Walaupun pengalaman yang dikongsi penyanyi Stacy lucu tetapi ia pasti akan jadi kenangan paling bermakna dalam hidup mereka sekeluarga.
Beberapa hari sebelum kedatangan Aidil Fitri, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad ini berkongsi gambar di Instagramnya sedang menjahit baju raya mereka sekeluarga.
Sebenarnya Stacy baru dua bulan belajar menjahit pakaian menerusi You Tube dan buku jahitan dan berjaya menjahit sendiri pakaian pertama untuk anaknya Bella Deluna, 6, dan Eshaal, setahun pada Pesta Kaamatan yang disambut April lalu.
Sejak itu kata Stacy, Akim memintanya menjahit sendiri baju raya mereka sekeluarga. Dia siap belikan mesin jahit lengkap dengan mesin jahit tepi.
Sebagai isteri yang patuh pada suami, Stacy menyahut cabaran tersebut biarpun terpaksa menghadap mesin jahit 24 jam semasa bulan Ramadan.
Dalam posting terkininya, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 28, memuatnaik gambar mereka sekeluarga memakai baju raya sedondon hasil jahitan tangannya sendiri.
Namun yang lucunya bila Stacy berkongsi kisah lucu di sebalik proses menyiapkan baju raya tersebut.
Menurut Stacy baju kurungnya jadi singkat disebabkan anaknya Eshaal mengambil kain yang sudah dipotong dan diasingkan serta mengacau dirinya yang tekun menjahit.
IKLAN
Paling lucu lagi bila baju Melayu Akim sudah sama seperti potongan baju kurung perempuan disebabkan Stacy terlupa menjahit poket baju Melayu suaminya kerana terlalu fokus menjahit tulang belut pada leher baju tersebut.
“Beginilah kalau hasil tangan amatur…yang penting pengalaman lah kan?” ujar Stacy lagi.
Apa pun usaha yang dilakukan oleh Stacy tersebut patut diberi pujian biarpun baju raya mereka tidak sempurna jahitannya.
IKLAN
Akim Hargai Usaha Stacy
Nampaknya usaha pelontar single terbaharu Raja ini menyahut cabaran suaminya untuk menjahit sendiri baju raya mereka sangat dihargai oleh Akim.
Dalam posting di Instagramnya, Akim meluahkan penghargaan terhadap isteri tercinta yang gigih dan tekun menjahit sendiri baju raya walaupun tanpa pengalaman.
Memang sweet habislah bila baca kapsyen ditulis oleh Akim yang sebenarnya tak kisah pun walaupun baju raya mereka banyak kekurangannya. Tetapi menurut Akim kekurangan tersebutlah membuatkan dia terima isterinya.
IKLAN
Selamat hari raya semua, inilah baju yang dijahit oleh isteri tercinta, sebuah tugasan yang diselesaikan oleh isteri saya, betapa tekunnya dia menjahit walaupun tak pernah pun jahit baju kurung dan baju melayu ni.
Walaupun ada kekurangan yang menjadikan ia memori untuk kami berdua kenang dan ingatkan, tapi kekurangan itulah yang buat aku terima kau wahai isteriku.
Ketekunan kau itulah yang membuat aku memilihmu. Bukan baju yang sempurna yang aku mahukan, yang aku mahu adalah kau dan keluarga kecil kita. Semoga engkau menjadi isteri yang sentiasa patuh pada suamimu. Dan aku berdoa semoga Allah sentiasa memberikan kurnia padamu wahai isteri.
Bertuah Akim kerana dikurniakan isteri yang sangat bersederhana dalam kehidupan bahkan tekun berusaha biarpun tugasan tersebut tak pernah dilakukan sebelum ini. Kesungguhan Stacy untuk belajar menjahit dan menyiapkan baju raya sekeluarga pasti akan menjadi memori paling berharga pada anak-anak dan suami tercinta.
Usaha Stacy ini patut dicontohi oleh ibu-ibu lain kerana hasil tangan ibu atau isteri pasti akan lebih dihargai oleh anak-anak dan suami. Selain puas hati boleh buat sendiri, ia juga salah satu cara berjimat di musim perayaan.
Tiada mana-mana ibu bapa yang suka melihat anak dalam kesakitan atau kecelakaan. Adat anak-anak sedang membesar kadang-kadang walaupun sedaya upaya menjaga keselamatan anak, pasti ada sahaja akal si kecil ini.
