Ada yang bertanya mengenai warna putih pada lidah baby yang menyusu. Adakah ianya normal, ataupun jangkitan.
MILK TONGUE (lidah susu)
Adalah normal sebenarnya untuk bayi yang menyusu untuk ada lidah yang diselaputi susu. Selalunya lidah akan putih selepas menyusu, dan hilang setelah beberapa lama. Boleh lihat bahawa selaput putih hanya pada lidah, dan mudah dicuci.
Cara cucian lidah
– Ibu / penjaga boleh cuci lidah ini dengan tuala / kain yang telah dibasahkan dengan air minum, dan lap dengan lembut.
– Disyorkan basuh sewaktu bayi dalam keadaan gembira dan ingin bermain untuk mengelakkan bayi rasa stress setiap kali cucian dilakukan.
– Jangan lakukan sejurus selepas menyusu.
– Boleh juga gunakan berus gusi yang lembut sebagai pengganti tuala / kain.
ORAL THRUSH / CANDIDA
Selain daripada susu, lapisan putih dalam mulut boleh juga disebabkan jangkitan kulat. Ini boleh terjadi pada bayi yang menyusu badan / botol.
Ads
Boleh disebabkan oleh
– pemberian antibiotic,
– ibu yang mempunyai keputihan yang banyak sewaktu mengandung,
– jangkitan dari puting, mainan, dll
Selaput putih yang disebabkan kulat adalah lebih tebal, dan biasanya akan meliputi pipi bahagian dalam, dan lelangit juga. Tidak mudah untuk dicuci, dan kadangkala boleh menyebabkan pendarahan sekiranya dibersihkan dengan kuat. Bayi juga boleh kelihatan tidak selesa sewaktu menyusu. Tanda candida di tempat lain juga mungkin boleh dilihat, seperti ruam pada kemaluan dan lubang dubur bayi. Atau candida rash pada pipi dan kulit lain.
Ads
Untuk oral thrush, boleh diberikan rawatan, antaranya adalah sapuan minyak kelapa dara, atau ubat untuk membunuh kulat. Ibu yang menyusu badan haruslah kurangkan pengambilan makanan yang manis dan tingkatkan pengambilan makanan yang tinggi probiotic dan prebiotic. Probiotic dan prebiotic adalah penting untuk pastikan bakteria baik sihat, dan boleh melawan candida yang berleluasa.
Ads
TONGUE TIE
Selain itu, sekiranya bayi mempunya tongue tie, juga boleh menyebabkan lidah selalu kelihatan putih. Ini disebabkan lidah yang terikat dan tidak sampai pada lelangit. Jadi susu akan melekat pada lidah. Tongue tie adalah satu keadaan yang boleh mengganggu penyusuan, dan juga percakapan pada kemudian hari. Boleh bawa ke doktor untuk dikenalpasti, dan boleh dilakukan prosedur untuk melepaskan ikatan tersebut sekiranya perlu.
HIGH HARD PALATE
Jika lelangit bayi adalah tinggi juga lidah boleh selalu kelihatan putih. Sekiranya ia hanya susu, ibu / penjaga harus selalu mencuci lidah seperti yang disyorkan.
Lobak merah dan mata, adalah 2 perkara yang selalu dikaitkan bersama. Malahan ia menjadi kepercayaan kebanyakan mommies di luar sana. Tetapi betul ke makan lobak baik untuk penglihatan?
Propaganda lobak merah
Lobak lazimnya dikatakan sebagai 1 ubat ajaib yang dapat menjaga kesihatan mata dan memperbaiki penglihatan pada waktu malam. Mungkin ada di antara kita yang mempersoalkan mengenai perkara ini, adakah ia benar atau sekadar auta semata-mata, bukan?
Lobak dan manfaatnya kepada mata telah menjadi kepercayaan kebanyakan individu di dunia ini dalam meningkatkan kesihatan mata. Walaupun ada kebenaran mengenainya, namun asal usul tersebarnya berita ini bermula daripada mitos.
Semasa Perang Dunia II, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja British berjaya menggunakan radar, satu teknologi baru ketika itu untuk menyasar dan menembak jatuh pesawat musuh.
Mitos mengenai kehebatan lobak ini disebarkan bagi menutup rahsia teknologi baru tersebut yang mempunyai keupayaan memberikan ketepatan visual kepada juruterbang daripada pengetahuan musuh, iaitu pihak Nazi Jerman.
Bermula daripada itulah, propaganda mengenai kehebatan lobak merah atau carrot yang kononnya dapat meningkatkan penglihatan pada waktu malam tersebar dan dipercayai sehingga ke hari ini.
