
Memilih stroller bayi atau kereta sorong bayi mungkin nampak mudah, tetapi sebenarnya ada banyak perkara yang perlu ibu ayah pertimbangkan sebelum membuat pembelian.
Maklumlah, dengan pelbagai jenama, reka bentuk, warna dan fungsi yang ditawarkan di pasaran, pasti ada ibu ayah yang rambang mata. Ada stroller yang ringan, mudah dilipat, mempunyai ruang penyimpanan besar dan ada juga yang boleh digunakan sehingga anak semakin membesar.
Namun, stroller yang mahal atau cantik tidak semestinya paling sesuai untuk kegunaan seharian. Apa yang lebih penting ialah keselesaan anak, ciri keselamatan serta kesesuaiannya dengan gaya hidup keluarga.
Lebih-lebih lagi di Malaysia, stroller bukan sahaja digunakan ketika berjalan di pusat beli-belah, malah ketika bercuti, menaiki pengangkutan awam atau membawa anak bersiar-siar di taman.
Jadi, sebelum membeli stroller untuk si manja, ibu ayah boleh jadikan 12 perkara ini sebagai panduan.
12 Perkara Penting Sebelum Membeli Stroller Bayi

1. Perlu Angkat Stroller Naik Turun Tangga?
Jika tinggal di rumah pangsa, apartmen tanpa lif atau kediaman yang mempunyai tangga, berat stroller perlu diberi perhatian.
Stroller yang terlalu berat mungkin menyukarkan ibu, terutama selepas bersalin. Sebaiknya, cuba angkat stroller di kedai untuk memastikan beratnya sesuai dengan kemampuan diri.
2. Mudah Bergerak Di Ruang Sempit?
Bayangkan membawa stroller ketika membeli-belah di pasar raya, memasuki kedai kecil atau melalui laluan sempit.
Stroller yang tidak terlalu lebar lebih mudah dikendalikan, terutama di kawasan sesak. Periksa ukuran stroller supaya sesuai dengan tempat yang kerap dikunjungi.
3. Bagaimana Keadaan Laluan Yang Selalu Digunakan?
Jika kerap membawa anak berjalan di taman atau kawasan yang permukaannya tidak rata, perhatikan jenis tayar stroller.
Tayar berisi udara dan roda dengan galas bebola tertutup (sealed ball bearings) sering disarankan untuk permukaan bandar yang tidak rata. Roda getah standard pula sesuai digunakan di lantai pusat beli-belah atau permukaan licin.
Selain jenis tayar, sistem penyerap hentakan juga boleh membantu memberikan perjalanan yang lebih selesa kepada si kecil, terutama apabila melalui laluan berbonggol.
Artikel Trending: STR 2027: Bantuan Hingga RM150 Sebulan, Keluarga Anda Layak Terima Berapa? Ini Syarat & Tarikh Penting Permohonan
Artikel Trending: KKM Dedah Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat, Amaran Bahaya Untuk Kanak-Kanak & Warga Emas
Artikel Trending: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
4. Merancang Menambah Anak Dalam Tempoh 3 Hingga 4 Tahun?
Jika ibu ayah merancang menambah ahli keluarga, pertimbangkan stroller yang boleh diubah suai.
Sesetengah model membolehkan penambahan tempat duduk kedua, bassinet atau papan berdiri untuk anak lebih besar.
Walaupun harganya mungkin lebih tinggi, pilihan ini berpotensi menjimatkan kos pembelian stroller baharu.
5. Ruang Penyimpanan Bawah Stroller Cukup Besar?
Beg lampin, botol susu, pakaian tambahan dan barangan bayi biasanya dibawa setiap kali keluar rumah.
Pilih stroller yang mempunyai bakul penyimpanan mencukupi dan mudah dicapai. Pastikan juga ibu ayah menyemak had berat maksimum bakul tersebut.
Elakkan menggantung beg yang terlalu berat pada pemegang kerana ia boleh menyebabkan stroller menjadi tidak stabil atau terbalik.
6. Boleh Dikendalikan Dengan Sebelah Tangan?
Ada masanya ibu ayah perlu mengawal stroller sambil memegang barangan lain.
Stroller dengan sistem kawalan yang mudah boleh membantu dalam situasi ini. Namun, gunakan kedua-dua tangan apabila diperlukan untuk memastikan stroller sentiasa berada dalam kawalan.
7. Kerap Membawa Anak Menaiki Kereta?
Jika sering memandu, pertimbangkan stroller jenis travel system yang serasi dengan kerusi keselamatan bayi.
Sistem ini membolehkan kerusi bayi dipindahkan daripada kereta ke rangka stroller dengan lebih mudah, terutama apabila si kecil sedang tidur.
