Menginjak ke minggu-minggu akhir kehamilan, ibu hamil mudah berasa letih dan semakin tidak berdaya membawa perut yang membesar. Menghitung hari menanti kelahiran yang dinanti sejak berminggu-minggu lalu amat mendebarkan.
Emosi ibu hamil pada trimester ketiga ini tidak sama dengan emosi ibu hamil pada trimester pertama dan kedua. Jika trimester pertama ibu bertungkus lumus melawan ketidakselesaan yang dialami sementara trimester kedua pula ibu melayan keinginan tekak yang ingin mencuba bermacam makanan. Tetapi trimester ketiga ibu semakin sukar menggerakkan badan dengan selesa seperti dahulu.
Ads
Antara yang sering dialami oleh ibu hamil iaitu kesukaran untuk bangun kembali daripada pembaringan dan sukar untuk kembali berdiri setelah duduk. Selain dari itu, ibu juga akan berasa sangat sensitif pada bahagian payu dara sehingga jika tersentuh sedikit pun akan sakit.
Ads
Selain daripada itu emosi ibu juga semakin tidak menentu. Ibu jadi tidak senang duduk memikirkan saat kelahiran yang semakin hampir. Menitip kisah pengalaman teman yang sudah melalui proses melahirkan anak menambahkan lagi rasa gementar ibu. Namun sedikit sebanyak perkongsian pengalaman dapat dijadikan bekalan apabila diri sendiri melaluinya kelak.
Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh ibu saat menghitung hari ini, kecuali banyakkan berehat, bertenang, melakukan kerja-kerja akhir mengemas peralatan ibu dan bayi dan menyiapkan kerja-kerja akhir di pejabat (jika bekerja) sebelum bercuti panjang.
Apa pun ketidakselesaan dan ketakutan yang dirasakan, proses melahirkan anak perlu dilalui dengan penuh kesabaran dan keberanian.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehamilan bukan sekadar perjalanan seorang ibu, tetapi turut melibatkan peranan besar seorang suami. Setiap perubahan fizikal dan emosi yang dialami isteri sepanjang tempoh ini memerlukan sokongan berterusan, termasuk dari segi pemakanan dan kesihatan. Itulah yang dikongsikan oleh seorang lelaki apabila dia berusaha membantu meningkatkan paras hemoglobin (Hb) isterinya yang menurun sepanjang kehamilan.
Menurut suami berkenaan, mereka mula benar-benar mengambil serius soal pemakanan apabila melihat reaksi jururawat di klinik kesihatan yang jelas terkejut dengan bacaan Hb isterinya. Saat itu menjadi titik tolak untuk mereka mencari solusi yang mudah, selamat dan sesuai untuk ibu mengandung.
“Bila jururawat tengok bacaan Hb, muka dia berubah. Dari situ kami terus tanya apa yang boleh bantu naikkan Hb secara semula jadi,” kongsinya.
Paras Hb yang rendah semasa kehamilan bukan perkara kecil. Hemoglobin berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan ibu dan bayi. Jika bacaan Hb terlalu rendah, ibu hamil berisiko mengalami keletihan melampau, pening kepala, sesak nafas serta komplikasi ketika bersalin.
Disebabkan itu, pasangan ini mengambil pendekatan proaktif dengan mendapatkan nasihat terus daripada jururawat serta melakukan sedikit kajian sendiri mengenai pemakanan yang sesuai untuk ibu hamil.
Hasil perbincangan bersama jururawat, mereka diperkenalkan dengan satu tip pemakanan yang ringkas tetapi konsisten, iaitu pengambilan kurma dan pati delima sebagai rutin harian.
Kedua-dua bahan ini dikenali sebagai sumber semula jadi yang kaya dengan nutrien penting, terutamanya zat besi dan antioksidan, yang membantu menyokong pembentukan sel darah merah.
Apa yang menarik, rutin yang diamalkan sangat mudah dan tidak membebankan ibu hamil, terutama bagi mereka yang mudah loya atau kurang selera makan.