Hubungan lobak merah dan penglihatan
Carrot merupakan antara sayuran yang popular dan menjadi kegemaran kebanyakan individu. Sayuran rangup dengan nama saintifik Daucus carota ini kaya dengan pelbagai khasiat seperti:
Selain itu lobak juga kaya dengan lutein, iaitu antioksidan penting dalam membantu memperbaiki tahap kesihatan individu. Makanan tinggi kandungan lutein akan meningkatkan ketumpatan pigmen dalam makula.
Apabila ketumpatan pigmen meningkat, ia akan dapat membantu melindungi retina. Keadaan ini sekali gus akan mengurangkan risiko kemerosotan penglihatan.
Beta-karotena yang terdapat dalam lobak merah juga bermanfaat dalam membantu fungsi penglihatan. Selepas dimakan, mineral ini akan bertukar bentuk kepada vitamin A yang dikenali sebagai retinol dan boleh dicerna badan.
Kekurangan beta-karotena atau turut dikenali sebagai karotenoid yang penting untuk penghasilan vitamin A dalam badan akan meningkatkan risiko berlakunya masalah penglihatan apabila dalam keadaan kurang pencahayaan.
Mitos lain berkaitan mata
Selain daripada carrot, terdapat juga 3 mitos lain berkaitan mata yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Jom kita bongkar!
Tengok televisyen pada jarak dekat
Selalunya kita akan melarang anak-anak daripada menonton televisyen (TV) pada jarak yang terlalu dekat kerana mempercayai ia akan merosakkan penglihatan, betul?
Tetapi hakikatnya, duduk pada jarak yang dekat ketika menonton TV hanya akan menyebabkan anda berasa sakit kepala tetapi TIDAK akan menjejaskan penglihatan anda.
Sinaran biru yang ada pada televisyen membahayakan mata jika terdedah secara berlebihan. Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan kerosakan pada retina, sekali gus menyebabkan kerosakan serius pada mata.
Membaca dalam keadaan gelap
Sebenarnya, situasi ini sama seperti menonton TV pada jarak dekat. Ia boleh mengakibatkan anda mendapat sakit kepala atau mata menjadi penat. Namun ia TIDAK sampai menyebabkan tahap penglihatan anda merosot.
Kebergantungan kepada cermin mata atau kanta lekap
Jika anda adalah individu yang memakai cermin mata, mesti pernah mendengar bahawa pemakaian cermin mata hanya akan membuatkan penglihatan anda menjadi lebih teruk. Tetapi betul ke?
Ia TIDAK BENAR sama sekali. Keupayaan penglihatan mata anda tidak akan merosot kerana penggunaan cermin mata atau pemakaian kanta lekap. Preskripsi tahap mata anda mungkin akan berubah tetapi ia bukan disebabkan cermin mata atau kanta lekap.
Sebaliknya peningkatan itu berlaku seiring dengan peningkatan usia atau didasari oleh sebarang masalah berkaitan kesihatan.
Sayangilah mata
Jadi mitos mengenai lobak merah adalah SAHIH. Ia sememangnya baik untuk memperbaiki tahap penglihatan, cuma kerap makan lobak tidaklah sampai membuatkan anda memiliki mata yang berkuasa pada waktu malam.
Apapun, mata merupakan satu deria yang penting bagi setiap individu. Amat penting untuk anda memberikan penjagaan yang terbaik pada mata. Jika menyedari sebarang masalah berkaitan mata, lakukan pemeriksaan dengan segera, jangan melengah-lengahkan masa, okay?
Nak beri didikan agama pada anak-anak biarlah sejak mereka kecil. Ajarkan anak solat dengan cara simple dan anak mudah ‘tangkap’, baru dia teruja. Ketahui macam mana nak latih anak solat secara fun, jom daftar ke Kem Solat Anak: Mudah, Seronok & Berkesan sekarang! Klik https://toko.ideaktiv.com/product/kem-solat-anak/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengalaman dilalui oleh ibu muda yang bayinya, Mikael muntah, cirit-birit, badan kemerah-merahan sampai masuk hospital lebih dua minggu sangat menakutkannya.
Siapa sangka susu formula yang diberi kepada bayi setiap hari rupanya menjadi punca kepada kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh bayi Puan Seila Nawi. Beliau berharap agar apa yang berlaku ke atas bayinya tidak akan terjadi kepada bayi lain.
ENFALAC A+ TIRUAN
Semalam Allah bagi petunjuk kepada persoalan saya selama 2 bulan lebih.
Ini bukan silap Mead Johnson, saya faham.
Saya telah pun melaporkan kejadian anak saya kepada mereka hari ini. Tapi saya harap;
1. Mead Johnson Malaysia & pihak KPDNKK telus untuk membanteras sekaligus menyalurkan maklumat untuk membezakan susu tiruan ni sebab ini untuk mendidik kita sebagai ibu bapa supaya tidak terus ditipu.
