Walau macam mana disiplin pun, ada waktunya kita tersasar juga setiap kali menabung setiap bulan. Jangan putus asa sebaliknya cuba usahakan konsep menabung 52 minggu seperti yang dikongsikan oleh Pn Ena Roslinawati ini.
Idea tabung dengan jadual 52 minggu ini boleh mama ikuti disertai dengan tip dan usaha. Yang penting perlu sasarkan apa yang kita mahukan! Nak gelang? Jom menabung sekarang!
SUSAH SANGAT NAK SIMPAN DUIT?
Kak Ena ada satu tabung. Tabung 52 minggu nama dia. Kak Ena mulakan pada minggu pertama RM10 je.
Setiap minggu dia meningkat RM10 lagi
Setiap pagi isnin, Kak Ena transfer duit ke akaun tersebut. Tabung ni kita boleh mulakan ikut kemampuan kita. Boleh buat RM5, atau RM10 atau RM50 sebagai permulaan. Amaun tu bertambah setiap minggu.
Cth mula RM10
Minggu depan RM20
Minggu ketiga RM30
dan seterusnya RM40, RM50, RM60
Tapi, nak buat tabung ni ada masalah juga. Kak Ena buat dah masuk tahun ke 5, ada tahun terkandas tengah jalan, ada tahun sukses! Ada tahun hangat taik ayam.
Sebenarnya, tabung ni, ada 2 penyakit.
1. PENYAKIT OVERYAQIN
Hahaha saja aku bagi nama pelik sikit. Sebenarnya, OVER CONFIDENT ~ terlebih yakin haha.
Oleh kerana amaun dia kecil, kita rasa senang je nak buat tu. Akibatnya, kita tak disiplin hehe
Biasala, yang simple kan kita suka ambil enteng.
Ads
2. HANGAT TAIK AYAM
Ni memang penyakit semua lapisan masyarakat baik muda atau tua. Baik yang pernah jatuh atau tak pernah jatuh hehe. Orang kaya ke miskin ke semua ada penyakit ni. Beza dia berlarutan atau tidak je hehe…
Perangai mula-mula je bersemangat ni, memang ada. Cuma, kena tawan la penyakit taik ayam ni.
MACAM MANA NAK TAWAN KAK ENA OIIII??
Ok nah Kak Ena share apa kak ena amalkan.
Tips yang mendorong kak ena terus konsisten menyimpan tanpa mengelat setiap minggu.
1. Mesti ada JADUAL simpanan.
Rujuk gambar. Kalau nak file excel, PM kak ena. Kak Ena bagi soft copy.
Korang isi. Cuba isi kotak 1 tu amaun yang korang nak mula.
Try la kalau RM10, hujung tahun ada berapa.
Kalau letak RM30 permulaan, pastu print je.
2. Set REMINDER
Seminggu sekali, pilih mana-mana hari. Set ALARM. Kak Ena masukkan duit kat tabung tu setiap Isnin pukul 9 pagi.
Ada sebab kak ena set ISNIN. Ok dah set hari, So kita set alarm biar ada peringatan supaya bayar oi bayar.
Dulu aku rimas.
Ads
Sebab macam orang mintak hutang haha. Tapi kalau tak buat, tak ingat kan? So? Biar handphone kita mainkan peranan sebagai Mak Kutu haha.
3. Mesti ada matlamat.
Kita ni perlukan SEMANGAT dan INSPIRASI untuk buat sesuatu. Biasalah. Baru semangat sikit.
Jadi, kita shopping dulu kat google ke Lazada ke Shopee ke Ikea ke, pastu cari gambar tu, print.
Contoh:
Kalau korang tengok jadual kak ena tu, Kak Ena dah tulis kat atas tu, nak beli gelang emas bernilai RM12,000.
So aku print gambar gelang tu, siap laminate kauuuuu hahaha. Pastu kak ena letak kat tepi meja mekap. Setiap pagi aku tengok. Insipirasi katanya.
