Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pelakon dan pengacara terkenal, Shah Iskandar, berkongsi berita duka di Instagram apabila isterinya, Siti Sarah Mohd Noor, kini sedang melalui proses pengguguran selepas bayi dalam kandungan mereka disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Dalam perkongsian penuh sebak itu, Shah mengakui keputusan tersebut antara yang paling sukar dalam hidup mereka sebagai suami isteri. Namun atas nasihat doktor, mereka terpaksa akur bahawa prosedur itu perlu dilakukan demi keselamatan isteri tersayang yang baru sahaja menjalani pembedahan Caesarean lapan bulan lalu.
Keputusan Berat Akibat Sindrom Edwards
Menurut Shah, isterinya kini hamil 16 minggu anak ketiga, namun bayi mereka telah dikesan menghidap Sindrom Edwards, atau dikenali sebagai trisomi 18 keadaan genetik apabila terdapat lebihan kromosom yang memberi kesan besar kepada perkembangan bayi.
“Lapisan di belakang leher bayi menunjukkan ketebalan 4.8 sentimeter. Doktor menasihatkan supaya proses kelahiran diinduksi lebih awal dan kandungan digugurkan kerana menunggu lebih lama boleh mendatangkan risiko berbahaya kepada Sarah,” jelasnya lagi.
Risiko dan Harapan Kecil Untuk Hidup
Lebih menyayat hati, bayi yang dikandung itu hanya mempunyai kebarangkalian lima peratus untuk terus hidup, dan sekiranya berjaya dilahirkan, jangka hayatnya dijangka hanya antara enam bulan hingga setahun dengan bantuan alat sokongan hayat.
Ads
“Dengan hati yang amat berat, saya dan Sarah membuat keputusan untuk meneruskan proses pengguguran ini. Kami merasakan akan menjadi terlalu kejam untuk membiarkan bayi itu menanggung penderitaan hidup bergantung kepada mesin dalam tempoh enam bulan hingga setahun itu,” ujarnya dengan nada reda.
Doa dan Ketabahan Seorang Suami
Ads
Dalam hantaran sama, pelakon drama Nora Elena dan Jika Itu Takdirku itu turut memohon agar orang ramai mendoakan kesihatan isterinya serta dipermudahkan segala urusan proses pengguguran akibat Sindrom Edwards.
“Sarah telah dimasukkan ke wad sejak malam tadi dan telah melalui proses induksi kali kedua pada jam 5 petang tadi. Mohon semua doakan keselamatan Sarah serta agar proses pengguguran ini berjalan dengan lancar.
Semoga anak perempuan syurga kami menyambut kami di jannah nanti, insya-ALLAH.
Ads
Saya hanya memohon agar kalian semua mendoakan untuk anak saya, Maryam Inara, dan isteri saya, Siti Sarah. Terima kasih. Al-Fatihah,” titipnya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Yusuf Zulkarnaen dan Noah Arjuna.
Walau pahit menerima takdir, kasih seorang ayah dan suami jelas terpancar dalam setiap kata-kata Shah Iskandar reda, namun tetap sarat dengan doa dan harapan agar satu hari nanti mereka dapat bertemu semula dengan anak perempuan syurga mereka di alam abadi.
Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada pasangan ini dalam menghadapi ujian Sindrom Edwards yang amat berat ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang suami sanggup berbelanja ribuan ringgit demi membalas jasa dan pengorbanan isteri yang telah melahirkan serta membesarkan anak-anak. Kisah menyentuh hati ini dikongsi oleh Mod Yazid Ismail di Facebook apabila beliau mendedahkan kos rawatan gigi isterinya mencecah RM26,000.
Menurut Yazid, isterinya, Widyana Ali, mengalami kerosakan gigi selepas hamil dan melahirkan tujuh orang anak. Sepanjang tempoh itu, Widyana banyak berkorban mengandung dan menyusukan anak-anak dengan susu badan sepenuhnya. Namun, pengorbanan tersebut meninggalkan kesan pada kesihatan dirinya.
“Isteri saya banyak berkorban untuk anak-anak. Tapi akibatnya, kalsium banyak disalurkan ke anak sehingga gusinya bermasalah, giginya rapuh dan beberapa batang gigi geraham terpaksa dicabut,” jelas Yazid.
Bagi Yazid, geraham adalah bahagian penting dalam proses pencernaan. Jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. Atas sebab itu, beliau nekad membawa isterinya mendapatkan rawatan implant gigi di klinik swasta meskipun kosnya sangat tinggi.
“Saya buat banyak research sebelum buat keputusan. Memang kosnya mahal, RM26,000 hanya untuk dua batang gigi. Tapi demi kebaikan dia, saya sanggup. Di hospital kerajaan lebih murah, tapi kena tunggu lama,” katanya.
