
Setelah hampir enam tahun menanti kehadiran cahaya mata, pempengaruh media social, Beby Tora berkongsi khabar gembira kini sedang hamil anak pertama.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Beby Tora atau nama sebenarnya Atierah Zulfatie menunjukkan keputusan hamil kepada suaminya, Apit Johari, yang ketika itu jelas terpinga-pinga dan tidak menyangka keputusan hamil itu.
Kedua-duanya menangis gembira kerana terlalu terharu akan kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka itu.
“Assalamualaikum. Bismillah. Masya-Allah, Subhanallah. Terima kasih Ya Allah atas pinjaman-Mu yang tidak ternilai ini. Penantian selama hampir enam tahun akhirnya berbalas.
“Selama ini, saya tidak pernah dapat rasa melihat dua garisan pada alat ujian kehamilan, sehinggakan hati ini sudah reda dengan takdir.
“Namun, setelah setahun berikhtiar menjaga pemakanan dan mengamalkan diet sihat, akhirnya Allah makbulkan doa yang tidak pernah putus,” tulisnya di laman Instagram.
Tambahnya lagi, kehamilan ini merupakan hadiah paling bermakna dalam hidupnya dan suami setelah sekian lama menunggu. Malah Beby Tora juga turut mendoakan agar wanita yang menanti zuriat dikurniakan sama rezeki sepertinya.
“Benar-benar rezeki yang tidak disangka. Hadiah paling bermakna dalam hidup saya untuk tahun ini. Saya doakan agar semua pejuang TTC (Trying To Conceive) juga dikurniakan rezeki kehamilan tahun ini. Aamiin.
“Doakan saya dan bayi dalam kandungan sentiasa sihat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang kehamilan ini. Alhamdulillah, kini usia kandungan saya sudah mencecah lima bulan,” luahnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang turut berkongsi rasa gembira dan mendoakan agar segala urusan Beby Tora dipermudahkan sepanjang kehamilan ini.
Sumber: Instagram