Kehamilan

Teringat 25 Jam Sakit Bersalin Lahirkan Anak Keempat, Kali Ini Liza Hanim Sedikit Fobia

Share

Penyanyi Liza Hanim yang kini hamil anak kelima memberitahu dia tiba-tiba berasa panik selepas menyedari kandungannya sudah memasuki trimester terakhir.

Liza berkata, perasaan itu timbul apabila memikirkan masih belum menyelesaikan persiapan menyambut kelahiran termasuk persediaan fizikal dan mental.

“Selamat datang trimester ketiga. Tidak lama lagi baby… Mama tiba-tiba panik, perlu selesaikan persiapan, material, fizikal dan terutamanya mental,” katanya di instagramnya.

September lalu, Liza Hanim mengumumkan keluarganya bakal menerima kehadiran orang baru awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, Liza berkata, pengalaman kehamilan kali ini turut membuatkan dia teringat saat melalui proses bersalin anak keempatnya, Mohamed Ibrahim yang kini berusia tiga tahun.

Kata Liza, ketika itu dia bertarung selama 25 jam sebelum dapat memangku anak lelaki kesayangannya itu.

“Tiba-tiba teringat pengalaman melahirkan #princeibrahim tiga tahun lepas, 25 jam sakit bersalin,” ujarnya.

Minta peminat kongsi pengalaman bersalin

Liza juga turut meminta peminatnya berkongsi pengalaman melahirkan anak sebagai motivasi untuknya melalui pengalaman bersalin kali ini.

Walaupun dah anak kelima, perasaan berdebar tetap ada seperti nak melahirkan anak sulung. Ini kerana setiap anak pengalaman sakitnya berbeza.

Liza mendirikan rumahtangga bersama bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin pada tahun 2003.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Marsya Qistina, 15, Marissa Qaireen, 9, Mohamed Salahuddin, 7, dan Mohamed Ibrahim, 3 tahun.

IKLAN