Setiap pasangan yang berkahwin pastinya berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Ada yang mudah mendapat zuriat, ada yang perlu berusaha keras untuk mendapatkan cahaya mata penyeri hidup.
Cabaran untuk mendapatkan seorang anak bukanya mudah, dari hamil hinggalah saat bersalin. Pergi bernyawa, balik belum tentu bernyawa. Begitulah hebatnya perjuangan seorang ibu, seperti perkongsian daripada Dr. Ilzanno.
Salah satu peristiwa yang terbenam jauh di dalam lubuk hatiku dan akan aku ingat sampai bila-bila berlaku semasa aku posting di jabatan sakit puan (Obstetrics and Gynaecology/ ObGyn). Peristiwa ini berlaku semasa aku cuba untuk menyambut satu kes pesakit Primigravida, iaitu pesakit yang beranak buat kali pertama. Semasa itu, aku masih lagi bergelar house officer (HO) di sebuah hospital kerajaan.
Malam tersebut, sama seperti malam-malam yang biasa. Jururawat bergelar Midwife (bidan) memberitahu aku bahawa terdapat seorang pesakit di bilik nombor 3 yang masih belum sempat diperiksa oleh mana-mana doktor. Aku mendapatkan BHT (Bed Head Ticket/ Fail) pesakit dan terus bergegas ke bilik nombor tiga dewan bersalin tersebut.
Aku memperkenalkan diri aku sebagai salah seorang pegawai perubatan yang bertugas pada malam tersebut. Setelah meminta kebenaran pesakit berumur 26 tahun itu untuk menyambut kelahiran anaknya, pesakit tersebut terus bersetuju kerana di saat contraction menjadi semakin kerap, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa tidak selesa dan sakitnya seseorang wanita itu rasa.
Wanita tersebut bernama Maisarah (Bukan nama sebenar) dan berasal daripada Kota Bharu. Sepanjang pemeriksaan dan follow-up nya dengan klinik kesihatan, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dari segi perubatan. Segala-galanya nampak stabil. Tiada kencing manis, tekanan darah yang tinggi mahupun jumlah sel darah yang rendah.
Sejujurnya, aku langsung tidak minat dengan posting jabatan sakit puan ini. Doktor pakarnya garang-garang belaka, sesuatu yang aku alami semasa di universiti lagi. Pada masa itu, otak aku yang belum matang ini seringkali menjadi stress dan tertekan apabila mereka marah-marah pelajar perubatan. Kini, aku sudah tahu, sudah tentulah mereka perlu garang dan tegas, kerana di jabatan sakit puan ini, bukan satu nyawa pesakit yang perlu dijaga, sebaliknya dua!
Mereka bukan garang ke atas perkara yang tidak signifikan, seperti tersilap ejaan memanggil bos sebagai bod dalam group WhatsApp, atau pun pembentangan kes dalam bahasa Inggeris yang mempunyai kesalahan tatabahasa. Mereka garang bertempat. Pesakit Obstetric yang merupakan pesakit ‘buatan orang lelaki’ (maafkan saya sebab bergurau sedikit), boleh melahirkan anak tanpa apa-apa komplikasi pun pada zaman dulu oleh bidan.
Orang kata, zaman dulu-dulu pun orang boleh bersalin di kampung tanpa ada masalah, bagaimana seseorang itu boleh mati pula apabila bersalin di hospital yang dipenuhi dengan staf yang terlatih serta kelengkapan yang bertaraf dunia. Sebab itulah masing-masing yang bekerja di wad bersalin ini inginkan kesempurnaan apabila merawat pesakit.
Walaupun kami, pekerja perubatan semua tahu, menyambut kelahiran zaman dulu-dulu mana ada statistik kes sama ada kelahiran anak itu berjaya ataupun tidak. Secara mudahnya, kebanyakan orang awam di luar sana akan mempercayai bahawa dulu, tiada seorang wanita pun yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Pada mereka, tiada kes gestational diabetes mellitus, kes darah tinggi atau kekurangan darah pun zaman itu. Bukan tiada, tetapi tidak direkod (undocumented).