Ibu ini sudi berkongsi kisah anaknya yang tercekik duit syiling 20 sen untuk dijadikan panduan buat ibu bapa lain.
Sebenarnya untuk iktibar semua kalau nak kata kecuaian daripada kami ya, kami mengaku, dan kanak2 ni juga sejuta kemungkinan boleh terjadi, dalam umur yang aktif nak explore segala macam benda sekeliling.
Dengar Suara Anak Tersedak
Reza tercekik coin, jam 10pm bed time semua dah masuk tidur kecuali husband aku, kerja, dalam jam 11pm Reza belum tidur dan cari daddy, daddy kat depan tertidur di sofa, Reza keluar & masuk bilik balik tepuk aku yang tengah tidur, aku dengar dia macam tersedak2 dan nampak samar2 dia tercungap dan susah bernafas. Aku terus tepuk2 belakang dia konon nak buat step yang macam aku selalu tengok macam mana nak handle bila anak choking.
Bukan mudah! sebab Reza keraskan badan, kepala dongak cuba mencari nafas, sebelah tangan aku tak mampu nak angkat badan dia dengan sebelah lagi tepuk belakang, lagipun dia meronta dengan kuat, aku jerit panggil husband, husband tepuk2 dan angkat tangan Reza. Akhirnya dengar bunyi Reza nangis lega aku! Allahhu!. Tengah menangis Reza muntah, muntah susu yang dia minum jam 10pm tadi. Tapi hanya susu.
Masa Dia Tidur Air Liur Banyak keluar (Simptom Tertelan Sesuatu)
Aku cakap husband ada benda yang Reza dah telan, tapi kami tidak tahu benda apa, dan dia muntah lagi, Reza nampak lemah pucat, dia tertidur aku monitor je nafas dia, sambil tangan kalut goggle info. Masa dia tidur air liur banyak keluar, ni antara simptom dia tertelan sesuatu. Terus aku ajak husband pergi klinik, jam dah 11.30pm.
Kerap Muntah
Dalam perjalanan muntah lagi, sampai klinik pun muntah lagi masa tunggu turn jumpa doctor (fast lane), tidak ada xray kat klinik Azzahran (rosak katanya) doctor bagi reference letter kami ke Hospital Annur Bangi, xray ada tapi ON CALL kena tunggu dalam masa 1 jam untuk juru xray datang Reza muntah lagi, dan baru aku perasan Reza ni tak bercakap pun selepas tercekik, dia lemah je mungkin mengantuk juga.
Xray Menunjukkan Dia Tertelan Sesuatu Iaitu Syiling 20@50 Sen
Tengah xray dia muntah lagi. Dan dia memang tertelan sesuatu iaitu syiling 20@50 sen! Panic dah aku sebab syiling tu tersekat ditekak dia antara saluran pernafasan dan pemakanan. Jam 1.30am jumpa doctor dan dimaklumkan Hospital Annur tidak ada alat untuk keluarkan syiling tersebut (dah order katanya tapi belum sampai. Kami dicadangkan ke KPJ Kajang dengan cepat dan kena monitor muka(takut bertukar biru) dan nafas Reza, ada time macam susah Reza nak tarik nafas. Sepanjang perjalan ke KPJ Kajang tangan aku sentiasa didada Reza. Jauh sangat rasa perjalanan tu. Reza tidur dan masih tidak bercakap aku tanya dia angguk geleng je. Aduhhhh!
Di Referkan Ke KPJ
Sampai KPJ bahagian kecemasan aku cakap yang anak aku tertelan/tercekik sesuatu, terus receptionist tu cakap sorry bilik baby penuh dan kami takde bilik sekarang dan dicadangkan pergi je hospital lain, eh taik je! aku dah naik angin sebab ini adalah harapan terakhir kami setelah 3 tempat pergi untuk rawatan. Dia terus tolak kami tanpa tengok xray yang aku bagi dia, kemudian aku cakap kami emergency anak dah sesak nafas kau nak suruh aku pergi mana lagi? Alasan kau simple takde bilik! And macam ni ke kau layan customer kau? (Maaf ye bahasa baik tetiba hilang pulak time ni) Kemudian doctor lelaki nama Nur (tak ingat nama penuh) datang dan maklumkan yang takde bilik nak stay kalau kena warded nanti, husband aku dah marah, wah! Banyak nya penduduk Kajang sakit malam ni?!
“panggil manager aku nak jumpa!” aku dah nangis time tu!
