
Kelahiran seorang anak membawa kegembiraan besar buat sesebuah keluarga. Sejak sebelum bayi dilahirkan lagi, ibu bapa biasanya sudah mula mencari dan memilih nama terbaik yang bukan sahaja sedap didengar, malah mempunyai maksud yang baik.
Namun, apa yang cukup menarik perhatian menerusi laporan terbaharu di United Kingdom ialah nama Muhammad sekali lagi muncul sebagai nama bayi lelaki paling popular yang didaftarkan di England dan Wales bagi tahun kelahiran 2025.
Pencapaian itu sekali gus menyaksikan nama Muhammad terus mempertahankan kedudukannya di tangga teratas selama tiga tahun berturut-turut.
Perkara tersebut didedahkan menerusi laporan tahunan rasmi yang diterbitkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan United Kingdom atau Office for National Statistics (ONS).
Laporan berkenaan menyenaraikan nama-nama yang paling kerap diberikan kepada bayi yang dilahirkan di England dan Wales sepanjang tahun 2025.
Berdasarkan rekod ONS, nama Muhammad mula berada di kedudukan pertama pada tahun 2023 sebelum terus mengekalkan kedudukan tersebut pada tahun 2024 dan 2025.
Sepanjang tahun 2025, seramai 5,957 bayi lelaki telah didaftarkan menggunakan ejaan khusus “Muhammad”. Jumlah itu sekali gus mengatasi beberapa nama lain yang turut menjadi pilihan ramai ibu bapa di negara berkenaan.
Tiga nama bayi lelaki paling popular bagi tahun 2025 ialah:
Statistik tersebut turut memperlihatkan jurang antara nama Muhammad dan Noah semakin besar berbanding tahun sebelumnya, dengan perbezaan hampir 2,000 pendaftaran.
Baca lagi: Tiada Lagi ‘Mohd’ Untuk Nama Anak, Ibu Bapa Kini Perlu Guna Ejaan Penuh
Baca lagi: Trend Nama Bayi Dahulu & Kini, Rupanya Nama Ini Paling Jadi Pilihan
Apa yang lebih menarik, angka 5,957 itu hanya merujuk kepada bayi yang didaftarkan menggunakan ejaan “Muhammad” sahaja.
ONS merekodkan setiap variasi ejaan sebagai nama yang berasingan. Dalam senarai 100 nama bayi lelaki paling popular bagi tahun 2025, ejaan “Mohammed” berada di kedudukan ke-20, manakala “Mohammad” pula menduduki tangga ke-55.
Sekiranya ketiga-tiga variasi ejaan utama tersebut digabungkan, dianggarkan lebih 8,500 bayi lelaki di England dan Wales telah dinamakan sempena nama Nabi Muhammad SAW sepanjang tahun 2025.
Jumlah tersebut mewakili kira-kira 2.8 peratus daripada keseluruhan kelahiran bayi lelaki di England dan Wales bagi tahun berkenaan.
Populariti nama Muhammad yang terus meningkat dilihat mencerminkan perubahan demografi serta kepelbagaian masyarakat yang semakin berkembang di United Kingdom.
Pertambahan komuniti Muslim di negara tersebut dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan nama berkenaan.
Selain membawa maksud yang baik, nama Muhammad turut dipilih oleh kebanyakan ibu bapa sebagai tanda kasih, penghormatan dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Muhammad sering berada dalam kelompok nama bayi lelaki paling popular di England dan Wales sebelum akhirnya menduduki kedudukan pertama bermula pada tahun 2023.
Sumber: Ons.gov.uk