Rutin harian yang diamalkan:
Pagi: Satu sudu pati delima bersama tiga biji kurma Malam: Satu sudu pati delima
Kurma dijadikan snek harian, manakala pati delima diambil secara konsisten mengikut saranan jururawat. Menurut suami tersebut, perubahan positif mula dapat dilihat selepas beberapa minggu mengamalkan rutin ini.
“Pati delima memang nampak membantu. Isteri pun tak cepat letih dan lebih bertenaga,” katanya.
Kombinasi kurma dan pati delima ini dikatakan sangat sesuai untuk ibu hamil yang kurang mengambil sayur dalam diet harian. Bagi sesetengah wanita mengandung, sayur boleh menyebabkan loya atau hilang selera makan.
Dalam situasi ini, pengambilan makanan alternatif yang berkhasiat dapat membantu melengkapkan keperluan nutrien, khususnya zat besi yang penting untuk pembentukan sel darah merah.
Antara manfaat utama pengambilan kurma dan pati delima semasa hamil termasuklah membantu meningkatkan paras Hb secara semula jadi kerana kandungan zat besi dan vitamin C, mengurangkan risiko anemia serta menyokong tahap tenaga harian ibu.
Selain itu, nutrien yang mencukupi turut menyokong perkembangan bayi dalam kandungan, termasuk perkembangan otak dan jantung, menguatkan sistem imun ibu serta melancarkan penghadaman dan mengurangkan masalah sembelit.
Kurma juga sering dikaitkan dengan manfaat ketika bersalin. Beberapa kajian mendapati pengambilan kurma secara konsisten di akhir kehamilan boleh membantu kontraksi yang lebih efisien, tempoh bersalin yang lebih singkat serta risiko koyakan yang lebih rendah.
Perkongsian ini menjadi peringatan bahawa peranan suami bukan sekadar menemani isteri ke klinik, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memastikan pemakanan dan kesihatan isteri terjaga sepanjang kehamilan.
Kadangkala, usaha kecil seperti menyediakan snek berkhasiat, mengingatkan rutin harian dan memberi sokongan emosi sudah cukup memberi kesan besar kepada kesejahteraan ibu dan bayi dalam kandungan.
Kerana kehamilan adalah perjalanan berdua, sokongan suami adalah kekuatan utama buat seorang ibu.
Penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang sedang menunggu hari untuk melahirkan anak keduanya baru-baru ini ada mengalami tanda-tanda akan bersalin. Namun Bella tetap mengadakan majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya Ayden pada Rabu lepas.
Memetik laporan Mstar Online, adik kepada Bella, Didi Astillah memberitahu sebelum majlis berlangsung kakaknya sudah membuat pemeriksaan dan doktor memaklumkan sudah ada bukaan rahim sebanyak 2 sentimeter.
“Malam sebelum majlis sambutan hari lahir Ayden, saya ada teman Bella pergi buat pemeriksaan doktor sebab dia dah ada rasa perut keras dan tanda nak bersalin.
“Doktor beritahu yang bukaan sudah 2cm tapi belum tiba masa untuk bersalin, jadi kami pun pulang ke rumah. Walaupun dalam keadaan macam itu, Bella tetap nak buat birthday Ayden.
“Memang risau juga tapi dia tetap nampak kuat dan Alhamdullilah majlis sambutan hari lahir Ayden pun berjalan dengan lancar,” kata Didi.
Dijangka bakal melahirkan cahaya mata perempuan pada 17 Julai ini, Bella berkata, apa yang lebih penting adalah memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Memetik pula laporan daripada BH online, penyanyi lagu Tenang itu berkata, biarpun berbulan-bulan tidak dapat bertemu berikutan pintu sempadan masih lagi ditutup, namun Aliff tak lupa tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Aliff tanpa gagal menghubungi setiap hari bertanya khabar mengenai saya dan anak, Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.
