Sebaik anak lahir bukan bermakna ibu telah pun kembali sihat dan pulih dengan baik dan pantas. Proses penyembuhan ini mengambil tempoh tertentu terutamanya kepada ibu yang bersalin secara pembedahan.
Sebaiknya selepas berpantang, ibu berikan perhatian sewajarnya untuk kembali sembuh dengan cepat. Ketika berada di dalam pantang, jika ibu berasa tidak sihat sebaiknya bertemu segera dengan doktor.
Ini panduan dan tanda aras bahaya yang bakal ibu perlu tahu selepas bersalin.
Simptom dan tanda masalah selepas bersalin
Jika anda mengalami mana-mana kondisi selepas bersalin, segeralah berjumpa doktor:
1. Faraj bengkak/nanah
Keadaan ini boleh berlaku kepada wanita yang bersalin secara normal. Biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman pada jahitan selepas beranak.
Elakkan memicit bisul pada faraj kerana ia akan memburukkan lagi jangkitan pada faraj. Selain itu, kurangkan bergerak dan gunakan seluar dalam longgar supaya bengkak tidak bertambah sakit. Segera dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang betul.
2. Jangkitan luka pembedahan
Ada banyak kesan sampingan selepas bersalin czer, anda perlu berwaspada tentang parut perut. Ini kerana ia boleh menjadi petanda keradangan pada luka pembedahan.
Sentiasa berunding dengan doktor selepas pembedahan dan maklumkan jika mengalami keadaan seperti:
* Kesakitan yang teruk pada luka pembedahan
* Parut pembedahan berdarah, bengkak atau keluar cecair
* Perut kembung dan rasa kenyang
* Demam
3. Keluar nanah dari faraj
Satu lagi tanda bahaya perlu anda perhatikan ialah nanah keluar dari faraj. Keadaan ini mungkin menunjukkan jangkitan pada perut atau peritonitis.
Jangkitan ini boleh berlaku sama ada selepas bersalin normal atau ketika anda sedang sakit selepas bersalin czer.
Peritonitis adalah keadaan yang sangat berbahaya. Sekiranya tidak dirawat dengan segera, jangkitan boleh merebak ke buah pinggang, usus dan hati.
4. Pendarahan berlebihan
Dalam tempoh nifas atau pendarahan lochia, anda akan mengeluarkan sejumlah darah seperti haid yang berlangsung sehingga 6 minggu atau 42 hari.
Namun, jika darah yang keluar terlalu banyak maka anda harus sedar tentang keadaan bahaya ini.
Segera dapatkan nasihat doktor jika pendarahan berlebihan disertai dengan gejala seperti:
* Menggigil
* Kulit pucat
* Pening dan sakit kepala
* Jantung berdebar
* Sakit teruk bahagian bawah abdomen
* Bau busuk pada faraj
Keadaan ini adalah tanda rahim bengkak selepas bersalin atau terdapat sisa-sisa plasenta yang tertinggal di dalamnya.
5. Kerap berasa dahaga tetapi kurang kencing
Anda juga perlu berhati-hati jika sering berasa dahaga tetapi kurang membuang air kecil. Lebih-lebih lagi jika anda mengalami kesakitan dan kesukaran kencing.
Segera dapatkan nasihat doktor jika mengalami masalah selepas bersalin ini kerana ia boleh menjadi tanda jangkitan.
6. Loya, muntah dan hilang selera makan
Pada trimester pertama kehamilan, keadaan ini mungkin semula jadi untuk dialami. Tetapi jika ia berlaku selepas melahirkan anak, anda perlu berhati-hati. Loya, muntah dan hilang selera makan juga merupakan masalah lepas bersalin, seperti jangkitan pada rahim.
7. Tekanan darah tinggi (preeklampsia)
Selepas beranak, keadaan tubuh perlu dipantau secara berkala oleh doktor dan jururawat – seperti memeriksa suhu badan dan tekanan darah.
Ia untuk mengelakkan jangkitan dan preeklampsia. Walaupun jarang berlaku, keadaan ini boleh membawa maut. Preklampsia adalah keadaan tekanan darah meningkat secara drastik selepas bersalin. Jika tidak dirawat dengan segera, ini boleh menyebabkan risiko strok, sawan dan juga kematian.
8. Sakit kepala atau migrain teruk
Anda berisiko mengalami sakit kepala pada minggu pertama selepas bersalin. Ini biasanya berlaku disebabkan oleh perubahan hormon, tekanan dan keletihan.
Walau bagaimanapun, berhati-hati jika anda mengalami sakit kepala atau migrain teruk kerana ia boleh menjadi tanda preeklampsia.
Segera dapatkan nasihat doktor jika sakit kepala disertai dengan gejala seperti:
* Penglihatan kabur
* Tekanan darah tinggi
* Bengkak muka, tangan dan kaki
* Peluh berlebihan
* Pening dan muntah
* Tanda meroyan selepas bersalin
9. Sesak nafas
Keadaan ini boleh berlaku jika terdapat penyumbatan pada saluran darah di paru-paru (embolisme pulmonari). Ini disebabkan oleh air ketuban yang masuk dalam saluran darah, dibawa ke paru-paru dan menyebabkan penyumbatan. Ia berbahaya dan boleh berisiko untuk kematian.
10. Payudara bengkak
Jika tidak menyusukan bayi dengan segera, payudara yang bengkak akan menyebabkan demam dan mengurangkan bekalan susu anda pada hari-hari berikutnya. Berhati-hati jika bengkak ini disertai dengan rasa terbakar dan permukaan kulit menjadi merah – tanda jangkitan pada payudara (mastitis).
11. Baby blues
Jika mengalami tanda meroyan selepas bersalin seperti baby blues, anda akan sukar mengawal emosi dan mudah menangis atau marah kerana perkara kecil. Dalam kes lebih teruk, ia boleh menyebabkan perkara seperti:
*Sakit pada bahagian badan tertentu tanpa sebab
* Mudah lupa
* Hilang semangat untuk hidup
* Mahu mencederakan diri sendiri atau bayi baru lahir
Sekiranya anda berada dalam situasi di atas atau mempunyai kebimbangan tentang petua hilangkan sakit badan selepas bersalin, berjumpa dengan doktor untuk lebih kepastian.
Menarik: Majlis Aqiqah & Kesyukuran Anak Kamal Adli, Uqasha Meriah, Cantik Serba Merah Jambu
Dato Siti Nurhaliza Tak Fokus Hamil Lagi, Mahu Jaga Kesihatan, “Dulu Ada Masalah Uri Melekat”
“Baby Alhamdulillah Sihat” Leeyana Rahman Lega Nak Masuk Trimester Kedua, Idam Dapat Anak Lelaki/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI