Dah lama sangat duduk rumah, rambut anak pun makin panjang. Rimas pula melihatnya. Kalau bawa ke kedai, mahu dia mengamuk! Punyalah takut bila nampak gunting. Jadi proses nak gunting rambut jadi susah.
Nak elakkan anak mengamuk di salun, lebih baik kita gunting rambutnya sendiri. Tapi sama juga kesnya kalau kita nak cuba gunting rambut anak sebab dia akan rasa ‘seriau’ bila tengok kita pegang gunting atau mesin pencukur.
Sebenarnya ada trik nak poton rambut anak dengan mudah. Dia tak takut, kerja kita pun jadi senang. Menerusi akaun Tiktok Sharifah Erna, ibu ini berkongsi tip untuk memudahkan kerja menggunting rambut anak. Hanya perlu gunakan face mask saja!
Menerusi video tersebut, dapat dilihat anaknya yang bernama Medina kekal tenang apabila si ayah menggunting rambut hadapannya. Mereka menutup mata Medina dengan face mask dan ini merupakan kali kedua mereka menggunakan trik ini untuk menggunting rambutnya.
Bagus juga perkongsian ibu ni kan? Lepas ni bolehlah kita potong rambut anak dengan lebih tenang dan dia pun tak rasa takut bila nampak kita pegang gunting atau mesin pencukur. Kalau tengok hasil selepas rambut Medina selesai dipotong tadi pun comel aje, cantik dan kemas! Jadi untuk mama papa yang mengalami kesukaran nak potong rambut anak, bolehlah cuba trik yang dikongsikan ini. Selamat mencuba!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh turut memerintahkan tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan. Hukuman ini dijatuhkan selepas mahkamah mendapati Ismanira gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaannya.
Menurut Sinar Harian, Prosiding diteruskan dengan sesi mitigasi oleh pihak pembelaan yang merayu agar hukuman penjara ditangguhkan, namun keputusan mahkamah tetap kekal.
Kisah ini menggemparkan seluruh Malaysia pada Disember 2023 apabila Zayn Rayyan, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Damansara Damai, kira-kira 200 meter dari blok rumah.
Menurut pertuduhan pindaan, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa bersama-sama mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. Kesalahan itu berlaku antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga jam 9.55 malam keesokannya.
Namun pada 21 Julai tahun lalu, mahkamah membebaskan Zaim selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Ketika keputusan dibacakan, suasana di dalam mahkamah bertukar pilu. Ada yang menunduk, ada yang menitiskan air mata. Keluarga dan suami tertuduh dilihat terkejut dan kedengaran laungan “Allahuakbar” dari galeri awam.
Kisah Zayn Rayyan bukan sekadar kes mahkamah, tetapi tragedi yang menyentuh hati ramai ibu bapa terutamanya mereka yang mempunyai anak istimewa.
Zayn Rayyan merupakan kanak-kanak autisme yang memerlukan perhatian dan kasih sayang istimewa. Bagi anak-anak dalam spektrum autisme, dunia mereka sering berbeza rutin harian, suasana tenang dan sentuhan emosi yang lembut amat penting dalam perkembangan mereka.
Pakar perkembangan kanak-kanak menasihatkan agar ibu bapa yang mempunyai anak autisme tidak memikul tanggungjawab ini sendirian. Dapatkan sokongan daripada pakar terapi, komuniti sokongan ibu bapa serta rakan yang memahami. Langkah ini bukan sahaja membantu anak berkembang lebih baik, tetapi juga menjaga kestabilan emosi ibu bapa.
Kisah Zayn Rayyan seharusnya menjadi peringatan dan pengajaran buat semua. Dalam tekanan hidup yang kian mencabar, jangan sesekali mengabaikan keperluan emosi dan keselamatan anak-anak. Luangkan masa, dengar mereka, dan peluk mereka selalu.
Semoga roh Allahyarham Zayn Rayyan ditempatkan di kalangan anak-anak syurga, dan kisah ini membuka mata kita semua bahawa tanggungjawab seorang ibu dan ayah bukan sekadar membesarkan anak, tetapi juga melindungi mereka dengan sepenuh hati.
Anak istimewa adalah anugerah, bukan ujian semata. Moga setiap ibu bapa terus kuat mendidik, menyayangi dan melindungi amanah kecil ini dengan penuh kasih dan kesabaran. ❤️
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Musim ini, semakin ramai ibu ayah risau apabila satu keluarga jatuh sakit serentak dengan simptom demam, batuk, dan selsema. Rupanya, ia bukan sekadar demam biasa tetapi Influenza A yang sedang menular semula di seluruh negara.