Daripada situ, datang lah jangkaan (expectations). Ada sesetengah daripada mereka akan mudah menolak beberapa perubahan mengikut perubatan modern seperti pemberian pil-pil yang mengandungi asid folik dan zat besi sebab “zaman dulu, orang nak beranak ni mana ada ambil apa-apa suplemen tambahan pun. Ini semua agenda doktor untuk menjual ubat sebenarnya dan mengaut keuntungan sepenuhnya”. Maka, daripada situlah, ketegasan pakar-pakar sakit puan itu muncul.
Mereka menjadi strict, mengikuti SOP dengan sepenuhnya, Kementerian kesihatan juga sama. Apa-apa kes berkaitan kematian pesakit semasa bersalin, dipanggil maternal mortality review akan dibawa dan dibincangkan sehingga ke peringkat kebangsaan. Perbincangan untuk mendapatkan kenyataan sebenar bagaimana seorang pesakit boleh mati di hospital. Silap, bukan seorang, tetapi dua orang pesakit.
Sudah tentu selepas aku mulai bekerja, aku memahami ketegasan seseorang medical officer dan pakar di kala menguruskan proses kelahiran yang kadangkala sedikit rumit dan tidak straightforward seperti yang difahami oleh orang luar. Biasalah, manusia ini bukan semuanya sama. Lain-lain. Ada yang mudah proses kelahirannya, ada juga yang susah.
Jadi berbalik kepada cerita asal, sama seperti pesakit-pesakit lain, aku perlu melakukan pemeriksaan rahim pesakit (Vaginal Examination, VE). Fungsinya adalah untuk memeriksa bukaan os nya berapa sentimeter serta ada apa-apa perkara yang abnormal ataupun tidak. Setelah aku masukkan jari, aku terasa sesuatu yang pelik.
Bukan kepala bayi yang aku rasa, sebaliknya tali pusat. Aku cuba untuk bertenang, dan memeriksa dengan daya tumpuan dan fokus yang tinggi. Yup, apa yang aku sentuh bukannya bahagian kepala bayi, sebaliknya tali pusat. Tak semena-mena aku jadi gabra dan pucat. Ibarat satu mimpi ngeri yang baru sahaja bermula. Tanpa melengahkan masa, aku menjerit meminta pertolongan.
Aku nampak Kak Ros, salah seorang bidan terlatih yang agak senior segera berlari mendapatkan aku daripada kaunter.
“Doktor! Jangan keluarkan tangan daripada situ, tolak dan sokong kepala bayi supaya dia tak terhimpit tali pusat tu!”, kata Kak Ros dengan dialek utaranya.
Awal-awal dia beritahu aku untuk jangan keluarkan tangan daripada situ. Dia bimbang aku yang masih baru di posting ini hilang tumpuan akibat terlalu gelabah dan akan mengeluarkan tangan aku serta merta. Aku pasti, kalau aku keluarkan tangan aku, mesti aku kena jerkah dan kena “pungkoq ang la doktor” sebab membahayakan kandungannya.
Aku masih lagi dalam keadaan cuak sebenarnya. Aku tidak pernah menguruskan kes cord prolapse sepanjang bergelar doktor mahupun semasa menjadi seorang pelajar perubatan. Ilmu sejengkal aku ini agak lambat untuk memproses kejadian ini. Namun aku tahu, cord prolapse adalah obstetrics emergency, iaitu kes kecemasan yang boleh menyebabkan kematian bayi akibat kelemasan.
“Kenapa doktor?”, tanya Puan Maisarah, pelik dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya yang hiruk-piruk, walhal, dia tidak rasa apa-apa pun selain sakit akibat contraction yang menjadi semakin kerap.
