
Melahirkan bayi merupakan satu proses besar yang memberi kesan kepada seluruh tubuh ibu. Walaupun bayi sudah selamat dilahirkan, tubuh ibu masih memerlukan masa untuk sembuh dan menyesuaikan diri dengan perubahan selepas kehamilan dan kelahiran.
Dalam tempoh ini, ibu juga perlu mengenali tanda bahaya selepas bersalin yang mungkin memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan dengan segera.
Tempoh pemulihan setiap ibu juga berbeza. Ada yang kembali aktif dalam masa singkat, manakala sesetengah ibu mungkin mengambil masa lebih lama, terutama selepas melalui pembedahan caesarean, kelahiran yang sukar atau mengalami komplikasi ketika bersalin.
Sebab itu, sepanjang tempoh berpantang, ibu bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada keperluan bayi, tetapi juga perlu memerhatikan keadaan tubuh sendiri. Jangan menganggap semua kesakitan, pendarahan atau rasa tidak selesa selepas bersalin sebagai perkara biasa.
Ada beberapa simptom yang mungkin menjadi petanda tubuh sedang mengalami komplikasi dan memerlukan pemeriksaan doktor dengan segera.

Tanda Bahaya Lepas Bersalin Dan Simptom
1. Kawasan Faraj Bengkak, Sakit atau Bernanah
Bagi ibu yang bersalin secara normal, sedikit rasa sakit dan tidak selesa pada kawasan jahitan boleh berlaku pada peringkat awal pemulihan.
Namun, jika kawasan faraj menjadi semakin bengkak, terasa sangat sakit, berbau atau mengeluarkan nanah, ia mungkin menandakan berlakunya jangkitan pada luka atau jahitan.
Elakkan memicit kawasan yang bengkak atau bernanah kerana tindakan itu boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk. Gunakan pakaian dan seluar dalam yang longgar serta pastikan kawasan tersebut sentiasa bersih dan kering.
Sekiranya kesakitan semakin kuat atau terdapat tanda jangkitan, segera berjumpa doktor.
2. Luka Pembedahan Caesarean Tidak Normal
Ibu yang bersalin secara pembedahan perlu sentiasa memerhatikan keadaan luka pada bahagian perut.
Rasa sakit pada luka mungkin berlaku pada awal tempoh pemulihan, tetapi ibu perlu mendapatkan pemeriksaan sekiranya luka kelihatan semakin merah, membengkak atau mengeluarkan cecair.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah:
- Kesakitan pada luka semakin kuat
- Luka pembedahan berdarah
- Kawasan jahitan membengkak atau menjadi merah
- Keluar nanah atau cecair daripada luka
- Demam atau menggigil
- Perut terasa terlalu sakit atau kembung
Jangan cuba merawat luka yang dijangkiti sendiri tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor.
3. Keluar Cecair atau Nanah Berbau
Selepas bersalin, ibu akan mengalami pengeluaran darah nifas atau lochia. Warnanya juga akan berubah secara berperingkat sepanjang tempoh pemulihan.
Bagaimanapun, jika keluar cecair seperti nanah atau terdapat bau yang sangat busuk dari faraj, ia mungkin menjadi petanda jangkitan pada sistem reproduktif.
Keadaan ini boleh berlaku selepas kelahiran secara normal mahupun pembedahan. Sekiranya ia disertai demam, menggigil, sakit perut atau tubuh terasa sangat lemah, ibu perlu mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
4. Pendarahan Terlalu Banyak
Pendarahan selepas bersalin merupakan sebahagian daripada proses normal tubuh untuk mengeluarkan darah dan tisu daripada rahim. Kebiasaannya darah nifas akan semakin berkurangan dari semasa ke semasa.
Namun, pendarahan yang sangat banyak atau tiba-tiba menjadi lebih banyak tidak boleh dipandang ringan. Ini merupakan antara tanda bahaya selepas bersalin yang perlu diberi perhatian.
Antara tanda yang perlu diperhatikan termasuk:
- Darah keluar terlalu banyak dalam tempoh singkat
- Keluar darah beku yang besar
- Rasa pening atau hampir pengsan
- Kulit kelihatan pucat
- Jantung berdegup sangat laju
- Menggigil atau berpeluh
- Sakit kuat pada bahagian bawah abdomen
- Darah atau cecair dari faraj berbau busuk
Pendarahan berlebihan selepas bersalin boleh menjadi keadaan kecemasan dan memerlukan rawatan segera.
5. Sukar Buang Air Kecil atau Kencing Terlalu Sedikit
Selepas bersalin, ibu juga perlu memberi perhatian kepada perubahan ketika membuang air kecil. Jika ibu sentiasa berasa dahaga tetapi hanya mengeluarkan sedikit air kencing, mengalami rasa pedih, sakit atau sukar membuang air kecil, beritahu doktor.
Masalah tersebut mungkin berkaitan dengan dehidrasi, jangkitan saluran kencing atau komplikasi lain yang memerlukan pemeriksaan.
6. Loya, Muntah dan Hilang Selera Makan
Loya dan muntah mungkin biasa ketika awal kehamilan, tetapi simptom yang berlaku secara berterusan selepas bersalin perlu diberi perhatian. Lebih-lebih lagi jika ibu tidak mampu makan atau minum, terlalu lemah, demam atau mengalami sakit perut.
