Ads

Nak Bawa Anak Naik ECRL Cuti Sekolah Nanti? Ini Tip Pilih Tempat Duduk Untuk Nikmati Pemandangan Cantik!

Cuti sekolah bakal menjelang tiba, pastinya ramai ibu ayah sudah mula merancang pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama anak-anak. Bagi yang merancang menaiki tren ke Pantai Timur, tip memilih tempat duduk ECRL ini pastinya berguna untuk seisi keluarga.

Ada yang merancang untuk pulang ke kampung, bercuti ke destinasi pilihan atau membawa si kecil mencuba pengalaman baharu.

Apa kata kali ini, ibu ayah bawa anak-anak merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api sambil menikmati keindahan pemandangan sepanjang perjalanan?

Bukan sahaja menyeronokkan, pengalaman sebegini juga memberi peluang kepada anak-anak untuk meneroka dunia luar, mengenali keindahan alam semula jadi serta mencipta kenangan manis bersama keluarga.

Lebih mengujakan, perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan dilancarkan pada 12 Disember 2026. Malah, sempena pembukaannya, tawaran diskaun sebanyak 30 peratus bagi tiket kelas ekonomi turut diumumkan untuk tempoh sebulan.

Pastinya ramai ibu ayah sudah berkira-kira untuk membawa anak-anak menaiki tren ini, apatah lagi bersempena dengan musim cuti sekolah.

Namun, tarikh pembukaan jualan tiket masih menjadi tanda tanya. Malah, ada dalam kalangan warganet yang mula berteka-teki sama ada tiket akan mula dijual pada minggu ini atau minggu hadapan.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian di media sosial, Xazi Roslan tampil berkongsi beberapa tip menarik mengenai cara memilih tempat duduk ECRL bagi menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

Maklumlah, anak-anak kalau naik kereta api, tempat duduk di tepi tingkaplah yang paling menjadi rebutan. Seronok dapat melihat kehijauan hutan, bukit-bukau dan suasana perkampungan sepanjang perjalanan.

Jangan pula si kecil sudah teruja hendak melihat pemandangan, akhirnya dapat tempat duduk menghadap dinding!

Jadi, sebelum berebut membeli tiket nanti, ada baiknya ibu ayah simpan dahulu perkongsian ini sebagai panduan.

Ini 3 Tip Pilih Tempat Duduk ECRL, Ibu Ayah Kena Tahu!

1. Pilih Tempat Duduk Nombor Genap Kalau Nak Tengok Pemandangan

Nak Bawa Anak Naik ECRL Cuti Sekolah Nanti? Ini Tip Pilih Tempat Duduk Untuk Nikmati Pemandangan Cantik!

Menurut perkongsian Xazi, bagi yang ingin menikmati pemandangan di luar sepanjang perjalanan, pilihlah tempat duduk di bahagian tingkap pada barisan bernombor genap seperti 2, 4, 6, 8, 10, 12 dan 14 berdasarkan susun atur tren yang dikongsikannya.

Pastinya lebih menyeronokkan terutama buat ibu ayah yang membawa anak-anak. Si kecil tentu teruja melihat pelbagai pemandangan menarik sepanjang perjalanan menuju ke destinasi.

Malah, ibu ayah juga boleh mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan kepada anak-anak tentang alam semula jadi dan keunikan setiap negeri yang dilalui.

2. Nak Bersandar Dan Berehat, Pilih Nombor Ganjil

Nak Bawa Anak Naik ECRL Cuti Sekolah Nanti? Ini Tip Pilih Tempat Duduk Untuk Nikmati Pemandangan Cantik!

Sekiranya lebih gemar berehat atau tidur sepanjang perjalanan, Xazi menyarankan agar memilih tempat duduk di bahagian dinding pada barisan bernombor ganjil.

Kedudukan bersebelahan dinding ini boleh menjadi pilihan buat penumpang yang ingin bersandar dan berehat tanpa terlalu memikirkan pemandangan di luar.

Buat ibu ayah yang membawa anak kecil dan merancang untuk membiarkan mereka tidur sepanjang perjalanan, pilihan tempat duduk ini juga boleh dipertimbangkan.

Ads

3. Pilih Koc 4 Kalau Nak Dekat Dengan Kafe Dan Tandas

Nak Bawa Anak Naik ECRL Cuti Sekolah Nanti? Ini Tip Pilih Tempat Duduk Untuk Nikmati Pemandangan Cantik!

Buat ibu ayah yang membawa anak-anak kecil, tip ini mungkin paling berguna!

Menurut Xazi, sekiranya ingin berada dekat dengan kemudahan kafe dan tandas, pilihlah tempat duduk di dalam Koc 4.

Tentunya lebih praktikal apabila anak-anak mula lapar, dahaga atau kerap meminta untuk ke tandas sepanjang perjalanan.

Maklumlah, kalau membawa anak kecil, ada sahaja keperluan mereka yang perlu dilayan. Pemilihan koc yang sesuai sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan ibu ayah.

Jangan Lupa Semak Arah Perjalanan, Tempat Duduk ECRL Boleh Dipusing!

Dalam pada itu, perkongsian Xazi turut mendapat perhatian warganet yang berkongsi pengalaman masing-masing mengenai susun atur tempat duduk ECRL.

Menerusi ruangan komen di Threads, seorang pengguna turut memberikan maklumat tambahan berdasarkan pengalamannya menyertai perjalanan percubaan ECRL baru-baru ini.

Menurutnya, pemilihan tempat duduk juga perlu mengambil kira arah perjalanan dan koc yang dinaiki memandangkan tempat duduk tren tersebut boleh dipusing.

“kalau tak silap, kena semak arah perjalanan dan juga koc..

pengalaman saya ikut trip trial run pada Isnin lepas aturannya begini:

train arah ke KB – nombor genap dapat tingkap

train patah balik ke Gombak – seat ganjil yang sebelah tingkap

sebabnya seat boleh dipusing ”

Jadi, berdasarkan pengalaman yang dikongsikan itu, ibu ayah boleh menjadikan panduan berikut sebagai rujukan awal:

  • Gombak ke Kota Bharu: Tempat duduk di bahagian tingkap pada barisan bernombor genap.
  • Kota Bharu ke Gombak: Tempat duduk di bahagian tingkap pada barisan bernombor ganjil.
  • Nak dekat dengan kafe dan tandas: Pertimbangkan Koc 4.

Bagaimanapun, panduan ini berdasarkan pengalaman perjalanan percubaan. Sebaiknya, ibu ayah menyemak semula susun atur tempat duduk, koc serta arah perjalanan ketika membuat tempahan tiket nanti.

Gombak Ke Kota Bharu Hanya Sekitar Empat Jam!

Untuk pengetahuan ibu ayah, ECRL atau East Coast Rail Link merupakan projek rangkaian kereta api elektrik sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan apabila keseluruhan projek siap.

Bagi laluan awal dari Gombak ke Kota Bharu, perjalanan sejauh 523 kilometer dijangka mengambil masa sekitar empat jam menggunakan perkhidmatan Ekspres.

Ads

Dengan kelajuan tren sehingga 160 kilometer sejam, perjalanan ke Pantai Timur bakal menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa.

ECRL menawarkan dua jenis perkhidmatan tren penumpang, iaitu:

Perkhidmatan Transit: Berhenti di semua stesen penumpang yang dijadualkan sepanjang laluan perjalanan.

Perkhidmatan Ekspres: Hanya berhenti di empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Terdapat juga tiga pilihan kelas tempat duduk yang ditawarkan, iaitu Kelas Ekonomi, Ekonomi Premium dan Perniagaan.

Berapa Harga Tiket ECRL? Ini Ibu Ayah Perlu Tahu

Bagi ibu ayah yang ingin merancang bajet percutian bersama anak-anak, berikut merupakan kadar tambang permulaan sehala bagi Kelas Ekonomi yang telah diumumkan.

Laluan perjalanan Transit Ekspres
Gombak ke KotaSAS, Kuantan RM60 RM68
Gombak ke Kuala Terengganu RM95 RM110
Gombak ke Kota Bharu RM125 RM147

Bagaimanapun, kadar tambang ECRL menggunakan mekanisme harga dinamik. Ini bermakna harga tiket boleh berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.

Rebut Peluang Diskaun 30 Peratus Sempena Bulan Pertama Operasi!

Nak Bawa Anak Naik ECRL Cuti Sekolah Nanti? Ini Tip Pilih Tempat Duduk Untuk Nikmati Pemandangan Cantik!

Berita baik buat ibu ayah yang sudah tidak sabar untuk membawa anak-anak menaiki ECRL!

Menerusi laman web rasmi ECRL, tawaran diskaun sebanyak 30 peratus diberikan secara eksklusif kepada warganegara Malaysia bagi perjalanan dari 13 Disember 2026 hingga 12 Januari 2027.

Tawaran istimewa ini melibatkan tiket Kelas Ekonomi bagi kedua-dua perkhidmatan Transit dan Ekspres.

Ads

Berikut merupakan anggaran harga tiket sehala selepas potongan diskaun sebanyak 30 peratus berdasarkan tambang permulaan yang diumumkan.

Laluan perjalanan Transit Ekspres
Gombak ke KotaSAS RM42.00 RM47.60
Gombak ke Kuala Terengganu RM66.50 RM77.00
Gombak ke Kota Bharu RM87.50 RM102.90

Harga sebenar tiket bagaimanapun tertakluk kepada kadar tambang semasa tempahan dibuat.

Anak Usia 2 Hingga 12 Tahun Nikmati Diskaun 50 Peratus!

Lebih menggembirakan buat ibu ayah yang mempunyai ramai anak, ECRL turut menawarkan tambang istimewa kepada beberapa golongan tertentu.

Antaranya ialah:

  • Kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun: Diskaun 50 peratus.
  • Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun: Diskaun 40 peratus.
  • Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas: Diskaun 50 peratus.
  • Orang Kurang Upaya (OKU): Diskaun 50 peratus.
  • Pesara penjawat awam: Diskaun 50 peratus.

Dengan adanya tawaran tambang istimewa ini, sedikit sebanyak dapat membantu ibu ayah menjimatkan perbelanjaan untuk membawa seisi keluarga bercuti.

Bagaimanapun, diskaun promosi pembukaan sebanyak 30 peratus tidak boleh digabungkan dengan diskaun tambang konsesi tersebut.

Tip Ekstra Pa&Ma, Bawa Anak Naik Tren Lebih Selesa!

Nak Bawa Anak Naik ECRL Cuti Sekolah Nanti? Ini Tip Pilih Tempat Duduk Untuk Nikmati Pemandangan Cantik!

Bagi ibu ayah yang pertama kali ingin membawa anak-anak menaiki tren untuk perjalanan jarak jauh, ada beberapa persediaan yang boleh dilakukan agar perjalanan lebih lancar dan menyeronokkan.

  • Tempah tempat duduk bersebelahan supaya anak-anak sentiasa berada dalam pengawasan ibu ayah.
  • Bawa pakaian tambahan dan jaket sekiranya anak kesejukan.
  • Sediakan makanan ringan dan bekalan air minuman yang bersesuaian.
  • Bawa buku cerita, buku mewarna atau permainan kecil untuk mengelakkan anak kebosanan.
  • Datang lebih awal ke stesen bagi mengelakkan keadaan kelam-kabut.
  • Pesan kepada anak supaya tidak berlari atau bermain di dalam koc sepanjang perjalanan.

Cipta Kenangan Cuti Sekolah Bersama Anak-Anak

Hakikatnya, percutian bersama anak-anak tidak semestinya perlu ke destinasi yang mahal atau mewah. Kadangkala, pengalaman menaiki kereta api buat kali pertama juga sudah cukup untuk membuatkan mereka gembira.

Melihat keterujaan anak-anak ketika tren mula bergerak, mendengar celoteh mereka melihat pemandangan di luar tingkap dan menikmati perjalanan bersama-sama pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Malah, ibu ayah juga tidak perlu terlalu penat memandu dan boleh memanfaatkan masa sepanjang perjalanan untuk berbual serta melayan kerenah si kecil.

Buat ibu ayah yang sudah merancang untuk mencuba ECRL, bolehlah simpan tip pemilihan tempat duduk ECRL ini siap-siap.

Setakat 26 November 2026, laman web rasmi ECRL masih memaparkan makluman bahawa pembelian tiket akan dibuka tidak lama lagi. Ibu ayah boleh mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman web rasmi www.ecrl.com.my.

Agak-agaknya, kalau dah dapat beli tiket ECRL nanti, Pahang, Terengganu atau Kelantan yang menjadi destinasi pertama ibu ayah bersama anak-anak?

Nota:  Maklumat pemilihan tempat duduk pula berdasarkan perkongsian Xazi Roslan dan pengalaman warganet, bukan panduan rasmi ECRL.

Sumber: Xazi Roslan, ECRL, Bernama

 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Untuk Papa Mama

Nama Anak Pendek Atau Panjang, Mana Satu Lebih Baik? Ini Kelebihan Mak Ayah Perlu Tahu!

Nama Anak Pendek Atau Panjang, Mana Satu Lebih Baik? Ini Kelebihan...

Nama anak pendek atau panjang, mana satu lebih baik? Ketahui kelebihan, kekurangan dan 7 tip memilih nama yang sesuai buat cahaya mata.