
Kebanyakan bayi dilahirkan bersama tanda lahirnya yang tersendiri. Ia boleh wujud di mana-mana bahagian anggota badan seperti muka, tangan, kaki atau badan. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis tanda lahir yang boleh dialami bayi. Antara yang paling terkenal adalah tanda lahir jenis ‘port wine stain’.

Apakah tanda lahir ‘port wine stain’?
Secara umumnya, terdapat dua jenis utama tanda lahir iaitu:
Tanda lahir berpigmen: Ia terjadi akibat pigmen yang berlebihan di kawasan kulit tersebut. Kebiasaannya berwarna gelap seperti tahi lalat.
Tanda lahir vaskular: Ia terjadi akibat saluran darah yang terkumpul di bawah kulit. Kebiasaannya berwarna kemerahan atau merah jambu.
Tanda lahir ‘port wine stain’ atau nevus flameus merupakan sejenis tanda lahir vaskular. Ia berwarna seakan-akan merah jambu atau ungu gelap. Kebiasaannya, ia akan terjadi pada kawasan muka, kepala, leher, tangan atau kaki. Pun begitu, ia masih boleh terjadi pada anggota badan yang lain.

Apakah punca ia terjadi?
Tanda lahir ini bukanlah berpunca daripada faktor genetik atau keturunan kerana ia akan berlaku secara rawak pada bayi yang tertentu. Punca sebenar ia terjadi adalah terdapat saluran darah di suatu kawasan kulit yang sempit lalu mengakibatkan darah terkumpul di bawah kulit. Kumpulan darah inilah yang menyebabkan kawasan permukaan kulit tersebut bertukar warna seakan merah jambu atau ungu gelap.
Adakah ia berbahaya?
Sebenarnya, tanda lahir ini tidak mendatangkan sebarang bahaya atau mudarat kepada bayi anda.
Namun begitu, ia mungkin merupakan tanda bayi anda mempunyai kondisi kesihatan seperti sindrom ‘Sturge-Weber’ atau ‘Klippel-Trenaunay’ yang berbahaya kepada tumbesaran bayi anda. Sebaiknya, bawa si kecil anda berjumpa doktor untuk mendapatkan lebih kepastian mengenai perkara ini.
Perkara yang paling perlu dikuatiri oleh ibu bapa adalah tanda lahir ini mungkin akan membuat penampilan mereka lain daripada yang lain lalu menggugat keyakinan diri mereka, terutamanya ketika menjangkau usia remaja.
Adakah ia akan hilang dengan sendiri?
Hakikatnya, tanda lahir ini adalah bersifat kekal dan tiada rawatan atau ubatan yang boleh digunapakai untuk menghilangkannya. Namun begitu, ibu bapa boleh mempertimbangkan untuk melakukan prosedur laser khas yang boleh memudarkan warna tanda lahir pada bayi mereka bagi tujuan kosmetik.
Namun begitu, ibu bapa seharusnya terus menyemai keyakinan dalam diri anak anda sekiranya mereka mengalami tanda lahir ini. Beritahu mereka bahawa tanda lahir ini bukanlah satu kecacatan atau kelainan daripada individu lain sebaliknya satu keunikan yang tidak semua individu berpeluang mengalaminya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau Anak Kecil Ada Penyakit Lelah, Elakkan Makan Makanan Ini

Penyebab asma pada anak ada banyak dan ia bukan sahaja akibat faktor persekitaran. Ini kerana makanan dan minuman yang mereka ambil juga akan memainkan peranan penting.

