
Di kala usia sekecil tiga tahun, sepatutnya dunia anak kecil hanya dipenuhi dengan tawa dan belaian kasih sayang. Namun, siapa sangka seorang kanak-kanak perempuan di Yunnan, China terpaksa menanggung detik ngeri apabila sebilah pisau tertusuk di kepalanya.
Lebih menyayat hati, si kecil itu tetap kelihatan tenang ketika berjalan masuk ke hospital ditemani ibunya, seolah-olah tidak memahami betapa seriusnya kecederaan yang dialami. Kejadian yang berlaku pada 15 Ogos lalu itu dilaporkan berpunca apabila ibunya sendiri tanpa sengaja menikam anaknya ketika cuba menakut-nakutkan dengan senjata tajam yang disimpan di bawah bantal.

Doktor memberi amaran agar pisau berkenaan tidak dicabut sendiri kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan pendarahan serius atau kecederaan lebih parah.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke bilik pembedahan bagi mengeluarkan pisau berkenaan dan dia kini berada dalam keadaan stabil selepas rawatan intensif.
Rakaman kejadian yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak tersebut berjalan dengan tenang bersama ibunya sehingga memasuki bilik pembedahan.
Pengguna media sosial di China memuji keberanian luar biasa mangsa yang digambarkan lebih tabah daripada kebanyakan orang dewasa.
Namun insiden tersebut turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di rumah.
Orang ramai menggesa ibu bapa lebih berhati-hati serta memastikan barang tajam disimpan dengan selamat agar tragedi seumpama ini tidak berulang.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!




















