
Baru 3 tahun tapi sudah petah macam orang besar, begitulah digambarkan kelebihan seorang kanak-kanak yang mendapat perhatian ramai. Setiap ibu bapa pasti teruja bila dengar anak mula menyebut perkataan pertama.
Tapi tidak semua lalui perjalanan yang sama. Ada yang cepat, ada yang perlahandan kadang-kadang, rasa risau tu buat mak ayah termenung sendiri takut tertinggal tanda penting dalam perkembangan anak.
Sampai ada yang berulang-alik jumpa doktor dan pakar terapi, hanya untuk pastikan si kecil membesar seperti sepatutnya.
Menerusi Threads tular perkongsian seorang ibu berkongsi cerita yang cukup menginspirasikan. Anak lelakinya baru berusia tiga tahun tetapi sudah mampu berbual petah seperti orang dewasa.
Menurutnya, semua ini bermula sejak dia tekun merangsang komunikasi anak sejak bayi lagi. Dengan izin Allah, perkembangan si kecil menjadi mudah dan lancar.

“Anak lelaki saya kini berusia 3 tahun dan dengan izin Allah sudah boleh bercakap seperti orang dewasa. Nak tahu tak apa yang saya lakukan sejak dia masih bayi?” jelas ibu tersebut.
10 Tip Cara Stimulasi Anak Cepat Bercakap
1. Sentiasa berkomunikasi sejak dalam kandungan
Seawal dalam kandungan lagi, ibu ini sering berbual dengan anak. Segala aktiviti, perasaan gembira dan doa diperdengarkan. Bacaan al-Quran, khususnya Surah Ar-Rahman, diamalkan secara konsisten setiap hari.
2. Banyakkan bercakap & bercerita
Sejak bayi baru lahir, ibu ini berbicara seperti bercakap dengan orang dewasa. Ketika memasak, makan atau duduk di balkoni, semuanya diceritakan kepada anak. Aktiviti bercerita turut diperkaya dengan pengalaman percutian keluarga yang diulang-ulang sehingga anak dapat mengingat peristiwa tersebut.
3. Perkenalkan buku & flashcard awal
Flashcard hitam putih digunakan sejak usia sebulan, kemudian diganti dengan kad berwarna. Selain itu, sekurang-kurangnya 10 buah buku dibacakan setiap hari, meskipun buku yang sama diulang berkali-kali.
4. Perbendaharaan kata & konsep kompleks
Anak didedahkan dengan perkataan yang lebih sukar seperti “tersadung” atau “gayat”. Hasilnya, anak mula memahami maksud walaupun baru berusia setahun lebih. Pendedahan awal membantu membina asas anak cepat bercakap.
5. Kawalan skrin dengan pemantauan

Ibu ini tidak menolak penggunaan skrin sepenuhnya. Sebaliknya, program pendidikan seperti Miss Rachel diperkenalkan sejak usia enam bulan. Semua tontonan dipantau agar sesuai dengan usia anak.
Anak petah bercakap sejak usia kecil menjadi kebanggaan ibu bapa, namun tidak semua menunjukkan perkembangan sama. Ada yang lambat mengeluarkan perkataan hingga membuatkan ibu bapa bimbang. Sesetengahnya sanggup berjumpa doktor atau pakar terapi untuk memastikan tumbesaran anak berada pada tahap normal.
6. Ajarkan emosi sejak bayi
Anak diajar mengenali emosi seperti marah, sedih, lapar dan gembira. Apabila sudah pandai bercakap, anak mampu meluahkan perasaan dengan jelas.
7. Aktiviti montessori
Permainan seperti lego, tanah, pom-pom, cut and paste serta messy play sering dilakukan. Ketika anak leka bermain, ibu membiarkan anak meluahkan bahasa yang pernah dipelajari tanpa gangguan.
8. Masukkan anak ke playschool

Ketika berusia dua tahun, anak dihantar ke pra-sekolah. Kosa kata dan kemahiran sosial berkembang dengan cepat hasil interaksi harian bersama rakan sebaya.
9. Pemakanan & nutrisi
Ibu ini mengamalkan pengambilan minyak ikan (Neurogain) semasa hamil atas saranan doktor bagi membantu perkembangan otak anak. Pemakanan sihat menjadi sokongan besar kepada proses anak cepat bercakap.
10. Doa & tawakal
Menurutnya, semua usaha hanyalah ikhtiar. “Segalanya Allah yang beri. Mungkin usaha kita kecil, tapi impaknya besar. Doa dan tawakal semoga Allah lancarkan proses pembesaran anak kita di atas jalan yang diredhai-Nya,” jelas ibu ini.
Kisah ini menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain tentang pentingnya stimulasi awal bagi membantu perkembangan bahasa anak. Setiap anak berbeza, tetapi usaha yang konsisten mampu memberikan hasil luar biasa.
Sumber: Threads @mylittleworld.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