Sebenarnya tengok setiap hari tu, bikin panas kan. Bakar diri sendiri bila tengok tu. Semangat nak gi kerja setiap pagi. Semangat nak tunggu Isnin sampai sebab tak sabar nak masukkan FUND minggu ini.
Tak sabar nak fund ni cukup. Tak sabar nak kumpul RM12,000 ni tahun ni.
Haaaa automatik kak ena tak mengelat la nak isi tabung tu!!
Semangat lagi ada la haha. Tak sabar-sabar nak isi sebab nak gelang wuu.
Ok
Itu inspirasi kak ena.
Inspirasi korang apa?
Nak beli rumah ke?
Nak buat beli tanah ke?
Nak pergi Maldives ke
Atau nak handphone baru ke hehehe..
Lekas google sekarang pastu print ok?
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nampaknya masih ramai lagi ibu bapa tak ambil kisah mengenai wabak HFMD yang masih menular sekarang. Ingat anak yang disahkan HFMD kena dikuarantinkan dirumah tanpa perlu membawanya keluar ke mana-mana.
Namun yang sedihnya masih ada buat endah tak endah mengenai virus ini. Menurut Dr Hana melalui perkongsiannya masih ada ibu bapa yang tak rasa bersalah pun bawa anak yang tak sihat ke tempat awam tanpa memikirkan kesan pada orang lain.
Weekend baru-baru ni, saya ke supermarket, nak beli barang dapur sikit.
Saya pegi seorang, anak-anak duduk dengan babanya sebab masih dalam fasa kuarantin akibat #HFMD.
Masa nak bayar kat cashier, saya ternampak seorang kanak-kanak dalam troli. Keliling mulutnya penuh rashes. Tangan pun ada. Memang nampak typical HFMD. Kaki je tak sempat nak telek betul-betul.
Saya pun tegur “puan, anak puan nampak ada tanda dan gejala HFMD ni. Sepatutnya kena kuarantin, pantau di rumah saja. HFMD ni tengah mewabak sekarang. Kalau puan tak kuarantin dan bawa anak ke tempat-tempat awam macam pasaraya besar ni, lagi cepat virus menular. Lagi ramai anak-anak akan kena. Bayangkan kalau terjangkit kat baby kecik yang baru usia 2,3,4 bulan. Kesian depa puan”
Begitulah teguran saya tapi sayangnya hanya DALAM HATI.
Tak sempat nak luahkan sebab cashier dah mintak duit.
Sebenarnya sistem kuarantin ni islam sendiri pun dah anjurkan sejak zaman berzaman.
Ingat tak pesan nabi?
“Jika kamu mendengar sesuatu wabak menular di sesebuah tempat, janganlah kamu masuk kawasan itu.
Tapi jika wabak tersebut merebak di tempat kamu, janganlah kamu tinggalkan kawasan itu.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi minta tolong viralkan semula pesanan di link ni ya. Especially yang point no.6 tu.
Please share supaya anak-anak anda dan orang lain tak turut dijangkiti. Terima kasih!
Pengalaman pertama kali menjadi ibu sememangnya indah. Namun bila mana berdepan dengan masalah bayi yang sentiasa menangis tanpa henti membuatkan ibu rasa cemas. Lebih-lebih lagi bila tiada sebarang bantuan daripada ibu bapa kita.
Bayi menangis sebenarnya ada sebabnya. Salah satu sebabnya adalah kerana dia seolah-olah masih lagi berada di dunianya sendiri dan cuba membiasakan diri dengan persekitaran kita. Inilah penyebab bayi mudah menangis. Jika tidak diselesakan dengan dunianya bayi mudah rasa tidak selesa dan menangis. Apa ibu boleh lakukan?
Menurut Puan Uswatun Hasanah Mohd Habib, Konsultan Tangisan Bayi Malaysia, terdapat lima kaedah utama dalam menenangkan bayi.
