Tragedi di Bachok, Kelantan mengejutkan orang ramai apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun parah selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul oleh bapa saudaranya sendiri dalam kejadian di Jelawat, kelmarin.
Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.
Kes ini mendapat perhatian masyarakat kerana melibatkan kanak-kanak kecil yang masih belum mengerti apa-apa, menjadi mangsa dalam tragedi yang menyayat hati.
Dalam pada itu, bapa kepada mangsa tampil merayu doa daripada orang ramai agar anaknya terus kuat melawan ujian besar ini.
Ads
“Assalamualaikum sahabat-sahabat semua… Inilah anak saya, mangsa yang kelmarin dipukul di Jelawat, Bachok.
“Saya mohon jasa baik semua, tolonglah doakan anak sulung saya dipermudahkan segala urusan. Sekarang keadaan dia sangat kritikal… pendarahan di bahagian kepala masih tak berhenti.
Saya percaya doa kalian semua boleh jadi satu keajaiban buat anak saya. Semoga Allah beri kekuatan untuk dia melawan derita ini.”**
Doa orang ramai kini menjadi harapan keluarga agar anak kecil itu diberi kesembuhan dan keajaiban oleh Allah SWT.
Ads
Semalam, media melaporkan kanak-kanak malang itu cedera parah di kepala selepas dipercayai dipukul dengan menggunakan tukul oleh suspek yang juga bapa saudaranya.
Kejadian berlaku di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat jam 5.15 petang semalam.
Ads
Selepas memukul mangsa, suspek berusia 46 tahun itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebatang pokok rhu di Pantai Melawi kira-kira tiga kilometer daripada tempat kanak-kanak itu dipukul.
Memang didikan yang baik! Perkongsian seorang bapa yang menerima mesej anaknya yang mahu elaun belanja hariannya dipotong semata-mata menggantikan duit ibunya yang terlebih belanja ini sememangnya harus diberikan pujian.
Bimbang menggunakan duit ibunya, anak kecil itu dengan rasa bersalah sanggup menyekat belanja harianya demi ibunya.
Melalui Facebooknya, seorang bapa yang dikenali sebagai Edi Arjuna Pencerita berkongsi cerita. Baginya bukan untuk bermegah atau berbangga jauh sekali mengharapkan pujian namun hati kecil seorang ayah cukup berbangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh seorang anak.
Anak-anak kita juga seharusnya diajar sebegitu. Biar mereka tahu bahawa betapa sukarnya untuk kita berjuang demi membesarkan mereka.
Anak aku yang sulong ni dah 2 hari ada di Bukit Jalil, jadi wakil sekolah dia untuk pertandingan Techlympic peringkat kebangsaan. Dia mintak ibu dia pi tengok pertandingan tu, nak ada semangat ibu. Aku pula kena jadi wakil dia di anugerah kecemerlangan kat sekolah dia kelmarin.
Semalam, masa tengah bina model, banyak barang yang tak cukup. Penganjur sediakan yang asas ja, yang lain-lain peserta kena usahakan sendiri. Pihak sekolah cuma sponsor transport, makan dan penginapan. Mujoq jugak ibu dia ada sana boleh tolong belikan barang.
Dah habis beli, dia terkejut tengok kos dah melebihi budget yang aku bagi kat dia. Memang terpaksa guna duit ibu dia la. Duit yang ibu dia guna tu aku bagi untuk ibu dia buat belanja.
Jadi, dia wasap aku dengan penuh rasa bersalah. Suruh aku ganti duit ibu dengan duit sekolah dia selama 2 bulan 😅. Adoi laa…
Macam lawak pun ada budak ni, tapi terasa sebak juga dada seorang ayah. Bila anak cakap macam ni, ertinya anak tu faham susah payah ibu dan ayah dia. Anak tu tahu ayahnya bukan orang senang, anak tu mengerti betapa susahnya nak cari duit demi kejayaan anak anak. Ayah-ayah kita dulu pun macam ni.
Pernah kita nampak ayah melengung sebab tak ada duit? Pernah kita nampak ayah pening fikirkan duit sekolah anak? Pernah kita nampak ayah tak tidur memikirkan esok nak bagi anak makan apa? Pernah kita nampak keringat ayah jatuh ke tanah? Pernah kita sedar ayah menangis atas sejadah memohon rezeki dari Allah?