Sebagai contoh, kanak-kanak dengan kondisi ini dipercayai tidak boleh mengambil hidangan yang mengandungi gas kerana ditakuti boleh jadi punca komplikasi lebih buruk.
Persoalannya, benarkah batuk asma pada anak akan jadi lebih teruk angkara makanan dan minuman yang bergas? Jom terus baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut!
Penyakit asma & makanan itu saling berkaitan?
Asma adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan sistem pernafasan. Disebabkan itu, penghidap asma selalunya disarankan untuk elak daripada alergen-alergen yang berada di ruang udara.
Namun, agak jarang pula penghidap asma diingatkan agar menjaga aspek diet pemakanan yang sebenarnya sama malah mungkin lebih penting untuk mengawal kondisi ini.
Untuk pengetahuan anda semua, individu yang ada asma perlu jaga pola makan yang sihat agar dapat mengendalikan gejala asma di samping membantu mengawal berat badan.
Kenapa? Ini kerana penderita asma yang ada masalah berat badan berlebihan atau obesiti cenderung untuk lebih lambat respons kepada ubatan atau rawatan penyakit asma.
Annals of American Thoracic Society menyatakan bahawa individu dengan kondisi asma wajar menurunkan 10% daripada berat badan mereka untuk elak komplikasi buruk.
Makanan boleh jadi penyebab asma pada anak?
Sebenarnya, adalah sangat penting untuk ibu bapa tahu bahawa ada beberapa jenis makanan dan minuman yang tidak sesuai jika diberikan kepada anak dengan kondisi asma.
Berikut adalah antara jenis makanan yang mungkin boleh jadi punca batuk asma pada anak:
#1. Makanan yang tinggi sulfite
Sulfite seperti sulfur dioksida dan lain-lain biasanya wujud di dalam produk makanan kering yang diekstrak dan diawet untuk dikilangkan serta ditinkan bagi jualan di pasaran.
Sebatian ini mungkin akan mendatangkan kesan sampingan terutamanya kesukaran untuk individu bernafas yang tentu sahaja sangat bahaya buat penderita penyakit asma.
#2. Makanan yang tinggi garam
Garam adalah bahan wajib di dalam pelbagai jenis makanan untuk menambah rasa dan membuat ia tahan lebih lama. Namun, ia mungkin kurang bagus jika anak anda ada asma.
Sama seperti sulfite, makanan yang tinggi garam juga boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sukar untuk bernafas sekali gus membuatkan ia tidak sesuai buat penderitanya.
#3. Produk tenusu
Produk tenusu seperti susu, keju dan yogurt agak popular sebagai penyebab asma pada anak kerana ia berisiko untuk menambah mukus lantas mengganggu salur pernafasan.
Ia adalah akibat teksturnya yang agak pekat selain tinggi dengan lemak yang mungkin akan menyumbang kepada risiko sistem pernafasan anak dengan mengalami rengsa atau radang.
#4. Daging proses
Daging proses seperti sosej, koktel, salami, ham dan lain-lain mengandungi pengawet makanan bernama nitrite dan ia dipercayai mungkin boleh menjejaskan salur pernafasan.
Bukan itu sahaja, ia turut kaya dengan lemak tepu dan sodium yang semua orang sudah tahu akan memburukkan lagi simptom sekiranya anak anda ada masalah sistem pernafasan.
#5. Makanan pemicu alergen
Paling berbahaya, batuk asma pada anak juga boleh jadi lebih buruk jika mereka ambil makanan pemicu alergen seperti makanan laut, gandum, telur, kacang dan sebagainya.
Makanan bergas juga penyebab asma pada anak?
Berbalik kepada topik utama artikel, si kecil dengan masalah asma juga mungkin perlu elak makanan dan minuman bergas kerana ia boleh buat komplikasi jadi lebih teruk.
Ini kerana hidangan penuh gas akan memberikan tekanan pada diafragma dan tanpa sedar, ia mungkin akan menyebabkan sakit dada, sesak nafas serta gejala yang lain.
Disebabkan itu juga, ibu bapa perlu elak beri anak dengan asma jenis makanan dan minuman ini:
- Minuman berkarbonat
- Makanan bergoreng
- Gula-gula getah
- Jenis sayur, buah dan kekacang tertentu
Lebih berbahaya jika anak anda pernah atau masih mengalami penyakit asid refluks (GERD). Jadi, sila dapatkan informasi dan nasihat daripada doktor tentang diet sesuai.
Penderita asma tidak boleh asal makan sahaja!
Konklusinya, individu dengan kondisi asma tidak boleh asal makan sahaja terutamanya golongan kanak-kanak kerana mereka mungkin belum tahu apa yang bagus atau tidak.
Disebabkan itu, sila peka dengan penyebab asma pada anak sama ada dari aspek persekitaran dan pemakanan agar tidak pula timbul komplikasi yang mungkin boleh membahayakan kesihatan mereka.

Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Jangan ketinggalan okay! Teruskan menyokong kami di @majalahpama #majalahpama #pamasuperbhuffaz

Buat pertama kalinya BINTANG KECIL membawa anda menyaksikan kisah magisnya ciptaan Allah di samping mendekati kehidupan para sahabat nabi dan tokoh ilmuwan di dalam siri Hikayat 1001 Malam yang disokong sepenuhnya dari TATEH. Saksikan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini istimewa bersama PU RIZ dan team BK Squad di Youtube Channel Bintang Kecil bermula 1 Ramadan pada jam 6.30 petang. Jangan ketinggalan! Follow @bintangkecil #bintangkecilmy #bintangkecil #1001Malam
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Sofea Kuat, Apa Pun Terjadi Mommy Akan Jaga”. Koma 21 Hari Selepas Terjatuh Tangga

Dilahirkan secara sihat pada 14 November 2019 dengan berat 3.6 kilogram dan seorang bayi yang aktif serta cepat perkembangannya, siapa sangka takdir Allah lebih dari segalanya apabila Nur Arriana Sofea atau panggilan manjanya Sofea kini hanya terlantar.
Hidup Sofea berubah 100 peratus apabila kejadian yang menimpanya pada bulan Julai tahun lalu apabila terjatuh dari tangga.
Bercerita lanjut mengenai keadaan Sofea, ibunya Puan Dhia menjelaskan Sofea adalah anak angkat yang diambil sejak lahir dan anak susuannya. Walaupun bukan darah daging, kasih sayang pada Sofea sama seperti anak kandung. Tidak sedikit beza pun namun takdir ini benar-benar buatkan hati rasa sedih dan sangat berharap Sofea kembali sihat dengan izin Allah.

Anak yang ceria
Sofea pada asalnya adalah anak yang sangat ceria dan sentiasa tersenyum. Dia sangat sihat dan kuat makan malah perkembangan pembesaran pun cepat berbanding bayi lain. Pada umur 6 bulan dia sudah boleh duduk, pada umur 7 bulan pula sudah boleh merangkak dan berdiri dengan memegang perabot.
Seperti bayi lain, apabila sudah boleh merangkak dia suka bermain tangga dan kami selalu mengambil langkah berhati-hati dan berjaga-jaga supaya tidak terjadi apa-apa yang tidak diingini. Pagar penghalang di tangga dan pintu bilik tingkat atas sedia terpasang.

Sofea jatuh 12 anak tangga
Walaubagaimanapun, ALLAH SWT lebih mengetahui sebab asbabnya terjadinya kemalangan ini. Pada pagi Jumaat 17/7/2020 yang penuh berkah, saya telah membuat ujian air kencing untuk periksa mengandung kerana sudah mula berasa mual dan haid sudah lewat.
Alhamdulillah ujian tersebut positif dan kami berasa sangat gembira kerana akan dapat anak lagi. Tetapi, tidak sempat puas kami gembira dengan berita itu, pada sebelah petang, hari itu bertukar menjadi duka.
Setelah Sofea dimandikan petang itu, saya meletakkan dia di dalam cots baby di bilik tidur utama, berikan dia susu botol, dan tutup pagar bilik. Manakala saya pergi ke bilik sebelah untuk mengemas bilik dan membuat perniagaan online ARRIANA SERUM saya. Sedang saya melakukan kerja, tiba-tiba saya terdengar benda jatuh dari tangga, saya terus keluar dari bilik, dan dapati, Sofea terjatuh 12 anak tangga dan terlantar tidak bergerak.
Saya cemas, bagaimana dia boleh terkeluar? Sekilas pandang, saya nampak anak sulung saya berumur 6 tahun, sedang tidur di tilam bilik tidur utama, anak kedua berumur 5 tahun tidur di kerusi di tingkat bawah, anak ketiga berumur 2 tahun berada di tengah-tengah tangga dengan permainannya dan paling terkejutnya pagar penghalang di bilik tidur utama terbuka luas!