Tiada Pakar Bedah Kanak-Kanak Di KPJ
Sebab bilik tak ada mereka tidak mahu rawat anak aku, kalau time tu jugak anak aku collapse macam mana?! Sorang wanita India datang, Sarojini (manager / sister) dia yang terangkan bahawa KPJ tidak ada Pakar Bedah Kanak- Kanak. Aku terus cakap habis apa yang korang nak ding dong dari tadi pasal bilik penuh?! Cuba cakap dari mula lagi yang korang TAKDE PAKAR BEDAH KANAK KANAK, mesti kami faham dan terus ke hospital lain, mesti korang tertanya kenapa nak pegi private kan? Time ni kami nak cepat, anak sesak nafas mesti nak rawatan yang cepat, lagipun KPJ ni antara panel company husband.
Terpaksa Ke Hospital Kajang
Akhirnya hospital terdekAt adalah hospital Kajang kami terus ke situ, nak ke Serdang jauh dan takut apa apa terjadi kat Reza sebab dah terlalu lama.
Terus ke kecemasan dan terus ke zon kritikal. Dengan segera doctor perempuan check Reza check heartbeat check oksigen semua masih terkawal cuma nafas ada kalanya sangkut2. Kemudian ada lagi doctor lelaki datang jumpa kami dan check Reza sekali lagi, terus ambil xray yang kami bawa, ajak kami sama2 tengok xray Reza dengan cerita yang teliti.
Alhamdulillah Akhirnya Dapat Masuk Ke Ward & Dicadangkan Ke HKL
Dr. Ahmad Afiq dengan muka yang asyik tersenyum sengeh, penerangan yang jelas, serba sedikit hilangkan rasa panic gusar kami. Akhirnya Allah jumpakan kami dengan malaikat kecilnya 🤲🏻. Terima kasih semua doctor staf kecemasan Kajang 🙏🏻. Alhamdulillah warded jam 5am Hospital Kajang.
Dr Afiq maklumkan akan jalankan 1 lagi xray untuk kesan pergerakan coin tu dah ke mana dah masuk tabung atau belum. Jadi kami tunggu xray buka jam 8 pagi. Sementara itu nurse still monitor keadaan Reza. Alhamdulillah 🤲🏻. Aku boleh rest baring sama2 dengan reza. Husband balik ambil kakak dan hantar dia ke sekolah, dari jam 11.30pm kami tinggalkan dia seorang tidur di rumah.
Xray Kali Ke-2 Syiling Masih Pada Kedudukan Yang Sama
Xray kali kedua kedudukan syiling masih sama tak bergerak. Kami dicadangkan ke HKL kerana Kajang tidak ada equipments yang cukup untuk operation.
3.30pm sampai HKL dengan ambulance 🚑 siap je warded 3-4 orang doctor pakar datang interview kami, operation 6.30pm ditangguhkan 2 jam sebab Reza minum air dia minta sendiri dari katil depan dia. Aku dengan husband ada urusan di emergency jadi kami tinggalkan dia sekejap.
Doktor Bius Suruh Cium Anak & Doakkan Dia Selamat
8.30 malam masuk OT, aku pangku Reza dia tidur masa tu lemah sebab dah hampir 20jam puasa. Aku masuk sama2 dalam OT doctor biuskan Reza dalam dakapan aku, beberapa saat saja Reza dah lembik dengan air liur banyak keluar berbuih buih. Doctor bius suruh aku cium dia dan doakan dia kuat dan selamat 😢. Nangis aku!
Alhamdulillah Pembedahan Berjaya
10pm Alhamdulillah syiling berjaya dikeluarkan. Terima kasih semua doctor pakar & staff paediatric HKL 🙏🏻.
Terima Kasih Pasukan Perubatan
Aku sarankan kepada semua ibu bapa sekiranya Allah uji kamu sama seperti aku, segeralah ke Hospital Besar daerah masing2 jangan tangguh. Aku takut kes seperti aku berulang kepada kamu dan masa untuk menyelamatkan anak2 kamu singkat @ tidak cukup 🙏🏻.
*coin yang Reza telan mungkin jatuh dari pocket seluar husband sebab dia tertidur di sofa selepas balik kerja. Sebelum ni sebiji lego pun tak pernah dia masukkan dalam mulut.