Jarang jarang kita nampak semua tu. Ayah pandai sorok kesusahan dia. Yang kita tahu, mintak ja ayah bagi, sebut ja ayah hulur. Ketat macam mana pun ayah usahakan juga. Ayah letak keperluan dia pada carta paling belakang, keperluan dan kejayaan anak mesti letak di depan.
Anak… Ayah dan ibu tak minta ganti dengan wang ringgit. Ayah dan ibu cuma nak kamu ganti dengan berusaha bersungguh sungguh. Berjaya atau tidak, itu perkara nombor dua. Kesungguhan kamu yang perlu dibuktikan dulu. Kerana pengorbanan ayah dan ibu bukan untuk diri kami sendiri, tapi untuk masa depan kamu.
Jangan risaukan rezeki ayah ibu. Kerana Tuhan dah janjikan rezeki kami, begitu juga Tuhan dah janjikan rezeki kamu. Moga beroleh kejayaan buat anak anak kita semua 🤲
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom.
Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kematian pada Rabu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada Hospital Kajang mengenai kejadian tersebut pada jam 1.11 pagi.
“Pasangan itu membawa mangsa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di zon merah wad kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Naazron, hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 12.30 tengah hari mendapati terdapat banyak kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh mangsa, dipercayai akibat penderaan.
“Punca kematian disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul,” ujarnya.
Beliau berkata, ibu bapa mangsa berusia 38 dan 40-an ditahan polis bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek itu telah ditahan direman selama enam hari sehingga 4 Februari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717,” katanya
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau kita fikir balik, dunia hari ini memang susah nak lari daripada skrin. Gajet dah jadi macam “penjaga senyap” boleh buat anak duduk diam, tak meragam, dan mudah dikawal. Tapi ada seorang ayah yang memilih untuk tidak ikut arus. Bukan sebab nak tunjuk bagus, tapi kerana dia percaya zaman kecil anak terlalu singkat untuk diserahkan kepada dunia maya.
Ikuti perkongsian pengguna Threads, Muhd Syafiq Idris, yang menceritakan pengalaman membesarkan anak-anaknya tanpa pendedahan kepada gajet selama tujuh tahun. Pengalaman ini bukan mudah, tapi hasilnya luar biasa.
“Tujuh tahun aku dan isteri membesarkan anak-anak kami tanpa gajet. Telefon dan tablet adalah sesuatu yang asing bagi mereka,” tulisnya.
Katanya lagi, walaupun mencabar, kesannya dapat dilihat dengan jelas pada perkembangan dan sikap anak-anak.
Muhd Syafiq berkongsi 10 kesan ketara yang dilihat selepas tujuh tahun membesarkan anak tanpa gajet:
Tanpa gajet, anak-anak belajar dengan cara semula jadi — melalui aktiviti harian, permainan imaginatif dan perbualan dengan orang sekeliling. Mereka cepat tangkap kemahiran baru, kreatif menyelesaikan masalah, dan tak kekok bergaul. Setiap hari jadi peluang untuk belajar sesuatu yang baru tanpa perlu skrin.
Anak-anak ini membesar dalam dunia sebenar, bukan dunia maya. Mereka belajar berinteraksi dengan emosi sebenar — tahu rasa sedih, gembira, simpati. Bila tengok adik menangis, mereka pujuk. Bila nampak kawan jatuh, mereka tolong. Dari kecil lagi, mereka dah faham makna empati dan kasih sayang.
Zaman sekarang, bila anak bosan je — cepat-cepat hulur gajet. Tapi bagi keluarga ini, bosan itu peluang. Anak-anak belajar cipta hiburan sendiri. Kadang mereka reka cerita, bina khemah kecil atau main watak-watak. Si abang jadi ketua, adik ikut arahan. Tak ada tantrum, tak ada jerit “nak phone!”.
Menariknya, anak-anak ini bukan sekadar bijak teori. Mereka tahu buat kerja tangan — berkebun, baiki aircond, tampal mainan rosak, betulkan rantai basikal. Bila tangan sibuk, otak pun aktif. Mereka belajar melalui pengalaman, bukan tontonan.
