
Pagi-pagi dah muntah, tengah hari pening, malam menangis dalam diam. Begitulah rintihan ramai ibu hamil yang mengalami morning sickness berpanjangan di awal trimester kehamilan.
Apabila gejala ini menjadi terlalu ekstrem ia bukan sekadar alahan biasa, tetapi boleh membawa kepada tekanan emosi serius, bahkan kemurungan kepada ibu hamil.
Kebiasaannya, gejala morning sickness ini akan berlaku pada awal kehamilan sehingga usia kandungan berusia sekitar 14 minggu.
Morning sickness, loya dan muntah yang biasa dialami ketika trimester pertama. Namun morning sickness dianggap berlebihan jika:
* Muntah lebih dari 3–4 kali sehari
* Tidak boleh makan/minum langsung
* Berat badan menyusut mendadak
* Mengalami hidrasi teruk
* Tekanan darah rendah ketika berdiri
* Sakit kepala
* Pengsan
Sering dianggap ‘manja’ dan ‘mengada-ngada’
Ibu hamil yang mengalami gejala ini lebih lama daripada tempoh tersebut disebut sebagai hyperemesis gravidarum (HG).
Kajian terbaru dari University of Southern California (2023) menunjukkan wanita dengan HG mempunyai 8 kali ganda risiko mengalami kemurungan klinikal semasa kehamilan.
Malah menurut Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (UK), HG bukan sahaja menyebabkan kesan fizikal tetapi mengancam kesihatan mental, merosakkan hubungan dengan pasangan, dan membawa perasaan bersalah, sedih dan terasing.
Di Malaysia, ramai ibu tidak mendapat sokongan atau rawatan awal. Ramai yang malu, dituduh ‘manja’ atau dianggap ‘biasa je tu’.
Namun realitinya:
* HG boleh membawa kepada kemasukan ke hospital berulang kali.
* Risiko kemurungan selepas bersalin meningkat 2 kali ganda.
* Ibu yang tidak dirawat mungkin menolak nutrisi, menyebabkan risiko bayi lahir pramatang.
Sokongan padu suami & keluarga
Dapatkan rawatan segera
Jika ibu muntah lebih dari 3–4 kali sehari atau tidak boleh makan, pergi ke klinik/hospital dan jangan tunggu. Ibu mungkin perlukan ubat anti-loya atau IV drip.
Jangan rasa bersalah
HG bukan salah ibu sebaliknya ini masalah hormon dan biologi, bukan disebabkan pemikiran negative jauh sekali manja dan mengada-ngada.
Sokongan emosi dari suami
Suami, keluarga dan rakan perlu menjadi orang terdekat yang memahami situasi ibu hamil. Bantu mereka jadi lebih bersemangat dan pujuk untuk makan dan minum seperti biasa.
Bantu ibu cari terapi dan aktiviti disukai
Bantu ibu mencari aktiviti yang disukai mereka bagi mengalihkan seketika emosi dan morning sickness yang dihadapi ini. Ia sedikit sebanyak membantu ibu dari terus murung tanpa sokongan.
Morning sickness yang melampau bukan sekadar loya dan muntah berterusan tetapi ia boleh mencederakan hati dan jiwa seorang ibu. Jangan anggap remeh.