Kisah tragis seorang murid Tahun 4 yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah rendah di Senawang benar-benar meruntun hati ramai. Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta setelah dibawa oleh guru disiplin.
Menurut laporan Sinar Harian, selepas laporan bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, pihak polis mengesahkan punca kematian murid terbabit adalah disebabkan tekanan pada bahagian leher. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Siasatan rapi sedang dijalankan
Menurut beliau, sehingga kini pihak polis telah merakamkan keterangan daripada 27 individu termasuk saksi kanak-kanak. Siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum kejadian dan keadaan mangsa sewaktu ditemui.
Ads
Gambar Ahmad Hasbi (Harian Metro): Ibu bapa murid tahun empat yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah ketika hadir di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, hari ini.
“Polis menggesa agar diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus serta dengan mengambil kira sensitiviti kanak-kanak yang dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas beliau.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan spekulasi tidak sahih kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta menambah luka kepada keluarga mangsa.
Kes masih dalam klasifikasi awal
Sebelum ini, pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang melibatkan unsur buli. Namun siasatan masih diteruskan secara rapi untuk merungkai punca sebenar tragedi menyayat hati ini.
Ads
Jenazah murid berkenaan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights malam semalam dengan diiringi air mata keluarga dan sanak saudara.
Ads
Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap anak-anak
Kehilangan ini membuka mata semua pihak tentang betapa pentingnya keselamatan dan kesejahteraan anak-anak ketika berada di sekolah. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap emosi dan perubahan tingkah laku anak, manakala pihak sekolah pula harus menitikberatkan aspek keselamatan murid agar tragedi sebegini tidak berulang.
Pa&Ma menyeru agar masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dengan nilai empati, kasih sayang dan hormat sesama rakan. Setiap nyawa anak-anak adalah amanah yang sangat berharga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bintang Kecil Mini Fest diinspirasikan oleh Simpan SSPN telah diadakan pada 27 dan 28 0gos 2022 yang lalu berjaya mencetuskan impak positif kepada kelompok ibu bapa dan kanak-kanak terutamanya yang berusia 7 hingga 13 tahun.
Majlis tersebut diadakan sempena pelancaran saluran Youtube Bintang Kecil yang sudah pun aktif dengan pelbagai kandungan yang berkonsepkan pendidikan serta menghiburkan. Bintang Kecil Mini Fest telah berlangsung di Petrosains, KLCC dengan mengumpulkan lebih 300 kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan mengujakan.
Program Menarik Di Saluran Youtube Bintang Kecil
Sejak platform digital menjadi penting pada abad ke-21 beserta wabak Pandemik Covid-19, BINTANG KECIL terpaksa bergerak mengikut trend dengan menggunakan platform digital. Ia kini telah beralih sepenuhnya ke saluran Youtube dan Platform Media Sosial yang lain. Kini Bintang Kecil bukan lagi untuk anak gadis tetapi untuk semua.
Objektif utama saluran ini adalah untuk mewujudkan keyakinan dan menunjukkan bintang kanak-kanak melalui program pendidikan melalui rancangan yang menghiburkan. Rancangan ini merangkumi banyak program menarik untuk kanak-kanak seperti Eksplorasi, Sukan dan E-Sukan, Pendidikan dan sebagainya.
Oleh itu, bersempena dengan Bintang Kecil Mini Fest ini, Bintang Kecil telah pun melancarkan penjenamaan semula Bintang Kecil dengan konsep yang terbaharu dan lebih interaktif pada sesi “Launching of Bintang Kecil”.
Pelancaran Penjenamaan Bintang Kecil Penuh Gimik
Selain itu, turut berlangsung majlis pelancaran penjenamaan Bintang Kecil. Majlis ini diserikan dengan kehadiran En. Syamil Fahim, Ketua Pegawai Operasi NU Ideaktiv Sdn. Bhd. dan En. Ahmad Shahril bin Ghazali, Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri WPKL Persembahan silat penuh bertenaga dari murid-murid SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam berjaya memukau para tetamu yang hadir.
Pada awalnya mereka membuat seni silat diikuti dengan gimik seolah-olah bertempur berebutkan tanjak. Tanjak tersebut kemudiannya disampaikan oleh pesilat yang menang dan diserahkan kepada En. Syamil. Ia kemudiannya dipakaikan kepada salah seorang BK Squad iaitu Zayan yang kacak berpakaian seperti pahlawan.
Pertandingan Mewarna Meriah, Banyak Bakat Terserlah!
Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan seperti “Mari Mewarna Bersama Simpan SSPN”, dimana kanak-kanak seramai 100 orang telah mendaftar diri dan mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna anjuran khas Simpan SSPN ini.
Yang menariknya pelbagai hadiah ditawarkan seperti pembukaan akaun Simpan SSPN sebanyak RM250 bagi pemenang pertama manakala hadiah bagi pemenang kedua dan ketiga masing-masing menerima pembukaan akaun Simpan SSPN sebanyak RM150 dan RM100.
Juga terdapat 2 hadiah sagu hati diberikan iaitu pembukaan akaun Simpan SSPN bernilai RM50 setiap satu. Setiap pemenang juga menerima hamper sumbangan KUEH dan cenderahati sumbangan Bugbuzz serta tiket masuk ke Petrosains.
Slot Simpan SSPN Dapat Sambutan
Selain dari itu, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya Bintang Kecil Mini Fest selama dua hari ini seperti slot “Istimewa Bersama Simpan SSPN” di mana sesi interaksi di antara pengunjung dan wakil Simpan SSPN dengan mengajukan 30 soalan selama 30 minit beserta hadiah menarik kepada yang berjaya memberikan jawapan dengan tepat.
Syoknya Main Dengan Aafiya!
“Fun Day with Aafiya” adalah antara aktiviti yang dilihat begitu memberi keterujaan kepada setiap kanak-kanak yang terlibat dimana Dato’ Siti Nurhaliza bersama anaknya Siti Aafiyah selaku “founder” Beaukids menjalankan aktiviti khas sempena majlis tertutup itu. Acara yang dikendalikan oleh team Beaukids itu sangat meriah.
Kanak-kanak yang hadir dapat beramah-mesra dengan Aafiyah dan bermain permainan membuat mumia dengan tisu. Setiap kumpulan diketuai oleh wakil dari Beaukids untuk menjayakan tugasan yang diberikan.
Kesemua kumpulan memberikan yang terbaik dan hasilnya sangat cantik! Dato’ Siti juga sukar membuat pilihan kerana semua kumpulan menampilkan mumia terbaik. Selain itu pada acara tersebut juga diadakan pelancaran bagi perisa baharu Beaukids iaitu buah anggur. Rasanya sedap dan pembungkusannya diubah supaya lebih menarik.
BK Squad bersama Haziq & Hawa Rizwana
BK Squad juga ada sesi istimewa bersama penyampai TV Haziq serta pembaca berita, Hawa Rizwana. Ketika sesi bersama kedua-dua selebriti ini, mereka bertanyakan pelbagai soalan berkaitan cita-cita. Menariknya, perkongsian dari mereka berdua banyak memberi input kepada BK Squad dan kanak-kanak lain yang hadir.
Himpunan ‘When I Grow Up’ Hebat!
Salah satu acara terbesar yang diadakan ketika BK Mini Fest ini adalah ‘When I Grow Up’. Seramai 75 orang kanak-kanak berkumpul dengan berpakaian mengikut cita-cita pilihan memenuhi dewan di Petrosains. Setiap mereka dipanggil ke pentas untuk memperagakan pakaian masing-masing. 21 kanak-kanak dengan penampilan paling menarik dinilai oleh juri untuk memilih juara, naib juara, pemenang tempat ketiga serta penerima saguhati.
Antara cita-cita yang banyak menjadi pilihan adalah seperti doktor, guru, juruterbang, pakar bedah, hakim mahkamah dan banyak lagi. Anjuran aktiviti ini ternyata memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk meningkatkan keyakinan mereka.
Sesungguhnya penganjuran BK Mini Fest ini sangat bagus kerana dapat mengetengahkan bakat luar biasa kanak-kanak. Semoga akan lebih banyak acara seperti ini dapat dianjurkan kelak. Kepada semua yang memberi sokongan kepada Bintang Kecil sepanjang dua hari BK Mini Fest diadakan, terima kasih diucapkan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam membina sesebuah keluarga, antara tanggungjawab paling besar ibu bapa adalah memastikan pendidikan anak-anak terjamin.
Setiap fasa pembesaran mereka dari kecil hinggalah ke alam remaja merupakan peluang membentuk karakter, kemahiran dan masa depan.
Justeru, bila ada cadangan seperti yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli berkenaan sistem pendidikan negara, pastinya ia membuka perbincangan hangat di kalangan keluarga Malaysia.
Dalam satu sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, bekas Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan itu mencadangkan agar umur persekolahan dihadkan sehingga 16 tahun sahaja. Katanya:
“Sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun… kerana satu, kita negara menua. Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal pada umur 21 tahun.”
Ujar beliau, idea ini bukan sekadar untuk mempercepatkan penyertaan anak muda dalam tenaga kerja, malah merupakan satu langkah proaktif menangani isu penuaan populasi negara.
Namun dalam masa yang sama, Rafizi turut menekankan bahawa fokus sebenar RMK13 kali ini adalah pada pendidikan awal kanak-kanak, bukan lagi pembangunan mega mahupun angka-angka ekonomi.
Dalam hal ini, beliau menekankan kepentingan menyediakan perkhidmatan pra sekolah yang universal untuk kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Beliau juga memberi peringatan tegas bahawa jika pendidikan awal tidak diberi perhatian, murid akan mula ‘ketinggalan’ seawal Darjah Satu dan ini akan memberi kesan berpanjangan.
Sebagai ibu bapa, adakah kita bersedia dengan perubahan ini? Adakah kita bersedia melepaskan anak tamat sekolah pada usia 16 tahun, dan bersaing dalam dunia kerja lebih awal? Atau patut kita fokus terlebih dahulu kepada kekuatan sistem early childhood education agar asasnya cukup kukuh sebelum membuat perubahan drastik seperti pemendekan tempoh sekolah. Apa pun, pastinya setiap ibu bapa inginkan yang terbaik buat anak.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rindu yang dipendam tanpa suara akhirnya menemui penghujung. Selepas 18 bulan terpisah akhirnya adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin kanak-kanak yang kini berusia enam tahun dipulangkan semula ke pangkuan bapanya, Zaim Ikhwan Zahari.
Sebelum ini dijaga oleh nenek saudara bersama pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selepas Mahkamah Majistret pada Jumaat memutuskan bahawa kanak-kanak ini dikembalikan kepada bapanya.
Menurut Sinar Harian, mendengar keputusan berkenaan, Zaim Ikhwan, 30, memeluk anak keduanya itu sambil diperhatikan ahli keluarga termasuk ibu bapa yang berusia 58 tahun, Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria.
Kelihatan ceria didukung bapanya, kanak-kanak yang menghidap autisme itu pastinya rindu pelukan bapanya.
“Alhamdulillah, keputusan ini menjadi penguat semangat untuk kami terus berjuang,” kata Zaim Ikhwan ketika di luar mahkamah.
Dalam pada itu, peguam, Lavanesh Haresh Mahadevan yang mengendalikan kes pengabaian membabitkan ibu kanak-kanak autisme itu berkata, Majistret, Ameera Mastura Khamis memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan dibuat Zaim Ikhwan.
Bagaimanapun penyerahan penjagaan itu bersyarat dengan memenuhi 14 syarat yang dikemukakan pihak JKM.
“Antara syarat berkenaan ialah bapa kandung perlu memastikan kanak-kanak ini tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa dan tiada kes penganiayaan atau pengabaian berlaku.
“Bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya
“Mereka dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara ini perlu dimaklumkan kepada JKM,” katanya.
Selain itu beliau berkata, kanak-kanak ini tidak boleh dijadikan bahan kandungan di media sosial.
Sekiranya bapa kandung melanggar salah satu syarat yang telah ditetapkan, beliau berkata, pihak pelindung JKM boleh mengambil kanak-kanak itu semula dan ditempatkan di institusinya.
Beliau berkata, permohonan berkenaan dibuat kerana Zaim Ikhwan telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai lalu.
Menurut peguam berkenaan lagi, tiada sebarang keperluan untuk pihak JKM mengekalkan hak penjagaan sementara anak Zaim Ikhwan kepada keluarga saudara.
Dalam pada itu, kata-kata datuk kepada kanak-kanak itu begitu meruntun jiwa.
“Dia mesti merindui kasih sayang dan pelukan kedua ibu bapanya sejak ditempatkan di rumah saudara, 18 bulan yang lalu, “ ujar Zahari.
“Saya percaya, setiba di rumah kelak, dia mesti mencari ‘Mommy’ (Ismanira) malah sebelum ini, dia sering mencari kelibat Zayn Rayyan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, hak penjagaan sementara adik arwah diserahkan kepada nenek saudaranya bermula 9 Ogos 2024.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!