Keadaan ini mungkin berkaitan dengan jangkitan atau masalah kesihatan lain selepas kelahiran. Jangan tunggu sehingga tubuh terlalu lemah sebelum mendapatkan rawatan.
7. Tekanan Darah Tinggi Selepas Bersalin
Preeklampsia bukan sahaja boleh berlaku ketika hamil. Dalam sesetengah keadaan, masalah tekanan darah tinggi juga boleh berlaku selepas bayi dilahirkan. Sebab itu tekanan darah ibu biasanya akan dipantau selepas kelahiran.
Antara gejala yang perlu diberi perhatian termasuk tekanan darah tinggi, sakit kepala yang kuat, gangguan penglihatan, sakit pada bahagian atas abdomen atau pembengkakan yang ketara.
Jika tidak dirawat, tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk sawan dan strok.
8. Sakit Kepala Terlalu Kuat
Kurang tidur, perubahan hormon, tekanan dan keletihan boleh menyebabkan ibu mengalami sakit kepala selepas bersalin.
Namun, sakit kepala yang sangat kuat, berpanjangan atau berbeza daripada sakit kepala biasa tidak seharusnya diabaikan.
Lebih-lebih lagi jika disertai:
- Penglihatan kabur atau melihat kilatan cahaya
- Tekanan darah tinggi
- Bengkak pada muka atau tangan
- Pening
- Loya dan muntah
- Rasa keliru atau tidak stabil
Dapatkan pemeriksaan segera kerana sakit kepala yang serius selepas bersalin boleh mempunyai pelbagai punca, termasuk masalah tekanan darah.
9. Sesak Nafas atau Sakit Dada
Sesak nafas secara tiba-tiba selepas bersalin merupakan salah satu tanda bahaya selepas bersalin yang perlu dianggap serius.
Dalam sesetengah kes, ia boleh berkaitan dengan pembekuan darah yang bergerak ke paru-paru atau masalah jantung dan paru-paru yang lain.
Jika ibu tiba-tiba sukar bernafas, mengalami sakit dada, jantung berdegup terlalu laju, terasa hendak pengsan atau bibir kelihatan kebiruan, dapatkan rawatan kecemasan dengan segera. Jangan tunggu untuk melihat sama ada simptom tersebut akan hilang sendiri.
10. Payudara Bengkak, Merah dan Sakit
Payudara yang penuh atau membengkak boleh berlaku ketika susu mula banyak dihasilkan. Namun, jika satu bahagian payudara menjadi sangat sakit, terasa panas, kemerahan dan ibu turut mengalami demam atau menggigil, ia mungkin menjadi tanda mastitis atau jangkitan pada payudara.
Penyusuan atau pengeluaran susu secara berkala boleh membantu mengurangkan pembengkakan dalam sesetengah keadaan, tetapi jika terdapat tanda jangkitan, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang sesuai.
11. Perubahan Emosi Terlampau
Perubahan emosi pada hari-hari awal selepas bersalin agak biasa. Ada ibu menjadi mudah menangis, sensitif, penat atau cepat tersentuh. Keadaan ini sering dikaitkan dengan baby blues.
Namun, gejala yang berpanjangan atau semakin serius perlu diberi perhatian kerana ia mungkin bukan sekadar baby blues.
Antara tanda yang tidak sepatutnya diabaikan ialah:
- Terlalu sedih atau menangis hampir setiap hari
- Hilang minat terhadap perkara yang sebelum ini disukai
- Sukar menguruskan diri atau menjaga bayi
- Rasa diri tidak berguna atau terlalu bersalah
- Sukar tidur walaupun mempunyai peluang untuk berehat
- Sangat cemas atau takut tanpa sebab yang jelas
- Keliru, melihat atau mendengar sesuatu yang orang lain tidak alami
- Mempunyai fikiran untuk mencederakan diri sendiri atau bayi
Jika muncul fikiran untuk mencederakan diri sendiri atau bayi, keadaan itu memerlukan bantuan kecemasan dengan segera. Jangan biarkan ibu bersendirian dan dapatkan rawatan perubatan secepat mungkin.
Jangan Abaikan Tanda Bahaya Lepas Bersalin
Dalam kesibukan menguruskan bayi baru lahir, keadaan kesihatan ibu kadangkala mudah terlepas pandang. Sedangkan tempoh selepas bersalin merupakan antara fasa penting untuk tubuh kembali pulih.
Tidak semua rasa sakit bermaksud sesuatu yang berbahaya, tetapi ibu sendiri paling mengenali perubahan pada tubuhnya. Jika sakit semakin teruk, pendarahan terlalu banyak, demam, sesak nafas, luka kelihatan dijangkiti atau keadaan emosi semakin merosot, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan.
Mengenali tanda bahaya selepas bersalin dapat membantu ibu dan ahli keluarga bertindak lebih awal sekiranya keadaan kesihatan berubah atau semakin serius.
Penjagaan selepas bersalin bukan sekadar tentang berpantang. Kesihatan fizikal dan emosi ibu juga perlu diberi perhatian supaya proses pemulihan dapat berjalan dengan lebih selamat dan baik.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Youtube Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!