Buat CPR untuk sedarkan Sofea
Saya terus mengambil Sofea, apabila saya angkat dia yang terlantar tidak bergerak, seluruh badannya kejang beberapa saat dan kemudian jadi lemah lembik seperti tidak bernyawa. Saya teringat tentang CPR dan memulakan tekanan dada kepada dia untuk sedarkan dia kembali. Dan terus menghubungi suami saya yang merupakan seorang doktor di jabatan kecemasan. Suami saya segera datang ke rumah bersama ambulan hospital.
Suami saya kata kepada saya, apabila dia ambil Sofea, sofea masih panas dan merah, tetapi tidak bernafas, oleh itu dia sambung melakukan CPR sehingga tiba di hospital yang hanya 5 minit perjalanan dari rumah kami.
Ada pendarahan dalam kepala
Tiba di zon merah lebih kurang hampir pukul 6 petang, pasukan kecemasan Hospital USM sudah dalam keadaan bersedia menerima Sofea, dan rawatan diberikan segera apabila Sofea sampai. Alhamdulillah nadi dan pernafasan Sofea kembali ada, tetapi masih tidak sedarkan diri dan berlaku sawan beberapa kali menyebabkan pasukan kecemasan Hospital USM memasukkan tiub pernafasan dan mengawal pernafasan Sofea menggunakan mesin. Hasil siasatan mendapati terdapat pendarahan yang besar di dalam kepala Sofea yang memerlukan pembedahan segera.
Doktor bedah otak, bius, dan kanak-kanak semuanya dirujuk segera. Dan tepat pukul 12 pagi 18/07/2020 Sofea masuk dewan bedah untuk melakukan pembedahan otak untuk membuang tempurung kepala kanan dan darah beku di dalamnya. 4 jam lebih kami menunggu di luar dewan bedah. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar, namun keadaan Sofea ketika itu masih belum stabil dan perlu dimasukkan di ICU neuro.

Koma 21 hari
21 hari anak kami koma, pada hari ke 22 dia mula sedarkan diri, tetapi dia tidak lagi seperti dahulu, kelihatan anggota badan sebelah kiri semuanya lemah, dari kepala hingga kaki, dan hanya boleh memandang ke sebelah kanan.
Keadaannya seperti orang stroke, semua bahagian belah kiri lemah kerana kecederaan di otak sebelah kanan. Pernafasannya masih bergantung kepada mesin ventilator menyebabkan dia terpaksa dipasangkan Tracheostomy (lubang pernafasan di leher) untuk mengelakkan komplikasi yang lebih buruk. Sebulan lebih Sofea di ICU, dan kemudian duduk di wad sebulan setengah.

Awalnya tak dapat terima kenyataan keadaan Sofea
Melihat keadaan Sofea, emosi saya sering terganggu, saya sering menangis dan tidak dapat menerima kenyataan mengapa terjadi seperti ini ke atas Sofea. Dengan keadaan keletihan mengandung, saya kena menghadapi keadaan ini, menjaganya siang hari di hospital bergilir dengan suami saya yang menjaganya di malam hari.
Hampir-hampir suami saya menangguhkan pengajiannya dalam kepakaran kecemasan di Hospital USM yang akan menghadapi peperiksaan pada bulan Oktober dan November. Tetapi saya pujuk dia untuk teruskan dan kita hadapi bersama semua ini. Alhamdulillah ibu mertua saya, Siti Saharah Binti Satari dan adik ipar saya Siti Salimah Binti Abu Hasan, datang dari Kuala Lumpur untuk membantu kami menjaga Sofea dan anak-anak kami yang lain, serta memberi ruang belajar dan galakan kepada suami saya yang akan menghadapi peperiksaan.
Tunjukkan perkembangan positif
Alhamdulillah kini, Sofea sedikit sebanyak menunjukkan perkembangan positif. Masalah perut kembung yang menyebabkan dia tidak boleh tidur di malam hari sudah berkurangan, tangan dan kaki kiri sudah ada pergerakan, pandangan matanya sudah boleh ke kiri, kepalanya juga sudah boleh menoleh ke kiri. Dia juga sedikit-sebanyak sudah mula cuba mengawal kepalanya.
Alhamdulillah suami saya lulus peperiksaan Master dia pada bulan November yang lalu. Dan kini kami meneruskan semua temujanji hospital kami di hospital SASMEC, tempat kerja baru suami saya. Temujanji dengan fisioterapi dan rawatan cara kerja 2 minggu sekali, temujanji doctor Pediatrik, Neurosurgeri, ENT, Opthalmology dan rehabilitasi semuanya di Hospital SASMEC.