Lebih membebankan, bila bukan seorang, tapi satu rumah kena — dari anak kecil sampai ke ibu ayah. “Kalau dulu anak sorang demam pun dah kelam-kabut, kali ni bila semua kena sekali, memang terasa kos perubatan yang tinggi,” luah seorang ibu.
Masalah utama yang dihadapi ramai keluarga ialah kos rawatan Influenza A yang meningkat. Ramai ibu bapa terkejut apabila mengetahui harga ubat utama, Oseltamivir 75mg (lebih dikenali sebagai Tamiflu, Fluhalt atau Omiflu), boleh mencecah antara RM115 hingga RM150 untuk satu course rawatan selama lima hari.
Antara yang menarik perhatian ramai ialah perkongsian daripada seorang ibu, Sakinah Ilias, yang menceritakan pengalamannya di sebuah hospital di Pulau Pinang.
“Influenza A ni demam mahal, kawan-kawan!” tulis Sakinah. “Ubat Oseltamivir 75mg harga dia RM115 – RM150 untuk 1 course – 5 hari. Kalau demam biasa, Avadol baru RM8.00 – RM10.00. Tapi Influenza A ni tidak.”
Beliau turut berkongsi bahawa ubat Influenza mempunyai pelbagai jenama seperti Fluhalt dan Omiflu, namun semuanya mengandungi bahan aktif sama iaitu Oseltamivir. Belum termasuk ubat tambahan lain seperti Paracetamol, ubat batuk, selsema, gastrik, cirit-birit, dan muntah. Jika digabungkan, kos rawatan boleh mencecah RM200 hingga RM300.
Posting Sakinah mendapat ribuan reaksi daripada ibu bapa lain yang turut mengalami situasi sama. Ramai berkongsi rasa tertekan dengan harga ubat yang semakin mahal.
Seorang ibu, Nadia, berkongsi bahawa dua anaknya disahkan Influenza A serentak. “Doktor bagi Tamiflu, dua orang anak makan, saya dan suami pula mula rasa tak sihat. Bila check, rupanya kami pun positif. Sekali beli ubat dah dekat RM600, tapi kesihatan lebih penting.”
Bagi Farah Nordin, dia terpaksa beli ubat di farmasi swasta kerana klinik kerajaan kehabisan stok. “Tamiflu RM145 satu course, anak dua orang. Tapi saya beli juga sebab takut komplikasi paru-paru. Doktor kata kalau rawatan lambat, boleh jadi lebih teruk.”
Seorang lagi ibu, Syafiqah Amin, akui terkejut bila doktor sahkan suami dan anak dua orang kena Influenza A serentak. “Bayangkan semua tak larat, saya sorang je jaga. Ubat saja dah lebih RM400. Tapi bila tengok anak dah boleh senyum balik, rasa lega.”
Pakar perubatan mengingatkan supaya ibu bapa tidak ambil mudah simptom Influenza A kerana ia mudah berjangkit dan boleh jadi serius jika tidak dirawat awal. Antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah:
Jika anak menunjukkan tanda-tanda ini, segera ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut. Jangan hanya beri ubat demam biasa tanpa pengesahan doktor. Paling penting, elakkan membawa anak ke tempat sesak ketika masih batuk atau selsema kerana Influenza A boleh merebak melalui titisan udara.
Walaupun ubatnya mahal, rawatan yang betul mampu menyelamatkan anak daripada komplikasi paru-paru, sawan demam, dan jangkitan serius lain. Akhirnya, walaupun terasa perit di poket, setiap ibu bapa tahu bahawa kesihatan anak tetap nombor satu.
Seperti kata Puan Sakinah, “Takpelah mahal pun, asalkan anak cepat sembuh. Duit boleh cari, tapi nyawa anak tak boleh diganti.”
Untuk elak influenza kanak-kanak, langkah pertama ialah mengajar mereka menjaga kebersihan tangan. Galakkan anak mencuci tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat, terutamanya selepas bermain, sebelum makan, dan selepas ke tandas. Jika tiada air dan sabun, gunakan hand sanitizer sebagai alternatif yang cepat dan berkesan.