“Puan, tali pusat anak puan ni keluar dulu, jadi, nak tak nak kena operate”, kata aku, menerangkannya seringkas yang mungkin kerana aku perlu fokus.
“C-sec ke doktor”, tanya Puan Maisarah.
“Ya puan”, aku menjawab, sambil tangan aku terus menerus memberikan daya untuk menolak kepala bayi tersebut ke atas.
“Selamatkan anak saya ya doktor, selamatkan Nadirah”, katanya tiba-tiba sahaja menyebut nama entah siapa.
“Siapa pulak Nadirah tu puan?”, aku tanya dalam nada kepelikan.
Ads
“Saya dan suami dah sepakat menamakannya Nadirah doktor. Doktor tolong Nadirah betul-betul ya”, katanya sambil tersenyum walaupun air mukanya aku nampak sedikit risau.
Kata-kata Puan Maisarah yang telah pun menyuntik keazaman di dalam hati aku. Aku perlu buat apa sahaja yang aku mampu sebaik yang mungkin. Aku mahu Nadirah selamat, dan menjadi seorang manusia yang berguna untuk masyarakat kelak.
“Baiklah, saya akan berusaha sepenuh tenaga, puan tenang tau. Dr Hayati on call malam ni, insya Allah, you are in good hands”, kataku memberi semangat kepada Puan Maisarah.
“Okay doktor, terima kasih”, katanya sambil mengesat air mata menggunakan lengannya. Sama ada air mata akibat kesakitan yang dialami, atau air mata kerisauan. Apa yang aku pasti ketika itu adalah, juraian air mata tersebut wasn’t for nothing.
<Fakta Perubatan mula> Untuk pengetahuan anda semua, cord prolapse adalah keadaan di mana bahagian tali pusat pesakit terkeluar terlebih dahulu di cervix pesakit. Berat kepala dan badan bayi itu akan menghimpit tali pusat tersebut, menyebabkan darah tidak dapat mengalir di dalam tali pusat.
Bayi yang berada di dalam rahim memerlukan darah yang membawa oksigen dan glukosa daripada tali pusat, yang bersambung ke uri ibunya. Bayi di dalam rahim masih lagi tidak boleh bernafas untuk mendapatkan oksigen walaupun paru-paru bayi tesebut sudah pun hampir terbentuk dengan sempurna. Oleh itu, satu-satunya cara bayi dalam kandungan untuk mendapatkan oksigen adalah melalui tali pusat. Himpitan tali pusat itu menyebabkan bayi di dalam rahim kelemasan.
Satu lagi, apabila bahagian tali pusat terdedah kepada udara persekitaran, ianya akan menjadi kecut, keadaan yang kita panggil sebagai vasospasm. Vasospasm adalah reaksi normal yang diciptakan kepada kita semua, manusia. Hal ini adalah apabila bayi berjaya dilahirkan, secara automatiknya, tali pusat bayi tersebut akan mengecut tatkala ianya terdedah kepada udara persekitaran.
Fungsinya adalah untuk mengelakkan terlalu banyak darah yang hilang apabila tali pusat tersebut dipotong. Mekanisma ciptaan tuhan ini memang amat menakjubkan, cuma, dalam keadaan ini, vasospasm akan membunuh kandungan dengan begitu pantas. Sebab itulah kadar kematian akibat cord prolapse amat tinggi. <Fakta Perubatan Tamat>
Sebelah tangan aku harus diletakkan untuk memberi sokongan kepada berat Nadirah secara konsisten, dan sebelah lagi tangan aku gunakan untuk menetapkan posisi cardiotocograph (CTG) untuk mendengar denyutan nadinya. Sekiranya Nadirah berada di dalam keadaan distress akibat kekurangan oksigen, denyutan nadinya akan bertambah.
