Pengalaman menyusukan anak buat pertama kalinya adalah detik paling indah buat semua ibu. Pun begitu bila susu yang dinantikan tak semeriah orang lain pastinya buat ibu tertekan. Lebih-lebih lagi bila anak menangis minta disusukan.
Berbeza bagi doktor cantik, Dr Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad, doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di sebuah pusat perubatan di ibu kota ini yang tetap mengamalkan petua tradisional bagi memperbanyakkan susunya.
Baginya pengalaman menyusukan adalah paling menggembirakan. Malah ibu muda ini tidak mengalami masalah kekurangan susu seperti ibu lain.
Rupanya ada tip yang dilakukan oleh doktor kita ni. Menariknya stok susunya makin meriah walaupun telah kembali bekerja. Apa caranya? Ikuti perkongsiannya.
“Menyusukan anak di awal kelahiran adalah satu perasaan yang cukup mengujakan bagi semua ibu-ibu. Begitu juga yang dilalui oleh saya.
Pengalaman menyusukan Baby Ally pada permulaannya saya akui sedikit mencabar minda. Jujurnya menyusukan anak memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang cukup tinggi. Tidak cukup tidur dan sebagainya namun alhamdulillah saya berjaya laluinya.
Ads
Apa yang saya amalkan sepanjang hamil adalah makan 3 biji kurma setiap hari. Saya jadikan sebagai kudapan saya setiap hari dan alhamdulillah petua ini berjaya. Alhamdulillah ada rezeki buat Alesha. Susu masih banyak dan tak putus sehingga kini.
Dan petua ini juga saya amalkan sehingga kini. Kadang-kadang bosan dengan kurma saja, saya pelbagaikan dengan kisar kurma, susu, kismis, badam dan minum setiap hari disamping minum air dalam jumlah yang banyak.
Alhamdulillah kini saya masih lagi sedang menyumpul stok susu untuk Alesha setelah kembali bekerja. Niat saya pastinya ingin memberikan penyusuan eksklusif kepada Alesha padanya sehingga usianya 2 tahun, insyaallah,” katanya lagi penuh berharap.
Ads
Sementara itu, doktor cantik ini juga berkongsi tip yang sama di instagramnya.
1. Stock up! Mulakan mengepam dan sentiasa tambahkan bekalan susu anda. Hungry baby is grumpy baby. Beli freezer.
Ads
2. Pump: Semasa saya cuti bersalin, saya pam setiap 3-4 jam sambil beri secara direct pada Ally. Sekarang saya cuba untuk tidak melebihi 5 jam di tempat kerja. Jika tak berjaya, saya bekerja keras untuk waktu yang terlepas. Melaburlah untuk pam susu yang terbaik.
3. Bagi hari Isnin hingga Khamis, susu yang saya pam saya gunakan untuk keesokan harinya. Manakala untuk hari Jumaat pula, susu masukkan ke dalam penyejuk beku. Ahad malam biasanya saya akan keluarkan susu yang terdahulu dan cairkan semalaman untuk kegunaan hari Isnin. Hujung minggu saya direct BF.
4. Malah saya juga gunakan label pada botol susu untuk pastikan saya ambil susu yang betul. Label ni lebih bersih dan botol pun tak ada cebisan kertas dan gam. Malah boleh tulis semula, boleh dibasuh & boleh diguna semula untuk kegunaan harian.
Dapatkan cerita menarik dan perjalanan kehamilan dan kelahiran yang cukup indah bagi social influencer ini di Majalah Pa&Ma April 2019.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melahirkan anak secara pembedahan caesarean memerlukan anda menjaga luka tersebut dengan lebih rapi. Hal ini disebabkan luka dan jahitan tersebut adalah lebih besar berbanding luka episitomi.
Malah, penjagaannya juga berbeza kerana satu luka di perut dan satu lagi di faraj. Luka akibat pembedahan caesarean mengambil masa empat hingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya.
1. Berjalan di awal pembedahan
Ada yang kurang berani untuk bergerak selepas pembedahan. Dibimbangi benang jahitan terbuka.
Perlu anda tahu bahawa dengan berjalan secara perlahan-lahan, ia akan mengurangkan risiko darah beku lalu mempermudahkan proses penyembuhan luka.