Elak influenza kanak-kanak dengan memastikan mereka menjauhkan diri daripada individu yang menunjukkan simptom seperti batuk, bersin, atau demam. Jika ada ahli keluarga yang dijangkiti, pastikan mereka memakai pelitup muka dan tidak berkongsi peralatan dengan anak.
Apabila anak menunjukkan tanda-tanda demam, batuk, atau selesema, biarkan mereka berehat di rumah. Ini bukan sahaja membantu mereka pulih lebih cepat, tetapi juga langkah penting untuk elak influenza kanak-kanak merebak kepada rakan lain di sekolah atau taska.
Imuniti yang kuat sangat penting untuk elak influenza kanak-kanak. Pastikan anak mendapat pemakanan seimbang termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, protein, dan air yang mencukupi. Selain itu, pastikan mereka tidur sekurang-kurangnya 8 hingga 10 jam sehari untuk memastikan sistem imun berada pada tahap terbaik.
Vaksin influenza adalah antara langkah paling berkesan untuk elak influenza kanak-kanak. Ia disyorkan setiap tahun untuk kanak-kanak berumur 6 bulan ke atas bagi mengurangkan risiko jangkitan teruk dan komplikasi seperti pneumonia. Rujuk doktor untuk mendapatkan jadual vaksinasi yang sesuai.
Didik anak menutup mulut dan hidung dengan tisu atau siku ketika bersin atau batuk. Selepas itu, buang tisu ke dalam tong sampah dan basuh tangan mereka. Langkah mudah ini membantu elak influenza kanak-kanak daripada merebak dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Pastikan rumah mempunyai pengudaraan yang baik dengan membuka tingkap agar udara segar dapat masuk. Virus influenza mudah merebak di ruang tertutup dan lembap, jadi pengudaraan yang baik amat penting untuk elak influenza kanak-kanak di rumah.
Kanak-kanak sering menyentuh pelbagai permukaan tanpa disedari. Untuk elak influenza kanak-kanak, lap permukaan yang sering disentuh seperti tombol pintu, alat kawalan, meja, dan mainan dengan pembasmi kuman secara berkala. Langkah ini membantu mengurangkan risiko penyebaran virus.
Dengan mengamalkan langkah-langkah mudah ini, ibu bapa dapat elak influenza kanak-kanak dengan lebih berkesan, terutama ketika musim penyakit mudah berjangkit. Sentiasa utamakan kebersihan, pemakanan sihat, dan vaksinasi agar anak kekal sihat serta aktif sepanjang tahun.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman berat terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 40, seorang penganggur yang akhirnya menerima balasan atas kekejaman melampau yang pernah menggemparkan negara.
Lelaki itu dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan 10 tahun dan satu sebatan bagi kes meliwat, serta 30 tahun dan 12 sebatan bagi kes membunuh seorang bayi berusia 9 bulan. Keputusan ini sekaligus menjadi perkembangan penting dalam kes bayi Afiq yang kembali menarik perhatian rakyat.
Menurut pertuduhan, jenayah ngeri ini berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang pada 27 April 2021. Di situlah seorang bayi kecil, Muhammad Afiq Rizqin, menjadi mangsa kerakusan manusia yang langsung tidak berhati perut. Lebih menyedihkan, tragedi berlaku di rumah asuhan tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat buat anak kecil ketika ibu bapa keluar mencari rezeki.
Arwah diliwat hingga mengalami kecederaan dalaman sebelum meninggal dunia. Jenayah ini meninggalkan luka yang mustahil sembuh buat keluarga kecil itu.
Selepas hukuman dibacakan di mahkamah, satu catatan lama kembali tular di media sosial coretan si ibu, Robiatul’ Adawiah Aziz, yang ditulis kira-kira empat tahun lalu.
Luahan itu merakam kronologi penuh bagaimana tragedi itu terbongkar, dan bagaimana seorang ibu melalui saat paling gelap dalam hidupnya.
Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa kes bayi Afiq bukan sekadar berita, tetapi tragedi kemanusiaan yang merentap hati sesiapa yang membacanya.
Coretan Robiatul’ Adawiah pernah viral suatu ketika dulu kerana setiap ayatnya terasa seperti ditikam perlahan-lahan. Kini, apabila keadilan akhirnya ditegakkan, luahan itu muncul semula mengingatkan orang ramai tentang betapa dahsyatnya penderitaan yang dilalui keluarga ini.
Pada 27 April 2021, jam 3.44 petang, ibu ini menerima panggilan daripada pengasuh, Ida:
“Biey, datang hospital Sungai Buloh sekarang, Afiq tak sedar.”
Dunia terus gelap. Tanpa fikir apa-apa, dia menghubungi suami dan bergegas ke Hospital Sungai Buloh menaiki motosikal dalam keadaan hujan lebat dan jalan sesak.
Satu persoalan mula timbul mengapa pengasuh membawa bayi itu sejauh Hospital Sungai Buloh sedangkan ada hospital jauh lebih dekat? Lebih memeranjatkan, pengasuh tidak menghubungi ibu terlebih dahulu, hanya selepas anak diserahkan kepada doktor.
Sampai di hospital, doktor memaklumkan bahawa jantung Afiq sudah berhenti sebelum sampai. CPR dilakukan selama 10 minit dan jantungnya kembali lemah-lemah.
Ketika jururawat memanggil pengasuh untuk membantu beri maklumat, ibu menghubungi Ida. Jawapannya?
Dia berada di bazar Ramadan.
Di saat bayi asuhan bertarung nyawa, dia masih sempat berjalan-jalan sesuatu yang sukar diterima sesiapa pun.
Yang menghantar bayi ke hospital pula suami pengasuh, seorang penagih dadah.
Doktor menunjukkan keadaan Afiq melalui video. Bayi kecil itu terbaring kaku, dipenuhi wayar dan mesin bantuan hidup. Doktor memberitahu bahawa otak Afiq mengalami kerosakan teruk akibat kekurangan oksigen.
Ibu dan ayah bergilir menjaga sepanjang malam, walaupun berada di zon pesakit COVID-19. Tangisan mereka hanya Tuhan yang dengar.
Keesokan paginya, doktor mengesahkan keadaan Afiq semakin merosot. Jantung semakin perlahan, darah semakin kurang.
Untuk mengurangkan penderitaan, doktor mencadangkan agar ubat dikurangkan sedikit demi sedikit.
Dan tepat 12.18 tengah hari, 28 April 2021, adik Afiq pergi menghadap Pencipta.
Ketika itu, mereka masih tidak tahu punca sebenar kematian.
Pada 30 April 2021, hasil bedah siasat keluar. Dan di situlah segala rahsia yang cuba disorok terbongkar.
Arwah lemas kerana mulut dan hidung ditutup. Dan lebih kejam, ada koyakan pada saluran najis akibat diliwat.
Berita yang tidak mampu diterima akal seorang ibu atau mana-mana manusia waras.
Walau patah, mereka tetap berdiri. Walau hancur, mereka tetap melawan.
Dalam tulisannya, si ibu menegaskan bahawa mereka redha, tetapi mereka tidak akan melepaskan perjuangan untuk menuntut keadilan buat anak syurga mereka.
Empat tahun keluarga kecil ini menanggung rindu, marah, kecewa dan luka yang tidak pernah hilang. Namun dengan hukuman yang akhirnya dijatuhkan minggu ini, ramai yang melihatnya sebagai satu bentuk pembelaan buat arwah Muhammad Afiq Rizqin.
Tiada apa pun yang boleh mengembalikan senyuman kecil itu, tiada apa yang boleh memadam trauma yang dilalui ibu dan ayahnya, tetapi sekurang-kurangnya keadilan itu akhirnya menyebelahi mereka.
Hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan yang dikenakan ke atas pelaku menjadi isyarat jelas bahawa dosa terhadap seorang bayi tidak akan sesekali terlepas daripada undang-undang dan pembalasan.
Kisah adik Afiq mengingatkan seluruh negara bahawa anak kecil bukan sekadar amanah, tetapi nyawa yang wajib dijaga tanpa kompromi. Dan hari ini, walaupun jasadnya sudah lama pergi, perjuangannya tetap hidup melalui setiap baris tulisan seorang ibu yang tidak pernah berhenti berharap. Kes bayi Afiq terus kekal sebagai peringatan tentang pentingnya keselamatan anak kecil.
Keadilan itu mungkin datang lambat, tetapi ia hadir juga akhirnya menjadi penutup luka paling pedih dalam hidup mereka. Arwah Afiq telah pun kembali ke tempat yang paling selamat, dan hari ini, seluruh rakyat Malaysia turut sama menghembuskan nafas lega kerana kematiannya akhirnya terbela.
Kanak-kanak meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 tahun. Polis mengesahkan tiada kecederaan mencurigakan dan punca kematian masih menunggu keputusan bedah siasat.