Bagi sesetengah ibu bapa, lubang kecil di bahagian depan telinga bayi kelihatan seperti tanda lahir comel atau seolah-olah si manja sudah ditindik sejak lahir. Namun, tahukah anda bahawa lubang kecil itu bukan tanda biasa? Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai sinus preauricular, satu keadaan yang nampak kecil, tetapi boleh mendatangkan risiko jika tidak dipantau dengan betul.
Apa Itu Sinus Preauricular?
Sinus preauricular ialah kecacatan kongenital (sejak lahir) yang berlaku apabila proses pembentukan telinga semasa janin dalam kandungan tidak sempurna. Keadaan ini menghasilkan lubang halus di bahagian depan telinga, sama ada di satu atau kedua-dua belah. Ia merupakan antara kecacatan kecil yang paling kerap dilihat oleh doktor, terutama semasa pemeriksaan bayi baru lahir.
View on Threads
Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Klinik ENT Dr Ezairy Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, Dr Ezairy M Sallih, kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai sinus preauricular tidak mengalami sebarang masalah.
“Lazimnya, ia hanya dikesan semasa pemeriksaan fizikal rutin dan tidak memerlukan rawatan kecuali jika berlaku jangkitan,” katanya.
Bila Sinus Preauricular Boleh Jadi Bahaya?
Walaupun biasanya tidak berbahaya, lubang kecil ini boleh terdedah kepada jangkitan bakteria. Apabila ini berlaku, kawasan sekitar telinga boleh membengkak, merah, sakit dan mengeluarkan nanah. Dalam kes yang lebih serius, jangkitan boleh menyebabkan pembentukan cyst atau abses (kantung nanah) yang memerlukan rawatan lanjut.
Ads
Contoh lubang dan benjolan cyst pada telinga.
Tanda-Tanda Jangkitan Sinus Preauricular
Bengkak dan kemerahan di sekitar telinga.
Rasa sakit atau pedih bila disentuh.
Keluar cecair atau nanah daripada lubang.
Timbul ulser kecil di sekitar kawasan tersebut.
Anak mengalami demam atau rewel tanpa sebab jelas.
Jika simptom ini muncul, segera bawa anak berjumpa pakar ENT. Biasanya, doktor akan memberi antibiotik untuk mengawal jangkitan. Jika terdapat nanah, prosedur kecil akan dilakukan bagi mengeluarkan kandungan tersebut. Dalam kes berulang, pembedahan mungkin disarankan untuk membuang kantung sinus sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan berulang.
Ada Kaitan Dengan Genetik & Masalah Lain?
Menurut pakar, sinus preauricular boleh berlaku secara keturunan autosomal dominan, iaitu diwarisi daripada salah satu ibu atau bapa. Namun, ia juga boleh berlaku secara spontan tanpa sejarah keluarga.
Kajian turut mendapati keadaan ini lebih banyak berlaku pada telinga kiri berbanding kanan. Walaupun jarang, ada kes yang dikaitkan dengan masalah pendengaran atau buah pinggang, maka pemeriksaan lanjut oleh doktor sangat disarankan terutama bagi bayi baru lahir.
Ads
Penjagaan Harian Untuk Elak Jangkitan Sinus Preauricular
Bagi anak yang mempunyai lubang kecil ini, ibu bapa perlu lebih peka dalam aspek kebersihan telinga. Pastikan:
Ads
Kawasan sekitar telinga sentiasa kering dan bersih.
Elakkan memicit atau membersihkan lubang dengan benda tajam.
Bawa anak ke klinik jika ada tanda jangkitan.
Sesetengah individu dewasa yang memiliki sinus preauricular berkongsi bahawa mereka perlu membersihkan kawasan itu setiap hari kerana bau kurang menyenangkan atau nanah yang keluar. Ini menunjukkan pentingnya rawatan awal dan pemantauan berterusan agar masalah tidak berulang.