Terima kasih semua staff Hospital Kajang & HKL – Hospital Wanita & Kanak Kanak Kuala Lumpur yang melayani kami dengan sangat baik
Niat pasangan suami isteri membawa dua anaknya bercuti pada hujung minggu ke taman tema air berakhir tragedi apabila anak sulungnya ditemui lemas.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa Muhamad Uzir Amri Muhamad Nur Fiqri Zakaria, 4, dikeluarkan dalam keadaan lemah dari salah sebuah kolam renang dewasa oleh orang ramai.
Ibu mangsa Norshazela Rosli,27, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu dilihat begitu teruja untuk mandi-manda sejak beberapa bulan lalu selepas memberitahu hasrat mengunjungi taman tema air itu.
Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa anaknya kerana percutian yang dirancang sejak minggu lalu adalah hajat arwah untuk mandi di situ.
Katanya, dia bersama suaminya bertolak dari rumah di Kulai, Johor kira-kira jam 10 pagi sebelum tiba di taman tema tersebut pada jam 1 petang.
“Memang dari dulu arwah nak sangat bercuti di taman tema air dan kami tunaikan hajatnya namun ini yang berlaku. Saya reda dengan ketentuan takdir Allah.
“Ketika sampai di tama tema air arwah begitu seronok dan tak sabar nak mandi serta cepat-cepat tukar baju.
“Sebagai ibu saya tak minta insiden ini terjadi dan percaya kehidupannya di sana lebih baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Forensik Hospital Melaka.
Nor Shazelah berkata, sebelum ini dia tidak sedap hati untuk bercuti sehingga ada rakannya menegur apabila dia suarakan rasa itu.
“Rakan kata sepatutnya saya gembira nak bercuti, tetapi sebaliknya. Memang saya tidak sangka rasa yang saya alami itu petanda kejadian ini,” katanya.
Norshazela yang juga mempunyai seorang lagi anak, Muhamad Uzir Amsyar, 1, memaklumkan akan mengebumikan jenazah anaknya di kampung halaman suami di Felda Bukit Ramun Kulai, Johor.
Menurutnya, dia juga perlu kuatkan semangat menerima kehilangan anak sulung daripada dua beradik itu kerana suaminya, Muhamad Nur Fiqri Zakaria, 29, lebih terkesan disebabkan rapat dengan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Niat mahu mendapatkan kucing peliharan yang berkelakuan aneh secara tiba-tiba membawa kepada penemuan bayi perempuan yang dibuang berhampiran kawasan pembakaran sampah di Jalan Dusun Muda.
Bayi perempuan yang masih bertali pusat dan terdapat kesan darah pada anggota badan itu ditemui pada jam 8.10 pagi. Pemilik kucing tersebut, Mohd Norazam Che Wahab. Dia sebelum itu melepaskan kucing betina peliharaannya di luar rumah namun secara tiba-tiba haiwan berkenaan terus berlari pantas ke kawasan rumput berhampiran tempat pembakaran sampah.
“Saya dengar bayi menangis, mula-mula saya ingatkan bunyi kucing lain dan tak nampak apa-apa.
Dia yang bimbang kucing terbabit hilang mengikut haiwan itu berlari dan kemudian berhenti di kawasan sampah berkenaan sebelum terdengar tangisan bayi. Sebaik ternampak bayi tersebut dia kemudian berlari memanggil jiran untuk mengambil dan mengangkatnya kerana bimbang digigit semut.
“Saya tanya jiran, mereka beritahu saya tidak ada bayi di rumah itu sebelum ternampak seorang bayi perempuan tidak berpakaian di atas rumput,”
Penduduk yang membantu mendukung bayi tersebut dan membalutnya dengan sehelai tuala.
“Mereka kemudian keluar ambil bayi tersebut dan balut dengan sehelai tuala. Salah seorang anak jiran pula menghubungi pihak polis untuk memaklumkan penemuan ini,”
Salah seorang jiran memberitahu, ketika keluar rumah pada awal pagi tadi untuk menghantar anak ke sekolah, dia ternampak sebuah kereta berhenti dalam tempoh agak lama di kawasan penemuan bayi perempuan itu. Tapi tak syak apa-apa yang pelik sampailah dia sendiri beritahu perkara itu kepada Norazam selepas penemuan bayi ini.
Mohd Norazam mendukung kucing peliharaannya yang membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan di Jalan Dusun Muda. Diharapkan bayi tersebut berada dalam keadaan yang baik dan ditempatkan bersama keluarga yang baik-baik.