merupakan kebaikan penyusuan susu ibu paling utama dan terpenting sekali.

Ia mendorong lebih banyak hubungan kulit ke kulit, sentuhan dan belaian fizikal. Jika ibu mampu melakukan penyusuan eksklusif untuk si manja, teruskanlah.

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI