Sekelip mata berubah! Sebelum ini dialah penghibur hati keluarga namun setelah kejadian yang berlaku baru-baru ini semuanya bagai tak percaya Allah uji dengan ujian yang begitu besar.

Bermula dengan hanya terhantuk di kerusi ketika bermain dan benjol biasa sahaja, kini adik Muhammad Iman Al Khausar Bin Ismail dah tak mampu bermain dan banyak berdiam diri serta sesekali merengek sakit.

Menurut ibunya, Nursasabila Kamarulzaman, anak sulungnya ini seorang kanak-kanak yang sangat riang dan petah berkata-kata. Namun ketentuan Allah sudah tertulis, Allah uji kami dengan ujian yang langsung tak pernah pun terlintas di fikiran.

“Mama dan papa reda akan ujian Allah ini. Kami terima ujian ini dan percaya ada hikmah disebalik dugaan yang diberi.

“Hanya dengan terhantuk biasa sahaja di kerusi dan bukanlah jatuh di tempat yang tinggi atau terhantuk yang menyebabkan dia luka, segalanya berubah dalam masa dua minggu,” katanya.

Buat X-Ray Tapi Tiada Kecederaan Serius

Tambah Nursasabila, selepas kejadian itu, mereka suami isteri telah bawa Iman ke hospital untuk periksa keadaan kepalanya. Selepas ujian x-ray dibuat menunjukkan memang ada kesan benjol jatuh tapi tiada kesan retak atau kecederaan serius.

“Kami pulang dengan perasaan tenang tapi selepas seminggu Iman demam on off dan bawanya ke klinik swasta untuk rawatan dan diberikan antibiotik. Seminggu makan antibiotik, keadaan Iman masih lagi tak baik. Demamnya masih lagi on off.

Buat CT Scan Kesan Hantukan Kena Saraf Darah

“Jadi kami ambil keputusan untuk bawa Iman ke hospital semula untuk follow up kes Iman jatuh tu. Dalam tempoh itu nampak benjol dikepalanya makin besar sedikit dari sebelum itu.

“Sampai di hospital Iman terus dibawa ke bahagian kecemasan dan diletakkan di zon kuning. Selepas diperiksa darah, HB iman rendah dan ct scan dibuat. Kesan hantukan yang dialami Iman terkena betul-betul di saraf darah di kepalanya, jelasnya.

Hasil CT scan Iman menunjukkan memang ada pendarahan di dalam kepala Iman. Luluh dan remuk hati mama mendengar ape yang pihak hospital katakan. Iman terus dimasukkan ke wad dan bantuan darah diberikan.

Doktor Jumpa Ketumbuhan Di Depan Kepala & Belakang Bola Mata

Kongsi Nursasabila lagi, semasa di wad doktor ada memanggil kami untuk memaklumkan hasil CT scan yang dibuat tu juga ada dijumpai ketumbuhan di kepala bahagian hadapan dan dibelakang bola mata Iman.

“Ketumbuhan itu terjadi dari kelenjar yang aktif dan semakin teruk bila Iman demam dan darah dijangkiti kuman. Seminggu Iman di wad diberi antibiotik untuk membunuh kuman yang ada. Tapi Iman tetap demam.

“Jadi doktor cadangkan untuk ambil air sum-sum tulang belakang. Tujuannya diambil untuk mengenalpasti jenis kuman dan penyakit yang dialami Iman. Kami akan menunggu keputusan dari pihak hospital walaupun ia pahit untuk ditelan.

“Mama dan papa berharap agar keputusan yang diterima adalah keputusan yang mengembirakan dan Iman akan dirawat dengan secepatnya,” katanya.

Mohon doa orang ramai

Sebagai ibu bapa, tiada apa yang kami harapkan. Hanya doa orang ramai diperlukan sekarang ini untuk beri kekuatan pada Iman melawan sakitnya dan sembuh seperti biasa.

Mungkin doa dari anda semua akan dimakbulkan dan urusan Iman juga dipermudahkan untuk kembali hidup normal seperti kanak-kanak lain.

Sumber: Nursasabila Kamarulzaman