Lubang kecil pada telinga anak memang kelihatan tidak berbahaya, tetapi ia boleh membawa risiko sekiranya diabaikan. Sinus preauricular mungkin kecil, namun implikasinya besar jika dibiarkan tanpa rawatan. Pemeriksaan doktor dan penjagaan rapi dapat memastikan si manja kekal sihat dan ceria tanpa sebarang komplikasi.
👶 Pesanan Pa&Ma: Jika anda perasan lubang kecil pada depan telinga bayi, jangan panik. Ambil gambar dan tunjukkan kepada doktor semasa pemeriksaan. Pemeriksaan awal boleh mengesan jika ada kaitan dengan masalah kesihatan lain dan memastikan anak anda mendapat penjagaan terbaik sejak awal lagi.
Bagi ibu menyusu, perkara paling utama yang difikirkan adalah untuk memberi susu secukupnya pada anak. Tapi jika pengeluarannya tak seperti yang diharapkan memang akan buatkan ibu jadi susah hati.
Sebolehnya semua ibu nak menyusukan anak dengan tenang. Ok apa kata cuba amalkan 4 bahan ini dan jadikan sebagai milk booster untuk memastikan susu maintain sepanjang masa.
Perkongsian dari Nursha Salleh atau Kekcha ini mungkin boleh membantu ibu menyusu yang masih lagi mencari alternatif untuk menambahkan susu.
Alhamdulillah, amalkan semasa pregnant susu meriah sangat-sangat. Lepas deliver baby, baby tak pernah berjaga malam kerana kekenyangan. Dan tidur tersangat-sangat lena sampai kan saya ni tak berjaga malam.
Sekali pam, akan dapat 120 ML tau. Kenyang baby. Syukur sangat. Okay jom saya nak kongsikan macamane nak dapatkan susu meriah.
1) Kurma (dibuang biji), badam dan kismis direndam
2) Blend dengan susu segar
3) Siap dan boleh diminum
Kurma, badam dan kismis ni memang power khasiat dia. Dari pregnant sampai lah dah beranak ni memang selalu orang kata elok makan kurma dan semua kat atas tu.
Kurma ni kalsium dan zat besi dia tinggi. Amalkan minum pagi dan malam sebelum tidur. Kurma, badam dan kismis kena rendam semalam okay.
Dari hari pertama deliver baby sampai la sekarang baby usia 3 bulan susu badan tak pernah drop. Kekcha tak penah amalkan apa-apa milk booster lain kecuali moeder tapi tak berapa nak menjadi sangat sampai lah amalkan yang ni je. Dah la senang nak dapat. Kat kedai sebelah rumah pun ada jual.
Tapi kan…….
Kalau dah ambil milk booster ni jangan lah ingat susu kita terus melimpah ruah hingga ke ladang gandum dengan serta merta. Goyang kaki je sambil tengok tv rilek-rilek tetiba susu banyak. Amboi mak enon. Tidak lah mudah sebegitu ye. Hehe.
Kena juga direct feeding dan pam untuk penghasilan susu badan yang lancar. Konsep nya mudah je. Ada permintaan (demand),ada bekalan (supply). Lagi banyak pengeluaran lagi banyak penghasilan susu badan yang baru. Jadi breast pun sentiasa penuh.
Selagi ibu tidak kerap menyusukan anak (1-2 jam sekali), bila anak bersama terutamanya pada waktu malam dan tidak mengosongkan payudara (mengepam 2-3 jam sekali) bila anak tidak bersama memang susu tidak akan terhasil walaupun anda makan milk booster berharga seploh juta sekali pun.
Sekian perkongsian saya terhadap ibu-ibu. Semoga ia dapat membantu mengenyangkan baby kita.
Kebanyakan doktor pergigian berpendapat bahawa penjagaan mulut atau gigi bayi dan kanak-kanak seharusnya bermula sebelum gigi pertama tumbuh. Kerosakan atau karies gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh dan terdedah kepada persekitaran mulut. Adalah amat penting untuk memastikan bahawa gigi dan gusi dibersihkan secara rutin bagi mengurangkan proses kerosakan.