Dikategori sebagai Cerebral Palsy
Sofea kini dikatakan sebagai Cerebral Palsy disebabkan kecederaan otak yang dia alami. Sangat memerlukan rawatan fisioterapi dan rawatan cara kerja yang kerap untuk membantu mengembalikan kebolehan fizikal sofea. Sekiranya tidak dijaga dengan baik, otot-otonya akan mengeras dan dia akan kekal lumpuh. Sekerap yang mungkin, saya juga membuat rawatan tersebut dirumah seperti yang diajarkan.
Sofea kini memerlukan penjagaan yang sangat rapi kerana keadaannya. Setiap 4jam saya akan berikan susu melalui tiub minum yang dipasang melalui hidungnya, tukar tiub tersebut setiap 2 minggu, melakukan ‘suction’ di tracheostomy sekiranya berkahak, mencuci tracheostomy setiap hari dan tukar tracheostomy setiap bulan, mandikan dia yang berat hampir 10kg juga bukanlah perkara yang mudah.
Semakin hari semakin sukar kerana saya semakin sarat dan sering sakit-sakit pinggang kerana mengangkat Sofea. Kos menjaga sofea juga bertambah, kerana banyak barang-barang ‘consumable’ yang perlu di beli dari luar dan tidak dibekalkan oleh hospital.
Namun alhamdulillah, ALLAH SWT mencukupkan keperluan kami dan kini kami telah pun dapat seorang pembantu rumah yang baik. Perniagaan saya pula? Terpaksa saya perlahankan buat masa ini, kerana ingin fokus kepada penjagaan Sofea. InsyaALLAH mesti ada hikmahnya di kemudian hari atas segala cabaran ini.

Doakan kesembuhan dan kekuatan untuk Sofea
Walaupun kami semua tidak pasti sama ada Sofea boleh kembali bangun, berdiri, berjalan, belajar dan berdikari suatu hari nanti, kami tetap cuba lakukan yang terbaik, dan doa yang terbaik kerana kami yakin sekiranya ALLAH SWT itu mahu sembuhkan Sofea 100%, Sofea pasti akan sembuh. Kami sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan perawatan Sofea di Hospital USM dan Hospital SASMEC, semoga ALLAH SWT membalas jasa-jasa kalian.
Belajar ilmu CPR & sokongan suami
Saranan saya kepada ibu-ibu semua, belajarlah ilmu perubatan kecemasan atau CPR, kita tidak tahu bila orang tersayang kita memerlukan bantuan itu. Dan kepada para suami dan ahli keluarga semua wanita yang mengandung, berilah sokongan dan bantuan kepada ibu-ibu mengandung, mereka sedang berjuang mengandungkan khalifah-khalifah ALLAH SWT dan bakal syahid sekiranya terkorban dalam perjuangan ini.
Bantulah mereka, berilah sokongan, ringankan beban mereka, bukan sahaja fizikal ibu mengandung ini keletihan, tetapi emosi yang terumbang-ambing akibat perubahan hormon dalam badan juga sedang kacau bilau jika ditimpa musibah.
Doakan juga proses bersalin saya dalam masa terdekat ini dipermudahkan dan selamat semuanya, kesihatan Sofea akan pulih, serta doakan keluarga kami sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT dan jadikan kami sekeluarga ahli-ahli syurga di akhirat nanti bersama-sama anda semua. InsyaALLAH.
Kredit: Puan Dhia
**Teringin nak dapatkan barangan anak pada harga istimewa, klik di sini untuk info lanjut.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu Yang Nak Bercerai Susu Badan Dengan Anak Boleh Cuba 10 Tips Ini

Biasanya ibu menghadapi sedikit kesukaran untuk bercerai susu badan dengan anak yang sudah lebih umur 2 tahun. Bukan tugas yang mudah ya untuk ibu dan anak bercerai susu.
Ia akan melibatkan emosi kedua belah pihak. Biasanya bukan anak sahaja yang akan menangis kesedihan tetapi ibu juga turut mengalirkan air mata. Bayangkan sejak lahir hingga umurnya 2 tahun atau lebih, anak dan ibu saling berpelukan dan berpandangan antara satu sama lain waktu sesi penyusuan.
Tentu sahaja saat hendak berpisah, ia memerlukan masa dan sudah tentu akan menyentuh emosi. Saat ini bukan ibu sahaja yang perlu tabah dan kental tetapi ayah juga perlu menjadi penyokong kuat menjayakan misi ini. Jika ada ibu-ibu yang sedang dalam proses bercerai susu dengan anak, mungkin tips berikut boleh dijadikan panduan.
1. Beritahu anak
Anda mesti beritahu anak tentang rancangan ini. Jangan berhentikan secara mendadak. Kena minta persetujuan anak. Cakap dengan dia berulang kali setiap kali dia tengah menyusu, yang dia perlu berhenti minum susu ibu kerana sudah besar. Sebaiknya anda sudah biasakan dia tentang hal ini dalam tempoh beberapa bulan sebelum bercerai susu ibu.

