Baby Patut Tidur Berapa Lama? Ini Anggaran Tempoh Tidur Siang & Malam Mengikut Usia!

Share

Bila sudah bergelar ibu ayah, antara perkara yang sering menjadi persoalan ialah waktu dan tempoh tidur bayi. Ada bayi yang nampaknya mudah tidur lama, tetapi ada juga yang baru sahaja diletakkan di katil, terus terjaga.

Kadang-kadang mama papa mula risau apabila melihat bayi orang lain sudah boleh tidur lebih lama pada waktu malam, sedangkan si manja sendiri masih kerap bangun.

Sebenarnya, corak tidur setiap bayi tidak sama. Keperluan tidur mereka juga akan berubah seiring dengan pertambahan usia dan perkembangan tubuh.

Menerusi satu perkongsian, Dr Redza Zainol berkongsi anggaran tempoh tidur bayi mengikut umur berdasarkan panduan daripada United Kingdom National Health Service (NHS).

Berapa Lama Bayi Perlu Tidur? Ini Tempoh Tidur Mengikut Usia

Anggaran tempoh tidur bayi mengikut usia:

  • Umur seminggu – Siang 8 jam, malam 8 jam 30 minit
  • Umur sebulan – Siang 6–7 jam, malam 8–9 jam
  • Umur 3 bulan – Siang 4–5 jam, malam 10–11 jam
  • Umur 6 bulan – Siang 3 jam, malam 11 jam
  • Umur 12 bulan – Siang 2 jam 30 minit, malam 11 jam

Namun, angka ini hanyalah anggaran dan bukannya jadual wajib yang perlu dicapai setiap hari. Panduan tempoh tidur ini boleh digunakan sebagai rujukan umum untuk membantu mama papa memahami perubahan keperluan tidur si manja mengikut umur.

Ada bayi yang tidur lebih lama, ada juga yang tidur dalam tempoh lebih pendek tetapi lebih kerap.

Bayi Baru Lahir Memang Banyak Tidur

Pada minggu-minggu pertama kehidupan, memang normal jika bayi kelihatan seperti banyak menghabiskan masa dengan tidur. Tempoh tidur mereka pada peringkat ini juga boleh berlaku dalam beberapa sesi pendek sepanjang siang dan malam.

Bayi baru lahir juga belum benar-benar mengenali perbezaan antara siang dan malam. Disebabkan perut mereka masih kecil, bayi biasanya akan tidur dan bangun dalam tempoh yang pendek untuk menyusu.

Sebab itu mama papa tidak perlu terlalu risau jika tidur malam bayi masih kerap terganggu pada peringkat ini.

Apabila usia semakin meningkat, barulah corak tidur mereka perlahan-lahan berubah dan sesetengah bayi mula mampu tidur lebih lama pada waktu malam.

Tidur Malam 10 Jam Bukan Bermaksud Tak Bangun Langsung

Satu perkara yang penting untuk difahami, apabila disebut bayi tidur selama 10 atau 11 jam pada waktu malam, ia tidak semestinya bermaksud bayi tidur tanpa terjaga langsung sepanjang tempoh tersebut.

Bayi masih boleh terjaga untuk menyusu, ditukar lampin atau memerlukan bantuan untuk tidur semula.

Selain itu, keadaan seperti tumbuh gigi, tidak sihat, perubahan rutin atau fasa perkembangan tertentu juga boleh menyebabkan anak yang sebelum ini tidur lena tiba-tiba kembali kerap berjaga.

Jadi, jangan terus menganggap jadual tidur anak ‘rosak’ jika berlaku perubahan dari semasa ke semasa. Perubahan pada tempoh tidur juga boleh berlaku apabila bayi melalui fasa perkembangan tertentu.

Jangan Bandingkan Tempoh Tidur Anak Dengan Bayi Lain

Melihat perkongsian ibu bapa lain tentang bayi mereka yang sudah boleh tidur sepanjang malam mungkin membuatkan kita tertanya-tanya, “Kenapa anak aku belum boleh lagi?”

Hakikatnya, perkembangan setiap bayi berbeza. Ada bayi yang mula tidur lebih panjang pada usia beberapa bulan, manakala ada yang memerlukan masa lebih lama.

Daripada terlalu mengejar jumlah jam tertentu, mama papa juga boleh melihat keadaan anak ketika berjaga. Perhatikan sama ada anak kelihatan segar, aktif dan responsif atau sebaliknya terlalu mengantuk serta sukar ditenangkan.

Tempoh Tidur Hanyalah Panduan Untuk Mama Papa

Kesimpulannya, panduan tempoh tidur mengikut usia boleh membantu mama papa memahami keperluan si manja, tetapi jangan terlalu terikat dengan angka.

Setiap bayi mempunyai ritma tidur tersendiri. Yang penting, beri anak peluang untuk mendapat rehat secukupnya, bina rutin yang sesuai dan pastikan waktu tidurnya sentiasa selamat.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: Dr Redza Zainol

Published by
SRM