Pertumbuhan Gigi
Gigi susu pertama mula tumbuh pada usia bayi 6 hingga 8 bulan dan set gigi susu akan tumbuh dengan lengkap ketika umur kanak-kanak mencecah 3 tahun. Gigi susu bawah depan akan tumbuh dahulu diikuti gigi susu depan atas. Bila semua gigi susu tumbuh, 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang atas dan 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang bawah.
Lawatan Pertama Ke Klinik Gigi
Pada Julai 2008, Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan program ‘ Early Childhood Oral Healthcare Never Too Early To Start’ yang mengesyorkan lawatan pertama ke klinik gigi harus bermula semasa bayi berumur enam bulan atau selepas gigi susu pertama tumbuh dan selewat-lewatnya pada umur satu tahun.
Bagaimana Kerosakan Gigi Terjadi?
Penjagaan mulut yang berterusan dan betul adalah penting untuk memastikan kesihatan gigi dan gusi serta mulut yang berbau segar. Jika gigi tidak digosok dengan cara yang betul, satu bahan berwarna kekuningan dan melekit yang dinamakan plak gigi akan terbentuk. Plak mengandungi kuman bakteria akan melekat pada gigi. Bakteria tersebut akan bertindak dengan gula menjadi asid dan akan menyerang dan mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ini adalah permulaan kepada pembentukan karies gigi. Karies gigi ini sekiranya tidak dikawal akan merebak ke lapisan dalam gigi dan terus mereputkan gigi dan membentuk gigi berlubang. Bakteria di dalam karies boleh terus merebak dan menjangkiti pulpa yang mengandungi saraf dan salur darah gigi. Sekiranya ini berlaku, kanak-kanak tersebut akan merasa sakit gigi dan gigi akan mati. Tanpa rawatan, jangkitan bakteria akan terbentuk di hujung akar gigi dan pembentukan ‘abses’ atau bisul pada gusi akan berlaku. Lebih teruk lagi sekiranya jangkitan merebak ke ruang tisu muka menyebabkan radang muka atau ‘facial cellulitis’.
Apakah Punca Utama Kerosakan Gigi?
Kerosakan gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan kerosakan pada gigi anak anda. Penjagaan gigi bermula dengan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa perlu ingat bahawa punca utama kerosakan gigi ialah daripada cairan, air minuman atau pemakanan yang bergula diberi kepada bayi. Faktor penting yang harus dipertimbangkan ialah jenis makanan, berapa kerap ia diambil dan berapa lama makanan tersebut berada di persekitaran gigi di dalam mulut.
Cairan seperti jus buah-buahan, susu ibu, susu lembu, susu formula dan air bergas mengandungi gula tersembunyi. Sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan cara yang betul, plak akan terbentuk. Gula yang berada di persekitaran gigi akan dicernakan oleh bakteria yang berada di dalam plak dan mengeluarkan asid yang menyebabkan gigi kanak-kanak mereput atau rosak.
Sekiranya anak anda mempunyai tabiat menghisap botol sepanjang hari, pastikan botol tidak diisi dengan cairan atau jus bergula. Setiap kali anak anda menghisap cairan bergula, asid akan terbentuk di dalam mulut dalam masa beberapa minit. Sekiranya cairan bergula dihisap berterusan, bayangkan asid akan sentiasa berada di dalam mulut dan proses pereputan sentiasa berlaku selama 24 jam! Ibu bapa patut menghadkan pengambilan jus bergula pada waktu makan tengah hari atau makan malam sahaja. Di antara waktu tersebut, cuba isi botol anak anda dengan air masak atau susu. Ibu bapa seharusnya cuba berusaha mengelakkan anak anda dari tidur dengan menghisap botol susu kerana air susu akan berkumpul dengan lama di dalam mulut anak anda dan ini boleh menyebabkan kerosakan gigi dengan cepat. Jika terpaksa, cuba secara perlahan-lahan cairkan kandungan susu di dalam botol dan akhirnya isi botol dengan air masak sahaja.
