
Bagi sesetengah ibu bapa, lubang kecil di bahagian depan telinga bayi kelihatan seperti tanda lahir comel atau seolah-olah si manja sudah ditindik sejak lahir. Namun, tahukah anda bahawa lubang kecil itu bukan tanda biasa? Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai sinus preauricular, satu keadaan yang nampak kecil, tetapi boleh mendatangkan risiko jika tidak dipantau dengan betul.
Sinus preauricular ialah kecacatan kongenital (sejak lahir) yang berlaku apabila proses pembentukan telinga semasa janin dalam kandungan tidak sempurna. Keadaan ini menghasilkan lubang halus di bahagian depan telinga, sama ada di satu atau kedua-dua belah. Ia merupakan antara kecacatan kecil yang paling kerap dilihat oleh doktor, terutama semasa pemeriksaan bayi baru lahir.
View on Threads
Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Klinik ENT Dr Ezairy Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, Dr Ezairy M Sallih, kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai sinus preauricular tidak mengalami sebarang masalah.
“Lazimnya, ia hanya dikesan semasa pemeriksaan fizikal rutin dan tidak memerlukan rawatan kecuali jika berlaku jangkitan,” katanya.
Walaupun biasanya tidak berbahaya, lubang kecil ini boleh terdedah kepada jangkitan bakteria. Apabila ini berlaku, kawasan sekitar telinga boleh membengkak, merah, sakit dan mengeluarkan nanah. Dalam kes yang lebih serius, jangkitan boleh menyebabkan pembentukan cyst atau abses (kantung nanah) yang memerlukan rawatan lanjut.
Jika simptom ini muncul, segera bawa anak berjumpa pakar ENT. Biasanya, doktor akan memberi antibiotik untuk mengawal jangkitan. Jika terdapat nanah, prosedur kecil akan dilakukan bagi mengeluarkan kandungan tersebut. Dalam kes berulang, pembedahan mungkin disarankan untuk membuang kantung sinus sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan berulang.
Menurut pakar, sinus preauricular boleh berlaku secara keturunan autosomal dominan, iaitu diwarisi daripada salah satu ibu atau bapa. Namun, ia juga boleh berlaku secara spontan tanpa sejarah keluarga.
Kajian turut mendapati keadaan ini lebih banyak berlaku pada telinga kiri berbanding kanan. Walaupun jarang, ada kes yang dikaitkan dengan masalah pendengaran atau buah pinggang, maka pemeriksaan lanjut oleh doktor sangat disarankan terutama bagi bayi baru lahir.
Bagi anak yang mempunyai lubang kecil ini, ibu bapa perlu lebih peka dalam aspek kebersihan telinga. Pastikan:
Sesetengah individu dewasa yang memiliki sinus preauricular berkongsi bahawa mereka perlu membersihkan kawasan itu setiap hari kerana bau kurang menyenangkan atau nanah yang keluar. Ini menunjukkan pentingnya rawatan awal dan pemantauan berterusan agar masalah tidak berulang.
Lubang kecil pada telinga anak memang kelihatan tidak berbahaya, tetapi ia boleh membawa risiko sekiranya diabaikan. Sinus preauricular mungkin kecil, namun implikasinya besar jika dibiarkan tanpa rawatan. Pemeriksaan doktor dan penjagaan rapi dapat memastikan si manja kekal sihat dan ceria tanpa sebarang komplikasi.
👶 Pesanan Pa&Ma: Jika anda perasan lubang kecil pada depan telinga bayi, jangan panik. Ambil gambar dan tunjukkan kepada doktor semasa pemeriksaan. Pemeriksaan awal boleh mengesan jika ada kaitan dengan masalah kesihatan lain dan memastikan anak anda mendapat penjagaan terbaik sejak awal lagi.
Sumber : Harian Metro, hellodoktor,