Kejadian jahitan terbuka hanya kerana disebabkan oleh aktiviti berjalan perlahan-lahan ini memang jarang berlaku.
2. Makan makanan seimbang
Jika mahu luka cepat sembuh, pengambilan makanan seimbang penting. Untuk tujuan pemulihan, anda perlu makan makanan yang mengandungi banyak protein seperti ikan, ayam dan daging.
Namun pilih ikan yang diketahui tidak gatal. Untuk ayam dan daging pula, jika anda akan mengalami kegatalan selepas makan, elakkan daripada mengambilnya.
Jangan lupa ambil sayur dan buah kerana ia kaya dengan kandungan serat yang boleh mengurangkan masalah sembelit.
Pastikan tubuh cukup vitamin terutamanya vitamin C kerana ia dapat mempercepatkan proses penyembuhan.
3. Minum air secukupnya
Anda disarankan untuk meminum air yang secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi. Jika tubuh kekurangan air, ia boleh menyebabkan sembelit dan menyukarkan proses pembuangan najis, urin dan toksin.
Malah, dehidrasi memberikan tekanan kepada perut dan bahagian luka. Jadi minumlah air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
Jangan minum banyak sekaligus. Sebaliknya minum sedikit demi sedikit sepanjang hari.
4. Hati-hati ambil ubat tradisional
Tidak semua jenis herba dan ubat tradisional selamat. Ada yang boleh memberikan kesan sampingan seperti mengganggu proses pengecutan rahim dan menyebabkan pendarahan faraj yang banyak.
Anda perlu berhati-hati terhadap pengambilan ubat tradisional terutamanya daripada segi kebersihannya. Dikhuatiri kandungannya akan membahayakan kesihatan. Ada juga yang mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang anda.
5. Menyusu susu ibu secara eksklusif
Penyusuan susu ibu terbukti dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Setiap kali menyusu, tubuh mengeluarkan hormon oksitosin yang membantu mengecutkan rahim dan mengurangkan risiko tumpah darah.
Terdapat teknik-teknik menyusu yang sesuai untuk ibu bersalin caesarean. Anda boleh pelajarinya daripada jururawat dan bidan hospital. Anda juga boleh mendapatkan tip menyusu daripada kawan yang pernah melahirkan secara pembedahan.
6. Pastikan luka kering dan bersih
Biarkan luka terdedah kepada udara atau gunakan alat pengering rambut sekiranya perlu. Hanya gunakan mod angin sejuk.
Jangan menggaru luka atau menyapu sebarang ubat tanpa saranan doktor. Dibimbangi akan berlaku risiko jangkitan kuman pula.
7. Elak aktiviti mendatangkan kesakitan
Aktiviti seperti menaiki tangga atau membongkok boleh membuatkan anda berasa lebih sakit. Oleh itu, elakkan daripada melakukan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya satu minggu selepas pembedahan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanser adalah satu diagnosis yang boleh mengejutkan sesiapa sahaja, apatah lagi bagi wanita yang sedang hamil atau merancang untuk memulakan keluarga. Persoalan tentang bagaimana kanser mempengaruhi kehamilan, rawatan kesuburan, dan kehidupan selepas rawatan sering menjadi tanda tanya.
Walaupun cabaran ini cukup berat, ramai wanita telah berjaya menjalani perjalanan ini dengan sokongan perubatan yang tepat dan perancangan yang rapi. Sempena kempen ‘Cancer.. It starts from a conversation..’, Pa&Ma berpeluang menemuramah Dr. Hadi Ab Jalil, Konsultan Onkologi dari KPJ Ampang Puteri untuk penjelasan lanjut mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kanser semasa kehamilan, rawatan kesuburan selepas kanser, serta langkah-langkah penting dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang ibu selepas rawatan.
Kanser dan Kehamilan: Apa yang Perlu Diketahui
Adakah diagnosis kanser boleh dilakukan ketika hamil?
Ramai wanita hamil mungkin bimbang jika mereka didiagnosis dengan kanser semasa mengandung. Berita mengenai kanser semasa kehamilan boleh menjadi satu kejutan yang besar, tetapi walaupun begitu, ia tidak bermakna harapan hilang. Dalam kebanyakan kes, diagnosis kanser masih boleh dibuat semasa hamil.