Menurut beliau, teknik Cuddle Cure adalah merupakan teknik berkesan dalam menenangkan bayi dan ia diinspirasi dari sensasi-sensasi menenangkan alam rahim yang terdiri dari 5 langkah. Lima langkah ini terdiri daripada:
1. BEDUNG
Semasa di dalam perut, bayi berada dalam posisi fetal di mana kepalanya tunduk, belakang badan berbentuk C dan kaki/lutut rapat ke dada. Dinding rahim pula membalut dan memastikan bayi kekal di posisi ini.
Maka, bayi telah selama ini merasa bagai berpeluk dan mendakap. Pengganti rasa berpeluk dan berdakap yang pertamanya, selepas bayi di lahirkan semestinya pelukan dan dakapan ibu. Namun, pada bila-bila masa ibu perlu berlepas diri, maka gantilah dengan bedung supaya bayi kekal rasa bagai di dakap.
2. PEGANG BAYI PADA KEDUDUKAN SISI ATAU PERUTNYA
Semasa di dalam perut, bayi hanya terapung samada secara mengiring pada sisi atau terlangkup (pada perutnya). Bayi tidak pernah berbaring rata pada tulang belakangnya. Maka, ketika anda memegang bayi dalam cubaan menenangkannya, pastikan anda pilih salah satu dari posisi tepat iaitu memegang bayi pada sisi atau perutnya.
3. BUNYI SSSHHH
Alam rahim amat bising dan tidak akan berhenti, iaitu sekuat 70db. Kehilangan drastik bunyi ini membuat bayi resah dan cemas. Maka, semasa memegang bayi yang telah berbedung secara sisi atau pada perutnya, rapatkan mulut anda ke telinga bayi dan keluarkan bunyi ssshhh sekuat mungkin cukup untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya menyamai jeritan bayi.
4. HAYUNAN
Berikan sebarang sensasi hayunan yang sesuai dengan keadaan semasa anda memegang bayi. Anda boleh menghayun kaki ke kanan dan kiri atau angkat dan naik turun kaki. Malah boleh juga menepuk bayi, menari bersama bayi atau ‘bouncing’ bersama bayi di atas bouncing ball. Pastikan kepala dan badan bayi sentiasa disokong setiap masa.
5. HISAPAN
Beri bayi sesuatu untuk di hisap. Anda boleh menggunakan puting tiruan atau susukan bayi ( payudara ibu) atau juga menggunakan jari yang bersih atau botol. Ini kerana ‘bayi telah menghisap jarinya seawal 6 bulan di dalam kandungan sebagai latihan persediaan menyusu. Namun, ‘kesan sampingannya’ ialah, bayi menuntut sensasi hisapan untuk sentiasa merasa tenang.
4 Tip Perlu Tahu
1. Teknik Cuddle Cure ini wajib dibuat mengikut TURUTAN yang tepat seperti di atas. Jika ibu menggunakan langkahnya secara berlawan, hasilnya kurang efektif kepada bayi.
2. Setiap langkah mesti dibuat dengan TEPAT. Bedung mestilah kemas, posisi pegang mestilah selesa, bunyi ssshhh juga mestilah kuat dan sudahkan hayunan yang bertenaga dan padu.
3. Namun semua langkah ini bergantung kepada personaliti bayi itu sendiri. Ada yang terus bertenang hanya selepas 1-2 langkah dilakukan. Manakala ada bayi yang memerlukan kesemua 5 langkah. Aplikasi satu persatu langkah mengikut turutan dan tambah satu persatu hingga nampak bayi berpuas hati dan bertenang.
4. Bergantung kepada personality bayi, ada bayi yang memerlukan beberapa cubaan dan tempoh lebih lama sekitar 10-15 minit sebelum benar-benar bertenang. Usah risau, lebih kerap anda mengaplikasi teknik ini, kenali bayi dan lebih mudah anda melakukannya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap tahun, pasti kebanyakan keluarga akan memilih beraya di kampung jika masih ada ibu bapa. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan dari Encik Akhtar Syamir ditujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mertua
1. Bantu mertua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
__________
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.