
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila sebuah pusat terapi kanak-kanak didakwa menggunakan kaedah terapi bedung kononnya untuk merawat anak yang mengalami masalah lambat bercakap, autisme, ADHD, kurang fokus dan gangguan perkembangan lain. Promosi terapi ini mencetuskan kekecohan besar dalam kalangan ibu bapa apabila ramai mendakwa kaedah itu kelihatan menyeksa anak kecil dan bukannya membantu mereka.
Isu Tular Terapi Bedung Cetus Kemarahan Ibu Bapa
Menerusi video yang tersebar, seorang kanak-kanak dilihat meronta-ronta ketika dibedung secara paksa dalam sesi terapi bedung tersebut, sekali gus menimbulkan rasa marah dan simpati warganet. Ramai termasuk pakar perkembangan kanak-kanak tampil menegur tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan tidak berasaskan sains.

Pakar Jelaskan Tiada Bukti Saintifik Tentang Terapi Bedung
Menurut seorang pakar terapi pediatrik yang tampil memberi penjelasan di Facebook, tidak pernah wujud sebarang istilah terapi bedung, terapi ikat, rawatan hormon atau urutan neuro untuk merawat autisme, ADHD atau kelewatan pertuturan. Semua dakwaan sebegini hanyalah taktik pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan atas keinginan ibu bapa membantu anak mereka.
“Dalam usaha kita mencari jalan untuk bantu anak, akan ada pihak yang cuba ambil kesempatan atas kelemahan dan harapan ibu bapa. Tak ada istilah terapi bedung, ikat atau urutan neuro untuk masalah perkembangan. Tolong jangan percaya program sebegini,” tegasnya.
Kesan Buruk Terapi Bedung Terhadap Emosi Kanak-Kanak
Tambahnya lagi, kaedah membedung secara paksa bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyebabkan trauma, ketakutan melampau dan gangguan emosi kepada kanak-kanak. Anak-anak yang dilihat meronta bukan kerana degil, tetapi kerana mereka berasa sakit dan terancam.
Nasihat Pakar Kepada Ibu Bapa Tentang Rawatan Alternatif
Pakar turut menasihatkan agar ibu bapa lebih berhati-hati dalam memilih rawatan alternatif. Sebarang bentuk intervensi untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan perlulah dijalankan oleh pakar bertauliah dan berasaskan bukti saintifik — bukan melalui kaedah pelik yang tular di media sosial.
“Program terapi tidak bertauliah sebegini hanya akan memburukkan keadaan anak, membuat mereka hidup dalam ketakutan dan trauma,” ujarnya lagi.
Bimbingan Lembut dan Kasih Sayang Adalah Rawatan Terbaik
Ibu bapa perlu ingat, setiap anak istimewa perlukan bimbingan yang lembut, penuh kasih sayang dan konsisten. Tiada rawatan segera atau ‘ajaib’ untuk perkembangan anak, sebaliknya yang paling penting ialah kesabaran dan sokongan berterusan daripada keluarga. Pendekatan positif jauh lebih berkesan daripada terapi bedung yang berisiko.
BACA LAGI : Terapi Cara Kerja Kongsi Jenis Aktiviti Sesuai Untuk Anak 2-7 Tahun Kalau Nak Pandai Baca, Tulis & Kira-Kira
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!