2. Sedia untuk berkongsi maklumat keputusan kandungan susu tiruan dari jabatan kimia nanti.
Oktober 2017, anak saya, Mikael keluar masuk hospital, ingat lagi kan? Warded lebih 2 minggu. Punca masih tidak diketahui sehinggalah berita tentang susu tiruan semalam.
Mikael bermula dengan muntah-muntah sehingga 9 kali dalam sehari. Kenapa sampai 9 kali, saya biar sahaja ke? Saya monitor dari rumah (kalau boleh nak elakkan ke hospital), dengan harapan & doa, Mikael akan reda dari muntah tapi tidak.
*Saya bersyukur saya rekod & ambil gambar, sebab nak update husband saya yang jauh dari kami*
Tengahari tu, muka & badan Mikael dah start kemerah-merahan & panas. Setiap kali keluar merah-merah tu, saya mandikan dia. Demam on off.
Menjelang jam 3pm, Mikael dah lembik, terbaring, susu pun dia tak nak minum. Jadi, saya tak fikir panjang, terus bergegas ke hospital terdekat.
Najis Paling Busuk Pernah Dihidu
Wallahi, langsung tak suspect disebabkan susu, doktor pun interview saya, hanya bertanya apa makanan tambahan (solid food) yang saya bagi pada Mikael, atau ada tak Mikael termakan apa-apa sahaja dari persekitaran dalam rumah (since dia dah merangkak ke sana sini-puas fikir, saya takde jawapan).
Doktor terpaksa tahan Mikael di wad, sebab dehydration & untuk pemeriksaan lanjut.
Masuk ke wad, dah drip, Mikael langsung tak nak susu atau makan.
Next, Mikael dah start cirit-birit. Najisnya, seumur hidup saya, itu yang paling busuk saya pernah hidu. Sangat busuk sehingga nurse tak dapat tahan baunya sewaktu proses nak ambil sampel najis untuk ujian makmal. Mikael cirit-birit 11 kali pada haritu.
Pelbagai ujian dibuat, termasuk alergik test, result semua ok utk Mikael, takde apa2 alergik.
Setiap najis diambil untuk ujian, namun doktor masih tiada jawapan untuk punca.
Selama di hospital, Mikael masih cirit-birit & demam on off, merah-merah di seluruh muka & badan sekejap ada sekejap hilang.
Mikael Mula Berak Berdarah!
Kemuncaknya, selepas seminggu, Mikael dah mula berak berdarah. Doktor decide dgn prosedur antibiotik. Saya sebagai ibu akur, walaupun berat hati ni, nak masukkan macam-macam ubat dekat Mikael yang masih baby.
Oh ya, sepanjang di hospital, saya tak bagi Mikael apa-apa solid food (ye lah, doktor suspect mungkin alergik dari makanan tambahan) TAPI Mikael still minum susu Enfalac.
Yelah, siapa sangka susu ada yang tiruan, lagipon Mikael bukan baru minum susu tu, dah beberapa bulan sebelum tu.
Selepas 2 minggu lebih, sebab punca masih tak diketahui, Mikael dah nampak sedikit aktif, saya minta untuk discharged.
Balik rumah, dah ada perubahan pada Mikael, way more better (sebab susu Enfalac pon dah beli pack baru (beli dari kedai lain), yang beli sebelum tu dah habis-HABIS saya bagi dia minum.
Yang tanya, saya beli dari mana, saya tak dapat nak nyatakan kat sini, sebab pihak Mead Johnson sedang menyiasat rangkaian kedai serbaneka berkenaan di sekitar Selangor ni. Kita tunggu jawapan dari mereka nanti.
Cuma nasihat saya, ibu-ibu yang masih nak teruskan anak dengan susu ni, boleh beli dari AEON & TESCO dulu, elakkan beli dari kedai-kedai ubat atau kedai rangkaian serbaneka buat sementara waktu sehingga mereka istiharkan isu ini selesai.
Untuk saya, saya dah tukarkan Mikael dgn susu lain selepas pengalaman pahit ni.
Untuk parents, kalau anak-anak kita ada tanda-tanda macam saya sebutkan di atas, cepat-cepat bawak anak anda ke hospital. Saya doakan anak-anak kita dielakkan dari terus menjadi mangsa.
Kesan dari susu tiruan ini, Mikael masih recover dari kemerahan di muka & badan. Saya yakin ada bahan aktif dalam susu tiruan yang belum betul-betul discharge dari badan dia. InshaAllah slowly. Mohon doa dari semua jugak untuk Mikael.
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.