Betapa beruntungnya penyanyi dan pelakon Ayda Jebat yang diuruskan sepenuhnya oleh suaminya, Nabil Mahir dalam bab-bab menguruskan anak.
Pun begitu Ayda tetap mencuba menguruskan anak keduanya, Aali Mateen biar pun merasa agak kekok untuk menukar lampinnya.
Menerusi Insta Storynya, Ayda berkongsi cerita dan pengalaman pertamanya menguruskan Aali Mateen.
“Hari ini buat pertama kali saya tukar diaper Mateen. Jangan terkejut sebab memang selalu Dadaa (Nabil) yang buat.
Ads
“Gelabah tadi masa tukar, takut dia ke mana-mana kang peepee (kencing). Peepee sampai ke muka pun pernah,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ayda turut bersyukur anaknya tidak menangis ketika dia menguruskan anaknya malah tidur lena sebaik ditukarkan lampinnya.
“Buat laju-laju tadi macam Naruto dan ‘smooth like butter’. Tak menangis, siap, minum susu dan kemudian terus tidur. Dadaa kepenatan, kesian Dadaa. Okay sayang awak berdua,” tulisnya.
Ads
Terdahulu, Ayda selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada 12 Disember lalu. Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021. Pasangan itu dikurniakan anak pertama, Ana Nayla pada 21 September 2021.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Doktor pakar keluar minum, tinggalkan pesakit lepas bersalin hingga meninggal dunia. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Siapa kata jika ingin menanam ubi keledek Jepun kena ada ruang tanah yang lapang dan luas? Sebenarnya jika anda tinggal di kawasan perumahan pun anda boleh juga menanam keledek dan menikmati hasil tuaian yang memuaskan hati.
Ini seperti perkongsian daripada Puan Aqella Ayda yang berjaya menanam ubi keledek Jepun di laman rumahnya dengan hanya menggunakan polybag yang disusun rapi di tepi pagar rumahnya.
Bahkan apa yang lebih mengujakan di dalam perkongsiannya itu turut ditunjukkan ubi keledek yang telah dituai. Ianya begitu besar dan jelas nampak dilihat pokok yang ditanam begitu subur sekali!
Hal ini membuatkan warganet teruja untuk mengetahui rahsia penanaman keledek bahkan tidak dinafikan ianya nampak begitu bersih dan sekali gus menjadi sebahagian lanskap dekorasi di ruangan laman rumah yang dihuni.
“Seronok saya, dulu selalu beli dekat supermarket nak cuba buat benih tak jadi. Kalau jadi pun kecil-kecil dan tidak manis isinya. Kemudian saya beli dengan Encik Mohd Ijat, dia pembekal benih Jepun. Sampai sekarang saya tanam boleh makan satu famili,” ujarnya di awal bicara.
Tidak dengan itu dia turut berkongsi tips untuk pastikan pokok ubi keledek yang ditanam bukan sahaja menghasilkan buah yang mempunyai saiz yang besar malah pokoknya terlihat rapi di laman rumah.
Tip 1 : Saya tanam dari keratan yang menjalar
Tip 2 : Tanam dalam polybang boleh cari polybag yang besar. Tanam dalam 3 keratan paling maximum
Tip 3 : Guna tanah biasa kemudian buat campuran baja tahi ayam proses dengan tanah organic
Tip 4 : Tak perlu siram kerap. Agak panas betul-betul baru siram.
Tip 5 : Bila pokok mula menjalar, potong bahagian tersebut namun pastikan jangan sampai terlalu pendek. Selepas dipotong letak baja siraman.
Tip 6 : Pastikan angkat daun yang merayap itu letak dekat keliling pokok supaya dia tak jadi ‘gila’ daun.
Tip 7 : Apabila usia pokok ubi keledek Jepun 2 bulan, kita sudah boleh petik pucuk buat makan masak pucuk sementara menunggu matang.
Tip 8 : Tempuh tanaman telah matang dan boleh dituai hasilnya adalah setelah 3 bulan 15 hari.
Demam biasa sering dianggap perkara ringan oleh kebanyakan ibu bapa. Namun kisah ini membuktikan bahawa demam biasa petanda terakhir boleh berlaku tanpa kita sangka.
Tak ada ibu ayah di dunia ini yang bersedia untuk kehilangan anak apatah lagi yang pergi secara tiba-tiba, tanpa sempat dipeluk buat kali terakhir.
Itulah yang dilalui oleh sebuah keluarga apabila pemergian mengejut adik Nur Khalishah Zahra, 11 tahun, telah meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarganya, seperti dikongsikan oleh bapanya, Wan Chai di Facebook.
Anak bongsu perempuan tunggal yang mesra dipanggil “Ayang” ini sebelum itu hanya mengalami demam biasa. Menurut perkongsian bapanya, keadaan demam tersebut tidak serius, hanya disertai batuk dan selera makannya juga masih seperti biasa.
Namun, pada 19 April sekitar jam 1.30 petang, keadaan kesihatan Ayang tiba-tiba merosot apabila beliau menjadi lemah dan mengalami muntah-muntah. Ibu bapanya segera membawanya ke sebuah klinik di Sungai Kapar Indah dengan menaiki kereta.
Setibanya di hadapan klinik, Ayang dilaporkan muntah dengan teruk sebelum tidak sedarkan diri. Doktor yang bertugas segera memberikan bantuan awal CPR setelah mendapati denyutan jantungnya semakin lemah.
Pada masa yang sama, pihak klinik menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan untuk membawa Ayang ke hospital. Tidak lama kemudian, ambulans tiba bersama pegawai perubatan yang turut memberikan CPR sebelum membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Setibanya di Jabatan Kecemasan Kanak-kanak, segala usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan Ayang. Namun, Ayang disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 petang.
Disebabkan kematiannya yang mengejut, jenazah perlu melalui prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan tidak dapat dituntut pada malam tersebut. Jenazah kemudian dibawa ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat yang bermula pada jam 9.00 pagi keesokan harinya.
Proses bedah siasat selesai sekitar jam 12.40 tengah hari sebelum dituntut oleh pihak UKVJ HQ. Jenazah telah dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus di Batu Belah, Klang bagi tujuan disempurnakan.
Ibu bapa serta tiga orang adik-beradik Ayang turut diberi peluang dan tunjuk ajar sepanjang pengurusan mandi dan kafan jenazah dilakukan. Proses tersebut disempurnakan oleh tiga orang bilal muslimah UKVJ HQ dengan jenazah disantuni seperti anak mereka sendiri.
Pihak pengurusan turut memberi ruang dan peluang kepada keluarga untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Ayang. Jenazah kemudian disolatkan dengan diimamkan oleh abang sulungnya sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Perepat, Kapar.
Suasana pilu menyelubungi ketika jenazah dibawa masuk ke rumah untuk penghormatan terakhir. Rakan-rakan persekolahan serta guru dari Sekolah Kebangsaan Sementa yang hadir tidak dapat menahan kesedihan ketika memberikan ciuman terakhir di wajah Ayang.
Jenazah kemudiannya disolatkan sekali lagi di perkarangan rumah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Perepat, Kapar. Alhamdulillah, jenazah Ayang selamat disemadikan pada jam 5.30 petang dengan bantuan pihak pengurusan tanah perkuburan.
Kehilangan “Ayang” meninggalkan luka yang amat mendalam buat si bapa. Anak yang begitu rapat dan manja dengannya kini telah pergi meninggalkan kenangan yang sukar untuk dipadam. Berulang kali si bapa menyatakan bahawa Ayang adalah seorang anak yang baik.
Pemergian Ayang bukan sahaja meragut kebahagiaan seorang ayah, malah mengosongkan ruang yang tidak mungkin dapat diganti.
Paling meruntun jiwa apabila si bapa mengingati kata-kata terakhir Ayang,
“Lepas ni Ayang dah tak main bola tampar dah.”
Kata-kata itu, yang pada awalnya mungkin kedengaran biasa, rupa-rupanya menjadi petanda perpisahan yang abadi. Ayang yang dikenali sebagai seorang pelajar aktif dalam bidang sukan sepatutnya terlibat dalam pertandingan bola tampar bersama rakan sepasukan.
Namun, segalanya tinggal kenangan.
Sesungguhnya, pemergian Ayang bukan sekadar kehilangan seorang anak, tetapi juga hilangnya sinar dalam sebuah keluarga yang amat menyayanginya. Kenangan bersamanya akan terus hidup dalam ingatan, walau jasadnya telah pergi meninggalkan dunia.
Demam biasa petanda terakhir seperti dalam kisah ini menjadi peringatan buat kita semua agar lebih peka terhadap perubahan kesihatan anak-anak walaupun kelihatan kecil. Al-Fatihah.