
Selepas melihat dua garis pada kit ujian kehamilan, antara perkara yang paling membuatkan bakal ibu teruja tentunya mahu tahu, “Sekarang dah berapa minggu?” dan “Agaknya bila tarikh bersalin nanti?”
Mengetahui usia kandungan dan tarikh jangkaan bersalin penting kerana ia membantu ibu merancang pemeriksaan antenatal, memantau perkembangan bayi serta membuat persediaan sepanjang sembilan bulan kehamilan.
Namun, tarikh bersalin bukanlah satu tarikh yang boleh ditentukan dengan tepat 100 peratus. Ia hanyalah anggaran berdasarkan beberapa kaedah pengiraan.
Antara cara yang biasa digunakan ialah berdasarkan tarikh hari pertama haid terakhir, menggunakan kalkulator kehamilan serta berdasarkan tarikh konsepsi.
Kaedah menggunakan tarikh haid terakhir atau Last Menstrual Period (LMP) merupakan antara cara yang paling biasa digunakan untuk menganggarkan usia kandungan.
Ini kerana kebanyakan wanita lebih mudah mengingati tarikh hari pertama haid terakhir berbanding mengetahui dengan tepat bila proses ovulasi atau persenyawaan berlaku.
Cara pengiraannya cukup mudah. Ambil tarikh hari pertama haid terakhir
, kemudian tambahkan 40 minggu atau 280 hari daripada tarikh tersebut.Sebagai contoh, jika hari pertama haid terakhir bermula pada 1 Januari, tarikh jangkaan bersalin adalah sekitar awal Oktober pada tahun yang sama.
Pengiraan ini biasanya dibuat berdasarkan andaian bahawa seseorang wanita mempunyai kitaran haid sekitar 28 hari dan ovulasi berlaku kira-kira pada pertengahan kitaran.
Ia mudah dilakukan, tidak memerlukan sebarang peralatan dan sesuai digunakan sebagai anggaran awal terutama bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur.
Bagi wanita yang mempunyai haid tidak teratur, pengiraan ini mungkin kurang tepat kerana waktu ovulasi boleh berlaku lebih awal atau lebih lewat daripada jangkaan.
Tak mahu pening mengira hari dan minggu sendiri? Bakal ibu juga boleh menggunakan kalkulator kehamilan atau kalkulator tarikh bersalin yang banyak disediakan secara dalam talian.
Kebiasaannya, ibu hanya perlu memasukkan tarikh hari pertama haid terakhir. Kalkulator tersebut kemudian akan memberikan anggaran usia kandungan serta tarikh jangkaan bersalin.
Sesetengah kalkulator kehamilan turut menyediakan maklumat mengenai perkembangan bayi mengikut minggu serta perubahan yang mungkin dialami oleh tubuh ibu.
Cara ini lebih cepat dan praktikal kerana pengiraan dilakukan secara automatik tanpa ibu perlu mengira jumlah hari sendiri.
Namun begitu, ketepatan hasilnya masih bergantung kepada maklumat yang dimasukkan.
Jika tarikh haid terakhir tidak dapat dipastikan atau kitaran haid tidak teratur, tarikh yang diberikan mungkin berbeza daripada usia sebenar kandungan.
Ada juga wanita yang memantau waktu subur dengan lebih terperinci, misalnya menggunakan kit ujian ovulasi atau mencatat perubahan suhu basal badan.
Jika tarikh ovulasi atau konsepsi dapat dikenal pasti dengan lebih tepat, tarikh tersebut juga boleh digunakan untuk menganggarkan tarikh jangkaan bersalin.
Secara umum, kira-kira 38 minggu atau 266 hari ditambah daripada tarikh konsepsi untuk mendapatkan anggaran tarikh bersalin.
Sebagai contoh, jika konsepsi dipercayai berlaku pada pertengahan Januari, tarikh jangkaan bersalin biasanya berada sekitar awal Oktober.
Kaedah ini boleh membantu wanita yang memang memantau waktu ovulasi secara konsisten, terutama bagi mereka yang mempunyai kitaran haid yang tidak begitu teratur.
Mengetahui tarikh hubungan intim tidak semestinya bermaksud itulah tarikh sebenar persenyawaan berlaku.
Ini kerana sperma boleh hidup selama beberapa hari dalam sistem reproduktif wanita dan proses persenyawaan mungkin berlaku selepas hari hubungan intim tersebut.
Sebab itu tidak semua wanita dapat menentukan tarikh konsepsi dengan tepat.
Setiap wanita mempunyai keadaan dan kitaran haid yang berbeza.
Bagi ibu yang mempunyai kitaran haid teratur, pengiraan menggunakan LMP atau kalkulator kehamilan boleh memberikan anggaran awal yang baik.
Jika kitaran haid tidak teratur atau ibu tidak pasti bila haid terakhir bermula, pemeriksaan ultrasound boleh membantu doktor menilai usia kandungan berdasarkan perkembangan bayi.
Ultrasound yang dilakukan pada awal kehamilan juga sering digunakan untuk membantu menentukan usia kandungan dan tarikh jangkaan bersalin
dengan lebih tepat.Walaupun sudah mendapat tarikh jangkaan bersalin, ibu tidak perlu terlalu risau sekiranya bayi tidak lahir tepat pada tarikh tersebut.
Tarikh berkenaan hanyalah panduan untuk membantu doktor dan ibu memantau perjalanan kehamilan.
Apa yang lebih penting ialah menghadiri pemeriksaan antenatal mengikut jadual supaya perkembangan bayi dan keadaan kesihatan ibu dapat dipantau sepanjang kehamilan.
Jika ibu tidak pasti tentang tarikh haid terakhir, mempunyai kitaran haid yang tidak teratur atau mendapat keputusan pengiraan yang berbeza-beza, berbincanglah dengan doktor ketika pemeriksaan kehamilan untuk mendapatkan anggaran usia kandungan yang lebih sesuai.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Sumber: Youtube Pa&Ma