Kak Ros sedang menelefon pakar sakit puan dan dia ‘menghantar’ beberapa jururawat pelatih membantu aku menetapkan posisi CTG yang beralih-alih di atas perut pesakit. Seusai menelefon doktor pakar, Kak Ros menelefon dewan bedah pula. Sememangnya, dalam kes sebegini, agak mustahil untuk menanggung risiko kelahiran spontaneous vaginal delivery (SVD) iaitu kelahiran yang normal, sebaliknya Caesarean-section perlu dilakukan.
Tanpa aku sedari, ada satu tangan menyentuh bahu aku daripada belakang. Saat mendengar Maisarah berkata “Abang”, aku terus tahu bahawa dia adalah suaminya, Azman (Bukan nama sebenar). Azman memegang bahu aku dengan kuat dan bercakap sesuatu yang aku ingat sampai ke hari ini
Ads
“Doktor, tolong sangat saya dan Maisarah dan Nadirah ya. 4 tahun kami berusaha doktor, 4 tahun”.
Apabila aku dengar suaranya yang mula tersenggut-senggut, aku menyuruh dia ke isterinya untuk memberikan kata-kata semangat dan doa. En Azman menuruti apa yang aku suruh. Dia mengusap dahi isterinya dan menggenggam erat lengan isterinya yang tertusuk jarum berwarna hijau. Dia mencium dahi isterinya dan memberikan isyarat ‘good’ sebelum terpaksa diarahkan untuk beredar bagi memudahkan staf melaksanakan tugas masing-masing memandangkan ini adalah kes kecemasan.
Setelah setengah jam berlalu daripada kejadian awal, tangan kanan aku mulai lenguh. Maklumlah menanggung berat badan bayi yang seberat 3-4kg itu menggunakan jari sahaja, memang lenguh. Namun aku tahu, lenguh itu sedikit sahaja rasanya berbanding beban yang bakal ditanggung oleh doktor pakar bagi menyelamatkan Nadirah.
Setelah mendapatkan persetujuan bertulis (written consent) untuk pembedahan, Puan Maisarah perlu ditolak ke dewan bedah dengan kadar segera. Di sana, doktor pakar bius dan pakar sakit puan, Dr Hayati sudah pun menunggu. Aku tak boleh mengeluarkan tangan aku, aku harus berada di situ sehinggalah pembedahan dilakukan dan keadaan cukup selamat.. Aku terus menerus memberikan daya tolakan ke atas, dan memang aku dapat rasakan bahawa tangan ku mulai kebas akibat ‘senaman isometrik ini’.
Apabila katil ditolak, aku wajib mengikut sekali di atas katil yang sama. Aku tidak boleh banyak bergerak kerana aku bimbang tangan aku tidak dapat memberikan daya tolakan yang constant. Perjalanan ke dewan bedah yang tidak sampai 2 minit itu merupakan perjalanan yang paling jauh dan paling memeritkan dalam hidup aku.
Setibanya di dewan bedah maternal (MOT), doktor memberikan bius separuh kepada Puan Maisarah. Kain hijau digunakan untuk menutup bahagian kaki dan dada Puan Maisarah bagi mengekalkan sterility kawasan pembedahan. Aku pula duduk di kaki pesakit, ditutup oleh kain hijau tersebut. Kau bayangkan sahajalah kepala aku, badan aku, semuanya berada di bawah kain hijau di dalam dewan pembedahan itu.
“How are you holding up there?”, tanya Dr Hayati kepadaku.
“Miserable, but I think I’ll be manage to hold for another hour”, aku berkata dengan nada gurauan.
“Then we’ll do this operation slowly, hahaha”, kata Doktor Hayati
“No doctor, please don’t, haha” jawab ku sambil ketawa kecil.
Dalam suasana serius, Dr Hayati masih lagi bertenang, dan aku tahu, lawaknya itu adalah untuk mengurangkan ketegangan suasana dan membuatkan aku sedikit relaks, walaupun dah 45 minit jari aku menahan berat Nadirah. .
