Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali kekal menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya berhubung dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella, empat tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, selepas mendapati tiada sebarang kekhilafan fakta atau undang-undang dalam dapatan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Menurut Hakim Azman, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan. “Dengan ini sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan, rayuan atas sabitan adalah ditolak,” katanya.

Ads

Latar Belakang Kes

Siti Bainun, 33, sebelum ini didakwa mengabai dan menganiaya mangsa berusia 13 tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Bagi pertuduhan pertama, beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, manakala bagi pertuduhan kedua penjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula tarikh sabitan. Selain itu, Siti Bainun diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Ads

Kes ini dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Perkembangan Terbaharu

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak notis usul dan afidavit baharu yang difailkan bagi memasukkan bukti baru. Bukti tersebut adalah laporan polis oleh Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin, yang juga saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Siti Bainun sebelum ini.

Ads

Sepanjang prosiding, Siti Bainun diwakili barisan peguam Mohd. Haijan Omar, Nurul Hafidza Hassan dan Nur Aminatul Mardhiah Md. Nor. Sementara itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.

Siti Bainun yang memakai jubah putih dilihat tenang ketika keputusan dibacakan oleh panel hakim.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads