Tiga Anak Perempuan Berderet Itu Rezeki, Besar Rupanya Tiket Ke Syurga!

Share

Rezeki anak perempuan berderet itu satu rezeki. Mungkin ada sedikit rasa kecewa yang singgah di hati. Itu lumrah manusia. Namun sebagai hamba-Nya, kita perlu percaya setiap ketentuan Allah hadir bersama hikmah yang terbaik. Rezeki anak bukan untuk kita tentukan, sebaliknya semuanya sudah diatur dengan sempurna oleh Dia Yang Maha Mengetahui.

Kadang-kadang juga telinga diuji dengan kata-kata orang sekeliling seperti, “Eh, anak dara lagi?” atau “Tak ada geng lelaki lah macam ni.” Walaupun kedengaran biasa, kata-kata seperti itu sedikit sebanyak boleh mengusik hati ibu bapa.

Anak Perempuan Bukan Kekurangan

Hakikatnya, memiliki anak perempuan adalah satu anugerah yang sangat besar. Anak perempuan hadir membawa kelembutan, kasih sayang dan kebahagiaan dalam rumah tangga. Malah Rasulullah SAW sendiri menyebut tentang kelebihan dan kemuliaan mereka yang dikurniakan anak perempuan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya,

“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda,

“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata,

Atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab,

“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Kelebihan Membesarkan Anak Perempuan

Betapa besarnya ganjaran yang Allah janjikan buat ibu bapa yang sabar membesarkan anak perempuan dengan penuh kasih sayang dan didikan yang baik. Bukan sekadar menjadi penyejuk hati di dunia, malah mereka juga boleh menjadi jalan menuju syurga.

Malah kelebihan ini bukan hanya tertumpu kepada anak perempuan sahaja, bahkan turut diperluaskan kepada mereka yang menjaga dan memelihara saudara perempuan dengan baik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Anak Perempuan Pelindung Dari Api Neraka

Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan bagaimana anak perempuan boleh menjadi pelindung ibu bapa daripada api neraka apabila mereka dibesarkan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang.

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Didik Anak Perempuan Dengan Kasih Sayang

Daripada hadis-hadis ini, jelas menunjukkan bahawa anak perempuan bukanlah satu kekurangan, sebaliknya anugerah yang sangat bernilai. Mereka hadir membawa rahmat, kasih sayang dan keberkatan dalam keluarga.

Jadi, buat ibu bapa yang dikurniakan anak perempuan, bersyukurlah. Didiklah mereka dengan penuh kelembutan, ajarkan tentang agama dan berikan kasih sayang secukupnya. Insya-Allah, anak-anak inilah yang bakal menjadi saham akhirat buat ibu bapa suatu hari nanti.

Dalam dunia yang sering meletakkan harapan tinggi terhadap zuriat lelaki, kadang-kadang kita terlupa bahawa setiap anak yang lahir adalah amanah daripada Allah SWT. Tidak kira lelaki atau perempuan, kedua-duanya memiliki nilai yang sangat besar di sisi agama apabila dibesarkan dengan iman dan kasih sayang.

Anak perempuan juga sering menjadi insan yang paling rapat dengan ibu bapa apabila meningkat dewasa. Mereka menjaga hati ibu ayah, mengambil berat tentang keluarga dan menjadi penenang ketika usia semakin tua. Ramai ibu bapa mengakui anak perempuan lebih mudah menunjukkan kasih sayang serta mengambil berat tentang kebajikan keluarga.

Sebab itu, jangan pernah merasa rendah diri atau kecewa apabila dikurniakan anak perempuan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mendidik mereka menjadi anak solehah yang menjaga agama, menghormati ibu bapa dan membawa kebaikan kepada masyarakat.

Sesungguhnya, setiap anak mempunyai rezeki dan keistimewaan tersendiri. Anak perempuan yang dibesarkan dengan baik bukan sahaja menjadi penyejuk mata di dunia, malah boleh menjadi asbab ibu bapa memperoleh ganjaran besar di akhirat kelak.

Published by
SRM