Pembedahan dilakukan dengan pantas, dan beberapa minit kemudian, Dr Hayati menatakan kepada aku bahawa aku sudah boleh mengalihkan tangan aku daripada situ. Apabila aku mengeluarkan sahaja tangan aku, hampir serta merta hilang segala lenguh-lenguh yang aku rasakan daripada tadi. Masakan tidak, hampir 90 minit aku menahan berat badan Nadirah daripada menghimpit tali pusatnya sendiri.
Alhamdulillah, setelah hampir 30 minit kemudian, pembedahan berjaya dilakukan dengan lancar tanpa ada apa-apa masalah dan komplikasi. Puan Maisarah, walaupun masih separuh sedar berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Dr Hayati, Kak Ros, aku dan semua staf yang terlibat dalam menyelamatkan nyawa anaknya itu. Aku berjalan kembali ke wad bersalin, tersenyum.
Dalam pekerjaan yang stress dan menekan jiwa ini, aku dapat rasakan, hari ini aku ibarat seorang wira, berjaya menyelamatkan nyawa si kecil yang comel dan putih itu, insan bernama Nadirah. Aku keluar sahaja daripada MOT, En Azman berlari ke arah aku, memeluk tubuh aku sambil berkata terima kasih dan menangis kegembiraan setelah dia dapat tahu bahawa 1 insan yang dia sayangi, dan kini 2 insan yang bermakna sepenuhnya untuk dirinya selamat.
Peristiwa ini juga membuatkan aku terfikir bahawa betapa besarnya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan seorang anak. Wanita, secara fizikalnya tidaklah sekuat lelaki, namun, pengorbanan yang mereka lakukan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan tidak akan terbalas dengan wang ringgit. Satu lagi, untuk proses kelahiran, walaupun nampak straightforward dan mudah, kadangkala tidaklah semudah yang kita rasakan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mengepam susu badan adalah cara untuk memastikan si manja tetap akan mendapat susu ibu walaupun tidak berada bersama si ibu. Tetapi adakah ibu-ibu sekalian tahu cara penyimpanan susu ibu yang betul?
Kesilapan cara penyimpanan susu ibu
Kita selalu menganggap ia adalah satu perkara mudah untuk menyimpan susu ibu yang sudah dipam. Walau bagaimanapun, tanpa sedar, terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan oleh ibu mengenai cara simpanan susu.
Kesilapan ini secara tidak langsung sebenarnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi. Jadi jom kita semak apakah kesilapan yang sering dilakukan.
Bekas tercemar
Susu badan dapat membantu meningkatkan sistem pertahanan badan bayi daripada bakteria berbahaya. Tetapi keadaan akan menjadi sebaliknya jika bekas simpanan susu yang digunakan sudah tercemar. Bekas mengepam susu juga harus dipastikan bersih, ya?
Penggunaan botol susu plastik atau kaca harus dicuci dan dikeringkan dengan sebaiknya. Ini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Cuci menggunakan air suam dan lap bekas dengan kain bersih.
Kiub ais
Mungkin ada di antara ibu sekalian memilih untuk membuatkan kiub ais susu sebagai cara mudah untuk menyimpan susu. Tetapi mungkin selepas ini anda patut hentikan kaedah penyimpanan ini, kerana ia berisiko untuk dicemari bakteria memandangkan ia adalah bekas terbuka.
Jika masih ingin menggunakan kaedah kiub ais, disarankan untuk menggunakan bekas tertutup. Ia adalah cara yang lebih selamat.
Bekas plastik
Bukan semua bekas atau beg plastik sesuai untuk digunakan sebagai bekas penyimpanan susu. Anda perlu menggunakan bekas plastik yang bebas bahan kimia. Anda dinasihatkan untuk memilih bekas dengan label “BPA-Free”. Ini kerana ia adalah lebih selamat untuk si manja anda.