Proses ini biasanya melibatkan pemeriksaan klinikal, ujian darah, dan imej seperti ultrasound atau MRI. Walau bagaimanapun, pengimbasan X-ray mungkin dihindari semasa kehamilan kerana risiko kepada bayi. Penting untuk berbincang dengan doktor anda mengenai kaedah yang paling selamat untuk mendiagnosis kanser semasa hamil.
Adakah rawatan kanser selamat untuk wanita hamil?
Rawatan kanser semasa hamil memerlukan pendekatan yang sangat berhati-hati. Tindak balas terhadap rawatan kanser bergantung pada jenis kanser, tahap kehamilan, dan keadaan kesihatan wanita itu sendiri.
Kemoterapi, misalnya, boleh diberikan dalam beberapa kes, tetapi biasanya selepas trimester pertama apabila organ bayi telah terbentuk. Sebaliknya, rawatan pembedahan untuk mengeluarkan tumor mungkin lebih mudah diterima, bergantung kepada keadaan pesakit. Adalah penting untuk berbincang dengan pasukan perubatan yang berpengalaman dalam menangani kehamilan yang rumit.
Bolehkah kanser memberi kesan kepada bayi di dalam kandungan?
Bayi dalam kandungan mungkin terdedah kepada risiko semasa rawatan kanser, terutama semasa kemoterapi atau radiasi. Tetapi, doktor akan memastikan bahawa sebarang rawatan yang diberikan mengurangkan risiko kepada bayi sebaik mungkin.
Secara umum, banyak wanita hamil dengan kanser melahirkan bayi yang sihat. Namun, kesan jangka panjang terhadap bayi boleh berbeza-beza bergantung pada jenis rawatan yang diterima dan tahap kanser itu sendiri. Oleh itu, pemantauan yang rapi dan perancangan rawatan yang teliti sangat penting.
Kanser dan Rawatan Kesuburan: Bolehkah Rawatan Kesuburan Dilakukan Selepas Kanser?
Adakah bekas pesakit kanser boleh menjalani rawatan kesuburan?
Setelah menjalani rawatan kanser, ramai wanita mungkin tertanya-tanya tentang peluang untuk hamil di masa depan. Kanser dan rawatannya kadangkala boleh mempengaruhi kesuburan, terutama apabila melibatkan rawatan seperti kemoterapi yang boleh menjejaskan ovarium. Walau bagaimanapun, ramai bekas pesakit kanser masih boleh menjalani rawatan kesuburan.
Sebelum memulakan rawatan kanser, pesakit disarankan untuk berbincang dengan doktor mengenai pilihan untuk memelihara kesuburan, seperti membekukan telur atau embrio. Selepas rawatan kanser, pilihan rawatan kesuburan seperti inseminasi intrauterin (IUI) atau in-vitro fertilisation (IVF) juga mungkin boleh dipertimbangkan, bergantung kepada keadaan perubatan individu.
Bolehkah pesakit kanser hamil selepas menjalani rawatan kanser?
Ya, pesakit kanser boleh hamil selepas menjalani rawatan, tetapi ini bergantung pada beberapa faktor. Jika pesakit masih mempunyai ovarium yang berfungsi dan tiada komplikasi kesihatan selepas rawatan, peluang untuk hamil adalah masih ada. Walau bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan beberapa pesakit mungkin mengalami masalah kesuburan akibat kesan sampingan rawatan. Dalam kes ini, bantuan dari pakar kesuburan mungkin diperlukan untuk merancang kehamilan yang sihat selepas kanser.
Post-Treatment & Motherhood: Menjadi Ibu Selepas Rawatan Kanser
Apakah langkah susulan bagi pesakit kanser selepas bersalin?
Selepas bersalin, pesakit kanser perlu menjalani langkah susulan yang teliti. Ini termasuk pemeriksaan berkala untuk memastikan bahawa kanser tidak kembali. Pemeriksaan ini boleh melibatkan ujian darah, imbasan, dan pemeriksaan klinikal untuk memantau kesihatan.
