
Tiada seorang ibu pun yang benar-benar bersedia apabila diberitahu anak yang dikandung mempunyai keadaan yang berbeza daripada bayi lain, termasuk apabila berdepan keadaan jarang berlaku seperti Tessier Facial Cleft.
Dalam hati, tentu ada seribu persoalan. Bagaimana kehidupan anak nanti? Bagaimana penerimaan masyarakat? Mampukah diri ini menjaganya sebaik mungkin?
Begitulah yang dilalui Sufia Muhd Lawi, 32, apabila anaknya, Nur Aqila Aniqa Mohd Saiful, yang kini berusia tiga bulan, dilahirkan dengan keadaan klef pada wajah yang jarang berlaku.
Namun di sebalik air mata dan kebimbangan seorang ibu, Sufia memilih untuk belajar menerima ketentuan Allah SWT.
“Saya pernah terfikir bagaimana caranya nak masuk ke syurga kerana tahu tak mudah.
“Jadi ujian ini mungkin ladang pahala buat saya dan reda dengan ketentuan-Nya walaupun ada masanya tak kuat.”
Menurut Sufia, dia dan suami, Mohd Saiful Mustapha, 37, dimaklumkan mengenai keadaan Aqila ketika kandungannya berusia kira-kira 22 minggu.
Ketika itu, doktor mengesan kewujudan klef, namun tahap sebenar keadaan tersebut masih belum dapat dikenal pasti.
Sebagai ibu, berita itu cukup berat untuk diterima.
Sufia mengakui menangis di hadapan doktor dan mengambil masa untuk memikirkan masa depan anak yang bakal dilahirkan.
“Selepas dapat tahu, saya menangis di hadapan doktor dan lama juga bersedih kerana memikirkan masa depannya selepas dilahirkan nanti.
“Tapi suami yang banyak bagi semangat dan selepas sebulan, baru saya dapat terima.”
Sokongan daripada suami, keluarga sendiri dan keluarga mentua menjadi antara kekuatan terbesar buat Sufia untuk meneruskan perjalanan kehamilannya dengan lebih tabah.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Keadaan Aqila bukan klef biasa tetapi tergolong dalam kategori yang jarang ditemui. Keadaan Tessier Facial Cleft yang dialaminya menyebabkan Aqila memerlukan pemantauan lebih rapi.
Kelainan itu menyebabkan terdapat rekahan atau pemisahan pada struktur wajah termasuk bahagian mata, hidung dan dahi, selain sumbing pada bibir serta lelangit.
Buat masa ini, Aqila masih menunggu tarikh untuk menjalani Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) bagi membantu doktor melihat keadaan struktur wajahnya dengan lebih terperinci sebelum menentukan langkah rawatan seterusnya.
Dalam usia yang masih begitu kecil, Aqila juga memerlukan perhatian tambahan daripada ibu bapanya.
Dia masih boleh menerima susu, tetapi perlu menggunakan tiub Ryles yang dimasukkan melalui mulut.
Sufia menjaga Aqila sepenuh masa di rumah, sementara suaminya membantu menguruskan anak mereka selepas pulang bekerja.
Apa yang paling meruntun hati bukan sekadar cabaran menjaga anak yang memerlukan perhatian khusus akibat Tessier Facial Cleft.
Sufia juga pernah berasa takut untuk berhadapan dengan masyarakat.
Selepas bersalin, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya selesa bertemu ahli keluarga terdekat.
Bukan kerana malu dengan anaknya.
Sebaliknya, sebagai seorang ibu, dia belum cukup kuat untuk menghadapi pertanyaan dan pandangan orang terhadap keadaan Aqila.
“Saya tak kuat berdepan pertanyaan mengenai keadaan anak dan habiskan masa di rumah kerana nak menjaga kesihatan mental.”
Namun perlahan-lahan, Sufia mengumpulkan keberanian.
Dia akhirnya memilih untuk berkongsi mengenai Aqila di media sosial kerana tidak mahu anaknya membesar suatu hari nanti dengan persoalan mengapa dirinya seolah-olah disembunyikan.
“Macam mana pun, Aqila anak saya dan tak mahu dia mempersoalkan kenapa sembunyikan identitinya.
“Bukan niat saya nak sorokkan cuma sebelum ini hanya mahu melindunginya.”]
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Selepas kisah Aqila dan perjalanan keluarganya menghadapi Tessier Facial Cleft dikongsikan, Sufia menerima banyak kata-kata semangat dan doa daripada orang ramai.
Namun dalam limpahan sokongan itu, masih ada juga komen negatif.
Sebagai ibu, Sufia hanya mempunyai satu harapan.
Dia mahu Aqila membesar dengan baik dan diterima masyarakat seperti kanak-kanak lain.
“Harapan saya semoga Aqila membesar dengan baik dan tak disisihkan masyarakat.”
Suaminya pula mengakui dia sendiri terkejut dan sedih apabila mengetahui keadaan Aqila ketika masih dalam kandungan.
Namun sebagai suami dan ayah, Mohd Saiful memilih untuk menyimpan kesedihannya agar Sufia tidak semakin patah semangat.
“Tapi tak boleh tunjuk kesedihan depan isteri kerana enggan dia patah semangat.”
Dia turut mencari kumpulan sokongan dan melihat perkongsian mengenai pembedahan klef yang berjaya sebagai persediaan sebelum kelahiran Aqila.
“Apa yang Allah SWT berikan, saya terima dan berharap ada peluang untuk anak hidup normal satu hari nanti.”
Kisah Aqila bukan sekadar kisah mengenai seorang bayi yang dilahirkan dengan Tessier Facial Cleft dan kelainan pada wajah.
Ia juga mengajar kita tentang penerimaan.
Di sebalik wajah yang mungkin kelihatan berbeza, Aqila tetap seorang bayi yang mahu dipeluk, disayangi dan dibesarkan dengan penuh kasih seperti anak-anak lain.
Dan di sebalik setiap anak yang memerlukan perhatian khas, ada ibu dan ayah yang sedang berusaha sedaya upaya menjadi kuat walaupun ada hari mereka sendiri menangis dalam diam.
Sebagai masyarakat, mungkin kita tidak mampu memahami sepenuhnya perjalanan yang mereka lalui.
Tetapi kita boleh memilih untuk tidak merenung terlalu lama, tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dan tidak menjadikan perbezaan seseorang sebagai bahan pertanyaan tanpa memikirkan perasaan keluarganya.
Kadangkala, satu senyuman, satu doa dan satu kata yang baik sudah cukup untuk membuatkan seorang ibu rasa bahawa dia dan anaknya tidak bersendirian.
Semoga perjalanan Aqila menghadapi Tessier Facial Cleft dipermudahkan, diberikan kesihatan yang baik dan membesar dikelilingi manusia yang melihatnya bukan kerana perbezaan pada wajahnya, tetapi kerana dirinya adalah seorang anak kecil yang sama berharganya seperti insan lain.
Sumber: Harian Metro & Sufia Muhd Lawi