Dalam masa yang sama, pastikan bekas plastik yang digunakan tidak koyak atau bocor. Jika tidak, sudah tentu bakteria berkembang dan membiak di dalam bekas plastik tersebut. Sentiasa memeriksa bekas plastik yang digunakan, okay?
Terlalu lama
Bagi ibu yang ‘meriah’ susu badannya sudah tentu akan memilih untuk menyimpan stok susu dalam peti ais beku. Malahan ada ibu yang menyediakan deep freezer semata-mata untuk menempatkan susu yang dipam.
Ia adalah ikhtiar yang harus mendapat pujian. Walau bagaimanapun, penyimpanan susu untuk tempoh yang terlalu lama adalah tidak bagus. Ini kerana badan ibu menghasilkan susu yang bersesuaian dengan keadaan semasa bayi.
Tempoh penyimpanan yang terbaik di dalam peti sejuk beku, di bawah suhu -18℃ adalah dari tempoh enam, adalah tempoh yang terbaik dan sehingga 12 bulan, tempoh yang masih boleh diterima untuk penyimpanan susu.
Tetapi jika disimpan dalam peti sejuk biasa, ia hanya boleh bertahan sehingga empat hari sahaja, okay?
Kandungan nutrien dalam susu ibu adalah untuk memenuhi keperluan khasiat bayi pada ketika itu, jadi sebaiknya berikan susu tersebut secepat mungkin.
Berhampiran makanan mentah
Tempat di mana anda menyimpan susu juga perlu dititikberatkan. Ini kerana jika susu disimpan di tempat yang sama dengan bahan makanan lain seperti daging atau ikan mentah, ia akan meningkatkan risiko untuk bakteria berpindah dari makanan ke susu yang disimpan.
Jika boleh, sebaik-baiknya, asingkan ruang penyimpanan makanan barangan dapur dengan susu ibu. Selain itu, anda amatlah dinasihatkan untuk tidak meletakkan susu yang ingin disimpan pada bahagian pintu peti sejuk.
Ini adalah untuk membantu melindungi susu daripada perubahan suhu ketika membuka dan menutup pintu peti ais.
Simpan semula
Pasti rasa sayang untuk membuang susu yang tidak digunakan. Tetapi jika susu tersebut sudah dikeluarkan daripada peti beku, anda dinasihatkan untuk tidak menyimpan semula walaupun ia tidak digunakan.
Maksudnya di sini, jika susu disimpan beku dan didedahkan kepada suhu biasa, jangan masukkan kembali untuk pembekuan semula, jika susu yang beku telah cair sepenuhnya. Sebaiknya ia digunakan dalam tempoh masa 2 jam selepas proses pencairan.
Ia bermakna tempoh 2 jam tersebut dikira dari masa ia tidak lagi beku atau dicairkan sepenuhnya, bukan dari semasa anda mengeluarkannya dari peti sejuk.
Ini kerana, selain daripada mengurangkan nilai khasiat di dalamnya, tindakan anda ini juga membuatkan susu lebih mudah dicemari bakteria. Jadi hanya keluarkan susu dalam jumlah yang diperlukan.
Secara terus
Sesungguhnya memberikan susu ibu secara terus adalah antara kaedah yang paling baik. Tetapi jika keadaan memerlukan anda menyimpan susu, pastikan anda melakukan ia dengan cara yang betul.
Jangan lupa untuk memastikan tangan anda juga dalam keadaan bersih semasa mengendalikan proses mengepam dan penyimpanan susu, okay?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
9 Ogos yang lalu, pelakon Erynne Erynna mengumumkan kepada warga maya bahawa dia telah selamat bersalin seorang anak perempuan. Dalam posting terbarunya pula, Erynne atau nama sebenarnya Syazlynne Erynne Abdullah berkongsi pula pengalaman melalui proses bersalin yang pertama buatnya.
Menurut Erynne yang merupakan pelakon kanak-kanak popular satu ketika dahulu itu akui dia sudah mula rasa kontraksi sehari sebelumnya namun cuba untuk membiarkannya seketika.