Keutamaan utama selepas bersalin adalah memastikan ibu dan bayi dalam keadaan sihat, namun penting juga untuk memastikan pemantauan jangka panjang ke atas risiko kanser berulang. Dalam beberapa kes, rawatan susulan untuk kanser perlu dijadualkan semula bagi memastikan tiada komplikasi selepas kelahiran.
Bagaimanakah seorang ibu boleh mendapatkan sokongan emosi dan psikologi ketika menjalani rawatan kanser?
Menjadi ibu selepas rawatan kanser boleh menjadi pengalaman yang sangat mencabar dari segi emosi dan psikologi. Sokongan dari keluarga, pasangan, dan rakan-rakan amat penting, namun sokongan profesional juga boleh memainkan peranan yang besar. Psikoterapi atau kaunseling boleh membantu ibu mengatasi tekanan dan kebimbangan yang mungkin timbul semasa tempoh pemulihan dan pengasuhan bayi.
Sesetengah wanita juga mendapat manfaat daripada menyertai kumpulan sokongan pesakit kanser, di mana mereka boleh berkongsi pengalaman dan mendapatkan sokongan daripada mereka yang memahami situasi mereka.
Kehamilan, rawatan kanser, dan kehidupan selepas rawatan adalah cabaran besar yang memerlukan sokongan, perhatian, dan pengetahuan yang mendalam. Tetapi dengan bantuan pasukan perubatan yang berpengalaman dan sokongan dari orang terdekat, banyak wanita berjaya melalui perjalanan ini dengan kekuatan dan harapan.
“Untuk mereka yang sedang melawan kanser, ingatlah bahawa anda tidak bersendirian. It’s not the end of the world. Setiap hari adalah langkah lebih dekat menuju pemulihan. Teruskan berjuang, dan jangan takut untuk meminta sokongan dari keluarga, rakan, atau pakar. Perjalanan ini memang mencabar, tetapi dengan ketabahan dan harapan, anda mampu laluinya,” kata Dr. Hadi.
Yang paling penting, setiap langkah harus dipertimbangkan dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan ibu dan bayi, serta peluang untuk kehidupan yang sihat dan bahagia selepas rawatan kanser.
Selain itu, Dr. Hadi juga ada berkongsi tentang beberapa fakta tentang kanser:
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mempunyai dua orang anak istimewa yang menghidap autisme dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tentunya bukan sesuatu yang mudah buat pelakon Zarina Zainuddin.
Pasti sahaja kedua anak kembarnya Azil dan Azal yang merupakan anak istimewa menghidap autisme tidak mengerti mengenai situasi di luar sana yang kini merbahaya untuk semua orang.
Zarina terpaksa melakukan pelbagai helah demi memastikan kedua anaknya itu kekal duduk di rumah bersama ahli keluarga yang lain.
Antara alasan yang sering digunakan adalah membuat kerja rumah dan bermain badminton di halaman rumah mereka.
“Azil kerap berkeras mahu keluar kerana sudah terbiasa dengan rutinnya membeli barang sendiri sebelum ini. Dia tidak mahu kami yang pergi belikan untuknya. JIka dihalang, dia akan mengamuk dan mula mencederakan dirinya. Ketika itu saya perlu memujuknya dengan betul dan menerangkan mengenai bahaya di luar sana,” katanya.
Walaupun ada kelonggaran terhadap anak-anak autisme sepanjang tempoh PKP ini, namun Zarina lebih suka jika mereka duduk di rumah demi keselamatan masing-masing dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka bosan duduk di rumah dan melakukan sesuatu. Biasanya, saya akan suruh mereka buat kerja bersihkan rumah. Kami juga lakukan aktiviti seperti bermain badminton di halaman rumah,” katanya.
Bagaimanapun, sekali-sekala Zarina tetap membawa mereka keluar berdekatan kawasan rumah. Dia juga lega kerana dua anaknya itu patuh apabila diminta memakai penutup muka, mencuci tangan dan menjaga kebersihan serta mengambil langkah berjaga-jaga yang lain.
Tabah berdepan karenah anak-anak, Zarina memohon orang ramai mematuhi arahan kerajaan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan segera dan kehidupan biasa diteruskan.
Ekzema anak berkait dengan asma dan resdung ibu bapa melalui fenomena Atopic March, satu perjalanan alahan yang boleh bermula sejak bayi jika tidak dikawal awal.