“Kesibukan kerja juga menyebabkan saya tidak sempat melayan perasaan. Lagipun, saya tidak bersendirian, ibu, ayah dan adik beradik sentiasa menemani. Jadi, saya tidak kesunyian atau sedih terpaksa melalui proses mengandung dan bersalin tanpa suami di sisi.
“Fokus saya hanya mahu proses bersalin berjalan lancar. Lagipun, saya sudah dewasa, tiada masa untuk terlalu banyak berfikir hal sedemikian. Sebaliknya, saya hanya reda dan bersabar dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sepanjang mengandungkan anak kedua, kata Bella, dia hanya mengalami alahan pada peringkat awal, tetapi kini selepas memasuki trimester ketiga, keadaannya kembali normal.
Bella berkata, dia tidak pernah mengeluh apabila pintu sempadan masih belum dibuka kepada orang luar kerana keputusan kerajaan demi kebaikan rakyat.
Walau berjauhan, Bella berkata, dia tetap merasa dekat dengan suaminya kerana setiap hari mereka saling berhubung untuk bertanya khabar.
“Walaupun berjauhan tidak bermakna Aliff melepaskan tanggungjawabnya. Kami berhubung setiap hari sama ada melalui panggilan suara dan video. Suami selalu mengambil berat mengenai saya dan bayi dalam kandungan, jadi saya tidak terasa sunyi.
“Apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangka. Saya akan mengikut sahaja keadaan, jika pintu sempadan di buka kembali, Alhamdulillah. Saya percaya ini semua dilakukan untuk kebaikan, jadi tak perlu untuk saya mengeluh. Semua orang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Bagaimanapun, rumah tangga mereka beberapa kali diuji hingga kemuncaknya berakhir dengan perceraian pada 16 Mei, tahun lalu. Namun, pasangan ini kembali rujuk ketika dalam tempoh edah dan kini sedang menanti kelahiran anak kedua mereka.
Adakah terdapat cara agar cepat hamil boleh dicuba? Semestinya ada, cuma keberkesanannya mungkin berbeza. Tetapi tidak salah mencuba, siapa tahu rezeki anda untuk berbadan dua.
Cara agar cepat hamil
Kini, anda dan pasangan sudah bersedia untuk mempunyai cahaya mata. Namun, ada kalanya ia tidak semudah yang disangka dan pastinya penantian adalah satu penyeksaan, bukan?
Sememangnya rezeki untuk memiliki zuriat adalah bergantung kepada perancangan Tuhan, tetapi sebagai manusia biasa, anda perlu berusaha dan berikhtiar sebagai cara agar cepat hamil.
Umumnya, terdapat beberapa perubahan pada amalan gaya hidup seharian yang dapat membantu meningkatkan kesuburan anda dan pasangan.
Antara petua cepat hamil yang boleh dicuba adalah:
#1: Pemeriksaan kesihatan
Apa kata sebelum anda merancang untuk mengandung, lakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
Tanyakan kepada doktor mengenai vitamin pranatal yang mengandungi asid folik, berfungsi melindungi daripada beberapa kecacatan kelahiran, seperti spina bifida.
Asid folik amat penting untuk peringkat awal kehamilan, disebabkan itu mustahak untuk memastikan anda mendapat cukup asid folik sebelum berbadan dua.
#2: Hentikan penggunaan kawalan kelahiran
Sudah tentu, jika ingin mengandung, anda perlu berhenti menggunakan sebarang alat kawalan kehamilan, termasuklah kondom.
Ini kerana terdapat kemungkinan anda memerlukan masa untuk mendapatkan tahap kesuburan kembali. Selalunya ia bergantung kepada jenis kawalan pencegahan kehamilan yang digunakan.
Secara umumnya, kesuburan diri akan kembali pada kitaran ovulasi yang seterusnya setelah anda menghentikan penggunaan kawalan kehamilan.
Terdapat juga kemungkinan, kitaran ovulasi mungkin tidak teratur pada permulaan tetapi jangan terkejut bahawa anda turut berpeluang untuk hamil!
#3: Berhenti merokok
Merokok sememangnya tidak membawa kebaikan waima kepada lelaki mahupun perempuan, bahkan ia boleh mengurangkan kesuburan.
