Bagaimanakah caranya untuk kita mengekang kenakalan si kecil 4-6 tahun dan pada masa yang sama, membantu mereka untuk terus berkembang dan membesar sepenuh potensi diri mereka? Apakah pengisian dan bentuk aktiviti yang sesuai supaya tempoh usia 4 hingga 6 tahun menjadi waktu untuk belajar, membesar dan berkembang positif selain daripada menjadi masa untuk membuat perangai yang nakal?
Dalam edisi kali ini, Dr Airil membincangkan tentang fokus kepada si kecil yang berusia 4-6 tahun yang berada dalam usia tahap pendidikan praformal (pre-operational age). Fokus kita adalah kepada pengisian aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dengan si kecil yang berusia 4-6 tahun.
Papa, mama dan pendidik prasekolah perlu sedar bahawa kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun telah mempelajari pelbagai ‘peraturan’ tentang hidup. Misalnya, mereka sudah tahu perangai yang mana elok diikut dan yang mana pula perlu dielak, mereka sudah tahu asas-asas dalam berkomunikasi dengan orang lain dan mereka juga sudah bagaimana caranya untuk bermain dengan orang lain.
Pada masa yang sama, ‘kenakalan’ mula timbul apabila kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun seakan-akan cenderung pula melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya mereka lakukan! Mereka seolah-olah rajin mencari jalan untuk membengkokkan dan melanggar segala peraturan yang sudah pun dipelajari!
Ya, mereka tahu akan batasan dan balasan yang pasti diterima sekiranya mama dan papa marah jika mereka merosakkan alat permainan yang diberi atau jika mereka dengan sengaja mengganggu dan berkelahi dengan kanak-kanak lain. Namun, mereka tetap menguji batasan dan kesabaran kita sebagai orang dewasa.
‘Empati’ boleh dikategorikan kepada 3 jenis. Yang pertama dipanggil, empati kognitif. Ini adalah kebolehan untuk mengambil perspektif orang lain atau membayangkan diri kita di tempat orang lain dan melihat perspektif mereka. Empati kognitif amat berguna, terutamanya dalam kemahiran berunding. Aktiviti yang membentuk empati kognitif juga akan melatih kemahiran komunikasi si kecil. Mengajak si kecil untuk membayangkan perasaan dan tindakan orang lain juga akan mematangkan fikirannya dengan cepat.
Satu lagi empati digelar empati emosi. Ini dirasa apabila kita dapat berkongsi masa dan luahan rasa orang lain secara tersurat dan tersirat. Kita seakan-akan dapat ;menangkap; perasaan orang lain dan memahami kesusahan atau kesenangan yang mereka rasai. Si kecil perlukan aktiviti yang membina empati emosi agar dia dapat sama merasai kesedihan jika dia pecahkan pinggan kesayangan mama, bila dia merosakkan telefon bimbit papa… atau bila si kecil mencukur misai Cici si kucing peliharaan keluarga – dengan sengaja!
Empati terakhir pula dipanggil empati belas kasihan. Melalui perasaan ini kita bukan hanya merasakan kesakitan atau kesusahan seseorang tetapi kita akan cepat mengambil tindakan positif untuk membantunya. Rasa belas kasihan dan keinginan membantu orang lain amat perlu untuk membentuk insan yang mulia lagi berguna. Sebab itulah aktiviti yang melatih rasa empati belas kasihan harus diperbanyakkan dalam membesarkan si kecil 4 hingga 6 tahun agar dia sentiasa prihatin dengan kesusahan dan kepayahan hidup orang lain tetapi juga cekap dan cepat mengambil insiatif untuk membantu kelak.
Kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun mempunyai rasa ingin tahu yang amat tinggi. Malah, ramai penyelidik dan saintis sosial percaya bahawa rasa ingin tahu manusia sebenarnya memuncak pada tahap usia ini berbanding dengan tempoh lain dalam hidup kita. Rasa ingin tahu ini bermula sejak daripada saat kelahiran lagi dan terus memuncak hingga sekitar usia 6 tahun. Segala-gala yang ada di sekeliling mereka seakan-akan mampu menerbitkan ‘deria’ ingin tahu kanak-kanak 4-6 tahun!
Pada tahap usia ini, mereka sangat berasa berminat untuk mempelajari idea-idea baharu, melakukan aktiviti yang belum pernah dilakukan atau aktiviti sama tetapi yang amat menyenangkan dan mereka juga mencari-cari peluang untuk menguasai kemahiran baharu yang tidak diketahui sebelum itu. Namun, mereka cenderung untuk berasa kecewa dan juga marah apabila tempoh pembelajaran mereka seakan-akan lebih lama daripada yang mereka mahukan hingga timbul pula rasa bosan.
Maka, pastikan papa, mama dan pendidik prasekolah sentiasa menetapkan matlamat yang boleh dicapai untuk segala macam tugasan dan aktiviti untuk si kecil. Bantuan serta sokongan perlu diberikan berasaskan konteks, supaya si kecil mampu pula memproses maklumat dalam tempoh masa yang pendek. Yang paling utama, untuk apa-apa sahaja aktiviti atau tugasan yang dilakukan, bantu si kecil untuk menerima kegagalan, menangani rasa bosan dan juga agar dia tidak cepat putus asa. Jadikan diri anda sebagai ikon atau contoh ikutan yang baik ke arah ini.
Walaupun mereka boleh menguasai rasa empati dan amat tinggi rasa ingin tahu dalam diri mereka, kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun sebenarnya mudah hilang fokus dan berasa terganggu dalam setiap usaha atau aktiviti yang mereka lakukan. Tahap fokus (attention span) yang masih agak pendek berbanding seorang remaja atau orang dewasa boleh menimbulkan rasa geram atau kecewa dengan mudah sambil menggagalkan aktiviti atau tugasan yang sedang dilakukan.
Maka tidak hairanlah jika kita menyedari bahawa kanak-kanak dalam tempoh usia ini kadang-kadang mempunyai masalah untuk menyelesaikan tugasan atau aktiviti, walaupun yang mungkin terlihat mudah kpada orang dewasa. Tahap fokus yang pendek ini pasti akan menjadi lebih panjang sejajar dengan masa, akan tetapi pada tahap usia 4-6 tahun ini adalah suatu realiti yang tidak dapat kita elakkan. Segala-gala aktiviti atau tugasan untuk si kecil dalam lingkungan usia ini perlu menyedari hakikat ini.
Yang paling mudah, tambahkan aktiviti atau tugasan yang tidak terlalu rumit untuk diselesaikan, yang tidak memerlukan masa yang terlalu panjang tetapi bermanfaat kepada si kecil. Pada masa yang sama, berikan maklum balas dan dorongan selepas setiap pencapaian tidak kira sekecil mana pun. Namun, ini tidak bermaksud bahawa aktiviti yang lebih rumit tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak 4-6 tahun! Minda mereka perlu ‘dicabar’ agar mereka dapat mencapai tahap perkembangan yang lebih tinggi pula dan tidak hanya menguasai ilmu pengetahuan atau kemahiran yang rendah dan mudah sahaja.
Kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun juga memiliki daya imaginasi yang amat tinggi dan agak ‘liar’. Liar di sini bukan memberi makna yang negatif, liar bermaksud si kecil boleh memikirkan hal dan perkara yang tidak terjangkau dek imaginasi orang yang lebih dewasa! Daya imaginasi yang kuat dan tinggi ini perlu dimanfaatkan, lebih-lebih lagi untuk menerbitkan kecenderungan personaliti, melatih kebolehan dan juga kemahiran awal usia si kecil.
Daya imaginasi yang tinggi dan liar juga bererti kanak-kanak 4-6 tahun suka melakukan hal-hal ‘di luar kotak fikiran’ atau yang mungkin terlihat aneh bin ajaib kepada orang yang lebih dewasa. Jika diberi sesuatu aktiviti atau tugasan, si kecil itu mungkin akan cuba untuk menyelesaikannya dengan daya imaginasi sendiri dan bukannya dengan mengikuti peraturan yang ketat atau arahan yang sudah diberikan langkah demi langkah. Papa, mama dan pendidik prasekolah masih perlu memberi bimbingan dan memperingatkan si kecil dalam konteks ini.
Imaginasi tetap memerlukan struktur dan tidak boleh dibiarkan menjadi terlalu liar hingga menjadi tidak masuk akal atau semakin ‘merapu’. Maka, aktiviti atau tugasan yang diberi masih perlu peraturan asas yang perlu diikuti. Namun, kanak-kanak yang berusia 4-6 tahun tetap perlu diberikan ruang untuk mencipta, mengubah, mengekspresikan diri dan bebas bercerita serta menerangkan tentang segala macam aktiviti atau tugasan yang sudah berjaya mereka habiskan serta lengkapkan di bawah bimbingan papa, mama atau guru.
Pada usia 4-6 tahun juga, fungsi memori atau daya ingatan si kecil meningkat dengan mendadak untuk membolehkan mereka menstor atau menyimpan data serta pengalaman hidup yang dapat mereka kumpulkan daripada dunia di sekeliling mereka. Daya ingatan atau memori yang meningkat ini bererti aktiviti atau tugasan yang diberikan untuk si kecil 4 hingga 6 tahun perlu selari dengan kebolehan yang ditunjukkan. Yang paling utama, keboleh ingatan atau memori ini perlu dilatih dan diperkembangkan lagi.
Aktiviti biasa yang boleh dilakukan adalah untuk meminta si kecil meceritakan kembali sesuatu hal, kejadian atau perkara yang telah berlaku berdasarkan perspektif si kecil sendiri. Ini kerana dia sudah pun boleh mengingati urutan kompleks segala macam peristiwa hanya dengan melihat, menonton atau memerhatikan orang lain melakukan sesuatu (hati-hati juga agar si kecil anda tidak cenderung meniru perlakuan yang mungkin akan membawa bahaya kepada dirinya kelak).
Selain aktiviti mengingat dan menceritakan kembali, mungkin anda boleh bersama-sama dengan si kecil melakukan aktiviti atau bermain permainan yang mempunyai lebih daripada satu matlamat dan yang perlukan daya ingatan yang tajam. Sebagai contoh, si kecil perlu melukis semula semua bentuk segi tiga yang dia lihat di dalam rumah dan dia hanya ada 1 minit untuk mengingat kembali bentuk-bentuk itu. Kemudian dia perlu lari dan mencari kembali bentuk-bentuk segi tiga yang sudah dilukis tadi. Banyak lagi aktiviti dan tugasan serta permainan bersama boleh dilakukan untuk membina daya memori si kecil 4 hingga 6 tahun. Terserahlah kepada anda untuk melakukannya.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan ialah Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Buku beliau bertajuk ‘Dunia Si Kecil Kontemporari’ pernah menerima Anugerah Karya Ilmiah Negara Malaysia (kategori Sains Sosial & Kemanusiaan) dari Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Didik anak dengan keras atau lembut? Ini antara persoalan yang selalu dibangkitkan oleh ibu bapa dalam membesarkan anak. Ada yang bersetuju didik anak dengan tegas agar anak boleh jadi orang. Ada pula yang lebih menggunakan pendekatan berlembut dan cakap yang elok kerana kesannya lebih positif.
Kadang disebabkan dua perbezaan ini, ada suami isteri tak sependapat sehingga mencetuskan rasa tak puas hati.
Perkongsian Ibu Rose yang banyak membincangkan aspek kekeluargaan dan kasih sayang ini boleh dijadikan panduan bersama.
Didik Anak Dengan Keras atau Lembut?
Ada satu soalan yang baik sampai ke inbox Ibu. Mungkin ramai juga yang hadapi persoalan yang sama. Lagi-lagi bila PKP kan, all the time suami isteri bersama anak-anak di rumah. Lagi tambah mengkonfiuskan anak bila cara didikan ibu dan ayah tak sama. Si isteri dah mula belajar pasal parenting, maka pendekatannya beza. Tapi, encik suami belum terbuka hati lagi. It is ok dear, janganlah muram durja, perbanyakkan doa pada Allah. Lagi-lagi di bulan mulia ni kan. Bulan Ramadhan yang doanya sangat mustajab. Doakan semoga Allah bantu dan bimbing suami agar menjadi ayah yang diredhai Allah dan terbuka hatinya agar belajar serta amal ilmu parenting.