“Mula-mula saya rasa mild contraction pada 8 hari bulan jam 5 pagi tapi saya biarkan je sebab takut ia hanya false alarm ke apa. Yelah sebab tak ada tanda apa apa like ketuban pecah atau spotting ke apa jadi saya biarkan.
“Tapi saya tak boleh tidur sampai pagi kerana makin sakit and saya kira setiap 8 minit saya akan rasa kontraksi. Lepas tu sekitar jam 10 pagi saya telefon hospital dan beritahu apa yang saya rasa dan mereka menasihati saya untuk datang je terus hospital pergi emergency department,”katanya.
Erynne berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi hantaran tersebut dia memuat naik fotonya ketika berada di hospital.
Menurut Erynne dia cuba bertenang dan mengambil masa untuk diri sendiri supaya mandi sebelum ke hospital.
“Bagaimana pun typical me. Saya mandi dulu, kemas bilik, ambil masa saya sendiri dan tunggu suami saya letak semua hospital bag dalam kereta and so we went.
“Dalam 11 pagi tu sampai emergency department mereka bawa terus ke dewan bersalin untuk periksa kontraksi dan jantung baby semua.
“Contraction still mild and baby pun okay jadi mereka bawa saya ke bilik dahulu untuk tukar baju dan bersedia semua,”katanya lagi.
Setelah diperikasa bukaan Erynne ketika itu baru saja 2cm dan dia diminta untuk melakukan senaman ringan dengan berjalan-jalan.
“Tidak lama lepas itu, doktor datang dan periksa berapa bukaan dan masa tu baru 1.5-2cm macam tu tapi dah boleh rasa kepala baby so baby memang dah betul engaged so doctor suruh saya jalan jalan buat exercise and tunggu sampai bukaan 4cm then baru boleh masuk labor room.
“Jadi, inilah gambar saya ambil masa saya jalan and exercise dekat hospital dengan si suami disisi.
“By the way, masa saya jalan-jalan doktor ternampak saya dan dia buat tanda bagus dan masa tu saya macam terharu la juga sebab masa tu contraction dah start makin sakit and makin kerap,” katanya lagi.
Bagi ibu bapa yang baru menimang anak kecil, pasti anda sering risau dan peka akan setiap pergerakan dan tingkah laku si manja anda. Kadangkala, anda semestinya bingung melihat bayi menggigil, tersentak ketika tidur dan sebagainya.
Usah bingung lagi, artikel ini akan merungkai perbezaan di antara pergerakan normal dan abnormal bayi anda, serta punca di sebalik setiap pergerakan mereka.
Normalkah bayi menggigil?
Ia bergantung kepada situasi yang dialami oleh bayi pada masa tersebut dan juga tempoh menggigil.
Sesetengah bayi menggigil atau menggeletar ketika tidur, dan kembali normal sesudah bangun tidur. Ada juga yang menggigil ketika menukar lampin, bermain, menyusu dan sebagainya.
Bayi tidak menggigil kerana berasa sejuk ya! Bayi hanya berupaya untuk bertindak balas ketika sejuk selepas berumur enam bulan.
Sebelum itu, bayi mempunyai sejenis tisu lemak perang di dalam badan mereka yang membantu untuk mengawal suhu badan.
Punca normal bayi menggigil
Terdapat beberapa penjelasan normal mengenai pergerakan bayi menggigil atau menggeletar.
1. Sistem saraf pramatang
Dr Evan Lewis, Pakar Neurologi Pediatrik dan Pengarah Institut Neurologi Toronto mendedahkan semasa dua tahun pertama kehidupan bayi, sistem saraf dan otak bayi masih pramatang dan sedang berkembang.
Beliau juga menyatakan dua bulan pertama bayi sangat dipengaruhi oleh perubahan ini kerana refleks normalnya belum matang sehingga menyebabkan refleks tubuh bayi terlalu aktif.