Bila tiada skrin yang memisahkan, masa bersama keluarga jadi lebih bermakna. Mereka berbual, ketawa, dan buat aktiviti sama-sama. Kadang main badminton, kadang tolong ibu di dapur. Semua itu membina hubungan erat yang tak boleh diganti dengan hiburan digital.
Menurut Muhd Syafiq, anak-anaknya tak pernah ada masalah tidur. Bila rutin tetap, badan dan otak lebih sihat. Tanpa skrin sebelum tidur, tiada gangguan cahaya biru dan mereka mudah lena. Tidur cukup juga bantu tumbesaran optimum dan emosi lebih stabil.
Anak-anak ni tak cepat mengadu. Bila mainan rosak, mereka fikir dulu cara nak betulkan. Bila bergaduh sesama sendiri, mereka belajar berunding. Sikap ini menjadikan mereka lebih matang dan yakin dengan diri sendiri.
Perkara yang membanggakan, anak-anaknya ringan tulang. Mereka tahu tanggungjawab, tahu erti membantu. Bukan sekadar kemas bilik sendiri, tapi juga bantu sapu lantai, siram pokok, dan basuh pinggan. Nilai ini lahir kerana mereka melihat dan meniru contoh ibu bapa setiap hari.
Bila tak disuap dengan hiburan digital, anak-anak mencari cabaran lain. Lego jadi antara aktiviti kegemaran mereka — bukan sekadar main, tapi bina dunia imaginasi sendiri. Setiap struktur yang mereka bina penuh dengan kreativiti dan ketelitian.
Tak hairan bila anak-anak ini sangat aktif. Setiap peluang keluar rumah digunakan untuk berlari, bermain di padang, atau berbasikal. Mereka benar-benar menikmati zaman kanak-kanak yang sebenar — bebas, gembira dan sihat.
Rupa-rupanya, bukan Muhd Syafiq seorang yang memilih jalan ini. Selepas kisahnya dikongsikan, ramai ibu bapa lain tampil dengan pengalaman serupa.
“Alhamdulillah, tahniah abang dan isteri. Saya pun dah mula tak bagi gajet pada anak. Dah hampir setahun. Walaupun nampak kecil, kesannya sangat besar untuk anak itu sendiri,” tulis seorang netizen.
Seorang lagi turut berkongsi: “Saya suami isteri bekerja. Dah 14 tahun rumah tak ada TV. Anak sulung dah 12 tahun. Matlamat kami sebelum kahwin memang nak anak penghafaz Al-Quran. Jadi sebelum ada anak, kami didik diri dulu tanpa hiburan dalam rumah.”
Hakikatnya, membesarkan anak tanpa gajet memang mencabar. Dunia hari ini serba digital, malah tekanan sosial pun tinggi. Tapi bila lihat anak membesar dengan sihat, pandai bergaul, dan punya nilai murni, semua penat itu terasa berbaloi.
Mereka belajar hidup dalam dunia sebenar — bukan dunia yang hanya boleh digerakkan dengan hujung jari. Mereka tahu sabar, tahu nilai masa, tahu bagaimana nak berhubung dengan manusia lain. Dan itu adalah kemahiran hidup yang tak akan diajar oleh mana-mana aplikasi.
Kisah tujuh tahun tanpa gajet ini bukan tentang menolak teknologi sepenuhnya, tapi tentang menyeimbangkan dunia digital dan dunia nyata. Kanak-kanak yang belajar menghargai masa, empati dan komunikasi akan membesar menjadi manusia yang lebih kuat dan berdikari.
Seperti kata Muhd Syafiq, “Zaman kecil anak terlalu singkat untuk diserahkan kepada dunia maya.”
Mungkin sukar pada awalnya, tapi setiap senyuman dan pelukan yang kita dapat daripada anak-anak yang benar-benar hadir — bukan disibukkan dengan skrin — itulah kebahagiaan sebenar.
Sumber: Muhd Syafiq Idris
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jaslinda ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih. Penemuan mangsa membawa kelegaan kepada keluarga dan rakyat Malaysia yang mengikuti operasi pencarian sejak hari pertama.