Kawal Pemakanan Yang Diambil Oleh Anak Anda.
Sudah tentu kanak-kanak sukakan makanan ringan bergula seandainya mereka terdedah kepada gula daripada peringkat bayi lagi. Pembelian makanan ringan bergula harus dijadualkan dan dihadkan pada waktu atau hari-hari tertentu sahaja, contohnya pada waktu tengah hari sahaja selang sehari, atau pada hujung minggu sahaja atau pada hari keramaian. Jika anak anda sudah biasa dengan jadual anda, anda akan dapati kanak-kanak amat memegang pada janji dan ia akan memudahkan penjagaan gigi anak anda. Pastikan juga jadual diikuti dan difahami oleh semua ahli keluarga, keluarga terdekat dan pengasuh anak anda supaya ia menjadi lebih berkesan. Anda boleh mengganti snek makanan bergula dengan snek yang lebih sihat seperti buah-buahan, snek sayuran, kerepek, kekacang, karipap dan sebagainya.
Bagaimana Penjagaan Yang Terbaik Untuk Anak Anda?
Bila memikirkan tentang penjagaan gigi susu, adalah amat penting untuk mengambil kira bahawa gigi susu memegang ruang untuk gigi kekal yang bakal tumbuh. Sekiranya gigi susu rosak dan terpaksa dicabut awal, ruang yang dikhaskan untuk gigi kekal akan hilang dan ruang itu hanya boleh diperolehi semula melalui rawatan ortodontik.
Pembersihan gigi susu bayi harus dimulakan sebaik sahaja gigi susu tumbuh walaupun anak anda hanya minum susu ibu atau susu formula sahaja. Caranya ialah dengan menyapu sedikit ubat gigi berfluorida ke atas kain lembut atau berus gigi bayi dan kemudian disapukan ke atas gigi bayi. Setelah gigi geraham susu mula tumbuh, anda boleh menukar ke berus gigi kanak-kanak yang lembut dan menggunakan ubat gigi berfluorida sebesar biji kacang pea. Jangan lupa untuk mencuci lidah dan gusi di mana bakteria bersembunyi dan menyebabkan mulut berbau. Lakukan 2 kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam sebelum tidur. Mencuci gigi dan mulut atau berkumur juga disyorkan pada setiap kali selepas bayi mengambil makanan.
Bilakah anda boleh membiarkan anak anda memberus giginya sendiri? Sebenarnya, anak anda tidak pandai memberus gigi dengan betul sehingga ia mula pandai menulis dan mula bersekolah. Walau bagaimanapun, adalah baik jika anda memberi anak anda memberus giginya sendiri jika dia mahu. Tetapi setelah itu pastikan anda memeriksa dan memberuskan giginya sekali lagi jika perlu. Berikan pujian kepada anak anda jika dia pandai memberus gigi dan beritahu jika dia tidak memberus di beberapa bahagian gigi. Tunjukkan cara yang betul secara berterusan sehingga anak anda pandai memberus gigi dengan baik.
Gunakan Ubat Gigi Berfluorida
Sedikit fluorida di dalam ubat gigi adalah baik untuk gigi anak anda yang sedang membentuk. Fluorida adalah sejenis bahan mineral menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria. Sesetengah negeri atau daerah di Malaysia menerima bekalan air yang mengandungi tambahan fluorida. Anda boleh bertanya kepada doktor gigi di kawasan anda. Jika anda tinggal di kawasan di mana saluran airnya tidak mengandungi fluorida, pastikan anak anda menggunakan ubat gigi berfluorida dari peringkat awal lagi. Jika anda tinggal di kawasan air berfluorida, dan anak anda berumur kurang dari 6 tahun, adalah disyorkan anak anda menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida tidak melebihi 600bpj (bahagian per juta) dan gunakan ia dalam jumlah yang sedikit iaitu sebanyak saiz kacang pea setiap kali memberus gigi. Ini adalah kerana kanak-kanak lebih cenderung menelan ubat gigi daripada meludahnya keluar. Menelan ubat gigi berfluorida dengan banyak dalam masa yang panjang akan menyebabkan terjadinya fluorosis. Sekiranya fluorosis terjadi, ia adalah tidak bahaya dan boleh dirawat. Fluorosis ialah kecacatan kepada lapisan paling luar gigi iaitu lapisan enamel. Fluorosis yang ringan akan menyebabkan garisan atau tompok putih terbentuk pada lapisan enamel dan ianya tidak berapa kelihatan. Fluorosis yang berat akan menyebabkan lekukan kepada enamel dan warnanya menjadi coklat.