2. Kurangkan penyusuan
Kalau dulu anak boleh menyusu bila-bila masa waktu dengan kita tapi bila sudah rancang nak bercerai susu maka anda perlu perlahan-lahan mengurangkan kekerapan penyusuan. Mungkin waktu siang anda perlu bagi anak aktif dan sibuk bermain sampai dia terlupa nak minta susu dan hanya boleh menyusu waktu nak tidur malam sahaja.
3. Tetapkan target
Jangan buat secara mendadak tapi sebaiknya tetapkan target bila anda nak menceraikan anak susu ibu. Jangan tiba-tiba sahaja anda bercadang nak berhentikan anak menyusu sedangkan anak tak bersedia lagi. Sekurang-kurangnya kalau rancang nak berhenti bulan depan, maka bulan ini kena kerap bagitahu anak hal itu.
4. Ibu kena yakin
Bukan anak sahaja kena bersedia tapi ibu sendiri perlu yakin dengan keputusan yang dibuat. Kalau tidak proses ini tak akan berjaya. Tetapkan di minda yang anda boleh lakukannya.

5. Ibu kena berjiwa kental
Proses bercerai susu melibatkan emosi dan drama air mata, jadi ibu kena berjiwa kental dan tabah terutama bila anak merayu-rayu dan menangis hendak menyusu waktu dia nak tidur malam. Masa ini memang boleh sayu dan ibu sendiri akan menangis tapi jangan tunjukkan depan anak. Teruskan bertegas dengan keputusan yang telah dibuat.
6. Sabar, sabar dan sabar
Ibu kena tingkatkan tahap kesabaran ya. Ini kerana proses cerai susu akan turut memberi kesan pada emosi dan kelakuan anak. Jangan terkejut sekiranya si manja berubah sikap menjadi agresif, pemarah, kuat mengamuk dan panas baran. Jangan marah atau pukul dia sebaliknya bersabar dan pujuk anak dengan baik, peluk dia dan cakap anda sayangkan dia.
7. Jangan tipu anak
Walaupun anda terdesak hendak menjayakan proses cerai susu tetapi jangan sesekali guna kaedah menipu anak kononnya payu dara anda sakit maka dia tak boleh menyusu lagi. Anak anda sangat bijak ya. Dia akan tanya anda dan memeriksa payu dara anda untuk memastikan sama ada ia betul-betul sakit atau tidak.
8. Guna petua selamat
Kalau anda pilih menggunakan petua orang lama untuk cerai susu, pilihlah bahan yang tidak membuatkan anak trauma dengan rasa seperti terlalu pahit, pedas atau kelat.
9. Sokongan suami
Ini faktor paling penting! Suami kena mainkan peranan untuk menyokong proses ini. Jangan biarkan isteri terkapai-kapai keseorangan menangani hal ini. Mungkin sepanjang proses bercerai susu, suami boleh tolong ambil alih tugas tidurkan anak. Suami boleh alihkan perhatian anak dengan buat ativiti dengannya supaya dia leka dan tak ingat untuk minta susu dan paling penting bila anak tengah mengamuk, suami tolong pujuk dan peluk anak untuk elakkan ibu jadi stress.
10. Berdoa
Apa pun rancangan dan usaha yang kita dah buat, sentiasa ingat Allah jua yang menentukan. Doalah supaya Allah tolong niat kita ni. Jadi, jangan lupa berdoa setiap masa semoga proses kita cerai susu dengan anak dipermudahkan.
Walaupun proses ini boleh menguji kesabaran kita, tapi jangan terlalu stres sampai anda marah dan jerit pada anak yang buat perangai ketika ini. Ingatlah, bukan mudah untuk si kecil yang sudah terbiasa dengan susu ibu melupakan terus rutin yang dibuat sejak 2 atau 3 tahun lepas. Berikan kasih sayang dan perhatian lebih kepadanya bagi menggantikan momen bonding yang diperolehi sebelum ini menerusi sesi penyusuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