Baik kita sambung ye. Begini soalan ibu itu:
“Saya terpanggil utk bertanyakan tntang perihal mendidik anak disebabkan baru mempunyai 1orang anak.. My dear son 18 month old..sangat-sangat aktif & lasak..di sini terdapat perbezaan antara cara saya & suami mendidik anak. Contohnya, kalau anak tarik jag air & tumpah suami akan marah & tampar lembut tangan anak tujuan untuk mengajar..Tapi saya tak setuju dgn cara begitu..macamna ye Ibu untuk handle anak yang aktif kalau anak buat salah? wajarkah pada umur 18 bulan untuk diberi peringatan dengan memukul tangan? Pada pandangan suami, bila saya berlembut jadi anak akan semakin menjadi-jadi perangai..
Terima Kasih Ibu..
Tapi saya nak buktikan kepada suami, cara yang keras (menengking/jerit) bukan lah cara yang sesuai untuk mendidik anak..Sedih sangat bila suami salahkan saya, kononnyer berlembut sangat..Ayat beliau ‘Kita tengok nanti dengan cara awak, anak boleh jadi orang ke tak’ ”
Begini pandangan Ibu,
Ramai ibu terutama bapa dan juga datuk nenek, berpegang dengan kefahaman bahawa untuk memastikan anak mendengar cakap, maka kita mesti menggunakan kekerasan, maksudnya marah, tengking, jerit, pukul, supaya anak kecil tahu itu salah.
Apa yang ramai tidak tahu, ialah kesan yang amat buruk kepada esteem diri. Anak yang sering dipukul, dikasari hanya akan mematikan semangat mereka. Mereka menjadi ragu diri, degil tidak bertempat, suka memberontak etc.
Anak baru 14 bulan, adalah sangat kecil utk diperlakukan demikian. Islam pun hanya membenarkan merotan setelah usia 10 tahun, itu pun sekiranya meninggalkan solat. Jika kita org Islam, mengatakan kita percaya kpd apa yg Allah ajar itu betul, mengapa dlm kes mendidik anak ini, setelah ditunjukkan oleh Allah garis panduannya mendisiplin itu, kita masih mahu ikut kata kita? Ini satu bukti yg boleh guna utk menyakinkan diri, bahawa mendidik anak itu perlu berhemat, berlembut dan tegas.
Bila TEGAS TIDAK bermaksud KERAS
TEGAS bermaksud, kita tetap di dalam keputusan yang kita ambil dan hanya akan beralih pendapat sekiranya ada bukti yang lebih kuat menunjukkan pendapat yg satu lagi itu lebih tepat.
Contohnya, bila anak kecil mahu mencapai suatu yang bahaya, kita tahu itu bahaya dan pegangan kita ialah kita tidak mahu dia memegangnya. Maka apa yang kita boleh buat ialah ambil benda itu atau ambil dia dan katakan itu bahaya. Dan ceritakan sebabnya. Walaupun dia baru 14 bulan. Kemudian gantikan dgn suatu yang dia boleh pegang dan katakan yang ini selamat. Ulang kata 3 kali dan beri tiga benda yang selamat utk dia pegang.
MENGAPA?
Sebab, bila anak kecil yg belum tahu apa-apa, mencapai barang itu, dia sedang membina kemahuan dan kekuatan semangatnya utk mendptkan barang itu. Jika kita pukul tangannya, dan kata dgn marah. Apa yg dia terima ialah tenaga marah. Ini boleh memusnahkan semangatnya.
Ya, memang bila kita pukul, anak akan cepat berhenti. Namun kita perlu melihat jangka panjang. Jika perkara yang kita buat itu boleh menyebabkan anak itu berkelakuan kasar dgn org lain bila kemudiannya, contohnya, maka itu bukanlah cara yg mahu kita guna.
‘Alah, kita dulu kena pukul juga, tapi jadi manusia juga…budak sekarang ni tak boleh nak jentik, tuh dah besar naik kepala’ memang ada benarnya kata-kata ini, namun, satu yg Ibu nak tanya, yg jadi manusia tu, manusia yang kuat semangat, tak ada ragu-ragu, capai kejayaan yg besar, sangat penyabar, luas dan bijaksana?