Yazid menambah, kesihatan isteri adalah tanggungjawab seorang suami. Beliau yakin rezeki yang dibelanjakan demi keluarga pasti diganti Allah SWT dengan keberkatan.
“Bagi saya, tiada harga yang boleh dibandingkan dengan kesihatan dan senyuman seorang isteri. Dia telah berkorban tubuh badannya untuk anak-anak, jadi sudah jadi tanggungjawab saya untuk buat apa yang perlu. Setiap sen yang dikeluarkan, insyaAllah Allah akan ganti dengan keberkatan.”
Menurut Yazid lagi, proses implan gigi isterinya masih belum selesai dan akan diteruskan pada bulan Oktober nanti.
Kisah ini bukan sahaja mengingatkan kita tentang pengorbanan seorang ibu, malah membuka mata betapa pentingnya sokongan seorang suami dalam menjaga kesihatan isteri selepas melalui pelbagai fasa kehamilan dan penyusuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah bila kita terpaksa berjauhan dengan insan tersayang. Sedangkan beberapa hari sudah terasa seksanya, apatah lagi jika bertahun-tahun lamanya. Rasa rindu pasti tidak tertanggung kan?
Seperti yang dikongsikan oleh pengguna Tiktok nanafeedoow ini, video yang memaparkan detik pertemuan suaminya dan anak lelaki mereka setelah empat tahun terpaksa berjauhan.
“Alhamdulillah welcome home abie 🤲🏻 selalu vc je dgn anak, kali ni kita suprise dadam reaction bila jumpa abie depan2” 😘 #ldrstory #ausiemalaysia #fyp
Kisahnya, selama empat tahun ini mereka hanya berhubung melalui panggilan video sahaja kerana suaminya bekerja di luar negara. Di dalam video tersebut dapat dilihat wanita ini acah-acah mengajak anak lelakinya yang dipanggil Adam itu untuk mencari kedai donat.
Tiba-tiba ada seorang lelaki datang menghampirinya dan mahu bersalam. Adam kelihatan keliru namun akhirnya tetap bersalam dan mencium tangan lelaki tersebut. Adam tak dapat mengecam lelaki itu sehinggalah akhirnya pelitup muka diturunkan ke bawah.
Tambah sedih bila Adam terus memanggil lelaki tersebut sebagai Abie dan mereka terus berpelukan. Biarpun ibunya ketawa melihat aksi dua beranak itu, tetapi tetap kedengaran dia menahan sebak.
Sedih sangat, empat tahun tu bukan tempoh yang singkat. Terpaksa berjauhan memang terasa rindu. Yang menonton juga turut meninggalkan komen betapa mereka tersentuh apabila melihat pertemuan mereka;
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diadakan sebentar tadi pastinya memberi kelegaan kepada sesetengah pihak, terutama bagi pengusaha kedai gunting rambut.
Keputusan menarik balik pembukaan beberapa sektor ekonomi termasuk kedai gunting rambut dirasakan wajar dilakukan kerajaan bagi membendung risiko wabak Covid-19, selepas merasakan perniagaan itu akan turut memburukkan keadaan. Malah perniagaan itu juga dikatakan agar sukar untuk melakukan penjarakkan sosial kerana melibatkan penggunaan alatan dan sebagainya.
Terdahulu, melalui sidang media berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah buat keputusan bahawa operasi kedai gunting rambut atau salun kecantikan serta kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini.
Keputusan ini diambil selepas menimbang tara permintaan dan pandangan rakyat serta mengambil kira pandangan daripada pakar-pakar tertentu serta badan-badan seperti NGO yang tidak mahu sektor itu dibenarkan untuk menjalankan operasi mereka bagi mengelakkan risiko jangkitan.
“Begitu juga dengan bazaar Ramadan, semua bazar Ramadan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini dilaksanakan,”” katanya lagi.
Dalam pada itu, menerusi Majlis Keselamatan Negara (Rasmi) juga, semua pelajar IPT yang berada di kolej dan kediaman mereka juga diminta untuk kekal berada di tempat masing masing sepanjang tempoh PKP.
Semua keputusan ini adalah tindakan dan usaha bagi memastikan rantaian Covid-19 ini berjaya diputuskan. Pergerakan besar-besaran pastinya akan tambah menyukarkan pemantauan.
“Saya harap pelajar semua faham kerana ini semua untuk menjaga kepentingan mereka dan keluarga serta masyarakat di sekeliling mereka,” kongsinya lagi.
Keputusan ini adalah sewajarnya bagi mengelakkan wujudnya kluster baru yang tambah memburukkan keadaan di negara kita. Terus tinggal di rumah dan jadikan ia satu tanggungjawab kita bersama.
Sumber: MKN
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.