Ia juga tabiat berbahaya kepada bayi jika anda masih merokok ketika hamil.
#4: Bersenam bersama bantu cepat hamil
Kekal cergas adalah antara cara agar cepat hamil yang boleh dicuba kerana ia membantu meningkatkan kesuburan.
Jika anda bukan kaki bersenam, mulakan dengan melakukan lebih banyak gerakan dalam kehidupan seharian anda.
Contohnya, memilih untuk menaiki tangga dan bukannya lif. Anda juga boleh bergembira dalam kelas tarian atau berjoging bersama pasangan.
Tetapi jangan berlebihan. Ini kerana wanita yang bersenam dengan kuat – seperti atlet profesional – ada kalanya mengalami gangguan kitaran haid dan menjejaskan kesuburan.
#5: Diet sihat
Pemakanan dan kesuburan saling berkaitan. Jika kalian mengikuti diet pemakanan yang seimbang, ia dipercayai dapat meningkatkan peluang anda untuk hamil.
Dapatkan nasihat pakar mengenai pemakanan yang bersesuaian untuk mereka yang merancang memiliki cahaya mata.
#6: Bertenang
Berusaha untuk mengandung boleh menyebabkan anda tertekan, betul tak? Tiada salahnya mengalami tekanan sekali-sekala dan ia tidak akan menjejaskan peluang anda.
Namun, jika berterusan dan bertambah teruk, ia boleh menipiskan kemungkinan anda untuk bergelar ibu bapa.
Sekiranya berada dalam keadaan tertekan, cubalah teknik meditasi, pernafasan mendalam atau saling memberikan urutan kepada pasangan.
#7: Elakkan alkohol antara cara agar cepat hamil
Alkohol boleh membahayakan kesihatan bayi jika anda minum setelah mengandung. Ini terutamanya pada fasa-fasa awal sebelum anda menyedari diri sedang berbadan dua!
Pengambilan minuman ini secara berlebihan turut boleh mengurangkan kesuburan lelaki. Jadi sebaiknya, jika merancang untuk mempunyai anak, elakkan minuman beralkohol.
#8: Hindari haba berlebihan
Apabila testis terlalu panas, kualiti sperma yang terhasil akan terjejas. Duduk untuk tempoh lama, meletakkan laptop di riba atau bekerja di persekitaran panas boleh mempengaruhi pengeluaran sperma.
Malah pemakaian seluar dalam ketat juga dikatakan menyumbang kepada ketidaksuburan sperma.
#9: Bercuti bersama
Ada kalanya apa yang kalian perlukan sebagai cara agar cepat hamil hanyalah untuk bercuti bersama bagi menghilangkan tekanan dan bersantai.
Malahan, ada pasangan yang bersetuju, percutian adalah kunci untuk mereka berbadan dua. Jadi tiada salahnya untuk mencuba, bukan?
#10: Seks secara berkala
Sudah pasti untuk mengandung, anda perlu melakukan seks. Itu kunci utama! Jadi sebaiknya lakukan secara kerap terutamanya ketika tempoh ovulasi.
Melakukan seks bersama pasangan antara 2 hingga 3 hari sekali sudah cukup baik untuk meningkatkan peluang kehamilan anda.
Tetapi jangan bersama dalam keadaan terpaksa kerana cuma akan menambahkan tekanan dan menyukarkan lagi peluang anda! Jika berada dalam keadaan penat, elakkan.
Dapatkan bantuan
Sekiranya anda sudah mencuba tip di atas namun masih tidak mendatangkan hasil dalam tempoh 6 bulan, dapatkan bantuan daripada pakar.
Ini khususnya jika anda berusia lebih 35 tahun, okay? Manakala bagi mereka berusia di bawah 35 tahun, teruskan mencuba sehingga setahun.
Paling penting, jangan pernah berputus asa dan semoga ada rezeki buat kalian untuk menimang cahaya mata.
Kredit: Hello Health
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.