Jika ya, ok lah. Namun, apa yg telah di dapati ialah anak-anak yang sering dimarah, dilarang tanpa hemah, dipukul menjadi orang dewasa yang baran, atau kuat memendam perasaan, banyak keraguan, bersikap negatif, sering mencari kesalahan orang, hanya mementingkan diri sendiri atau hanya mementingkan orng lain dan tidak peduli akan diri sendiri dll.
Kedua, kita juga perlu faham bahawa menegur, menghukum , mendisiplin anak itu penting dan SANGAT PERLU DILAKUKAN DENGAN BIJAKSANA supaya anak yang menerimanya tidak hilang semangatnya, tidak hilang harga dirinya, tidak hilang keyakinan dirinya. Anak yang tidak dijentik langsung bila melakukan kesalahan ( selepas 10 tahun) memanglah akan menjadi manja berlebihan dan boleh naik kepala.
Lagi satu, walaupun kita tidak boleh memukul anak sebelum 10 tahun, namun kita masih boleh mendisiplinkannya. Banyak cara yang kita boleh gunakan. Contohnya, untuk anak 14 bulan, kita boleh jauhkan atau pindahkan barang bahaya yang dia hendak capai. Jika dia mahu memanjat tempat yg bahaya, kita boleh ambil dia dan bawa dia untuk memanjat tempat yg selamat dan kita berada di belakangnya bersedia untuk menyambutnya jika perlu. Apa yang kita boleh buat ialah berBERSEDIA.
SATU PERKARA YG IBU HENDAK INGATKAN. Jika pendapat anda dan suami berbeza, elaklah terlalu mengajar suami.
PUJUK dan pengaruhi dia dgn LEMBUT. Dia berpengangan begitu kerana itu yg dia yakin.
Untuk kita membantu suami agar dapat improve parenting skill : 1. Cuba anda fahami perspektifnya. 2. Hormat itu perspektifnya tapi tidak bermaksud kita setuju. Namun, jangan berkeras. Tunjuk melalui contoh. 3. Persembahkan perspektif anda dengan lemah lembut dan penuh hormat. 3. Dapatkan scientific evidence dan dalil Al-Quran dan Hadith. 4. Elakkan dpd bertengkar akan perkara itu di depan anak. 5. Bincang bersama pasangan di belakang anak dan dptkan kata sepakat. 6. Dan yg penting BERDOA agar Allah betulkan jalan kita.
Sekali lagi Ibu ingatkan, bukan kita manjakan anak. Bukan kita berlembut dan menjadi lembik. Kita GENTLE, BERHEMAH dengannya. Kita lembut, hormat dan tegas bukan lembut, lembik dan melenjakan.
Memilih untuk bercuti pada tempoh yang lama pastinya amat terindukan masakan kita. Bagi yang mahu memasak sepanjang bercuti, tip membawa daun-daunan herba, lebih-lebih lagi daun kesum, daun kari dan sebagainya ini perlu diikuti.
Malah bagi yang akan menetap lama di luar negara, cara ini paling sesuai untuk anda.
Tip perkongsian dari Normah Bahari menggunakan air fryer ini anda kena cuba. Memang mudah!
Pada yang rajin masak dan perlu sangat daun kunyit, daun limau purut, daun kesum, daun kari, lengkuas, kunyit hidup untuk di bawa keluar negara, disini saya nak share cara saya keringkan nya dengan menggunan air fryer.
Dengan bawa yang kering kita tak akan rasa berdebar bila nak berdepan dengan kastam.
Sekiranya ada stok banyak, walaupun disimpan dalam peti ais , lama-lama akan rosak juga, lebih baik dikeringkan dan dapat simpan berbulan-bulan.
Cara keringkannya. Suhu kurang dari 100.
Masa kering kan 30> 40 minit, kalau rasa belum kering betul, tambah masa lagi.
Untuk lengkuas, kunyit hidup, serai dan halia pula kena potong-potong. Perlu masa lebih lama.
Di UK ni, sepanjang saya berada di sini saya nampak halia yang banyak, yang lain belum nampak lagi.