Penggunaan Puting
Walaupun penggunaan puting boleh menyebabkan anak anda diam, penggunaannya secara berterusan adalah tidak digalakkan. Kebanyakan kanak-kanak berhenti menggunakan puting dengan sendiri semasa berumur antara 2 hingga 4 tahun. Walau apa pun, penggunaannya seharusnya dikurangkan bila anak anda mencecah umur 3 tahun, dan pastikan ianya tidak digunakan langsung bila anak anda berumur 6 tahun bila gigi kekal mula tumbuh. Ini adalah kerana puting boleh menyebabkan penyusunan gigi kekal tidak rata dan tidak cantik. Sekiranya puting dicelup dengan manisan, ia akan menyebabkan gigi anak anda mudah rosak. Juga pastikan tidak memberi anak – anak menggigit benda-benda keras kerana ia boleh mencederakan gigi dan gusi serta boleh menyebabkan gigi anak anda patah.
Kesimpulan
Penjagaan kesihatan pergigian bayi dan kanak-kanak memerlukan pemerhatian dan penjagaan awal yang teliti serta berkesan. Ia memerlukan ilmu pengetahuan, kesedaran dan keprihatinan daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa/penjaga. Gigi yang sihat akan menyumbang kepada pertumbuhan kanak-kanak yang sihat dan seterusnya membentuk individu-individu yang cemerlang di dalam pelbagai bidang.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Tanggal 18 Oktober lalu, penyanyi Fara Hezel yang juga kakak kepada Aiman Tino telah pun selamat melahirkan bayi sulungnya. Kelahiran cahaya mata sulung yang sememangnya dinantikan keluarga ini.
Menerusi satu entri di instagram miliknya semalam, Fara Hazel telah pun mendedahkan nama buat putera sulungnya.
Farah dan suami sepakat memilih nama cukup indah buat anak sulung mereka, Tengku Muhammad Aisy Al-Abidin Petra Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin. Nama dengan makna yang cukup indah dan sempurna.
“Bismillahirrahmanirrahim. Syukur ke hadrat Illahi kerana mengurniakan rezeki kepada kami seorang cahaya mata yang selamat dilahirkan pada 18/10/2020 jam 6.05am.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan putera sulung kami. Tengku Muhammad Aisy Al-Abidin Petra bin Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin,” tulisnya.
Bukan hanya berkongsi nama, bahkan Fara juga turut berkongsi gambar si comel Tengku Muhammad Aisy selepas 10 hari kelahirannya. Semoga teruslah menjadi pelengkap bahagia buat ibu dan ayah.
“Handsomenya Baby Muhammad”
Dalam pada itu, para pengikut Fara di instagram turut memuji nama indah itu. Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah di atas kelahiran dan mendoakan kesejahteraan ibu dan bayi.
“Tahniah.. Comelnya baby & nama lawa”
“Hensemnya baby Muhammad. Assalamualaikum baby”
“Tahniah farahhh!!!! Comelnya baby & nama diaaaaa fuhhhhhh! Sedap gila. Semoga jadi anak yang baik ya baby”
Terdahulu, Fara yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Aiman Tino itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin pada 20 Disember 2019.