Refleks yang terlalu aktif boleh menyebabkan dagu dan bibir bayi bergetar, sekali gus seluruh badan menggigil berkali-kali dalam sehari.
Semasa sistem saraf berkembang dan lebih matang, pergerakan menggigil dan menggeletar ini akan hilang sepenuhnya.
Bayi sepatutnya tidak menggigil selepas tempoh masa ini. Jika masih menggigil lagi, anda perlu mendapatkan rundingan selanjutnya.
2. Refleks Moro
Refleks Moro ialah sejenis refleks yang normal dilihat dalam kalangan bayi sehingga tempoh 3-6 bulan. Ia bermula semasa kehamilan, di antara 28-32 minggu dan hilang sepenuhnya selepas enam bulan kelahiran.
Ia merupakan tindak balas perlindungan motor bayi terhadap ketidakseimbangan badan atau rangsangan secara mendadak.
Di Malaysia, refleks Moro selalunya diperiksa oleh doktor selepas kelahiran bayi. Bayi yang normal akan mempunyai refleks Moro yang lengkap.
Namun, bayi pramatang atau yang mempunyai kecederaan semasa kelahiran tidak akan mempunyai refleks Moro yang lengkap.
Jika refleks Moro masih dilihat pada bayi anda selepas tempoh enam bulan, sila berjumpa dengan doktor.
3. Tahap hormon norepinephrine yang tinggi
Semasa lahir, bayi mempunyai jumlah norepinephrine yang lebih tinggi. Fungsi hormon ini adalah lebih kurang sama dengan adrenalin. Ia membantu bayi dalam pengawalan haba untuk tubuh mereka.
Ia dihasilkan oleh badan sebagai tindak balas terhadap persekitaran baru semasa lahir. Norepinephrine mempunyai daya rangsangan terhadap anggota badan dan itulah yang menyebabkan bayi menggigil.
Seiring waktu, tahap hormon ini akan berkurangan dalam badan, dan pergerakan tersebut akan berhenti.
Selain itu, hormon ini juga membantu metabolisme tisu lemak perang dalam bayi jika perubahan suhu mendadak dikesan oleh tubuh.
Punca abnormal bayi menggigil
1. Hipoglisemia
Eh, takkan bayi pun boleh mendapat hipoglisemia? Sudah tentu boleh ya!
Hipoglisemia ialah keadaan di mana paras gula dalam darah bayi lebih rendah daripada normal.
Ia selalunya berlaku jika ibu mempunyai kencing manis ketika hamil, bayi ada jangkitan kuman atau enggan menyusu.
Salah satu tanda hipoglisemia ialah bayi akan menggigil atau menggeletar. Terdapat juga simptom lain seperti tangisan bernada tinggi, masalah menyusu, lemah, dan sebagainya.
Bayi yang mengalami hipoglisemia seharusnya diberikan rawatan secepatnya.
2. Sawan
Hati-hatilah jika bayi anda kerap menggigil dan sukar untuk dileraikan kerana kemungkinan dia mengalami sawan.
Lagi-lagi jika terdapat simptom lain seperti kekejangan otot yang keterlaluan, demam, mata terbeliak ke atas, mulut berbuih dan sebagainya.
Selalunya sawan akan terhenti sendiri kurang daripada tiga minit, tetapi jika lebih sila dapatkan rawatan selanjutnya.
Konklusi
Menggigil ialah reaksi normal bagi si manja anda. Namun, jika anda was-was akan pergerakannya, sila rakamkan pergerakan mereka sebelum membawa bayi anda ke hospital.
Ini akan membantu para doktor untuk membuat diagnosis dan memberikan rawatan yang lebih lanjut.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kesihatan adalah aset paling berharga dalam hidup. Ramai yang hanya mula mengambil berat tentang kesihatan selepas mengalami masalah seperti kolesterol tinggi, diabetes, gout, dan...