Bagaimanapun, pastikan kerusi keselamatan bayi dipasang mengikut arahan pengilang dan tidak digunakan sebagai tempat tidur rutin di luar kenderaan.
8. Selalu Menggunakan Grab Atau Teksi?
Bagi keluarga yang kerap menggunakan perkhidmatan e-hailing, stroller yang serasi dengan kerusi keselamatan bayi mungkin lebih praktikal.
Semak sama ada kerusi bayi memerlukan tapak pemasangan (base) atau boleh dipasang menggunakan tali pinggang keselamatan kenderaan mengikut arahan pengilang.
9. Muat Atau Tidak Dalam Bonet Kereta?
Jangan lupa periksa saiz stroller selepas dilipat!
Ini penting terutama jika menggunakan kereta kompak seperti Perodua Axia atau Myvi. Pastikan masih ada ruang untuk menyimpan beg dan barangan lain.
Jika berpeluang, cuba masukkan stroller ke dalam bonet kereta sebelum membeli supaya tidak timbul masalah apabila mahu menggunakannya nanti.
10. Mudah Dilipat Dan Disimpan?
Jika ruang rumah terhad, stroller yang boleh dilipat dengan mudah amat membantu.
Cuba sendiri mekanisme lipatannya sebelum membeli. Ciri ini juga praktikal untuk keluarga yang kerap menaiki kapal terbang atau bercuti.
Bagi ibu ayah yang kerap melancong, semak juga ukuran stroller selepas dilipat kerana setiap syarikat penerbangan mungkin mempunyai syarat berbeza untuk membawa kereta sorong bayi.
11. Fabrik Stroller Mudah Dicuci?
Anak kecil mungkin menumpahkan susu, makanan atau minuman ketika berada dalam stroller.
Pilih material yang mudah dibersihkan. Lebih baik jika sarung tempat duduk boleh ditanggalkan untuk dicuci mengikut arahan pengilang.
12. Ketinggian Pemegang Sesuai Dengan Ibu Dan Ayah?
Jika terdapat perbezaan ketinggian antara pasangan, pilih stroller yang mempunyai pemegang boleh laras.
Ciri ini membantu kedua-duanya menolak stroller dengan lebih selesa tanpa perlu terlalu membongkok atau mengangkat tangan pada kedudukan yang tidak selesa.
Jangan lupa mencuba sendiri ketinggian pemegang ketika berada di kedai supaya ibu dan ayah sama-sama selesa mengendalikannya.
Artikel Trending: Jerebu Sangat Berbahaya Kepada Bayi, KKM Beri Amaran Ibu Ayah Jangan Ambil Mudah!
Artikel Trending: Wanita Wajah Cantik Lebih Ramai Anak, Ini Fakta Kajian Saintis Yang Ramai Tak Tahu
Arttikel Trending: Bella & Syed Saddiq Kahwin, Ramai Nak Tahu Status Mahram & Aurat Anak Tiri, No. 7 Paling Ramai Tak Tahu!
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Jangan Abaikan Ciri Keselamatan Stroller Bayi
Selain 12 perkara di atas, aspek keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan ketika memilih kereta sorong untuk anak.
Pastikan stroller mempunyai sistem brek yang berfungsi dengan baik, tali pinggang keselamatan yang sesuai serta rangka yang kukuh dan stabil.
Periksa juga had umur dan berat yang ditetapkan oleh pengilang. Bukan semua model sesuai digunakan untuk bayi baru lahir, terutama stroller yang tidak mempunyai kedudukan baring atau sokongan yang sesuai.
Sentiasa gunakan tali pinggang keselamatan ketika anak berada di dalam stroller dan aktifkan brek apabila berhenti. Jangan biarkan anak berada di dalam stroller tanpa pengawasan.
Pilih Stroller Bayi Mengikut Keperluan Keluarga
Setiap keluarga mempunyai rutin dan keperluan yang berbeza. Ada yang lebih banyak menggunakan stroller di pusat beli-belah, manakala ada juga yang kerap membawanya ketika bercuti atau menaiki pengangkutan awam.
Sebab itu, jangan membuat pilihan berdasarkan jenama, harga atau reka bentuk semata-mata. Stroller yang sesuai untuk keluarga lain belum tentu paling praktikal untuk ibu ayah.
Sebelum membuat keputusan, bandingkan beberapa model, cuba sendiri cara mengendalikannya dan pastikan ciri yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan harian.
Paling penting, utamakan keselamatan dan keselesaan anak supaya setiap perjalanan bersama si manja menjadi lebih mudah dan menyenangkan.
Sumber: parentingstyleblog & loopie.in

sekarang!
